Friday, January 25, 2013

Imam Mudaku Romantik! 9


BAB 9
USAI berpuas hati dengan dandanan pada wajah dan tubuhnya, Puan Sri Lydia mencapai beg tangan jenama Birkinnya lalu turun ke tingkat bawah. Lenggok dan gayanya melangkah memang mencerminkan yang dia seorang isteri kepada lelaki korporat. Elegan dan berketerampilan!
“Bila saya kerja, awak keluar. Bila saya cuti, awak keluar jugak. Hai, siapa yang kerja sebenarnya ni?” Suara Tan Sri Kamarul yang agak sinis itu mematikan lenggok Puan Sri Lydia.
Wanita berada itu mengerutkan dahi. Suaminya yang sedang membaca surat khabar di sofa ruang tamu itu dirapati dengan derap langkah yang jelas bunyinya. “Awak tak bagi saya keluarlah ni?” Mendatar suaranya.
“Saya tak kata macam tu pun,” balas Tan Sri Kamarul, tetap relaks. Surat khabar di tangannya terus ditatap. Namun, tidak pasti apakah fikirannya turut tertumpu pada tulisan di situ?
“Hmmm… jadi?”
“Tak ada apa-apa. Awak nak pergi mana pagi-pagi ni? Terburu-buru semacam aje.” Tan Sri Kamarul menyelak helaian yang ke seterusnya akhbar semasa tersebut. Mungkin dia memang betul-betul membaca.
“Saya dah janji nak breakfast dengan Datin Izreen. Ada something yang kami nak bincangkan,” beritahu Puan Sri Lydia. Rambut hadapannya yang sesekali jatuh ke dahi dikuis kembali ke belakang.
Tan Sri Kamarul mengangguk-angguk. Baru kini fokus matanya dialihkan daripada dada akhbar kepada susuk tubuh isterinya itu.
Puan Sri Lydia merengus kecil. “Awak tengok apa, Tan Sri Kamarul? Tak pernah tengok isteri awak cantik macam ni ke?” Sindirnya menyedari mata suaminya itu tidak berkelip langsung memandang dirinya. Aih, buang tebiat ke laki aku pagi-pagi ni?
Tan Sri Kamarul berjeda beberapa ketika sebelum menghembuskan pelan-pelan nafasnya. “Boleh awak duduk kejap? There’s something I need to discuss with you.” Surat khabar di tangannya ditutup lalu dilipat kemas dan dicampak sahaja ke meja kopi di hadapan.
Puan Sri Lydia mengherot-herotkan bibir. Antara rela dengan tidak rela saja dia akurkan arahan itu. Mana tidaknya, dia sudah berjanji dengan Datin Izreen untuk berjumpa di salah sebuah kafe terkemuka tepat pada jam sembilan. Sekarang sudah pukul lapan lima puluh pagi!
Namun, dia juga tidak pernah ingkar arahan suaminya tanpa sebarang alasan yang kukuh. Ya, dia akur kali ini.
“Apa dia?” Soal Puan Sri Lydia tidak sabar-sabar ketika baru saja hendak mengalaskan punggung di sofa.
Tan Sri Kamarul senyap lagi. Entah kenapa lelaki korporat itu suka sangat menekan ‘brek’ pada bicaranya ketika ini. Bikin saspen agaknya… mungkin juga teragak-agak hendak mengutarakan apa yang berada di benaknya.
“Hmmm… awak tak terfikir ke, sampai bila kita nak jadi macam ni?” Soal Tan Sri Kamarul setelah membatu agak lama.
Puan Sri Lydia tercengang. Agak samar-samar pertanyaan suaminya itu untuk ditafsirkan oleh mindanya. “Errr… jadi macam mana pulak ni? Saya tak faham.”
Tan Sri Kamarul mengambil telapak tangan kiri isterinya, lalu dibawa ke dalam genggaman erat. Wajah isterinya yang sentiasa menjadi penawar hatinya itu ditatap dengan pandangan redup. “Sampai bila kita nak jauh daripada TUHAN? Awak tak rasa ke hidup ni macam ada yang hilang selama kita jadi macam ni?”
“Apa?” Puan Sri Lydia menggeleng-geleng. Mendengar bicara suaminya itu cukup membuatkan fikirannya kebingungan. Dia tidak pernah menyangka yang Tan Sri Kamarul akan mencamurkan hal itu. Tiba-tiba saja.
Tan Sri Kamarul mengecap-ngecap bibir. “Saya nak kita berubah. Berubah jadi hamba yang bersyukur pada ALLAH. Sayang, ALLAH dah bagi banyak kesenangan pada kita selama ni. Jadi, saya rasa tak patut kalau kita terus dengan ‘keras kepala’ kita pada DIA,” luah lelaki itu. Ya, ikhlas dari lubuk hatinya yang paling dalam.
Kali ini, Puan Sri Lydia pula yang terdiam. Mungkin sudah menerima atau tidak mustahil juga sebaliknya akan apa yang telah diperkatakan oleh suaminya itu.
“Sayang,” panggil Tan Sri Kamarul. Sememangnya dia amat-amat mengharapkan reaksi yang bakal menyenangkan hatinya daripada si isteri.
“Abang ni kenapa?” Nada Puan Sri Lydia yang tegas setelah berdiam agak lama cukup meruntuhkan harapan Tan Sri Kamarul tidak semena-mena. Wajah wanita berada itu jelas terpancar riak tidak selesa… mungkin kerana hal yang sedang dibincangkan belum mampu mengusik ruang hatinya.
“Apa yang kenapa? Abang cakap perkara betul kan?”
Puan Sri Lydia melepaskan genggaman erat suaminya. Lalu berpeluk tubuh. “Ini bukan kerja kita, bang. Buat apa nak hipokrit dengan diri sendiri? Jujur saya cakap, selama ini hidup saya tak ada apa-apa yang terasa kosong. Saya gembira dengan apa yang saya ada. Saya dah cukup bahagia, bang.”
Tan Sri Kamarul menggeleng perlahan. Kesal sungguh hatinya mendengar balasan daripada wanita itu. “Ini bukan soal hipokrit atau jadi diri sendiri ke, Lydia. Ini soal tanggungjawab. Kita ada tanggungjawab pada agama kita. Saya tak mahu tanggungjawab tu masih tak tertunai bila dah mati nanti. Awak tak fikir ke nasib kita kat akhirat nanti?”
“Abang, sudahlah. Saya malas nak bertekak dengan abang pasal benda ni. Saya cuma nak abang tahu yang saya bahagia dengan apa yang saya ada sekarang,” bidas Puan Sri Lydia. Lalu serta-merta bangun dari sofa yang diduduki. Entah kenapa terasa ‘bahang’ pula untuk terus duduk di sebelah suaminya itu.
“Lydia, kebahagiaan yang awak rasa tu datang daripada ALLAH,” ucap Tan Sri Kamarul. Tiada teragak-agak. Kebenaran harus dibiarkan mengatasi segalanya.
Puan Sri Lydia mengangkat telapak tangan. Tanda semakin tidak tahu perkataan apa lagi yang boleh menerangkan kata hatinya untuk difahami oleh lelaki itu. “Abang, biarlah masa yang menentukan. Saya rasa saya tak ada hak nak mengatur hal ni.” Jawapan yang diyakininya selamat… walau sebenarnya hanya lebih menampakkan ‘kejahilannya’.
“Hmmm… kadang-kadang abang malu dengan anak kita, Khalisah. Kenapa dia yang ‘nampak’ dahulu daripada kita? Padahal dia muda lagi. Kita ni yang entah berapa lama lagi ada peluang nak hirup udara? Takut jugak menyesal tak sudah nanti!” Tan Sri Kamarul tetap tidak melepaskan peluang terakhir untuk membidas pendirian isterinya. Biarlah, dia sebenarnya sudah letih hidup dalam keadaan ‘seperti ini’.
Puan Sri Lydia tidak membalas. Mungkin sudah mati idea atau pun seperti katanya, tidak mahu bertekak dengan suaminya itu.  Lalu tanpa memberi sebarang kata akhir, hatta salam atau selamat tinggal, derapan langkahnya kedengaran lagi menuju ke luar rumah. Janjinya dengan Datin Izreen kembali berlegar di dalam catatan mindanya.

HARI ini Mak Yah ditemani lagi oleh Khalisah pergi ke pasar. Walaupun puas Khalisah memujuk Mak Yah supaya menaiki keretanya saja, namun Mak Yah berkeras mahukan anak muda Faqih yang membawa mereka dengan menaiki kereta Tan Sri Kamarul. Mulanya Khalisah malas juga. Namun, setelah Tan Sri Kamarul sendiri yang menyuruhnya menemani Mak Yah, dia terpaksa akur.
Entah kenapalah mereka beria-ia sangat mahukan Faqih yang memandu? Walhal hari ini sepatutnya lelaki itu cuti. Tetapi gara-gara Mak Yah hendak ke pasar dengan lelaki itu, terpaksalah lelaki itu datang juga ke banglo mewah itu dengan motosikal petaknya.
Dan… sepanjang perjalanan, tiada sebaris senyuman diukir pada bibir wanita itu. Sedih? Tidak juga. Wajahnya tidak beriak apa-apa. Hanya matanya yang bergerak-gerak memandang ke luar tingkap kereta.
“Mak Yah minta maaflah, Faqih kalau dah menyusahkan kamu. Bukannya apa, kalau kamu ada boleh tolong bawak-bawakkan barang nanti.” Itu alasan yang diberikan Mak Yah akhirnya.
Faqih tersenyum kecil. “Saya tak kisahlah, mak cik. Lagipun saya bukan buat apa-apa kat rumah tu.” Matanya sesekali dikerling ke arah cermin pandang belakang yang tergantug di depan.
Khalisah… wanita itu tetap berdiam diri. Masih marahkah dia dengan insiden hari itu? ALLAH… dia tidak sengaja! Risau juga jejaka bernama Faqih itu dibuatnya. Tiada niat dalam hatinya langsung hendak melanggar wanita itu dan mengotorkan bajunya yang dikatakan mahal.
‘Perlu ke aku minta maaf lagi?’ Hati Faqih sering kali berbisik.

MAK YAH sibuk memilih ikan di bahagian makanan basah diekori oleh Faqih yang akan menolong wanita tua itu mengangkat barang selepas ini. Sementara Khalisah, entah ke mana-mana pergi. Bayangan  wanita itu langsung hilang semenjak mereka mula-mula masuk ke dalam pasar raya itu. Buat hal sendiri agaknya…
“Mana Khalisah, Faqih? Dari tadi tak nampak-nampak dia pun,” getus Mak Yah setelah menimbang berat ikan yang dipilihnya.
Faqih mengangkat bahu. “Entah. Saya pun tak nampak dia, Mak Yah.” Jelas ada kerutan pada wajah lelaki itu. Khalisah… aneh sungguh wanita itu hari ini. Sudahlah tadi diam membatu saja ketika di dalam kereta. Nah, sekarang menghilangkan diri pula!
Mak Yah mengeluh kecil. Langkahnya kemudian diteruskan menuju ke kaunter bayaran. Sambil-sambil itu dia cuba meninjau keberadaan Khalisah. Ya, dia juga perasan akan perubahan pada emosi wanita itu.
“Kamu ada tahu apa-apa pasal Khalisah, Faqih?” Lagi sekali Mak Yah menginginkan jawapan daripada jejaka itu setelah selesai membuat bayaran.
“Tahu apa, Mak Yah?”
“Hmmm… Mak Yah perasan yang perangai dia lain macam sikit hari ni. Kamu tahu kenapa?” Mak Yah berterus-terang dengan pertanyaannya melihat wajah Faqih yang kebingungan.
Faqih diam sebentar. Kenapa pula soalan itu ditujukan kepadanya? Kalau ya pun ada sesuatu yang terjadi pada Khalisah, dia tetap tidak tahu menahu! Melainkan jika perubahan sikap anak Tan Sri Kamarul itu disebabkan oleh rasa amarahnya terhadap Faqih yang dirasakan selalu membuat hidupnya ‘kacau-bilau’ itu masih belum reda.
Wallahu a’lam, Mak Yah. Saya pun tak tahu.” Faqih lebih memilih untuk tidak lagi memberat-beratkan hal itu. Plastik
“Hmmm… kesian Khalisah,” gumam Mak Yah perlahan.
“Kesian, Mak Yah?”
Mak Yah pantas menggeleng. “Errr… tak ada apa-apalah.” Wanita tua itu terus berjalan. Berharap apa yang dikatakannya tadi bakal dilupakan saja oleh jejaka itu.
Setelah dua puluh minit berlegar-legar di kawasan pasar raya yang agak besar itu, lutut Mak Yah mula terasa minta direhatkan. Lantas, sebaik saja kelihatan ada bangku yang kosong, tidak teragak-agak wanita itu melabuhkan punggungnya di situ.
Di mana Khalisah? Sehingga kini belum kelihatan lagi kelibat wanita itu. Pada mulanya Mak Yah mahu menelefon saja anak majikannya itu. Namun, nasib tidak berapa baik… Mak Yah tidak membawa telefon bimbitnya.
Faqih? Memang lelaki itu mempunyai telefon bimbit, tetapi masalahnya dia tidak menyimpan nombor Khalisah! Nah, sekarang lelaki itu sedang leka membelek-belek baju di sebuah kedai yang agak berjenama juga. Menghilangkan rasa bosan menunggu agaknya…
 Dari jauh Mak Yah hanya memerhati… ‘Ada duit ke budak ni beli baju mahal-mahal?’ Sempat hatinya berkata-kata.
“Mak Yah, jom balik!” Sedang leka wanita tua itu memerhati perlakuan Faqih daripada jauh, tiba-tiba lengannya dipegang oleh seseorang.
Urut dada wanita tua itu, terkejut! “Ya ALLAH, Khalisah! Mana Lisa pergi? Puas Mak Yah cari!” Rasa leganya tidak dapat dibendung melihat anak majikannya yang entah hilang ke mana tadi sudah muncul di depan mata.
Khalisah mengerutkan dahi. Jelas wajahnya menunjukkan yang dia sedang keletihan. “Saya beli barang sikit, Mak Yah.” Perlahan suaranya, sambil menunjukkan beberapa buah beg berisi barangan yang dibelinya.
Mak Yah membuntangkan mata. “Ya ALLAH… sikit??? Khalisah, kamu memborong ke apa ni?” Lagi sekali nafas Mak Yah jadi kencang melihat beg-beg plastik yang bergantungan di tangan anak majikannya itu. Sarat-barat! Apa yang dibelinya ni?
Khalisah mengeluh. Keletihannya gara-gara membuat ‘kunjungan tidak rasmi sambil membeli’ ke segenap kedai di dalam pasar raya itu semakin menyelinap. Ditambah pula dia perlu menanggung ‘beban’ beg-beg plastik yang agak banyak di pegangannya. Ya, letih tapi puas! Hatinya cukup puas!
“Masya-ALLAH, banyaknya barang!” Ada suara garau pula tiba-tiba mencelah. Jelas kedengaran yang suara itu turut terkejut. Gara-gara beg plastik yang sarat-barat itulah agaknya…
Menyedari kemunculan lelaki itu, Khalisah hanya membuat muka biasa tanpa ada sebarang tanda yang dia mahukan pertolongan untuk mengangkut barang-barangnya yang banyak itu… terutama sekali lelaki itu. Tidak, dia tidak akan meminta tolong lelaki itu!
“Khalisah, barang kamu banyak sangat ni. Biar Faqih bawak sikit,” cadang Mak Yah. Macam tahu-tahu saja yang Khalisah tidak menginginkan bantuan lelaki itu.
“Tak apalah… Mak Yah. Saya boleh bawak sendiri.” Khalisah cuba berkeras, walau nampak jelas mukanya berkerut seribu menampung beban di tangan. Yang sebenarnya, dia memang tidak larat pun. Tapi… ‘kekecewaan’ mengatasi segalanya!
“Haishhh, mana boleh kamu bawak semua ni sendiri! Mengarut! Faqih, tolong bawakan barang Khalisah ni.” Mak Yah terus berlalu pergi selepas itu.
Tinggallah kini Khalisah yang masih penuh kerutan di mukanya dan… Faqih yang kebingungan sama ada hendak menolong atau tidak wanita itu. Nampak gayanya wanita itu berkeras mahu membawa barangnya sendiri!
“Awak, saya tolong bawak sikit,” tawar Faqih akhirnya. Tidak sampai hati pula dia melihat ‘kepayahan’ yang ditanggung oleh Khalisah.
Khalisah memberi jelingan tajam. “Tak payah! Saya tak harapkan pertolongan awak pun!” Agak keras wanita itu menolak tawaran yang diberikan. Jelas… ada berbaur ‘kemarahan’ di situ.
Faqih tidak terkata apa. Dibiarkan saja wanita itu berjalan terkedek-kedek dengan barangannya yang penuh. Macam Penguin.
‘Aduh, kenapalah berat sangat ni? Tadi senang aje aku bawak turun bawah! Argghhh… menyusahkan betul!’ Bersungut-sungut Khalisah di dalam hati. Itulah padahnya jual mahal… Lagi ‘menyedihkan’, dia terpaksa membawa barang-barang itu dengan kasut bertumit tinggi yang tersarung di kaki. Masya-ALLAH, seksa!
Tiba-tiba… pappp!
Tumit kasut Khalisah patah. Tersungkur anak dara itu ke lantai macam nangka busuk. Beg-beg yang sarat di pegangannya? Apa lagi… ikut sama nasib macam tuannya jugalah! ‘Bersepai’ di atas lantai.
“Ahhh… kasut aku!” Khalisah separuh menjerit.
“Awak, awak okey?” Faqih yang hanya mengekor dari belakang berlari mendekati anak majikannya itu. Risau dia melihat Khalisah tiba-tiba terjatuh di depan matanya.
Namun sebenarnya, Faqih rasa lucu juga. Hampir-hampir saja dia tergelak besar tadi melihat Khalisah yang anginnya tidak berapa baik hari itu tiba-tiba ‘tercium’ lantai ketika sedang terkedek-kedek membawa barang. Itulah, sombong sangat!
Khalisah melihat serpihan tumit kasutnya yang terpatah dua. Dadanya berombak kencang… sedih bercampur kecewa bercampur marah dan bercampur malu! Dia tidak mampu memandang ke sekelilingnya. Dia tahu banyak mata sedang memandangnya! Huaaaa!!!
“Awak?” Faqih menegur. Sedar yang Khalisah seperti hendak menangis.
Tepat seperti yang dijangkakan, berderai ke lantai juga air mata Khalisah. ‘Huaaa… kenapa nasib aku macam ni?’ Jeritan batinnya bergema.
“Janganlah menangis, saya tolong angkat barang awak.” Faqih gabra seketika. Inilah kali kedua Khalisah menangis di depan matanya selepas insiden dia meletakkan iguana bernama Aaron Aziz di bahu wanita itu.
Ah, sudah! Macam mana pula hendak memujuk ni?
“Tak! Jangan! Saya tak ingin pertolongan awak! Pergi!” Tempik Khalisah. Air matanya semakin deras. Dalam keadaan itu, dia menggagahkan diri mengutip semula barang-barangnya yang bertaburan di lantai lalu bangun dan meneruskan langkahnya yang berjengket-jengket… gara-gara kasut sudah senget sebelah.
Faqih merasakan dadanya sesak. Dia tahu dan dia pasti yang perubahan emosi Khalisah pada hari itu adalah gara-garanya! Ya, wanita itu masih marah dengannya.
“Apalah boyfriend dia tu! Harap muka aje hensem, tapi buat girlfriend menangis! Tak patut! Kejam! Gila!” Suara sumbang yang mungkin datang daripada orang yang melihat insiden itu terasa dekat saja dengan telinga Faqih. Amboi, sedapnya mulut tu! Dah puas hidup ya, kak?
Faqih pantas berlalu dari situ. Semakin lama, semakin panas menggila dadanya!

SELEPAS solat Isyak, Khalisah tidak keluar-keluar dari biliknya. Puas sudah mama, papa, Mak Yah termasuklah abangnya si Khalis memanggil, namun pintu bilik itu tetap tidak terkuak dari dalam. Dan pada akhirnya, satu kesimpulan yang mereka buat… Khalisah sudah tidur!
Khalisah memang tidur. Tidur setelah penat mengeluarkan tenaga melayan air mata. Hari ini memang air matanya tiada harga. Asyik berjatuhan saja.
Insiden pagi tadi merupakan salah satu sebab kenapa air matanya tidak mampu ditahan-tahan. Dia malu! Teramatlah malu! Fikirnya setelah membeli-belah puas-puas, dapatlah ‘kekecewaannya’ ditenangkan. Namun entahlah… mungkin nasibnya agak kurang baik. Tidak sangka kasut tumit tingginya boleh pula patah tiba-tiba! Memang seksa jiwa raganya!
Tepat jam dua pagi, biji mata Khalisah terjegil semula untuk melihat dunia. Keletihan melayan air mata sepertinya sudah berbayar dengan tidurnya yang agak lena selepas solat Isyak tadi.
Khalisah keluar dari biliknya dan turun ke bawah. Rumahnya sudah pun berlangsung sepi… mungkin semua penghuninya sudah menikmati lena malam. Namun, dia mahu membasahkan tekak dahulu. Selepas ini bolehlah dia berqiamullail. Tidak sabar-sabar rasanya mahu mengadukan segala-galanya kepada ALLAH!
“Lamanya anak mama tidur,” tegur satu suara lembut. Khalisah yang baru hendak memasuki gerbang dapur rumah mewah itu memberhentikan langkah.
“Mama… tak tidur lagi?” Semakin segar biji mata Khalisah melihat Puan Sri Lydia turut berada di dapur, sedang minum air.
“Mama haus. Hmmm… Lisa mengantuk sangat ke tadi sampai tak keluar bilik langsung?” Soal Puan Sri Lydia, inginkan kepastian.
Khalisah mengeluh kecil. Dia meneruskan langkah untuk mengambil cawan lalu diisikan dengan air putih daripada penapis air. “Ya, ma. Lisa mengantuk sangat tadi.” Pelan-pelan dia meneguk air tersebut setelah membaca basmalah di meja makan.
Puan Sri Lydia yang sudah berdiri duduk semula di kerusi meja makan itu, bersebelahan dengan anak daranya. “Mama ada sesuatu nak bincang dengan Lisa.”
“Bincang? Errr… apa dia, ma?” Khalisah agak berdebar sebaik mendengar suara serius mamanya pada tengah-tengah malam begitu.
Puan Sri Lydia mengambil nafas beberapa ketika. “Lisa, mama dah bincang dengan Datin Izreen. Kami nak satukan kamu dengan Izham.” Terus-terang wanita itu. Tidak kuasa hendak berkias-kias.
Hampir tersembur air yang sedang diteguk oleh Khalisah. Berdetak hebat jantungnya tidak semena-mena. Apa semua ini???
“Apa, ma? Satukan Lisa dengan Izham? Mama!” Suara terkejut Khalisah agak menggegarkan ruang dapur yang sunyi itu.
“Ya, Lisa. Mama dah sepakat dengan mama Izham, Datin Izreen. Datin Izreen nak sangat kamu jadi menantu dia. Kebetulan mama pun berkenan jugak kalau si Izham tu jadi suami kamu. Rasanya tak ada apa-apa masalah kan, Lisa? Izham tu kan baik budaknya. Kerja bagus, anak orang kaya lagi.” Sepertinya Puan Sri Lydia tidak terkesan dengan reaksi spontan anak daranya itu. Tetap relaks dan tenang bersuara. Juga… tidak memberi peluang langsung kepada anak perempuannya itu untuk membantah.
“Mama…” Khalisah hilang kata-kata. Jiwanya terasa lemah kembali dengan apa yang baru menganggu mindanya setelah puas berehat tadi. Kesedihan? Tidak usahlah bercerita. Hatinya terasa sudah hancur lebur!

6 comments:

Ruunna Qizbal said...

smbng lgi.. ♥

Izzah Haneefa said...

hehe... thanx.. ya, saya akan sambung :) in shaa ALLAH.

Anonymous said...

suke bile ade penulis yg bertemakan islamik...teruskn menulis karya2 yg mantap...(suke citer ni!!)..

Izzah Haneefa said...

heee... terima kasihhh! doakan percubaan saya kali ini brjaya ye :D

Anonymous said...

mane next en3???

BAIN said...

The best n_n