Thursday, January 31, 2013

Imam Mudaku Romantik! 10


BAB 10
ADRIANA terus saja memandu masuk keretanya ke perkarangan rumah mewah itu sebaik pagar utama terkuak seluas-luasnya. Selepas mematikan enjin, dia akan membelek-belek dulu wajahnya di cermin. Setelah berpuas hati yang wajahnya tetap cun-cun gitu, barulah keyakinannya mencapai tahap maksimum untuk berhadapan dengan dunia luar.
Pintu Mini Coopernya ditolak sederhana. Rambut hadapannya yang jatuh menutupi dahi dikuis-kuis ke belakang dengan jari-jemari halusnya. Gayanya memang jelas menampakkan yang dia bukan wanita biasa-biasa… Helo, perempuan mestilah kena pandai bergaya, okey?
“Wahhh! Siapa pulak mamat hensem ni???” Hilang terus keayuan yang ‘dibangga-banggakannya’ gara-gara suaranya tertinggi sedikit sebaik melihat… seorang lelaki sedang berjalan sederhana menuju ke halaman depan rumah, menghampiri tempat di mana dia berada sekarang!
Biji mata Adriana terjegil. Menganga mulutnya dengan mata yang tidak langsung berkelip memandang jejaka tampan itu. Tutup mulut tu, cik adik. Nanti langau masuk!
Oh my god! Oh my god! Siapa mamat ni?’ Hati Adriana terkinja-kinja kesukaan menyedari lelaki tampan yang telah ‘menggoda’ matanya itu semakin menghampiri… Ah, seperti cerita novel pula!
Faqih memberhentikan langkah sebaik menyedari ada wanita lain… wanita yang tidak dikenalinya sedang berdiri di depannya, dengan mata yang tidak berkelip langsung memandang ke arahnya.
Seram-sejuk Faqih dibuatnya. ‘Siapa pulak perempuan ni?’
Adriana mengetap bibir. Terpukau... Wajah tampan itu terus ditenungnya seperti hendak diterkam saja! Amboi cik adik, bawa bersabar ya?
Naik bulu roma Faqih tidak semena-mena. Kenapa pula dia yang terasa seperti sedang ‘dibogelkan’ oleh renungan tajam wanita ini? Oh, tidak!
“Errr… Cik, minta maaf. Saya nak ambik motosikal saya.” Faqih bersuara akhirnya, menamatkan babak ‘saling terkejut antara satu sama lain bak kisah novel’ yang berlangsung agak lama juga itu.
Adriana menggeleng laju. Baru kini matanya terasa pedih kerana tidak berkelip langsung memandang jejaka itu. Dia memang betul-betul terpesona tadi! Sungguh, memang tak tipu! “Owh, maaf.” Badannya dikalihkan sedikit… barulah dia perasan ada motosikal kos rendah terparkir di belakangnya.
‘Aih, muka hensem pakai Honda buruk aje?’ Boleh pula Adriana mengata dalam hati.
Faqih yang hanya menundukkan pandangan berjalan menghampiri motosikalnya lalu duduk di situ. Enjin pun dihidupkan. Namun, sekali lagi dia berasa tidak enak menyedari mata wanita itu masih ‘menembusi’ tubuh-badannya. ‘Haih, apa kenalah perempuan ni?’
Adriana terus memerhati. Seketika kemudian, motosikal jejaka tampan itu mula bergerak perlahan, keluar dari perkarangan rumah mewah itu dan menghilang…
“Hmmmm… huh!” Adriana menarik nafas dalam lalu menghembus agak kuat. Tadi hatinya bergetar sungguh. Sekarang, dia kena relaks. Oh, semacam tidak percaya saja dengan apa yang dilihatnya tadi! Siapa jejaka tampan yang menunggang motosikal buruk itu?
‘Hishhh, aku ni jatuh cinta kali kedua ke?’ Adriana mengherot-herotkan bibir pula. Ketika asyik melayan perasaannya itulah, pintu rumah mewah yang bertutup dari tadi itu terbuka dari dalam.
“Khalisah…” Sahut Adriana, manja betul suaranya menyebut nama sepupunya yang hanya kepalanya terjengul di muka pintu itu.
“Eh, bila kau sampai Yana?” Tanya Khalisah. Tuala yang menutupi kepalanya dibetul-betulkan sambil matanya tertinjau-tinjau memandang ke sekeliling rumah.
Adriana berubah wajah. Pelik dengan kelakuan Khalisah yang macam orang sudah membuat salah besar itu. “Apahal kau ni, Lisa? Kau cari apa?”
Khalisah menegakkan badannya. Barulah kini dia berani keluar dari belakang pintu rumahnya. Nafas lega dilepaskan perlahan. “Mamat kerek tu dah balik eh?”
What? Who? Mamat kerek? Ohh, ohhh, mamat yang hensem gila tu eh?” Terloncat-loncat Adriana sebaik ingatannya kembali lagi kepada lelaki tampan yang menaiki motosikal kos rendah itu. Tidak mengapalah, motosikal kos rendah itu tolak tepi. Dia tidak mahu ingat lagi.
Khalisah pula membuat muka pelik. Agak tinggi sebelah keningnya terjongket. “Hensem? Kau cakap pemandu papa aku tu hensem?”
Adriana tidak seceria tadi. Hilang terus keterujaannya mendengar perkataan ‘pemandu’ yang disebut oleh sepupunya.
“Hahaha… kau ni mesti dah tangkap cintan dengan dia kan? Huhu… kalau kau nak tahu, dia dah jadi driver papa aku nak dekat sebulan dah,” beritahu Khalisah. Kali ini dia mahu ketawa pula melihat reaksi Adriana yang mungkin agak ‘kecewa’ mendengar kenyataannya tentang lelaki hensem yang mungkin telah berjaya mencuri hati sepupunya itu.
Adriana memuncungkan bibir. Takkanlah lelaki tadi yang punyalah hot begitu kerja sebagai pemandu saja?
“Sudahlah, Adriana. Aku tahu dia memang hensem. Tapi otak aku ni waras lagi. Takkanlah aku nakkan lelaki kerja pemandu aje kan? Tapi kalau kau nak aku tak kisah. Kau ambiklah.” Sengih Khalisah, masih rancak ‘mengusik’ sepupunya yang sudah seperti tidak ketahuan itu. Bahu Adriana ditepuk-tepuknya kasar.
Walau yang sebenarnya… Khalisah hanya mahu menyedapkan hati. Cukuplah dia berendam air mata semenjak beberapa hari ini. Cukuplah kekecewaan itu hanya sampai di sini. Dia tidak mahu membebankan jiwanya lagi. Cukuplah!
Adriana masih kebingungan. Khalisah memeluk bahu sepupunya itu lalu membawa wanita itu masuk ke dalam rumah.

KETIKA pekerja-pekerjanya sedang sibuk membungkus barang-barang tempahan pelanggan, Khalisah mengambil peluang untuk berehat sebentar di biliknya yang terletak di bahagian belakang. Duduk termenung… memikirkan masa depan syarikatnya.
Setakat ini, alhamdulillah… bisnes tudung labuhnya cukup mendapat sambutan. Kini, setiap negeri di dalam Malaysia telah ada pengedar masing-masing di bawah jenama syarikatnya. Jualan pula semakin meningkat hari demi hari.
Pada mulanya Khalisah kurang keyakinan juga untuk meneruskan niatnya membuka bisnes tudung labuh ini, maklumlah… pada zaman ini tudung-tudung yang pelbagai gaya dan juga pendek lebih menjadi pilihan wanita Islam. Namun hasil istikharah telah mendesaknya untuk terus menanam keyakinan. Dan akhirnya, dengan bantuan ALLAH SWT serta niat ikhlasnya untuk melihat wanita Islam menutup aurat dengan sempurna, maka tertubuhlah PINKWEARS.
Dan, jangkaannya membuat persediaan untuk ‘jatuh’ ketika mula-mula berniaga meleset. Tidak sangka yang bisnes tudung labuhnya mendapat sambutan di luar jangkaan. Satu kesimpulan… walaupun dunia telah ‘diwarnai’ dengan pelbagai mehnah, masih ada sebahagian umat Islam yang tahu kewajipan mereka terhadap agama. Syukur, ya ALLAH!
Tok… tok…
Bunyi ketukan pada daun pintu meleburkan segala untaian memori yang bermain di mindanya. Khalisah tersedar. Istighfar lantas meluncur di bibirnya.
“Masuk,” arahnya. Duduknya di atas kerusi itu dibetul-betulkan.
Seorang wanita muda yang kecil molek sahaja tubuhnya masuk ke dalam selepas itu. Senyuman sudah bersiap-sedia diukir di bibirnya. “Tadi akak mesti tengah termenung kan? Hehe… ingatkan siapa ha?”
“Haishh! Mana ada akak ingatkan siapa-siapa! Akak duduk bertapalah… cari ilham!” Dalih Khalisah. Memandai saja pekerjanya yang bernama Anita ini membuat andaian! Tapi, memang betul pun dia termenung kan?
Anita menggeleng perlahan. Senyumannya diikuti dengan tawa kecilnya pula. Bukan dia tidak kenal dengan bosnya yang sudah dianggap seperti kakak sendiri itu. Kalau ada apa-apa yang mengganggu fikiran wanita itu, termenung merupakan tabiat semula jadinya.
“Diorang dah siap packing ke, Nita?” Tanya Khalisah.
“Belum, kak. Ada sikit lagi. Lepas ni baru si Badrul tu hantarkan semua ke pejabat pos. Errr…” Anita sepertinya ingin menyambung bicara tetapi terhenti pula.
“Kenapa Nita?”
Anita menggumam bibir. Wajahnya tidak seceria tadi. “Ada orang nak jumpa dengan akak sebenarnya.”
Khalisah ikut meraut wajah serius. “Siapa? Mana dia?”
“Izham, kak.” Ringkas Anita membalas.
Khalisah terdiam. Tiada respon. Sepertinya tiada apa-apa yang membawa bahagia kepada hati wanitanya sebaik mendengar nama lelaki itu.
Anita yang juga mengetahui kisah hanya membiarkan majikannya itu berdiam sebentar. Dia tahu, Khalisah sedang membuat keputusan sukar.
“Hmmm… dia dah ada kat luarlah ni?” Akhirnya Khalisah bersuara juga.
Anita menggeleng. “Tadi dia ada. Dia cakap dia nak jumpa akak, tapi saya beritahu dia yang akak tengah sibuk. Apapun, dia ada tinggalkan pesan. Kata dia, bila-bila akak free dia nak jumpa dengan akak,” ujarnya.
Khalisah membatu kembali. Selepas Anita keluar dari biliknya, wanita itu kembali kepada tabiat semula jadinya… termenung. Namun kali ini, menungannya itu tiada kena-mengena dengan soal syarikatnya. Hanya apa yang diperkatakan oleh Puan Sri Lydia, mamanya tentang persetujuan wanita itu dengan Datin Izreen untuk menyatukannya dengan Izham mengambil tempat di mindanya.
Entahlah… dia memang tidak mahu. Tetapi, dia kalah setiap kali hendak menyuarakan itu semua kepada Puan Sri Lydia.
Khalisah ‘tewas’ lagi. Kekecewaan yang diharapkannya telah berakhir kembali membawa luka. Pelupuk matanya mula bersinar kaca… lalu pelan-pelan berderai ke pipi.

TENGAH hari itu Khalisah membawa perutnya yang sudah berdikir barat minta diisi ke sebuah restoran mamak yang berdekatan dengan butiknya. Kepalanya sekarang hanya terbayang-bayangkan keenakan nasi putih yang dilimpahi dengan kuah kari mamak. Ah, tidak sabarnya! Perut pun semakin rancak bergendang-gendang.
‘Diamlah, perut! Aku nak bagi kau makanlah ni!’ Sempat pula Khalisah memberikan arahan kepada perutnya yang semakin meragam itu. Mungkin kerana pagi tadi dia tidak menjamah sarapan langsung, sebab itulah perutnya sudah ‘mengamuk’ pada waktu-waktu begini.
Sebaik saja mamak yang menjaga kaunter lauk di dalam restoran itu melihat Khalisah masuk ke dalam kedainya, cepat-cepat dia bersedia dengan sepinggan nasi putih yang agak banyak. Bukan dia tidak kenal pelanggan setianya itu.
“Helo, kakak. Muka ada banyak manis hari ni! Mau apa lauk?” Soal pelayan mamak itu ramah.
Khalisah menjuihkan bibir. “Kau hari-hari nampak muka aku manis. Tak kira aku sedih ke, apa ke, itu ajelah ayat kau. Aku nak kari kepala ikan. Kasi bertakung punya! Tapi, kari aje tau. Aku tak nak kepala ikan tu.”
“Ayoyo… mau kari saja ka? Kasi makan lain pulaklah, kakak. Takkan hari-hari mau makan sama saja,” bebel pelayan mamak itu. Walaupun dia sudah faham benar akan selera pelanggan setianya itu, tetapi kadang-kadang timbul juga rasa anehnya terhadap selera wanita itu. Hanya nasi dengan limpahan kuah kari kepala ikan yang tiada kepala ikan!
“Hishhh, kau ni banyak mulut pulak. Aku nak itu aje. Dah, cepatlah. Aku dah lapar ni.” Berkerut wajah Khalisah menahan lapar yang semakin menggila. Mamak ni pun satu, sesedap mulut saja membebel kepadanya. Suka hati dialah mahu makan apa! Pelanggan sentiasa betul.
Akhirnya pelayan mamak itu hanya mampu menggeleng kepala lalu menghulurkan saja pinggan berisi nasi putih yang ditakungi kuah kari kepala ikan itu. Tidak mengapalah, walaupun kuah kari saja, janji wanita itu setia menjadi pelanggannya sampai bila-bila!
Setelah mengambil tempat duduk di penjuru kedai dan membuat pesanan minuman, tangannya ditadah untuk memanjatkan doa. Dengan lafaz basmalah dia memulakan suapan pertama.
“Hai, you. Boleh I teman?” Suara garau yang beralun mesra itu serta-merta mematikan keasyikan Khalisah yang sedang menikmati kuah kari mamak kegemarannya sepanjang masa.
Khalisah mengangkat wajah. Matanya terbundar seketika memandang lelaki yang berkemeja biru yang lengannya dilipat sehingga ke siku itu. Kunyahannya semakin perlahan.
“Izham…” Sayup-sayup nama itu meniti di bibir Khalisah. Ah, kenapa lelaki ini muncul ketika dia sedang menikmati kari mamaknya? Tidak boleh tunggu dia habis makan ke? Nah, hilang separuh seleranya!
Izham meleretkan senyumannya yang merupakan senjata ampuhnya untuk mencairkan hati wanita. Wajah Khalisah yang kini memenuhi ruang hatinya itu dipandang dengan mata yang sedikit sepet. “Boleh I duduk, Cik Khalisah?” Pertanyaannya diulangi.
Khalisah mengelap bibirnya dengan tisu. “Hmmm… duduklah.”
Izham menarik kerusi di hadapan Khalisah lalu duduk di situ. Setelah membuat pesanan kepada pelayan yang datang menghampiri, matanya beralih pula ke arah pinggan berisi makanan yang sudah tinggal separuh dimakan oleh Khalisah. “You makan nasi dengan kuah kari aje ke?”
“Yalah. Kenapa?” Khalisah meneruskan suapannya semula. Lantaklah apa yang berlaku pun, yang penting nasinya perlu dihabiskan.
Izham menggeleng lalu ketawa kecil. Diperhatinya saja gelagat wanita itu menikmati makanannya. Sungguh… comel!
“Hei, apa pandang-pandang? Tak pernah tengok orang makan nasi ke?” Agak keras Khalisah membentak, menyedari pandangan lelaki itu yang tidak beralih langsung daripadanya.
Izham sepertinya tidak terkesan dengan gertakan itu. Malah, dia boleh pula ketawa lagi. “You ni comellah, Khalisah. Untung siapa yang dapat you.”
Khalisah meneguk liur. Aih mamat ni, sengaja ubah topik pula! “Dahlah, Izham. Jangan ganggu I lagi.” Sempat Khalisah melemparkan jelingan tajam kepada lelaki itu.
“Hmmm… Khalisah, macam mana dengan… keputusan you?” Izham mula meraut wajah serius. Letak duduknya dibetulkan.
Khalisah pula masih buat muka selambanya. “Keputusan apa?”
“Mama you tak cakap apa-apa?” Berkerut dahi Izham.
Senyap.
Khalisah menyelesaikan suapan terakhirnya lalu menyedut jus limau yang dipesan. Sengaja dia membiarkan soalan lelaki itu tergantung dahulu.
“Ya, mama I dah cakap. Hmmm… Izham, dah banyak kali I cakap dengan you, I tak nak you. You carilah orang lain. Tolonglah jangan buat I rasa bersalah.” Kali ini, Khalisah terpaksa merayu kepada lelaki itu. Dia sudah tidak tahan ‘dikejar’ sebegini.
Izham hanya diam selepas itu. Wajah Khalisah diperhatinya dengan pandangan kosong.

3 comments:

Ruunna Qizbal said...

smbng lgi ♥♥♥

aya ameena said...

;-) keep up a good work

Anonymous said...

assalamm.. waahh.. best ar cite ni.. suke sgt dgn jln cite dye.. good job writer!!! :))