BAB
8
GENAP
tiga
minggu dia berkhidmat dengan keluarga Tan Sri Kamarul. Segala kudrat dan bakti
telah dicurahkan seikhlas-ikhlasnya demi mencari sebuah makna. Maknanya
bersyukur… ecewah, macam berjuang untuk negara pula bunyinya!
“Faqih, baru tadi Pak
Joko telefon. Isteri dia sakit tenat. So,
dia belum dapat balik sini lagi. Kau tak kisah kan jadi tukang kebuh
sementara sambil jadi pemandu?” Tan Sri Kamarul bersuara tiba-tiba dari
belakang.
Faqih memberhentikan
aliran air pada getah paip yang sedang asyik dipancurkannya kepada pokok-pokok
yang berderetan di perkarangan rumah mewah itu. Segera dia menghadap
majikannya. “Saya tak kisah, tan sri.”
“Hmmm… bagus, bagus.
Tapi aku rasa bersalah pulak dengan kau ni. Kau patutnya jadi pemandu, tapi
kena siram pokok bunga,” luah Tan Sri Kamarul. Datang pula keprihatinannya
terhadap pekerjanya yang telah berjaya meraih kepercayaannya itu.
“Tak apalah, tan sri.
Siram pokok bunga bukannya susah sangat pun.” Faqih menyedapkan hati
majikannya.
“Hmmm… lepas ni kau
boleh balik.”
“Baik, tan sri.” Faqih
menundukkan sikit kepalanya. Tan Sri Kamarul mengangguk sebelum berlalu pergi
masuk ke dalam rumah.
Faqih termenung
seketika di taman mini rumah itu. Ya ALLAH… beginikah rasanya?
Beberapa lama selepas
termenung, alunan selawat membasahi bibirnya. Sememangnya dia tidak senang jika
satu saat pun fikirannya melayang entah ke mana-mana. Hal itu perlu dijaga
seeloknya. Dia tidak mahu tersalah dalam mengatur langkah.
Setelah hatinya kembali
stabil, Faqih mengatur langkah, pergi mendapatkan motosikalnya yang terparkir
di halaman rumah mewah itu. Enjin dihidupkan. Topi keledar disarungkan…
bayangan rumah seperti sedang melambai-lambainya.
“Faqih, nanti dulu. Aku
nak cakap dengan kau kejap.” Khalis tiba-tiba muncul, membantutkan niat lelaki
itu untuk menyahut ‘lambaian’ rumahnya yang sudah memanggil-manggilnya pulang.
Faqih menanggalkan topi
keledarnya. Enjin motosikal diberhentikan. “Awak nak cakap apa?”
Khalis melepaskan
nafas… kasar. “Jomlah duduk sana dulu. Takkan nak cakap kat sini. Ada benda aku
nak tanya kau ni!”
“Hmmm… okey.” Faqih
hanya menurut. Langkah Khalis yang makin menuju ke taman mini itu diekori
perlahan. Apalah yang hendak ditanyakan
agaknya? Serius benar riak wajah anak majikannya itu.
Setelah masing-masing
mengambil tempat duduk, suasana bungkam pula yang mengambil alih. Khalis yang
beria-ia hendak bertanyakan sesuatu tadi pun diam membatu. Cuma matanya yang
bergerak-gerak memandang Faqih yang sudah mengerutkan dahi menanti.
“Hmmm… aku sebenarnya
macam pernah nampak kau sebelum ni. Muka kau ni aku macam dah terbiasa tengok.
Tapi cuma aku tak ingat kat mana. Kau terus-teranglah… siapa kau sebenarnya ni?
And kenapa kau kerja dengan papa
aku?” Soal Khalis akhirnya. Bertalu-talu.
Faqih tidak terus
menjawab. Ini kali kedua orang bertanyakan soalan serupa itu kepadanya. Sebelum
ini Puan Sri Lydia yang mengajukan persoalan itu. Namun pada akhirnya, Puan Sri
Lydia mengakui yang wajah Faqih hanyalah dikenalinya sebagai seorang pekerja di
salun rambut. Huh… merapu sungguh!
“Kenapa kau diam?”
Gertak Khalis.
“Hmmm… saya cuma orang
biasa-biasa. Mungkin orang yang awak nampak tu muka macam saya tak? Sejujurnya,
saya tak ada niat apa-apa bekerja dengan tan sri. Cuma… saya mencari makna
bersyukur,” terang Faqih. Tetap tenang.
“Cari makna bersyukur?”
Khalis kepelikan. Dia agak kabur untuk memahami ayat yang terakhir itu.
Faqih tersenyum nipis.
“Tak ada apa-apalah.”
“Hmmm… susahlah aku nak
percaya kau ni!” Khalis bangun dari tempat duduknya tiba-tiba sambil menampar
permukaan meja yang tidak berdosa.
Faqih mengerutkan dahi.
“Terpulang.” Itu sajalah yang mampu dibalas.
“Aku pelik betul dengan
‘orang bawah’ ni. Selalu mengemis pada ‘orang atas’. Bukannya nak usaha majukan
diri! Hmmm… sampai bila kau nak jadi pemandu bapak aku ni?” Khalis sempat menyelitkan sindirannya sebelum
mengajukan pertanyaan lain.
Namun, Faqih tidak
terkesan langsung dengan sindiran itu, malah hanya mengundang tawa kecilnya.
“Jangan pandang ‘orang bawah’ itu betul-betul duduk di bawah! Kadang-kadang dia
saja jadi ‘orang bawah’ sebab nak mencari sesuatu yang dia tak dapat bila jadi
‘orang atas’. Apapun, selagi saya sanggup jadi pemandu, selagi itulah saya
kerja dengan tan sri… selama mana tan sri tak pecat saya.” Dia turut tidak
melepaskan peluang membuat ‘serangan balas’.
Khalis mengecap-ngecap
bibir. Kata-kata Faqih menambah tanda tanya di mindanya. “Maksud kau? Kau
sajalah nak jadi pemandu sedangkan kau boleh buat kerja yang lagi elok?”
Faqih tidak menjawab.
Hanya ketawa kecilnya yang meletus. Kepalanya digeleng-geleng perlahan.
“Hmmm… aku tak percaya
kau! Kalau betullah kau ni ‘orang atas’, kenapa kau nak susahkan diri jadi
‘orang bawah’? Kau sengaja aje buat cerita ni! Kalau dah orang bawah tu, memang
orang bawahlah. Bodohlah orang atas nak jadi orang bawah! Sedar diri sikit!”
Khalis tetap dengan pendiriannya. Sungguh hina ‘orang bawah’ pada pandangan
mata hatinya.
Faqih mengangkat bahu.
“Okey. Memang hakikatnya saya pemandu pun. Saya sedar diri saya.”
“Huh! Sudahlah!
Susahlah bercakap dengan kau ni! Pemandu!” Khalis tidak puas lagi mengejek.
Rasa jengkelnya pada ‘orang bawah’ terlalu mendalam. Entahlah… manusia memang
mudah lupa diri.
Bayangan Khalis tidak
kelihatan selepas itu. Menghilang entah ke mana.
Faqih menghirup
perlahan udara segar yang terasa tidak mencukupi di ruang dada. Ya ALLAH, moga-moga
dia segera dipertemukan dengan apa yang sedang dicarinya!
Kata-kata Khalis cukup
mengasak-asak hatinya untuk tidak berputus asa dengan apa yang dilakukannya.
Dia perlu meneruskan ‘misi’ ini. Dengarkan sajalah kata-kata Khalis tadi… penuh
dengan kesombongan. Tidak… dia tidak mahu sampai terjebak ke lembah
kesombongan! Nauzubillahiminzalik…
“Kenapa termenung kat
sini? Kenapa tak balik lagi?” Suara lembut yang sengaja ditekankan agar
kedengaran sedikit kasar itu mengetuk pendengaran.
Faqih mengkalih wajah
ke arah pintu dapur rumah itu. “Saya baru habis bersembang dengan abang awak.”
Khalisah yang memeluk
tubuh di muka pintu mengherotkan bibir. “Saya dah dengar semuanya. Hmmm… awak,
awak… kadang-kadang saya tak faham dengan orang macam awak ni!” Wanita itu
tidak melepaskan peluang sama untuk meluahkan apa yang dirasakannya terhadap
pemandu baru papanya itu. Terlalu banyak persoalan sebenarnya…
“Tak perlu faham saya.
Setiap orang ada cara masing-masing. Hanya TUHAN dan tuan diri sendiri tu saja
yang faham macam mana dia nak aturkan caranya,” balas Faqih. Matanya tetap pada
permukaan meja.
Khalisah
menggeleng-geleng dengan sepasang mata yang disepetkan. Berserabut pula
mindanya memikirkan hal lelaki itu. ‘Arghhh… kenapa pula aku perlu terlalu
memikirkan lelaki ini?’
“Saya dah kata, jangan
cuba faham saya. Kecuali kalau diizinkan ALLAH satu hari nanti… itu saya tak
pasti,” tukas Faqih. Dia tidak pernah meminta orang untuk memeningkan diri
memikirkan halnya. Dia sendiri tahu apa yang dilakukannya.
“Amboi, Lisa dengan
Faqih rancak bersembang nampak!” Teguran Mak Yah yang tiba-tiba muncul di taman
mini itu mengalihkan mereka daripada topik asal yang menyerabutkan minda.
Faqih hanya melemparkan
senyuman tawar kepada wanita tua itu. “Mak Yah pergi mana?”
“Ada kat depan. Bagi
Aaron Aziz makan,” jawab Mak Yah.
Faqih terangguk-angguk.
Mendengar nama Aaron Aziz, teringat pula iguana kesayangan Khalis. Yang mana,
sangat-sangat ditakuti oleh Khalisah. Kelakar sebenarnya mengingati semula
betapa kelam-kabutnya wanita itu hendak menyelamatkan diri tempoh hari!
Semuanya gara-gara dia… kerana sengaja meletakkan Aaron Aziz di bahu wanita
itu.
Tapi dia bukan berniat
pun hendak membuatkan wanita itu ketakutan. Fikirnya, Khalisah sukakan Aaron
Aziz!
Faqih sempat lagi
termenung. Ah, kenapalah mamat ni asyik termenung?
“Mak Yah, nanti alihkan
sangkar Aaron Aziz kat tempat lain boleh tak? Lisa gelilah tengok dia kat depan
tu. Eiii…” Khalisah membuat gaya menggigil. Gelinya dia pada iguana memang
kritikal. Geli sangat. Berbeza dengan Khalis, abangnya. Hai, macam manalah
Khalis boleh tangkap cintan dengan cicak besar itu?
“Mak Yah tak beranilah,
Lisa. Kena tanyakan abang kamu dulu. Dia sayang benar Aaron Aziz tu.” Mak Yah
juga mengakui akan rasa gentarnya untuk membuat sesuatu yang Khalis tidak suka.
Bukan dia tidak tahu, Khalis itu panas baran orangnya.
“Mak Yah, Khalisah…
errr… saya balik dulu. Ermmm… Khalisah, maafkan saya pasal baju awak hari tu.”
Faqih sudah bangun dari duduknya.
Khalisah tidak
menjawab. Senyum pun tidak. Tiada ekspresi yang boleh dibaca. Mungkin dia masih
marah atau mungkin juga kemaafan sudah dihulurkan?
“Aih, kamu dah nak
balik, Faqih? Takkan dah habis bersembang dengan Lisa kut? Hehe… maaflah kalau
Mak Yah dah ganggu kau orang tadi!” Mak Yah masih menyangka yang kedua-dua
teruna dan gadis itu ada ‘apa-apa’.
Faqih mengerutkan dahi.
Khalisah membuat muka
meluat. “Kami tak ada apa-apalah, Mak Yah. Lagipun, calon suami saya bukannya
sembarangan orang. Suami saya mesti imam muda! Mesti ustaz! Bukannya orang yang
selalu sakitkan hati saya, lepastu boleh pulak kata tak sengaja, lepastu
senang-senang aje minta maaf!” Terjeling-jeling mata Khalisah ketika
menghamburkan kata-katanya yang sebenarnya luahan rasa geram itu. Sepertinya,
marahnya belum reda.
Faqih diam. Dia tahu,
dia belum mendapat kemaafan lagi daripada wanita itu. Memang, sindiran itu
cukup menyentapkan hatinya. Tetapi… ada sesuatu daripada kata-kata wanita itu
yang membuatkan Faqih tidak mampu menahan lagi tawa kecilnya daripada meletus.
“ABANG ni diam aje dua tiga hari ni.
Kenapa? Putus cinta eh?” Usik Syuhada, cuba menghilangkan sepi yang telah
berlalu agak lama sepanjang dia dan abangnya berada di taman tasik untuk
beriadah pada petang itu.
Pancaran cahaya
matahari petang mengecilkan kelopak matanya. Faqih menarik nafas dalam sebelum
menghembusnya pelan-pelan. “Jom duduk dulu!” Terus lelaki itu menuju ke sebuah
bangku berdekatan, membiarkan soalan adiknya itu tidak berjawab dahulu.
Faqih mengelap-ngelap
peluh yang membasahi wajahnya hasil berjoging dua pusingan di taman tasik itu
dengan tuala kecil yang tersangkut di leher. Masih tiada jawapan akan soalan
adiknya itu.
“Abang, Syu tanya ni.”
Syuhada mula serius.
“Hmmm… tak ada apa-apalah,
Syu. Abang letih aje,” dalih Faqih. Malas hendak memanjangkan cerita.
“Syu tak percayalah.
Setahu Syu, abang Syu ni mana pernah tahu diam! Mulut abang tu lagi bising dari
Syu. Tapi kenapa abang berubah sejak Syu balik ni eh? Abang tak suka jumpa Syu
eh?” Syuhada membuat andaian lain pula. Dia tidak berpuas hati selagi tidak
mendapat jawapan yang konkrit daripada abangnya!
“Syu, jangan cakap
macam tu. Abang sayang Syu. Tahu tak happynya
abang tengok Syu dah ada kat rumah bapak hari tu? Hmmm… abang cakap betul, Syu.
Abang okey. Sekali-sekala jadi pendiam tak salah kan?” Faqih tetap berkeras
mempertahankan dalihnya.
“Yalah, yalah. Hmmm…
Syu minta maaf. Errrm, Syu nak tanya sikit boleh?”
“Tanyalah, Syu. Banyak
pun tak apa.”
Syuhada mengecap bibir
beberapa ketika. Selepas itu dia meneguk pula air mineral bekalannya sebelum
menyambung semula bicara. “Abang bahagia tak dengan apa yang abang buat
sekarang?”
Faqih tidak
teragak-agak untuk mengangguk. “Ya, abang bahagia dengan apa yang abang buat.”
“Boleh kongsi tak
dengan Syu apa yang buatkan abang bahagia?”
“Hmmm… bila abang dah
dapat apa yang abang cari nanti, abang kongsikan dengan Syu, ya? Kalau abang
jelaskan sekarang pun, Syu tak faham,” balas Faqih.
“Maksud abang… bila
abang dah dapat merasai macam mana rasanya bersyukur?” Soal Syuhada, ingin
kepastian yang lebih.
Faqih mengangkat bahu.
“Entahlah, Syu. Sebenarnya macam-macam yang abang belajar sepanjang abang buat
apa yang abang buat sekarang.”
Syuhada hanya diam
selepas itu. Abang, abang… susah nak mengerti apa yang ada dalam fikiranmu
sebenarnya!
“Abang, lagi satu
soalan?” Syuhada kembali memecah suasana. Tidak selesai lagi rupanya sesi
bersoal-jawab tersebut.
“Ada lagi? Hmmm… apa
dia?”
Syuhada tersengih.
“Boleh tak abang belanja Syu makan ais krim tu? Please…hehe.” Wanita itu membuat muka simpati sambil menunjuk ke
arah motosikal yang menjual ais krim tidak jauh daripada mereka.
Faqih melongo seketika.
“Ewah, ewah! Pandai dia ya? Patutnya Syu yang kena belanja abang! Syu semenjak
balik sini belum belanja abang lagi.” Tanpa menunggu respon Syuhada, terus saja
Faqih bangun dan menuju ke arah motosikal yang menjual ais krim itu.
Dari jauh, wanita
bernama Khalisah itu hanya memerhati. Sungguh, lagi dia berdoa agar minta
dijauhkan daripada lelaki itu, entah kenapa semakin dekat pula jadinya! Dan
petang ini, secara kebetulan lagi dia berjumpa dengan lelaki itu. Namun… lelaki
itu tidak keseorangan. Ada wanita lain di sisinya....
Dan… kemesraan mereka
jelas terserlah.
Khalisah cepat-cepat
menyeka titisan jernih yang jatuh daripada sepasang matanya yang mula berkaca.
0 comments:
Post a Comment