Friday, April 19, 2013

Imam Mudaku Romantik! 19


BAB 19
“MASUKLAH, Izham.” Puan Sri Lydia menguak besar daun pintu rumah mewahnya. Memberi ruang kepada lelaki muda yang hadir berbaju t-shirt dan berseluar jeans biru itu masuk ke dalam.
Tanpa banyak kata, Izham menerima pelawaan tersebut. Terus dia masuk ke dalam lalu matanya meliar memerhati sekeliling. “Uncle mana, auntie?”
“Uncle? Entahlah. Semenjak dah berani drive ni, panjanglah langkah dia.” Puan Sri Lydia acuh tidak acuh saja mengambil tahu perihal suaminya itu.
Izham hanya mengangguk. Bukan dia ingin mengambil tahu sangat pun hal bapa mertua, opsss… bakal bapa mertuanya itu! Dia ke sini hanya semata-mata kerana seseorang saja.
“Duduklah, Izham.” Puan Sri Lydia sudah bergerak ke ruang tamu.
“Errr… Khalisah mana, auntie?” Mata lelaki itu masih tidak puas meliar. Selagi wanita itu tidak muncul di depan matanya, selagi itu dia akan tidak senang duduk.
Puan Sri Lydia mengeluh, tidak terus menjawab soalan itu. Macam ada sesuatu saja yang memberatkan mindanya. “Hmmm… kamu duduklah dulu, ya. Auntie suruh Mak Yah buatkan air kejap.”
Izham hanya tersenyum mengiakan. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu kasar. Lain yang ditanya, lain pula jawapan yang didapati!
Puan Sri Lydia menghilang pula ke dapur.
Izham duduk di salah satu sofa yang terdapat di ruang tamu rumah mewah itu. Sepanjang menunggu airnya siap, bermacam-macam gaya duduk dibuatnya. Sekejap dia menegakkan badannya, sekejap dia menyandar dan ada ketika dia menongkat dahi. Adalah agaknya yang sedang bermain di fikirannya.
“Izham, minum dulu.” Puan Sri Lydia muncul semula bersama-sama dulang berisi dua biji cawan dan seteko air. Dengan cermat dia meletakkan dulang tersebut di atas meja kopi yang berada di hadapan Izham, lalu dituangnya cecair di dalam teko tersebut ke dalam cawan.
Tanpa sebarang bicara juga, Izham menjamah saja air kopi yang kelihatannya masih berasap itu. Apa-apa sahajalah, janji dia dapat berjumpa dengan wanita itu segera!
Namun sepertinya, tiada tanda-tanda yang menampakkan Puan Sri Lydia akan membuka mulut tentang anak perempuannya. Wanita itu terus diam dan termenung di tempat duduknya.
“Auntie, kenapa muram aje ni?” Tegur Izham, sudah tidak tahan lagi dengan perangai ‘membatu’ bakal emak mertuanya itu.
Puan Sri Lydia tersedar. Terkebil-kebil matanya. Alahai… panjangnya lamunan! “Hmmm… kerja kamu sekarang macam mana, Izham?”
Izham mengerutkan dahi. Sekali lagi… lain soalannya, lain jawapannya! “Errr… okey aje, auntie. Tak ada apa-apa masalah. Errmmm… auntie pulak, okey ke?”
“Hai, nilah yang nak dibincangkan dengan kamu ni,” keluh Puan Sri Lydia. Dari tadi memang dia asyik mengeluh saja. Berat sangat agaknya masalah yang melanda!
Izham menegakkan duduknya. Cawan kopi di tangan lantas diletakkan di atas meja kopi semula. Dia tahu, bakal mertuanya itu akan bercakap tentang Khalisah, wanita yang telah membuatkannya datang ke sini ketika ini!
“Auntie nak kamu pujuk dialah, Izham. Dia sekarang ni asyik duduk dalam bilik aje. Keluar pun bila nak pergi kerja atau pun nak makan. Auntie risaulah,” luah Puan Sri Lydia akan masalah yang memberatkan mindanya buat beberapa hari ini akhirnya.
“Dia tak ada cakap dengan auntie ke kenapa dia jadi macam tu?” Izham membuat muka serius, walau yang sebenarnya dia sudah dapat mengagak punca kenapa tunanganya bersikap sebegitu. Apa lagi kalau bukan kerana perlakuannya sendiri tempoh hari?
“Ya, ada. Dia ada beritahu yang kamu pegang tangan dia. Hmmm… takkan sebab itu aje?” Puan Sri Lydia menongkat dahi pula. Tidak faham dengan situasi sebenar anak daranya itu.
Izham ketawa kecil. Kan? Sudah diagak!
“Kamu tak buat apa-apa selain pegang tangan dia kan, Izham?” Soalan wanita berada itu memang jelas bernada syak wasangka.
Laju Izham menggeleng. “Serius, memang saya tak buat apa-apa pada Khalisah, auntie. Saya cuma pegang tangan dia aje. Salah ke? Kami kan dah bertunang!” Cepat-cepat dinafikannya syak wasangka itu.
“Hmmm… auntie percaya kamu. Khalisah pun tak ada cakap apa-apa. Cuma itulah, dia kata kamu pegang tangan dia. Tapi, auntie tak faham… takkan sebab itu aje dia boleh jadi macam ni?” Puan Sri Lydia terus-menerus menyatakan kebingungannya terhadap sikap anaknya itu.
“Nak buat macam mana, auntie. Dah itu pendirian dia. Saya kenalah hormat.”
“Eh, dia tu yang kena ubah fikiran! Izham tunang dia, bukannya orang lain pun. Yang dia nak besar-besarkan hal ni kenapa?”
“Tak apalah, auntie. Boleh saya jumpa dengan Khalisah kejap?” Izham cuba mengambil peluang lagi untuk bertemu dengan tunangnya itu.
“Boleh, boleh sangat. Kamu pujuklah dia sampai dia baik. Hei, tak faham betul auntie! Disebabkan hal kecik pun sampai dua tiga hari nak menangis!” Omel Puan Sri Lydia ketika dia sudah mengangkat punggung untuk menuju ke tingkat atas.
Izham cepat-cepat mengekor bakal emak mertuanya itu. Inilah masanya yang ditunggu-tunggu dari tadi!
“Kamu ketuklah. Lepastu pandai-pandailah kamu pujuk dia. Auntie pergi dulu,” kata Puan Sri Lydia ketika sudah tiba betul-betul di depan pintu bilik Khalisah.
Izham hanya mengangguk. Setelah Puan Sri Lydia bergerak menuju ke tingkat bawah semula, dia menghalakan pandangan ke daun pintu bilik tunangnya itu. Agak lama juga dia termenung memandang pintu itu.
Seketika kemudian…
Tok… tok… tok…
Izham mengetuk sederhana daun pintu bilik itu tanpa sebarang suara.
Beberapa saat berlalu… masih tidak terbuka.
Tok… tok… tok…
Izham tidak berputus asa. Dia tetap akan mengetuk sampailah pintu bilik ini terbuka.
“Siapa???” Jerit satu suara dari dalam. Agak serak. Mungkin sedang menangis.
Lelaki itu diam. Pokoknya dia tidak akan bersuara selagi tunangnya itu tidak membuka pintu!
“Mama ke?” Tanya suara itu lagi.
Izham terus mengetuk.
“Janganlah main-main!” Suara itu kedengarannya agak meninggi. Mungkin sudah hilang sabar agaknya kerana tiada siapa yang menjawab soalannya.
Ketukan demi ketukan terus diberikan. Nampaknya, masing-masing tidak mahu mengalah.
Tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki sedang berjalan menghampiri daun pintu itu dari dalam bilik. Izham berhenti mengetuk. Dia tersenyum, tahu yang wanita itu sudah mengalah dengan ‘permainannya’.
Daun pintu terkuak juga akhirnya. Izham sudah bersiap-siap berdiri tegak dengan sebuah senyuman manis di bibirnya.
“Arghhhh!!! Arghhh!!!” Khalisah menjerit tidak tentu hala sebaik melihat lelaki itu yang berdiri di depan biliknya.
Izham kaget. Buntu dia tiba-tiba dijerit sebegitu!
Khalisah kelam-kabut kerana menyedari lelaki itu yang sedang berdiri di depannya. Kekalutannya bertambah sebaik menyedari yang kepalanya tidak bertutup dengan tudung!
Dalam kekalutan itu, Khalisah menyedari yang dia sedang memegang kertas pembungkus popcorn di tangan. Dan dengan tidak berfikir panjang, Khalisah menyarungkan kertas pembungkus popcorn yang masih berisi dengan timbunan popcorn itu ke kepala Izham. Ah, lantaklah apa nak jadi!
Berterabur sudah lantai rumah mewah itu dengan timbunan popcorn… gara-gara Khalisah yang kalut macam dunia hendak berakhir tadi.
Izham terkapai-kapai. Ah, dunianya gelap! Dunianya gelap!
“KHALISAH!!!” jeritan Puan Sri Lydia menambah kelajuan degupan jantungnya.

“YOU marahkan I lagi?” Tanya Izham, lembut dan penuh sabar sambil menguis-nguis sisa popcorn yang masih tertinggal di rambutnya.
Khalisah tidak menjawab. Mukanya tiada sebarang riak ceria kelihatan, hanya jelingan tajam yang dilemparkan kepada lelaki itu. Jelingan yang membawa maksud… padan muka! ‘Patutnya aku sumbat kertas popcorn dalam mulut kau tadi! Biar kau tercekik makan kertas!’ Gerutu hatinya.
“I minta maaf,” ucap Izham.
Khalisah terus membatu. ‘Aih, minta maaf macam tu aje?’
“I tahu I salah. Tadi I memang tak sengaja nak buat you terkejut. I bukannya tak nak menyahut bila you tanya dari dalam, tapi I takut you tak nak bukak pintu bila dengar suara I!” Jelas Izham, sangat mengharap yang tunangnya itu memahami situasinya dan tidak meletakkan kesalahan itu di bahunya seratus-peratus.
‘Ewah, ewah… kau nak salahkan akulah ni ya? Alasan!’ Khalisah menjeling lelaki itu buat kesekian kalinya. Masih tiada sebarang kata-kata keluar dari mulutnya.
“Khalisah, tolonglah jangan buat I macam ni,” rayu Izham. Mimik mukanya nampak macam hendak menangis pun ya. Eh, eh… abang gentleman tak boleh nangis!
Khalisah mengerutkan dahi. ‘Eleh, merajuk konon! Aku tak heranlah! Aku lebih rela pujuk Dato’ M. Munusamy, jiran sebelah rumah tu makan Durian Crepe buatan Mak Yah daripada membuang karan nak pujuk kau!’
“Khalisah, bagi I peluang…”
“Hmmm… apa jaminan yang you boleh bagi pada I kalau I bagi you peluang?” Barulah suara Khalisah kedengaran setelah ‘sekian lama’ berlalu.
Perlahan-lahan Izham menarik senyuman ke sudut bibirnya. Berhasil! “I takkan buat perkara-perkara yang you tak suka. I akan hormat pendirian you. Itu jaminan I pada you.”
Khalisah mengherotkan bibir. “Boleh percaya ke you ni?”
“Boleh, sayang.”
“Opsss! Tak ada sayang-sayang. Nama I bukan sayang, nama I Khalisah! Laila Khalisah!” Khalisah mengangkat jari telunjuknya, memberi amaran keras. Pantang dia kalau ada mana-mana lelaki yang tiada ikatan dengannya memanggilnya dengan gelaran istimewa itu. Gelaran yang hanya layak digunakan oleh seorang lelaki bernama suami saja! Ececeh…
Izham ketawa. “Teruklah you ni.”
“Apa yang teruk pulak? Kita belum kahwin, bermakna you belum layak lagi nak panggil I macam tu!” Balas Khalisah yang menganggap perkara itu ialah sesuatu yang sangat serius.
“Yalah, Laila Khalisah  binti Tan Sri Kamarul. Izham Rayqal sedia menurut perintah,” ajuk Izham. Malas hendak bertegang urat dengan tunangnya itu. Semua yang dilakukannya haram. Leceh!
“Hmmm… you tunggu apa lagi? Tak nak balik ke?” Selamba saja Khalisah. Makin lama menghadap muka lelaki ini, makin sakit jiwanya!
Izham menggeleng. “I tak nak balik.”
“Mengada-ngada!” Khalisah mencebir. Menyampah! Arghhh, kenapalah mamanya memaksanya duduk berdua-duaan dengan mamat ini di taman mini rumah mewah ini? Mamanya memang tak patut!
“I cuma nak tahu satu aje. Lepastu I balik.”
“Apa dia?” Khalisah mengangkat kening. Macam biasa, muka dan nadanya memang macam orang hendak mencari gaduh.
“You kurung diri dalam bilik sampai tiga hari semata-mata kerana you marah I pegang tangan you hari tu ke?”
Khalisah terkebil-kebil mendengar soalan itu. “Mana ada I kurung diri! I keluar jugak. Keluar pergi kerja. Kalau lapar, I keluarlah untuk makan!”
“Hmmm… mama you cakap semenjak hari tu you asyik duduk dalam bilik, menangis aje. I minta maaf. I tahu I tak patut buat you macam tu.” Izham meriak wajah kesal.
Khalisah tiba-tiba ketawa mendengar kata-kata ‘menyesal’ daripada lelaki itu.
Senget kening Izham. “Apa yang kelakar?”
“Humhum… I menangis? Memang, memang I menangis. Tapi I bukan menangis sebab you! I menangis sebab tengok cerita Korea yang kawan I bagi pinjam. Alang-alang dah marah dengan you, baik I layan cerita Korea. Biar nangis puas-puas! Hahaha… you nak pinjam? Banyak jugak cerita tu. Dalam dua tiga hari baru habis tengok.” Khalisah terus ketawa geli hati dengan kata-katanya sendiri.
Izham memicit-micit dahi. Alahai…

“USTAZ…” Ada tepukan lembut mengena bahunya ketika dia baru saja selesai berdoa setelah berwuduk. Tidak jadi dia hendak membuka langkah.
Faqih memusing tubuh. “Pak Man?”
Lelaki berkopiah hitam yang merangkap tok siak masjid itu mengangguk. “Pak Man nak cakap sikit dengan ustaz.”
Faqih membulatkan sedikit matanya. Nada serius lelaki berusia lewat empat puluh-an itu mengundang pelbagai tanda tanya di mindanya.
“Marilah, Pak Man.” Faqih terlebih dahulu membuka langkah, menjauhi tempat berwuduk lelaki yang terdapat beberapa orang sedang berwuduk di situ.
“Hmmm… Macam ni, ustaz. Pak Man cuma nak tanya, pasal perempuan seksi yang ambil wuduk kat tempat berwuduk lelaki hari tu,” terus-terang Pak Man ketika langkahnya dan langkah ustaz muda itu sudah berhenti di beranda masjid.
Faqih terdiam, mungkin berfikir seketika sambil tangannya dimasukkan ke dalam poket jubah putih yang dipakainya. “Owh, ya… kenapa, Pak Man?”
“Tak adalah. Cuma… nak tahu kenapa ustaz biarkan aje dia buat macam tu? Ramai jugak yang nampak. Tapi diorang tak tegur sebab ustaz tak tegur,” jelas Pak Man. Walaupun kejadian itu tidak dilihatnya, tetapi ada beberapa orang yang telah menyampaikan kepadanya tentang hal itu. Kata mereka, perempuan tersebut sudahlah seksi, ambil wuduk pula di tempat lelaki! Sakit mata pak haji-pak haji dan jemaah muslimin yang melihat.
“Humhum… macam ni, Pak Man. Perempuan tu sebenarnya baru nak mendalami agama. Mungkin dia kurang faham. Tak apalah, nanti saya cakap pada dia elok-elok.” Tenang saja Faqih memberikan reaksi. Ya, dia tahu akan perlakuan Adriana tempoh hari. Namun, dia juga tidak boleh terus ‘menghentam’ orang sebegitu yang baru saja dibukakan hati untuk mengenali agama ALLAH ini.
“Tak apalah kalau ustaz dah kata macam tu. Betul jugak kata ustaz. Tapi yalah… mata orang lain yang nampak macam mana pulak kan? Errr… dia memang belajar dengan ustaz ke?” Pak Man mengiakan sajalah kata-kata ustaz yang merangkap imam masjid itu.
“Ya, Pak Man. Dia belajar dengan saya.”
“Emmm… tapi Pak Man rasa, lagi elok kalau perempuan macam dia tu belajar dengan ustazah. Ustazah Saudah kan ada?” Cadang Pak Man. Macam ada yang tidak kena saja bila mendengar Ustaz Faqih ini yang mengajar perempuan seksi tersebut!
Tawa kecil Faqih meletus mendengar kata-kata tok siak masjid itu. “Pak Man jangan risau. Dia tak belajar seorang. Bapak saudara dia belajar dengan saya sekali. Tapi cadangan Pak Man pun bagus jugak. Insya-ALLAH, saya cakapkan jugak pada dia nanti,” ulas Faqih sebagai penutup kepada topik ‘spontan’ antaranya dengan Pak Man pada tengah hari itu, sebaik kedengaran azan Zohor bergema di ruang udara.

7 comments:

aya ameena said...

takde sambungan dah ke...
tak sabar nak baca keseluruhan citer ni

Anonymous said...

setelah sekian lama...diri ini menanti akhirnye...bru dapat baca sampai episode19////hmmm...bila larh nak dapat baca sampai habis nie....errgh...xsabar nak baca sampai habis....cepat2 arr kuar novel...nak baca nie....penat kita tertunggu2 taw...huhuhu

Izzah Haneefa said...

assalam semuaa.
Kalau diikutkan hati saya, saya memang nak sangat terbitkan buku ni awal2. Tapi smuanya brgantung pd publisher... haritu saya tanya mereka, mereka kata masih dlm penilaian. entahlah mungkin lepas pesta buku nanti baru mereka nak bagi jawapan. saya dah congak2, jangkaan yg mereka bagi pada saya paling lewat pun bulan 6 ni. Jadi saya harap kita sama2 bersabar dan berdoa ye. Saya sebagai penulis pun resah...

apapun, saya sebagai penulis sangat2 berterima kasihhhh pd semua yg sudi baca karya x seberapa ni.. walaupun terpaksa mnnunggu lama. sangat2 mnghargai....
Kita sama2 brdoa ye.. :')

-Penulis-

lee jee joong said...

sambung lagi satu bab boleh? :)

Anonymous said...

Jalan cerita yg sgt menarik.. Namun watak 2 utama perlu lebih dramatik dan diluar jangkaan pembaca.. Saya menunggu episod seterusnya utk melihat perkembangan plot..

Anonymous said...

Akk pun follow karya izzah ni...cptla sambung...:-)

Anonymous said...

cepat2 sambung yer...citer ni best sangat..huda :)