ADA seiras senyuman menukil
di bibirnya. Pelan-pelan, lafaz tahmid diucap. Alhamdulillah… ketenangan
serta-merta mengalir dalam sekeping hatinya.
“Macam mana dengan keadaan dia,
doktor?” Hanan Insyirah bertanya, lebih tenang kini. Wajah lelaki yang jelas
kelihatan ada lingkaran di bawah matanya itu dipandang penuh mengharap.
“Keadaan dia stabil. Cuma dia perlu banyak
minum air. Errr… awak isteri dia ke?” Jelas doktor lelaki itu. Sekali gus
menduga Hanan Insyirah dengan pertanyaan ‘cepu emas’ itu. Drastik Hanan
Insyirah mengangkat wajah yang menunduk ke lantai. Laju dia menggeleng.
“Bukan! Saya bukan isteri dia.”
Gelabah puyuh Hanan Insyirah menjawab. Isteri? Isteri kepada Muhammad Amar
Hafiz? Siapa dia hendak memasang impian terhadap teruna itu?
Doktor itu tersenyum sumbing.
Perlahan-lahan dia mengangguk. “Tak apalah. Apapun, nasihatkan dia supaya
banyak minum air. Bahaya kalau tekanan darah terlalu rendah.”
Hanan Insyirah menahan nafas.
“Baiklah, doktor. Terima kasih.”
Doktor lelaki itu mengangguk.
Beberapa ketika kemudian, lelaki berkot putih itu hilang dari pandangan.
“Kak,” bahu Hanan Insyirah dicuit
lembut dari belakang. Perlahan dia memusing tubuh.
“Hakim, mana kau pergi tadi?”
Berkerut dahi Hanan Insyirah melihat adik bujangnya yang tiba-tiba muncul itu.
“Hakim pergi tandaslah, kak. Tak
tahan. Ha, doktor dah kata apa-apa ke?” Sengih Hakim.
“Dah. Doktor kata dia okey. Kim, akak
pergi dulu tau. Pesan kat dia yang doktor suruh minum air banyak-banyak.
Tekanan darah dia rendah. Ha, satu lagi… jangan beritahu dia yang akak ada
sekali kat sini.” Panjang berjela ‘amanat’ Hanan Insyirah.
Garu kepala si Hakim. Bertaut
keningnya. “Kenapa kak?”
“Jangan tanya kenapa. Akak pergi
dulu. Assalamualaikum,”
Hakim sudah tersenyum kambing.
“Waalaikumussalam,”
Hanan Insyirah membuka langkah,
meninggalkan Hakim yang masih berdiri di
ruang menunggu itu. Dia hanya mahu ‘melarikan diri’ dahulu sebelum Muhammad
Amar Hafiz keluar dari bilik rawatan. Dia tidak mahu pun kewujudannya disedari
oleh teruna itu. Dia tidak mahu…
Hanan Insyirah menghela nafas dalam.
HANAN Insyirah menutup pintu kereta. Keluhan kecil dilepaskan.
Matanya tertancap pada Mini Cooper yang terparkir di sebelah Proton Personanya
itu. Perlahan-lahan dia tersenyum.
“Assalamualaikum, Julia!” Sergah
Hanan Insyirah. Terduduk wanita yang sedang berbaring-baring di hadapan
televisyen itu. Cemberut mukanya memandang Hanan Insyirah yang sudah tertawa
perlahan.
“Waalaikumussalam, Hanan! Kau ni,
bagilah salam dulu!” Sungut Julia. Jelas dia terkejut beruk disergah oleh housematenya itu.
“Eh, yang aku ucap assalamualaikum
tadi tu apa?” Hanan Insyirah masih tertawa. Tiba-tiba saja dia jadi ceria lain
macam. Berkerut-kerut dahi Julia.
“Kenapa kau happy sangat ni? Ha, mana kau pergi? Yana dari tadi nak jumpa kau.
Tapi dia dah pergi dulu sebab kau lambat sangat. Mana kau pergi ha?”
Bertalu-talu Julia melemparkan soalannya. Siaran di televisyen tidak menarik
minatnya lagi. Lantas remote control dicapai
lalu volume suara diperlahankan.
Hanan Insyirah melepaskan keluhan
lagi. Soalan Julia dibiarkan tidak berjawab dulu. Punggungnya dilabuhkan ke
sofa. Renungan panjang dilemparkan ke
luar tingkap.
“Muhammad Amar Hafiz…” nama itu
meluncur perlahan di bibir Hanan Insyirah.
Serta-merta biji mata Julia membulat.
Bibirnya pun ikut melebar ke tepi. Tergesa-gesa dia bangun lalu menghempukkan
punggungnya di sebelah Hanan Insyirah. Teruja benar lagaknya. “Amar Hafiz? Ha,
kenapa dengan dia? Kenapa? Cepat beritahu aku!”
Bahu Hanan Insyirah
digoncang-goncangnya bagai nak gugur bumi dibuatnya! Hanan Insyirah tersentak.
Urut dada wanita itu. “Ya Allah, Julia! Kenapa dengan kau ni?”
“Ceritalah cepat.” Julia sudah
merayu-rayu lalu tersengih sendiri.
“Hmmm… masa nak balik dari kuliah,
dia… dia pengsan dekat kereta dia. Kebetulan cuma aku yang ada kat situ. Tapi
Jue, aku takkan langgar batas-batas agama selagi aku mampu. Aku telefon si
Hakim suruh bawak dia pergi hospital. Doktor cakap dia kena hipotensi.”
Perjelas Hanan Insyirah akhirnya. Lagi sekali nafas dalam dihela. Saat yang
terjadi tadi masih terimbau-imbau di ingatannya. Sungguh dia memang risau benar
waktu itu jika ada yang buruk-buruk menimpa Muhammad Amar Hafiz…
Julia menggeleng perlahan. Lama dia
membisu sebelum bersuara. Mungkin sedang memikir apa yang sesuai untuk diucapkan.
“Hanan… Hanan… patutlah happy semacam
aje ya? Huhu… tapi ada ‘kureng’ sikitlah.”
“Apa yang kurangnya?”
“Patutnya kau kena bijak ambil
peluang. Masa tulah kau boleh tonjolkan keprihatinan kau pada dia. Patutnya kau
sendiri yang bawa dia ke hospital. Tak payah telefon si Hakim tu. Kau tak nak ke dia perasan kewujudan kau?”
Duga Julia. Sedikit sebanyak cuba membawa ‘pengaruh’ kepada rakan serumahnya
itu.
Hanan Insyirah tetap tersenyum.
Perlahan dia menggeleng. “Tak, Jue. Amar Hafiz dengan aku adalah ajnabi.
Sehabis boleh aku cuba untuk jaga batasan dalam agama. Asalkan kau tahu, dalam
hidup ni aku cuma cari redha Allah. Sekalipun dia takkan pernah tahu apa
perasaan aku pada dia buat selamanya, aku tak kisah kalau itu yang Allah
takdirkan untuk aku, sebab aku tahu, perancangan Allah itulah sebaik-baik
rancangan.”
Julia terkedu. Walaupun sebenarnya
dia sudah agak naik rimas dengan pendirian teman serumahnya itu, namun… dia
tidak mampu berkata apa-apa. Hanan Insyirah tetap dengan ‘agamanya’.
Sikit-sikit haram… itu tak boleh, ini tak boleh… rimas! Gerutu Julia dalam
hati.
“Lantak kaulah, Hanan. Yang pastinya,
kau jugak yang rugi nanti.” Omel Julia lalu bangun dari sofa yang diduduki,
lantas menghilang dari pandangan Hanan Insyirah, menuju ke tingkat atas.
Hanan Insyirah tetap tersenyum. Ya, mardhatillah adalah segalanya!
“SIAPA yang jadi imam tadi?”
Tiba-tiba Yana bersuara. Pertanyaan itu hanya dibalas dengan senyuman kecil
Hanan Insyirah yang masih belum selesai melipat kain telekung.
“Elehh… buah hati si Hanan tulah!
Amar Hafiz…” ada satu suara lain menyampuk. Drastik Hanan Insyirah menoleh
mendengar suara itu. Adlina, teman serumahnya juga itu sudah mengenyit-ngenyit
matanya.
“Apa yang kau orang cakap ni? Serius…
aku tak suka. Aku dengan dia tak ada apa-apa pun.” Balas Hanan Insyirah. Jelas
nadanya kurang senang dengan kata-kata Adlina tadi.
“Kesian kau, Hanan. Kau tak rasa
seksa ke simpan perasaan macam ni? Hanan, kalau kau tak buat apa-apa tindakan,
sampai bila-bila pun Amar Hafiz tak tahu perasaan kau.” Tokok Adlina lagi.
“Lina, aku tak pernah kisah dengan
semua tu. Biarlah takdir Allah menentukan segalanya. Sebenarnya aku ada impian
lain lepas kita graduate nanti.”
Beritahu Hanan Insyirah, redup bunyinya.
“Impian apa lagi? Kahwin dengan Amar
Hafizlah kan?” Teka Yana berbaur sindiran. Hanan Insyirah menghela nafas dalam.
“Kau orang… tolonglah. Jangan kaitkan
aku dengan dia lagi. Hmmm… sebenarnya aku nak masuk maahad tahfiz lepas graduate nanti. Itulah impian aku dari
dulu lagi, nak tiga puluh juzuk Al-Quran ada dalam ingatan aku ni sentiasa
sebelum impian-impian lain menyusul.” Luah Hanan Insyirah. Tertutup-tutup
matanya. Yana dan Adlina terlongo.
“Apa? Eh… kau nak hafal Quran? Eh kau
sedar tak umur kau berapa?” Terjah Yana. Terkejut benar dia mendengar pengakuan
Hanan Insyirah.
“Ya. Aku dah dua puluh tiga tahun.
Salah?”
Adlina dan Yana berpandangan.
AMAR Hafiz menghela nafas
dalam. Wajah pasangan lelaki dan perempuan yang menunduk ke bawah itu dipandang
dengan kening yang berkerut seribu. “Adik percaya pada Allah?”
Pasangan kekasih itu berpandangan
sebelum bersuara. “Abang tak nampak ke perkataan ‘Islam’ dalam IC tu?” Balas si lelaki dengan
pertanyaannya yang agak kurang ajar.
Namun Amar Hafiz tetap bersabar. “Ya.
Abang faham sekarang. Adik hanya Islam dalam IC.”
“Kurang ajar!” Bentak si lelaki
tiba-tiba. Namun, lekas-lekas ditenangkan oleh Hakim turut berada di situ.
Setelah semuanya reda, Amar Hafiz
menyambung lagi apa yang hendak disampaikannya. “Marah? Kenapa adik marah?”
“Abang jangan nak pertikai apa agama
saya! Mak bapak saya Islam! Saya lahir dalam keluarga Islam! Saya bukan kafir
laknat! Abang jangan nak perlelekehkan pegangan saya!” Lagi sekali si lelaki
nak hantu. Berapi-api amarahnya. Sementara si gadis di sebelah sudah mengogoi
kesedihan.
“Hum… hum… itulah masalah kita
sekarang. Bila orang kata kita kafir, marah. Bila orang perlekeh agama kita,
marah. Tapi kita tak sedar, sebenarnya diri kita sendiri yang perlekeh agama
kita. Umat Islam sekarang hanya sensitif bila orang lain perlekeh perkataan
‘Islam’. Tapi langsung tak terkesan bila suruhan Islam diperlekeh.” Ucap Amar
Hafiz panjang lebar.
Bagai termalu sendiri, si lelaki
tunduk kembali dengan wajah yang merona merah.
“Adik tahu tak, berdua-duaan dalam
tempat sunyi antara lelaki perempuan yang tak ada apa-apa ikatan, sama saja
dengan perlekehkan hukum Allah? Adik ada rasa marah tak pada diri adik sendiri
bila adik buat semua tu? Padahal jelas, adik dah perlekeh suruhan Islam.” Tokok
Amar Hafiz lagi. Jelas nadanya tegas yang bukan dibuat-buat. Sehingga menggamit
pasangan lelaki dan perempuan itu lebih tertunduk ke bawah. Bisu… mereka terus
menikus. Mungkin masing-masing sudah disembur darah merah pada wajah mereka.
“Bila nafsu dah menguasai, iman jatuh
di tangga yang akhir sekali.” Sampuk Hakim tiba-tiba. Baru kedengaran suaranya.
Dari tadi dia hanya diam memerhati.
Amar Hafiz tersenyum. “Ya, sebagai
manusia biasa, kita memang takkan terlepas dari buat dosa kerana kita tak
maksum macam Rasulullah. Tapi ingatlah pesan Nabi kita yang satu ni, jika kamu
berpegang teguh pada kedua-dua ini, nescaya kamu takkan sesat selamanya, iaitu
Al-Quran dan Sunnahku… abang percaya, kalau kita betul-betul jadikan Al-Quran
dan sunnah Rasulullah betul-betul sebagai cara hidup kita, kita takkan mudah
terbabas. Dalam Al-Quran dah sebut, jangan hampiri zina… dan kalau adik
betul-betul hayati suruhan Al-Quran tu, abang yakin adik akan fikir banyak kali
sebelum buat apa yang adik dah lakukan ni.” Nafas panjang dihela setelah ucapan
itu disempurnakan dari bibirnya. Amar Hafiz mengetap bibir seketika. Wajah
pasangan itu ditatap penuh rasa terkilan, bimbang dan gusar… bercampur-aduk
semuanya!
“Tapi kami tak berzina! Kami
duduk-duduk aje!” Si perempuan yang diam dari tadi tiba-tiba menjerkah.
“Adik, faham tak maksud ‘jangan
hampiri zina’? Allah tak sebut pun jangan berzina… sebab apa? Sebab Allah tak mahu kita mula walaupun pada bibit-bibit
awal perkara tu. Lihat, kasih-sayang Allah kepada kita… Dia tak mahu langsung
hamba-Nya terpalit walau secebis noda. Tapi sayang, kita tak pernah nak faham
‘kasih-sayang’ Allah tu. Adik, abang cuma nak pesan, tak ada satu perhubungan
yang halal antara lelaki dan perempuan dalam Islam melainkan perkahwinan.
Selagi adik tak punya ikatan pernikahan, adik masih belum bebas untuk
berdampingan dengan pasangan adik walaupun hanya sekadar duduk-duduk sama-sama.
Ingatlah, di tengah tu sentiasa ada yang ketiga, iaitu syaitan.” Amar Hafiz
terus menambah tazkirahnya dengan semangat yang tidak pernah luntur. Kerana
hatinya kuat merasakan bahawa ini juga adalah tanggungjawabnya.
Tiba-tiba si perempuan teresak-esak
lebih kuat dari tadi. Air mata yang mengalir lekas-lekas diseka agar tidak
turun menghujani seluruh wajah. “Tapi… saya tak mampu nak tahan. Saya remaja,
bang. Macam remaja lain yang ada keinginan untuk belajar apa itu cinta. Saya
tak mampu nak kawal hati saya. Saya memang nak sangat ada seorang kekasih macam
kawan-kawan yang lain dan nikmat bercinta tu saya dah rasa, bang. Saya tak
mampu nak elak lagi.”
“Sebab itulah dalam Islam tak ada
perhubungan halal yang lain selain perkahwinan. Allah tak mahu kita hidup dalam
cinta fantasi, dik. Apa yang adik rasa tu cuma keinginan sementara saja,
mungkin sudah bercampur dengan nafsu. Ingat dik, Allah pun dah sediakan
alternatif lain untuk kita kawal hati kita. Apa alternatif tu? Tundukkan
pandangan… dari situ, taklah timbul dari mata turun ke hati dan insya-ALLAH,
hati kita akan sentiasa terpelihara.” Amar Hafiz terus berhujah. Pasangan itu
kembali menikus. Mudah-mudahan pesanan panjang lebar tadi mampu membuka ruang
minda remaja mereka yang masih keliru akan ke mana destinasi terakhir kita
sebagai hamba kepada Dia yang Maha Esa… Ya, antara syurga dan neraka!
Beberapa minit berlalu, dan akhirnya
pasangan lelaki dan perempuan yang masih belasan tahun itu dilepaskan pulang
setelah ‘dibasuh’ dengan tazkirah Amar Hafiz tadi.
Bahu Amar Hafiz dipegang erat. “Amar,
tahniah atas hujah tadi.” Ucap Hakim.
Amar Hafiz menggeleng perlahan. “Itu
memang dah tanggungjawab kita, Kim. Aku tak sanggup tengok remaja sekarang dah
tak kenal Tuhan sendiri…”
“Yalah, Amar. Nak salahkan dia orang
seratus peratus, dia orang tu mentah lagi, masih tercari-cari arah dalam hidup
ni. Sayangnya, arah yang dia orang pilih tu tak betul pulak.” Keluh Hakim
perlahan.
“Arah kita hanya betul bila
berpandukan ‘kompas’ Al-Quran dan Sunnah aje, Kim. Itulah masalah umat Islam
sekarang. Ambil Islam sebahagian-sebahagian saja.” Amar Hafiz pula melepaskan
keluhan. Berkerut-kerut dahinya memikirkan masalah umat zaman ini… yang
takut-takut untuk mengamalkan Islam sepenuhnya.
“Hmmm… ha, Amar, kau tu asyik dengan
kempen antimaksiat kau je, kesihatan diri kena jaga jugak. Doktor pesan suruh
minum air banyak-banyak. Tekanan darah kau rendah, tahu!” Omel Hakim yang sudah
masuk ke topik lain.
Amar Hafiz ketawa pula. Macam lucu
benar dengan apa yang didengarinya. “Yalah, cik abang. Kau membebel, buat aku
teringat kat seseorang…”
“Siapa???” Terbeliak mata Hakim.
“Mak aku,” Amar Hafiz terus tertawa
perlahan.
SELESAI kuliah, Hanan Insyirah
bergegas ke kafeteria untuk memenuhkan perut yang sudah ‘berdondang-sayang’.
Pagi tadi pula dia tidak sempat bersarapan kerana agak terlewat bertolak dari
rumah sewanya. Semuanya gara-gara lepas solat subuh tadi dia terlena sebentar.
Sedar-sedar, suasana dah terang!
Dari jauh, kelihatan Julia sudah
menunggu di salah sebuah meja di situ. Lantas meja itu dihampiri setelah
pesanan dibuat. Tanpa dipelawa, terus Hanan Insyirah melabuhkan punggung di
atas kerusi berhadapan Julia yang masih enak menikmati Jus Oren.
“Assalamualaikum, Jue.”
“Waalaikumussalam. Hai… lapar ke ni?”
Soal Julia sambil mengangkat sebelah kening memandang makanan yang dipesan oleh
Hanan Insyirah.
“Agaklah. Aku tak jamah langsung
makanan hari ni.”
“Kau tidur lepas subuh buat apa? Puas
aku kejut kau.”
“Mengantuklah. Aku tak tahan.” Hanan
Insyirah memulakan suapan pertama setelah membaca basmalah.
Julia mengherotkan sebelah bibir.
Matanya melilau sekeliling sebelum bersuara, “kau tengok sekeliling kau,”
Hanan Insyirah berhenti menyuapkan
makanan ke mulutnya. Lantas dituruti saja telunjuk Julia itu. Melilau matanya
memandang ke segenap inci kafeteria itu. “Kenapa?”
“Kau tak nampak orang sekeliling kau
tengah syok memadu kasih? Kau tak teringin ke?” Soal Julia berterus-terang
akhirnya.
Hanan Insyirah menyambung lagi
suapannya. Lama dibiarkan soalan itu tidak berjawab. “Biarlah dia orang. Aku
tahu, satu hari nanti Allah akan bagi yang terbaik untuk aku.”
Julia merengus. “Itu ajelah modal
kau. Eh, kau tak payah hipokritlah, Hanan. Hati kau sama jugak macam hati orang
lain. Tak ada sorang pun dalam dunia ni yang kebal dengan cinta.”
Hanan Insyirah tersentak. Kata-kata
Julia boleh dikatakan bagai pedang yang tiba-tiba menikam kalbunya. Namun,
Hanan Insyirah tetap tersenyum. “Memang. Mana ada manusia yang kebal dengan
cinta! Cinta tu anugerah Allah pada semua orang. Adolf Hitler tu pun simpan
gambar mak dia dalam dompet dia… kerana apa? Kerana cintalah! Cinta pada mak
dia! Aku nak pesan satu pada kau, Jue. Pandanglah cinta tu dengan skop yang
lebih luas. Cinta tak semestinya dikaitkan dengan kisah tautan dua hati antara
lelaki dan perempuan. Yang lebih penting, sebelum kau pandang cinta yang lain,
kau kena pandang cinta yang paling agung dulu. Cinta Allah dan Rasul-Nya…”
Julia merengus lebih kasar kini.
Hatinya mula panas dengan kata-kata Hanan Insyirah yang baginya agak ‘kealiman’
dan ‘hipokrit’ itu. Inilah yang membuatkan dia sering bertegang urat dengan
Hanan Insyirah… baginya, Hanan Insyirah terlalu hipokrit!
“Kolotlah kau ni!” Terpacul ayat itu
tiba-tiba dari bibir Julia.
Hanan Insyirah terkedu.
“Betul kata Julia tu, Hanan. Okeylah,
aku tahu kenapa kau boleh bercakap macam tu sekali… sebab kau tak pernah
‘merasa’. Apa kata sekali kau rasa? Aku percaya, tak ada satu pun alasan kat
dunia ni lagi bila kau dah rasa macam mana nikmatnya.” Tiba-tiba datang suara
asing mencelah. Hanan Insyirah menoleh sekilas. Adlina sudah tercegat di situ.
Hanan Insyirah tunduk. Kolot?
Kolotnya dia kerana tidak berhubungan dengan insan yang bernama lelaki atas
dasar kekasih? Walaupun itu jelas akan mendatangkan murka Allah? Begitukah?
AMAR Hafiz mengangkat brek
keretanya. Keluhan panjang dilepaskan. Lekas dia menuruni keretanya. Ketika
hendak menutup pintu pagar, muncul seorang kanak-kanak perempuan berbaju kurung
datang menghampirinya.
“Assalamualaikum, Abang Amar,”
keletah suara kanak-kanak itu memberi salam.
“Waalaikumussalam, adik ni siapa?” Balas Amar Hafiz yang masih kepelikan melihat
kanak-kanak tersebut.
“Saya Atirah. Panggil Tira je. Hehe…
saya nak kasi surat pada abang.”
“Surat?” Terangkat sebelah kening
Amar Hafiz.
Kanak-kanak bernama Atirah itu
mengangguk. “Ni. Ada orang kasi pada abang. Saya pergi dulu,
assalamualaikum!!!” Setelah diserahkan sampul surat berwarna putih itu kepada
Amar Hafiz, bagai tidak cukup tanah Atirah berlari menghilangkan diri, belum
sempat Amar Hafiz hendak bersuara. Terpinga-pinga lelaki itu.
“Tira, tunggu!!!” Jerit Amar Hafiz
yang masih kebingungan. Namun, Atirah lebih laju membuka langkah.
Amar Hafiz melapiskan kening. Surat
di tangannya itu dibelek-belek penuh tanda tanya. Dadanya berombak semacam.
Kenapa ya?
Lantas sampul surat itu dikoyakkan,
tidak mahu menunggu lagi. Debaran dalam hatinya sudah menggila benar. Satu per
satu isi surat itu diperhati…
Assalamualaikum,
Buat
Muhammad Amar Hafiz, di atas lembaran ini saya hendak coretkan segalanya untuk
pengetahuan awak. Kerana, hanya ini yang termampu saya lakukan untuk
memberitahu awak akan apa yang ingin benar saya mahu awak ketahui. Tiada cara
lain dek rasa malu yang menebal dalam diri ini. Saya minta maaf kalau ini
mungkin membuatkan awak merasakan yang saya tidak bersungguh-sungguh untuk
menyampaikan hal ini kepada awak. Namun jujur, hanya ini yang saya termampu.
Sekian lama
saya perhati awak dari jauh, saya mula merasakan ada rasa ‘lain’ tiap kali mata
ini terperasankan kewujudan awak. Dan ya, saya tidak perlu menerangkan lagi apa
perasaan itu… saya yakin awak sudah boleh mengerti sendiri.
Ketahuilah,
sekarang saya tidak teragak-agak lagi untuk mengakui bahawa hati ini sudah mula
terpaut pada Muhammad Amar Hafiz.
Ikhlas dari
Hanan Insyirah.
Mata Amar Hafiz terus membulat
meneliti setiap bait isi surat berwarna putih, bertulisan tangan itu. Kali ini
dia tidak boleh menahan lagi debaran kencang di dadanya. Darah rasa macam tidak
mengalir ke seluruh urat nadi.
Namun, beberapa ketika kemudian, ada
senyuman perlahan-lahan terukir di bibir Amar Hafiz.
DADA Hanan Insyirah berdebar
semacam. Sungguh, dia memang tidak senang duduk kini! Terkumat-kamit dia mengatur bait zikrullah di bibir.
Sesekali matanya terpejam-celik bagai menahan ‘sesuatu’ yang amat berat!
Ketukan pintu bilik menyentak
perasaannya. Hanan Insyirah mengurut dada. Lemah suaranya menyuruh orang di
luar memasuki saja ke biliknya itu.
“Kak,” sapa Hakim yang kini sudah
duduk di sebelah Hanan Insyirah tanpa dipelawa.
“Akak takut, Kim.” Sayup suara Hanan
Insyirah.
“Apa yang nak ditakutkan, kak?
Patutnya akak bersyukurlah… ada jugak orang berkenan kat akak!” Sempat Hakim
mengusik. Tertawa kecil lelaki itu.
Hanan Insyirah mencubit ketam lengan
Hakim. Boleh pula dia ketawa pada saat-saat getir ini! “Tak baiklah kau ni,
Kim! Akak takutlah… siapalah agaknya dia kan?”
Hakim menjuih bibir tak semena-mena.
“Buat-buat tak tahu pulak!”
“Hanan, dia orang dah sampai!” Laung
Puan Hazimah yang sudah terpacul di muka pintu.
Hanan Insyirah menahan sesak dada.
Hakim sudah tersenyum-senyum sendiri. Entah apa yang menggembirakan lelaki itu
saat ini? Kakaknya itu pula sudah pucat tak berdarah. Mana tidaknya… hendak
jumpa bakal mertua!
Puan Hazimah menghampiri Hanan Insyirah.
Lengan anak gadisnya itu dipegang erat. “Lekas, Hanan. Dia orang dah tunggu.
Apapun, buatlah keputusan yang Hanan rasa terbaik buat diri Hanan.” Ucap Puan
Hazimah penuh hemah seorang ibu.
Hanan Insyirah meneguk liur.
Kepalanya terus dihujani tanda tanya. Siapa pula yang tiba-tiba sudi mahu
menyuntingnya ini? Siapa gerangan itu?
Hanan Insyirah tiba di ruang tamu
diiringi oleh Puan Hazimah. Air liurnya terasa pahit untuk ditelan. Namun…
tiba-tiba dia terpana sendiri.
Amar Hafiz!!! Apa lelaki itu buat di
sini?
Lutut Hanan Insyirah terasa longlai.
Longlai bagai tidak bertempurung lagi. Jejaka yang bernama Amar Hafiz inikah
yang telah membuka hatinya untuk memberi ruang kepada seorang gadis yang
bernama Hanan Insyirah? Jejaka inikah yang memperlihatkan kesudiannya untuk
menyunting Hanan Insyirah? Teruna inikah???
“Amar Hafiz, sungguh jika Allah
mentakdirkan awak untuk diri saya, saya redha dengan hati yang lapang. Saya
terima dengan hati yang terbuka. Lebih membahagiakan saya ialah kalau awak
memang benar-benar nekad dengan keputusan awak ini dengan hati yang ikhlas.
Dalam hidup ni saya tak cari yang lain, awak. Hanya redha Allah cita-cita
tertinggi saya. Jadi saya bertawakal atas segala yang Dia kurniakan untuk saya
kerana saya tahu, kurniaan Dia kepada saya sentiasa yang terbaik. Tapi sebelum
itu Amar Hafiz… saya minta izin daripada awak, saya mahu tiga puluh juzuk
Al-Quran terpasak di ingatan saya sebelum kita mengatur soal hati kita ke arah
yang lebih jauh lagi.” Tenang kata-kata itu terlafaz dari bibir Hanan Insyirah.
Ya, dia merasakan lagi ketenangan itu. Sungguh syukurnya saat ini tidak
terucap!
Amar Hafiz menahan nafas seketika.
Bersaksikan orang tuanya dan ibu bapa Hanan Insyirah, dia menutur kata… “Hanan
Insyirah, jujur, saya mula rasakan perasaan ‘asing’ datang setiap kali
terperasankan kewujudan awak. Lama-kelamaan saya sendiri tak mampu berselindung
dengan perasaan ni… ya, saya mengimpikan untuk membawa awak bersama-sama saya
melalui hidup ini. Saya mahu melangsaikan ‘hutang’ membawa awak ke syurga-Nya
yang hakiki dengan iman yang ada. Saya
mahu membawa tautan hati ini ke arah mardhatillah
yang agung. Dan jujurnya, saya juga ingin meminta izin… yang saya juga mahu
meletakkan tiga puluh juzuk Al-Quran dalam ingatan saya sebelum kita membawa
hubungan kita ke destinasi yang sebenarnya. Saya mengimpikan Al-Quran dan
Sunnah sebagai petunjuk rumah tangga yang bakal kita bina. Sebab itu saya mahu
memahami dahulu sebelum saya boleh membawa awak juga mengikuti dua pusaka
Rasulullah itu. Dan juga… saya amat mengimpikan Al-Quran dan Sunnah sebagai
lambang tautan hati kita, supaya cinta kita tak sesat selama-lamanya…”
Suasana hening serta-merta, sekali
datang dengan kedamaian yang masuk menerpa-nerpa melalui celahan hatinya. Hanan
Insyirah menghela nafas… dalam. Kali ini dia tidak teragak-agak untuk tersenyum
lagi.
Jika inilah yang ditakdirkan Allah
Taala…
EMPAT TAHUN KEMUDIAN…
SAKINAH jelas terasa mengiringi
suasana di majlis penyatuan dua hati itu. Akhirnya, Hanan Insyirah selamat
bergelar isteri kepada seorang jejaka bernama Muhammad Amar Hafiz… ya, setelah
segala impian tercapai.
Pasangan pengantin baru itu
berpandangan. Jelas pipi mereka merona marah… mungkin masih malu-malu.
Hanan Insyirah menahan debar di dada.
Dia tidak pasti apa rasanya kini. Cuma satu yang pasti kini, dia begitu
bersyukur kerana Dia telah mengabulkan doanya selama ini untuk menjadi seorang
al-hafizah. Alhamdulillah… moga-moga dengan Al-Quran yang sudah tersemat di
dada ini mampu menjadi petunjuk kepada rumah tangga yang baru dibina ini agar
tidak sesat selama-lamanya…
Ketika tetamu semua beransur pulang,
Amar Hafiz mengambil peluang mendekati Hanan Insyirah yang sedang leka
mengemas-ngemaskan periuk belanga di dapur. “Assalamualaikum…”
Hanan Insyirah kaku sebentar.
Lama-lama baru dia membalas salam itu. “Waalaikumussalam…”
Kali ini, Amar Hafiz pula diam.
Tiba-tiba canggung pula. “Hanan… errr… terima kasih.”
“Terima kasih?” Hanan Insyirah tidak
mengerti.
Amar Hafiz menarik nafas dalam.
“Terima kasih sebab terus setia untuk membawa tautan hati kita sampai ke tahap
ni.”
Hanan Insyirah tersenyum. “Semuanya
takdir Allah Taala… abang.”
Lekas Amar Hafiz mengangkat muka yang
menunduk. Abang? Dia tidak silap dengarkah? Hanan Insyirah pula sudah
tersipu-sipu melihat reaksi suaminya itu.
“Terima kasih juga sebab Hanan sudi
mulakan langkah pertama dalam tautan hati kita ni. Kalau tak, sampai
bila-bilalah abang tanggung perasaan ni sorang diri.” Ucap Amar Hafiz, ada
nafas lega pada penghujungnya.
Bertaut kening Hanan Insyirah. Terpinga-pinga
seketika. “Errr… Hanan yang mulakan? Maaf, bang… Hanan tak faham.”
Amar Hafiz pun ikut mengerutkan
kening. Lama-lama dia tersenyum sendiri. “Wah, Hanan mesti dah lupa ni! Macam
mana ni, yang? Baru empat tahun dah lupa kisah cinta sendiri…” Amar Hafiz
tertawa pula seperti kelucuan. Garu kepala Hanan Insyirah yang makinlah tidak
mengerti apa yang dimaksudkan oleh suaminya itu.
Amar Hafiz menyeluk poket seluarnya.
Lalu perlahan-lahan ditarik keluar sehelai kertas berwarna putih yang sudah
berlipat empat. Lantas diserahkan kepada isterinya itu. “Surat nilah yang dah
buat abang tak tidur semalaman tau… sebab, excited
tengok nama pengirimnya.”
Hanan Insyirah makin tidak faham
dengan situasi. Lantas dibuka lipatan surat itu dan meneliti setiap bait kandungan
yang tercatit… Hanan Insyirah terlongo tidak berkutik.
“Abang, tapi…”
“Betul. Bukan Hanan Insyirah yang
kirim surat tu. Sayalah pengarang surat tu.”
Serentak itu, Hanan Insyirah dan Amar
Hafiz berpaling ke belakang. Mata mereka membundar tidak percaya. Bagai sudah
direnjat elektrik bervoltan tinggi.
“Julia…” terluncur nama itu di bibir
Hanan Insyirah. Dan serentak itu dia merasakan… ada air hangat yang sudah
bertakung di pelupuk matanya.
Amar Hafiz membisu. Memori empat
tahun lepas berputar kembali… membawa wajahnya terasa panas dengan perasaan
malu yang kembali bercantuman. Betulkah apa yang didengarinya ini?
“Hanan, maafkan aku. Aku buat semua
ni untuk kebaikan kau. Aku tak nak kau terus simpan harapan pada yang tak
pasti. Sebab itu aku cuba tolong kau untuk pastikan hal ni… dan tak sangka
pulak sampai membawa kau orang ke tahap ini. Apapun, niat aku baik Hanan.”
Perjelas Julia akhirnya. Dan… air mata Hanan Insyirah mengalir juga.
“Hanan Insyirah, isteri abang… jangan
menangis, sayang. Percayalah, bukan kerana surat tu kita bertautan hati pada
hari ni. Tapi kerana qada’ dan qadar Allah, Hanan. Apapun Julia, walaupun surat
tu bukan datang daripada Hanan, saya tetap berterima kasih pada awak. Surat
tulah salah satu sebab kenapa saya tak teragak-agak nak menyunting Hanan
Insyirah yang sebenarnya selama ni dah mengambil hati saya. Cuma sebab rasa
malu yang menebal, saya pendam perasaan tu.” Luah Amar Hafiz, lantas
menghampiri Hanan Insyirah. Tidak semena-mena disekanya air mata wanita itu
yang tidak boleh dikawal lagi dengan hujung jarinya.
Hanan Insyirah terkedu. Hanya
esakannya yang masih kedengaran. Mungkin masih terkejut…
“Aku pergi dulu, Hanan. Aku harap kau
maafkan apa yang aku dah buat ni. Sekali lagi aku cakap, niat aku baik, Hanan.
Selamat pengantin baru. Assalamualaikum,” lirih suara Julia. Dan beberapa
ketika kemudian, bayangnya hilang dari pandangan.
“Awak redha dengan semua ni,
Hanan?” Amar Hafiz kembali tertumpu pada
isterinya.
Hanan Insyirah mengambil nafas
sedalam yang boleh. Dia membatu sebentar sebelum bersuara… “jika memang ini
takdir Allah Taala, Hanan tetap terima dengan hati yang lapang dan ikhlas.
Sebab rancangan Allah itulah sebaik-baik perancangan dan sentiasa yang terbaik.
Abang, Hanan bersyukur pada Allah kerana akhirnya Dia kurniakan Muhammad Amar
Hafiz dalam hidup Hanan… Muhammad Amar Hafiz yang sebenarnya dah lama bertaut
dalam hati Hanan ni.” Terlafaz kata-kata itu, mengiringi lagi sebuah ketenangan
yang baru tercipta. Hanan Insyirah mengambil kedua-dua belah tapak tangan suaminya,
lalu digenggam erat.
“Alhamdulillah, lega abang dengar.
Errr… Hanan, boleh abang minta satu benda?” Amar Hafiz mengangkat kening.
“Ya?”
“Sambung esoklah kerja mengemas ni
ya? Abang nak… abang nak dengar Hanan lagukan ayat Al-Quran depan abang, tanpa
lihat kitab tau! Hanan dah jadi hafizah kan?” Jelas Amar Hafiz. Betul
membuatkan Hanan Insyirah saspen tadi!
Hanan Insyirah tersenyum sumbing.
“Okey. Hanan pun teringin nak dengar abang baca, pun tanpa lihat kitab tau!
Hanan ingat lagi masa di U dulu, abang selalu jadi imam. Sedap sangat abang
baca… errr, abang pun hafizkan?”
“Hum… hum… abang memang hafiz pun
semenjak lahir lagi. Nama abang kan Muhammad Amar Hafiz.” Tertawa kecil lelaki
itu. Tidak semena-mena, tangannya boleh jadi ‘nakal’ pula, mencuit hidung si
isteri. Beberapa ketika kemudian, si isteri juga turut merasa hatinya
digeletek. Bertingkah juga tawa mesra pasangan pengantin baru itu…
Semoga mardhatillah melayari saat sakinah ini…
“UMI, abi!!!”
Jeritan yang penuh keletah itu
membuatkan pasangan itu tersentak. Lantas si isteri yang sedang bertasmik bacaan Al-Quran dengan si suami
memberhentikan bacaannya. Pandangan mereka dikalihkan ke muka pintu serentak.
“Eh… Ain, sayang. Tak tidur lagi?” Si
isteri menyoal lembut si anak kecil yang sedang tercegat di muka pintu bilik
itu. Lebar senyumannya memandang buah hati pinjaman Allah buatnya dan si suami
itu…
“Ain, mari dekat abi.” Kedengaran
pula suara si suami, memujuk lembut anak kecil yang entah kenapa
tersengih-sengih pula itu.
Kanak-kanak bernama Ain Hafizah itu
tidak banyak kata, terus dia menerjah abinya lalu duduk di pangkuan lelaki itu.
“Abi… abi nak… dengar tak Ain baca… Fatihah?” Suara comel Ain Hafizah yang
berusia dua tahun itu riang kedengaran.
Hanan Insyirah dan Amar Hafiz
berpandangan. Senyuman mereka bertaut. Sekali membawa panahan cinta yang kini
tiada salahnya lagi untuk dizahirkan…
Lantas pandangan pasangan suami
isteri itu beralih pula kepada Ain Hafizah, cahaya mata sulung kurniaan Allah
buat mereka.
“Okey, sayang. Abi dengan umi nak dengar.”
Kata Amar Hafiz. Sesekali dia mengusap-usab ubun-ubun cahaya matanya itu. Hanan
Insyirah hanya memerhati dengan senyuman kesyukuran yang meleret ke tepi.
Ain Hafizah menyeringai menampakkan
batang giginya yang tersusun rapi. Beberapa saat kemudian, suara comelnya mula
melafazkan surah Al-Fatihah sepenuhnya bermula dengan basmalah hinggalah ayat
yang ketujuh…
Amar Hafiz dan Hanan Insyirah terpaku
sebentar. Tidak tergambar perasaan mereka tatkala ini. Ain Hafizah sudah
bertepuk-tepuk tangan sendiri. Mengekek-ngekek dia ketawa kerana gembira
membuatkan umi dan abinya terpana seketika…
Air mata Hanan Insyirah mengalir
penuh kesyukuran. Ain Hafizah lantas ditarik ke dalam pelukan. Bertalu-talu
pipi gebu itu dihadiahkan ciuman penuh kasih-sayang. Menyeringai Ain Hafizah…
suka betul dia.
“Kalau Al-Quran dan Sunnah itu
lambang tautan hati kita, insya-Allah cinta kita takkan sesat selama-lamanya…”
sayup-sayup dia mendengar lafaz itu terucap kembali di bibir Amar Hafiz.
Sakinahnya saat itu…
Alhamdulillah, ya Allah!
Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa
Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang
kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu
berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan
sunnah Rasulullah," (s.a.w.).
9 comments:
♥
uat lagi cerpen yg sweet2, bahagia, klau nk ada konflik tu.. sikit2 boleh lah.. haha
thanx... in shaa ALLAH :)
doakan saya..
assalamualaikum..citer2 akak best sgt..:)..tmbah best lagi bila smua citer akak ada unsur islamik..
best..hrap suatu hari nti sy pn dpat mnjdi hafizah gak..
baik cerita nya ,kita dapat menarik kesimpulan dari cerita ini,sukses....
Nice,,semoga kita selalu brpgang dgn 2 prkara yg rasulullah s.a.w tinggalkan kpd kita smua...
Ini lah cerpen yg pling best yg prnah sye bce,,...tahniah,,penulis truskan brkarya,,
The best n_n
The best n_n
Post a Comment