BAB
9
USAI
berpuas
hati dengan dandanan pada wajah dan tubuhnya, Puan Sri Lydia mencapai beg
tangan jenama Birkinnya lalu turun ke tingkat bawah. Lenggok dan gayanya
melangkah memang mencerminkan yang dia seorang isteri kepada lelaki korporat.
Elegan dan berketerampilan!
“Bila saya kerja, awak
keluar. Bila saya cuti, awak keluar jugak. Hai, siapa yang kerja sebenarnya
ni?” Suara Tan Sri Kamarul yang agak sinis itu mematikan lenggok Puan Sri
Lydia.
Wanita berada itu
mengerutkan dahi. Suaminya yang sedang membaca surat khabar di sofa ruang tamu
itu dirapati dengan derap langkah yang jelas bunyinya. “Awak tak bagi saya
keluarlah ni?” Mendatar suaranya.
“Saya tak kata macam tu
pun,” balas Tan Sri Kamarul, tetap relaks. Surat khabar di tangannya terus
ditatap. Namun, tidak pasti apakah fikirannya turut tertumpu pada tulisan di
situ?
“Hmmm… jadi?”
“Tak ada apa-apa. Awak
nak pergi mana pagi-pagi ni? Terburu-buru semacam aje.” Tan Sri Kamarul
menyelak helaian yang ke seterusnya akhbar semasa tersebut. Mungkin dia memang
betul-betul membaca.
“Saya dah janji nak breakfast dengan Datin Izreen. Ada something yang kami nak bincangkan,”
beritahu Puan Sri Lydia. Rambut hadapannya yang sesekali jatuh ke dahi dikuis
kembali ke belakang.
Tan Sri Kamarul
mengangguk-angguk. Baru kini fokus matanya dialihkan daripada dada akhbar
kepada susuk tubuh isterinya itu.
Puan Sri Lydia merengus
kecil. “Awak tengok apa, Tan Sri Kamarul? Tak pernah tengok isteri awak cantik
macam ni ke?” Sindirnya menyedari mata suaminya itu tidak berkelip langsung
memandang dirinya. Aih, buang tebiat ke laki aku pagi-pagi ni?
Tan Sri Kamarul berjeda
beberapa ketika sebelum menghembuskan pelan-pelan nafasnya. “Boleh awak duduk
kejap? There’s something I need to
discuss with you.” Surat khabar di tangannya ditutup lalu dilipat kemas dan
dicampak sahaja ke meja kopi di hadapan.
Puan Sri Lydia
mengherot-herotkan bibir. Antara rela dengan tidak rela saja dia akurkan arahan
itu. Mana tidaknya, dia sudah berjanji dengan Datin Izreen untuk berjumpa di
salah sebuah kafe terkemuka tepat pada jam sembilan. Sekarang sudah pukul lapan
lima puluh pagi!
Namun, dia juga tidak
pernah ingkar arahan suaminya tanpa sebarang alasan yang kukuh. Ya, dia akur
kali ini.
“Apa dia?” Soal Puan
Sri Lydia tidak sabar-sabar ketika baru saja hendak mengalaskan punggung di
sofa.
Tan Sri Kamarul senyap
lagi. Entah kenapa lelaki korporat itu suka sangat menekan ‘brek’ pada
bicaranya ketika ini. Bikin saspen agaknya… mungkin juga teragak-agak hendak
mengutarakan apa yang berada di benaknya.
“Hmmm… awak tak
terfikir ke, sampai bila kita nak jadi macam ni?” Soal Tan Sri Kamarul setelah
membatu agak lama.
Puan Sri Lydia
tercengang. Agak samar-samar pertanyaan suaminya itu untuk ditafsirkan oleh
mindanya. “Errr… jadi macam mana pulak ni? Saya tak faham.”
Tan Sri Kamarul
mengambil telapak tangan kiri isterinya, lalu dibawa ke dalam genggaman erat.
Wajah isterinya yang sentiasa menjadi penawar hatinya itu ditatap dengan
pandangan redup. “Sampai bila kita nak jauh daripada TUHAN? Awak tak rasa ke
hidup ni macam ada yang hilang selama kita jadi macam ni?”
“Apa?” Puan Sri Lydia
menggeleng-geleng. Mendengar bicara suaminya itu cukup membuatkan fikirannya
kebingungan. Dia tidak pernah menyangka yang Tan Sri Kamarul akan mencamurkan
hal itu. Tiba-tiba saja.
Tan Sri Kamarul
mengecap-ngecap bibir. “Saya nak kita berubah. Berubah jadi hamba yang
bersyukur pada ALLAH. Sayang, ALLAH dah bagi banyak kesenangan pada kita selama
ni. Jadi, saya rasa tak patut kalau kita terus dengan ‘keras kepala’ kita pada
DIA,” luah lelaki itu. Ya, ikhlas dari lubuk hatinya yang paling dalam.
Kali ini, Puan Sri
Lydia pula yang terdiam. Mungkin sudah menerima atau tidak mustahil juga
sebaliknya akan apa yang telah diperkatakan oleh suaminya itu.
“Sayang,” panggil Tan
Sri Kamarul. Sememangnya dia amat-amat mengharapkan reaksi yang bakal
menyenangkan hatinya daripada si isteri.
“Abang ni kenapa?” Nada
Puan Sri Lydia yang tegas setelah berdiam agak lama cukup meruntuhkan harapan
Tan Sri Kamarul tidak semena-mena. Wajah wanita berada itu jelas terpancar riak
tidak selesa… mungkin kerana hal yang sedang dibincangkan belum mampu mengusik
ruang hatinya.
“Apa yang kenapa? Abang
cakap perkara betul kan?”
Puan Sri Lydia
melepaskan genggaman erat suaminya. Lalu berpeluk tubuh. “Ini bukan kerja kita,
bang. Buat apa nak hipokrit dengan diri sendiri? Jujur saya cakap, selama ini
hidup saya tak ada apa-apa yang terasa kosong. Saya gembira dengan apa yang
saya ada. Saya dah cukup bahagia, bang.”
Tan Sri Kamarul
menggeleng perlahan. Kesal sungguh hatinya mendengar balasan daripada wanita
itu. “Ini bukan soal hipokrit atau jadi diri sendiri ke, Lydia. Ini soal
tanggungjawab. Kita ada tanggungjawab pada agama kita. Saya tak mahu
tanggungjawab tu masih tak tertunai bila dah mati nanti. Awak tak fikir ke
nasib kita kat akhirat nanti?”
“Abang, sudahlah. Saya
malas nak bertekak dengan abang pasal benda ni. Saya cuma nak abang tahu yang
saya bahagia dengan apa yang saya ada sekarang,” bidas Puan Sri Lydia. Lalu
serta-merta bangun dari sofa yang diduduki. Entah kenapa terasa ‘bahang’ pula
untuk terus duduk di sebelah suaminya itu.
“Lydia, kebahagiaan
yang awak rasa tu datang daripada ALLAH,” ucap Tan Sri Kamarul. Tiada
teragak-agak. Kebenaran harus dibiarkan mengatasi segalanya.
Puan Sri Lydia
mengangkat telapak tangan. Tanda semakin tidak tahu perkataan apa lagi yang
boleh menerangkan kata hatinya untuk difahami oleh lelaki itu. “Abang, biarlah
masa yang menentukan. Saya rasa saya tak ada hak nak mengatur hal ni.” Jawapan
yang diyakininya selamat… walau sebenarnya hanya lebih menampakkan
‘kejahilannya’.
“Hmmm… kadang-kadang
abang malu dengan anak kita, Khalisah. Kenapa dia yang ‘nampak’ dahulu daripada
kita? Padahal dia muda lagi. Kita ni yang entah berapa lama lagi ada peluang
nak hirup udara? Takut jugak menyesal tak sudah nanti!” Tan Sri Kamarul tetap
tidak melepaskan peluang terakhir untuk membidas pendirian isterinya. Biarlah,
dia sebenarnya sudah letih hidup dalam keadaan ‘seperti ini’.
Puan Sri Lydia tidak
membalas. Mungkin sudah mati idea atau pun seperti katanya, tidak mahu bertekak
dengan suaminya itu. Lalu tanpa memberi
sebarang kata akhir, hatta salam atau selamat tinggal, derapan langkahnya
kedengaran lagi menuju ke luar rumah. Janjinya dengan Datin Izreen kembali
berlegar di dalam catatan mindanya.
HARI ini Mak Yah ditemani lagi oleh
Khalisah pergi ke pasar. Walaupun puas Khalisah memujuk Mak Yah supaya menaiki
keretanya saja, namun Mak Yah berkeras mahukan anak muda Faqih yang membawa
mereka dengan menaiki kereta Tan Sri Kamarul. Mulanya Khalisah malas juga.
Namun, setelah Tan Sri Kamarul sendiri yang menyuruhnya menemani Mak Yah, dia
terpaksa akur.
Entah kenapalah mereka
beria-ia sangat mahukan Faqih yang memandu? Walhal hari ini sepatutnya lelaki
itu cuti. Tetapi gara-gara Mak Yah hendak ke pasar dengan lelaki itu,
terpaksalah lelaki itu datang juga ke banglo mewah itu dengan motosikal
petaknya.
Dan… sepanjang
perjalanan, tiada sebaris senyuman diukir pada bibir wanita itu. Sedih? Tidak
juga. Wajahnya tidak beriak apa-apa. Hanya matanya yang bergerak-gerak
memandang ke luar tingkap kereta.
“Mak Yah minta maaflah,
Faqih kalau dah menyusahkan kamu. Bukannya apa, kalau kamu ada boleh tolong
bawak-bawakkan barang nanti.” Itu alasan yang diberikan Mak Yah akhirnya.
Faqih tersenyum kecil.
“Saya tak kisahlah, mak cik. Lagipun saya bukan buat apa-apa kat rumah tu.”
Matanya sesekali dikerling ke arah cermin pandang belakang yang tergantug di
depan.
Khalisah… wanita itu
tetap berdiam diri. Masih marahkah dia dengan insiden hari itu? ALLAH… dia
tidak sengaja! Risau juga jejaka bernama Faqih itu dibuatnya. Tiada niat dalam
hatinya langsung hendak melanggar wanita itu dan mengotorkan bajunya yang
dikatakan mahal.
‘Perlu ke aku minta
maaf lagi?’ Hati Faqih sering kali berbisik.
MAK YAH sibuk memilih ikan di bahagian
makanan basah diekori oleh Faqih yang akan menolong wanita tua itu mengangkat
barang selepas ini. Sementara Khalisah, entah ke mana-mana pergi. Bayangan wanita itu langsung hilang semenjak mereka
mula-mula masuk ke dalam pasar raya itu. Buat hal sendiri agaknya…
“Mana Khalisah, Faqih?
Dari tadi tak nampak-nampak dia pun,” getus Mak Yah setelah menimbang berat
ikan yang dipilihnya.
Faqih mengangkat bahu.
“Entah. Saya pun tak nampak dia, Mak Yah.” Jelas ada kerutan pada wajah lelaki
itu. Khalisah… aneh sungguh wanita itu hari ini. Sudahlah tadi diam membatu
saja ketika di dalam kereta. Nah, sekarang menghilangkan diri pula!
Mak Yah mengeluh kecil.
Langkahnya kemudian diteruskan menuju ke kaunter bayaran. Sambil-sambil itu dia
cuba meninjau keberadaan Khalisah. Ya, dia juga perasan akan perubahan pada
emosi wanita itu.
“Kamu ada tahu apa-apa
pasal Khalisah, Faqih?” Lagi sekali Mak Yah menginginkan jawapan daripada
jejaka itu setelah selesai membuat bayaran.
“Tahu apa, Mak Yah?”
“Hmmm… Mak Yah perasan
yang perangai dia lain macam sikit hari ni. Kamu tahu kenapa?” Mak Yah
berterus-terang dengan pertanyaannya melihat wajah Faqih yang kebingungan.
Faqih diam sebentar.
Kenapa pula soalan itu ditujukan kepadanya? Kalau ya pun ada sesuatu yang
terjadi pada Khalisah, dia tetap tidak tahu menahu! Melainkan jika perubahan
sikap anak Tan Sri Kamarul itu disebabkan oleh rasa amarahnya terhadap Faqih
yang dirasakan selalu membuat hidupnya ‘kacau-bilau’ itu masih belum reda.
“Wallahu a’lam, Mak Yah. Saya pun tak tahu.” Faqih lebih memilih
untuk tidak lagi memberat-beratkan hal itu. Plastik
“Hmmm… kesian
Khalisah,” gumam Mak Yah perlahan.
“Kesian, Mak Yah?”
Mak Yah pantas
menggeleng. “Errr… tak ada apa-apalah.” Wanita tua itu terus berjalan. Berharap
apa yang dikatakannya tadi bakal dilupakan saja oleh jejaka itu.
Setelah dua puluh minit
berlegar-legar di kawasan pasar raya yang agak besar itu, lutut Mak Yah mula
terasa minta direhatkan. Lantas, sebaik saja kelihatan ada bangku yang kosong,
tidak teragak-agak wanita itu melabuhkan punggungnya di situ.
Di mana Khalisah?
Sehingga kini belum kelihatan lagi kelibat wanita itu. Pada mulanya Mak Yah
mahu menelefon saja anak majikannya itu. Namun, nasib tidak berapa baik… Mak
Yah tidak membawa telefon bimbitnya.
Faqih? Memang lelaki
itu mempunyai telefon bimbit, tetapi masalahnya dia tidak menyimpan nombor
Khalisah! Nah, sekarang lelaki itu sedang leka membelek-belek baju di sebuah
kedai yang agak berjenama juga. Menghilangkan rasa bosan menunggu agaknya…
Dari jauh Mak Yah hanya memerhati… ‘Ada duit
ke budak ni beli baju mahal-mahal?’ Sempat hatinya berkata-kata.
“Mak Yah, jom balik!”
Sedang leka wanita tua itu memerhati perlakuan Faqih daripada jauh, tiba-tiba
lengannya dipegang oleh seseorang.
Urut dada wanita tua
itu, terkejut! “Ya ALLAH, Khalisah! Mana Lisa pergi? Puas Mak Yah cari!” Rasa
leganya tidak dapat dibendung melihat anak majikannya yang entah hilang ke mana
tadi sudah muncul di depan mata.
Khalisah mengerutkan
dahi. Jelas wajahnya menunjukkan yang dia sedang keletihan. “Saya beli barang
sikit, Mak Yah.” Perlahan suaranya, sambil menunjukkan beberapa buah beg berisi
barangan yang dibelinya.
Mak Yah membuntangkan
mata. “Ya ALLAH… sikit??? Khalisah, kamu memborong ke apa ni?” Lagi sekali
nafas Mak Yah jadi kencang melihat beg-beg plastik yang bergantungan di tangan
anak majikannya itu. Sarat-barat! Apa yang dibelinya ni?
Khalisah mengeluh.
Keletihannya gara-gara membuat ‘kunjungan tidak rasmi sambil membeli’ ke
segenap kedai di dalam pasar raya itu semakin menyelinap. Ditambah pula dia
perlu menanggung ‘beban’ beg-beg plastik yang agak banyak di pegangannya. Ya,
letih tapi puas! Hatinya cukup puas!
“Masya-ALLAH, banyaknya
barang!” Ada suara garau pula tiba-tiba mencelah. Jelas kedengaran yang suara
itu turut terkejut. Gara-gara beg plastik yang sarat-barat itulah agaknya…
Menyedari kemunculan
lelaki itu, Khalisah hanya membuat muka biasa tanpa ada sebarang tanda yang dia
mahukan pertolongan untuk mengangkut barang-barangnya yang banyak itu… terutama
sekali lelaki itu. Tidak, dia tidak akan meminta tolong lelaki itu!
“Khalisah, barang kamu
banyak sangat ni. Biar Faqih bawak sikit,” cadang Mak Yah. Macam tahu-tahu saja
yang Khalisah tidak menginginkan bantuan lelaki itu.
“Tak apalah… Mak Yah.
Saya boleh bawak sendiri.” Khalisah cuba berkeras, walau nampak jelas mukanya
berkerut seribu menampung beban di tangan. Yang sebenarnya, dia memang tidak
larat pun. Tapi… ‘kekecewaan’ mengatasi segalanya!
“Haishhh, mana boleh
kamu bawak semua ni sendiri! Mengarut! Faqih, tolong bawakan barang Khalisah
ni.” Mak Yah terus berlalu pergi selepas itu.
Tinggallah kini
Khalisah yang masih penuh kerutan di mukanya dan… Faqih yang kebingungan sama
ada hendak menolong atau tidak wanita itu. Nampak gayanya wanita itu berkeras
mahu membawa barangnya sendiri!
“Awak, saya tolong
bawak sikit,” tawar Faqih akhirnya. Tidak sampai hati pula dia melihat ‘kepayahan’
yang ditanggung oleh Khalisah.
Khalisah memberi
jelingan tajam. “Tak payah! Saya tak harapkan pertolongan awak pun!” Agak keras
wanita itu menolak tawaran yang diberikan. Jelas… ada berbaur ‘kemarahan’ di
situ.
Faqih tidak terkata
apa. Dibiarkan saja wanita itu berjalan terkedek-kedek dengan barangannya yang
penuh. Macam Penguin.
‘Aduh, kenapalah berat
sangat ni? Tadi senang aje aku bawak turun bawah! Argghhh… menyusahkan betul!’
Bersungut-sungut Khalisah di dalam hati. Itulah padahnya jual mahal… Lagi
‘menyedihkan’, dia terpaksa membawa barang-barang itu dengan kasut bertumit
tinggi yang tersarung di kaki. Masya-ALLAH, seksa!
Tiba-tiba… pappp!
Tumit kasut Khalisah
patah. Tersungkur anak dara itu ke lantai macam nangka busuk. Beg-beg yang
sarat di pegangannya? Apa lagi… ikut sama nasib macam tuannya jugalah!
‘Bersepai’ di atas lantai.
“Ahhh… kasut aku!”
Khalisah separuh menjerit.
“Awak, awak okey?”
Faqih yang hanya mengekor dari belakang berlari mendekati anak majikannya itu.
Risau dia melihat Khalisah tiba-tiba terjatuh di depan matanya.
Namun sebenarnya, Faqih
rasa lucu juga. Hampir-hampir saja dia tergelak besar tadi melihat Khalisah
yang anginnya tidak berapa baik hari itu tiba-tiba ‘tercium’ lantai ketika
sedang terkedek-kedek membawa barang. Itulah, sombong sangat!
Khalisah melihat
serpihan tumit kasutnya yang terpatah dua. Dadanya berombak kencang… sedih
bercampur kecewa bercampur marah dan bercampur malu! Dia tidak mampu memandang
ke sekelilingnya. Dia tahu banyak mata sedang memandangnya! Huaaaa!!!
“Awak?” Faqih menegur.
Sedar yang Khalisah seperti hendak menangis.
Tepat seperti yang
dijangkakan, berderai ke lantai juga air mata Khalisah. ‘Huaaa… kenapa nasib
aku macam ni?’ Jeritan batinnya bergema.
“Janganlah menangis,
saya tolong angkat barang awak.” Faqih gabra seketika. Inilah kali kedua
Khalisah menangis di depan matanya selepas insiden dia meletakkan iguana
bernama Aaron Aziz di bahu wanita itu.
Ah, sudah! Macam mana
pula hendak memujuk ni?
“Tak! Jangan! Saya tak
ingin pertolongan awak! Pergi!” Tempik Khalisah. Air matanya semakin deras.
Dalam keadaan itu, dia menggagahkan diri mengutip semula barang-barangnya yang
bertaburan di lantai lalu bangun dan meneruskan langkahnya yang
berjengket-jengket… gara-gara kasut sudah senget sebelah.
Faqih merasakan dadanya
sesak. Dia tahu dan dia pasti yang perubahan emosi Khalisah pada hari itu
adalah gara-garanya! Ya, wanita itu masih marah dengannya.
“Apalah boyfriend dia tu! Harap muka aje hensem,
tapi buat girlfriend menangis! Tak
patut! Kejam! Gila!” Suara sumbang yang mungkin datang daripada orang yang
melihat insiden itu terasa dekat saja dengan telinga Faqih. Amboi, sedapnya
mulut tu! Dah puas hidup ya, kak?
Faqih pantas berlalu
dari situ. Semakin lama, semakin panas menggila dadanya!
SELEPAS solat Isyak, Khalisah tidak
keluar-keluar dari biliknya. Puas sudah mama, papa, Mak Yah termasuklah
abangnya si Khalis memanggil, namun pintu bilik itu tetap tidak terkuak dari
dalam. Dan pada akhirnya, satu kesimpulan yang mereka buat… Khalisah sudah tidur!
Khalisah memang tidur.
Tidur setelah penat mengeluarkan tenaga melayan air mata. Hari ini memang air
matanya tiada harga. Asyik berjatuhan saja.
Insiden pagi tadi
merupakan salah satu sebab kenapa air matanya tidak mampu ditahan-tahan. Dia
malu! Teramatlah malu! Fikirnya setelah membeli-belah puas-puas, dapatlah
‘kekecewaannya’ ditenangkan. Namun entahlah… mungkin nasibnya agak kurang baik.
Tidak sangka kasut tumit tingginya boleh pula patah tiba-tiba! Memang seksa
jiwa raganya!
Tepat jam dua pagi,
biji mata Khalisah terjegil semula untuk melihat dunia. Keletihan melayan air
mata sepertinya sudah berbayar dengan tidurnya yang agak lena selepas solat
Isyak tadi.
Khalisah keluar dari
biliknya dan turun ke bawah. Rumahnya sudah pun berlangsung sepi… mungkin semua
penghuninya sudah menikmati lena malam. Namun, dia mahu membasahkan tekak
dahulu. Selepas ini bolehlah dia berqiamullail. Tidak sabar-sabar rasanya mahu
mengadukan segala-galanya kepada ALLAH!
“Lamanya anak mama
tidur,” tegur satu suara lembut. Khalisah yang baru hendak memasuki gerbang
dapur rumah mewah itu memberhentikan langkah.
“Mama… tak tidur lagi?”
Semakin segar biji mata Khalisah melihat Puan Sri Lydia turut berada di dapur,
sedang minum air.
“Mama haus. Hmmm… Lisa
mengantuk sangat ke tadi sampai tak keluar bilik langsung?” Soal Puan Sri
Lydia, inginkan kepastian.
Khalisah mengeluh
kecil. Dia meneruskan langkah untuk mengambil cawan lalu diisikan dengan air
putih daripada penapis air. “Ya, ma. Lisa mengantuk sangat tadi.” Pelan-pelan
dia meneguk air tersebut setelah membaca basmalah di meja makan.
Puan Sri Lydia yang
sudah berdiri duduk semula di kerusi meja makan itu, bersebelahan dengan anak
daranya. “Mama ada sesuatu nak bincang dengan Lisa.”
“Bincang? Errr… apa
dia, ma?” Khalisah agak berdebar sebaik mendengar suara serius mamanya pada
tengah-tengah malam begitu.
Puan Sri Lydia
mengambil nafas beberapa ketika. “Lisa, mama dah bincang dengan Datin Izreen.
Kami nak satukan kamu dengan Izham.” Terus-terang wanita itu. Tidak kuasa
hendak berkias-kias.
Hampir tersembur air
yang sedang diteguk oleh Khalisah. Berdetak hebat jantungnya tidak semena-mena.
Apa semua ini???
“Apa, ma? Satukan Lisa
dengan Izham? Mama!” Suara terkejut Khalisah agak menggegarkan ruang dapur yang
sunyi itu.
“Ya, Lisa. Mama dah
sepakat dengan mama Izham, Datin Izreen. Datin Izreen nak sangat kamu jadi
menantu dia. Kebetulan mama pun berkenan jugak kalau si Izham tu jadi suami
kamu. Rasanya tak ada apa-apa masalah kan, Lisa? Izham tu kan baik budaknya.
Kerja bagus, anak orang kaya lagi.” Sepertinya Puan Sri Lydia tidak terkesan
dengan reaksi spontan anak daranya itu. Tetap relaks dan tenang bersuara. Juga…
tidak memberi peluang langsung kepada anak perempuannya itu untuk membantah.
“Mama…” Khalisah hilang
kata-kata. Jiwanya terasa lemah kembali dengan apa yang baru menganggu mindanya
setelah puas berehat tadi. Kesedihan? Tidak usahlah bercerita. Hatinya terasa
sudah hancur lebur!
6 comments:
smbng lgi.. ♥
hehe... thanx.. ya, saya akan sambung :) in shaa ALLAH.
suke bile ade penulis yg bertemakan islamik...teruskn menulis karya2 yg mantap...(suke citer ni!!)..
heee... terima kasihhh! doakan percubaan saya kali ini brjaya ye :D
mane next en3???
The best n_n
Post a Comment