Saturday, February 16, 2013

Imam Mudaku Romantik! 14


BAB 14
KETIKA azan subuh berkumandang nyaring di ruang angkasa, lelaki berusia awal lima puluh-an itu mencelikkan mata. Dan celik matanya itu tidak sia-sia… kemungkinan buat pertama kalinya, sendi-sendinya terasa ringan untuk bangun daripada tilam empuknya…  untuk menyahut seruan ILAHI itu.
Air dingin yang mengalir dari permukaan paip langsung tidak menggugah semangatnya untuk meneruskan wuduknya. Walaupun sudah terlalu lama dia meninggalkan ibadah ini, namun… hari ini dia nekad! Dia tidak mahu kalah pada nafsunya lagi!
Setelah menyarung songkok yang mana selama ini hanya digunakan untuk menghadiri majlis-majlis tertentu yang memerlukannya memakai pakaian tradisional, sejadah yang sudah lama tersimpan kemas di dalam almari dihampar ke permukaan lantai. Diiringi air mata yang entah kenapa mengalir tidak bersebab…
“Allahu…” Takbiratul ihram yang baru hendak diangkat tersekat serta-merta.
Masalah! Dia sudah lupa bagaimana mahu solat… lalu, bagaimana?
Perlahan dia bergerak menuju ke katil. Wajah wanita yang masih enak diulit mimpi lena di dalam gebar tebal itu diperhatikan seketika.
“Lydia, bangun. Dah subuh ni. Kita solat sama-sama?” Bahu isterinya itu disentuh lalu digerak-gerakkan lembut.
Tiada respon. Wanita itu memang betul-betul menghayati lenanya.
“Lydia, kita solat jom. Dah lama kita tak solat,” pujuk si suami. Masih tidak berputus-asa cuba menggerakkan isterinya itu daripada tidurnya. Sememangnya permulaan ini sungguh sukar!
Beberapa ketika kemudian, kelopak mata yang tertutup itu mula bergerak-gerak. Semakin lama, semakin terbuka. “Abang… kenapa?” Terpisat-pisat Puan Sri Lydia memandang suaminya itu.
“Kita solat subuh jom?” Tan Sri Kamarul mengulangi ayatnya itu. Buat kesekian kalinya. Namun, dia tetap tenang.
Puan Sri Lydia merengus dalam keadaannya yang masih mamai itu. “Apa abang cakap ni? Saya mengantuklah.” Kepalanya direbahkan semula ke permukaan empuk bantalnya.
“Saya dah lupa macam mana nak solat. Sebab tu saya ajak awak sekali. Kita belajar sama-sama balik.” Tan Sri Kamarul tetap bersuara walaupun dia sudah mengetahui apa reaksi yang bakal diterimanya daripada isterinya itu.
Puan Sri Lydia yang matanya masih terpejam itu mengerutkan dahi. “Saya manalah tahu, bang. Dah… saya ngantuk ni. Jangan kacau.” Ada rengusan tidak senang mengakhiri ‘perbualan’ ringkasnya dengan si suami pada subuh yang hening itu.
Tan Sri Kamarul tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Hanya mampu membiarkan isterinya itu terus hanyut dalam ‘mimpi palsu’.
Lelaki itu kebingungan. Hamparan sejadah yang hanya menunggu ketibaan seorang insan untuk bersolat di atasnya itu cuma diperhatikan dengan pandangan kosong yang diselaputi kebuntuan.

KHALISAH merenung dirinya di cermin. Dengan baju kurung berwarna putih yang ditaburi manik-manik halus serta sedikit solekan nipis yang menempel di wajahnya, debaran dalam hati masih belum mampu dihakis.
Hari ini dia akan bertunang. Bertunang dengan jejaka yang bernama Izham, jejaka yang tidak pernah berjaya mencuri hatinya. Namun apa lagi yang boleh dia lakukan untuk menghalang semua ini daripada berlaku? Semuanya berlaku terlalu pantas dan di belakang pengetahuannya.
Redha? Ya, dia cuba meredhai walau jiwa terasa sungguh sakit…. Sangat sakit.
Kaca jernih itu ingin mengalir lagi, namun cepat-cepat diseka. Semalaman dia menangis seorang diri dengan hanya ALLAH sebagai tempat mengadunya. Dan kini dia sudah letih untuk menangis. Solekannya pasti akan luntur jika kaca jernih itu dibiarkan mengalir kembali.
“Khalisah, jangan menangis lagi. Sabar ya?” Suara yang baru muncul mengetuk pendengarannya itu disertai dengan tepukan lembut di bahunya.
Khalisah menggeleng lemah. “Aku dah tak larat nak menangis, Zue.”
Zurina menghela nafas kecil. Diam seketika daripada sebarang bicara, memberi ruang kepada ketenangan untuk menerpa hati sahabatnya yang kini rawan itu.
Khalisah bergerak tiba-tiba dari terus membatu di depan cermin. Langkahnya dihalakan ke jendela yang ternganga luas. Bayu dhuha yang bertiup masuk mungkin sedikit sebanyak dapat meredakan jiwanya yang bercelaru.
“Aku tak sukakan dia, Zue. Aku tak nak dia. Kenapa dia sanggup buat aku macam ni?” Khalisah kembali mempertaruhkan emosinya pada tempat yang mungkin membuat luka hatinya berdarah lagi. Dia tidak sanggup untuk terus memendam.
“Khalisah, rasa suka memang tak boleh dipaksa. Tapi, kita boleh minta rasa suka untuk datang kepada kita. Cubalah pelan-pelan, Lisa. Insya-ALLAH, kau boleh. Mungkin bukan hari ini, tapi kau berdoalah pada ALLAH. Minta dari DIA kekuatan, sekali rasa ‘suka’ yang kau nakkan.” Zurina cuba memberikan nasihatnya dengan penuh hikmah yang boleh. Sebagai sahabat, semestinya dia tidak mahu melihat sahabatnya itu terus mempersoalkan apa yang terjadi.
Khalisah diam. Wajahnya hiba namun tiada air mata yang mengalir. Pemandangan luar terus menjadi saksi lara hatinya pada pagi itu.
“Aku pasrah, Zue. Dah ini takdir aku…” Desis Khalisah perlahan, lemah kedengaran.
“Lisa, memang takdir kita ALLAH yang tentukan. Tapi kita mesti ingat, ALLAH juga bagi peluang untuk kita buat pilihan dalam hidup kita. Kalau betullah kau memang tak mahukan Izham, kenapa kau biarkan semua ni berlaku?” Persoal Zurina. Tanda tanya tentang mengapa Khalisah begitu mudah ‘mengalah’ untuk membiarkan semua ini berlaku berlegar-legar di minda Zurina semenjak sahabatnya itu memberitahu akan bertunang dengan Izham.
Khalisah ketawa kecil, ketawa sinikal yang berselirat dengan kekecewaan. “Kau cakap dengan aku, Zue. Macam mana kau nak nafikan sesuatu yang kau tak nak bila semuanya berlaku terlalu pantas? Aku tak diberi masa untuk halang semua ni, Zue. Malah, aku tak diberi peluang langsung pun. Tiap kali aku cuba bagitahu mama aku, dia bidas cakap aku. Dia tetap nak menang. Jadi, macam mana aku nak buat pilihan? Dah memang aku tak diberi pilihan!” Wanita itu mencamurkan isi hatinya panjang lebar. Biarlah… biar Zurina mendengar!
“Hmmm… dah tu kata kau, aku tak boleh nak cakap apa-apa. Bila sesuatu dah berlaku, bermakna itulah takdir kau. Nak tak nak, kau kena jugak terima. Kau kena redha,” kata Zurina, sebagai ulasan. Dia tidak mampu untuk membidas apa-apa lagi.
Khalisah terus membatu, membuang pandangan ke luar tingkap, menangkap udara segar pagi untuk masuk ke saluran pernafasannya serta mencari baki-baki ketenteraman.

DEBARAN di hati semakin kencang mengiringi penantian untuk saat itu. Sedaya upaya debaran itu cuba dikawal dengan bait-bait zikir yang bermain di ulas bibirnya. Ya ALLAH, berilah ketenangan! Doa itu terus diulang-ulang tanpa letih dan jemu.
Pintu biliknya terbuka. Kelibat Datin Izreen yang sentiasa dengan senyuman bahagianya itu muncul. Inilah masanya!
Khalisah mengangkat wajahnya yang terasa berat mahu diangkat, cuba membalas senyuman bahagia bakal ibu mertuanya itu dengan senyumannya yang tetap kelihatan tawar.
Kini Datin Izreen betul-betul berada di depan bakal menantunya yang sedang duduk di birai katil itu, menunggu detik ‘mendebarkan’ yang bakal dilaluinya selepas ini.
Beberapa orang yang turut berada di dalam bilik itu sudah tidak sabar-sabar untuk melihat upacara selepas ini berlangsung. Cahaya daripada kamera tidak putus-putus menyambar wajah manis Khalisah.
Sebuah bekas cincin berwarna merah dikeluarkan dari beg tangan berjenama Datin Izreen. Setelah jari-jemari Khalisah yang diwarnai merah inai itu dihulurkan, perlahan-lahan Datin Izreen menyelitkan jari manisnya dengan sebentuk cincin bertatahkan permata berwarna putih.
Sah, kini dia sudah menjadi tunangan orang. Tunangan kepada Izham!
Mummy sayang Khalisah,” bisik Datin Izreen kepada bakal menantunya itu sebaik cincin emas tersebut selamat tersarung di jari manis Khalisah.
“Terima kasih… mummy.” Agak berat Khalisah hendak mengeluarkan suaranya. Dadanya tiba-tiba sebak.
Tubuh Khalisah tiba-tiba ditarik lembut ke dalam dakapan Datin Izreen, bakal mertuanya. Pelukan mereka bertaut, agak lama.
Mummy percaya yang Khalisah boleh jaga Izham baik-baik. Mummy percaya yang kamu berdua akan bahagia.” Datin Izreen terus berbisik perlahan ke telinga Khalisah, bisikan yang sebenarnya adalah amanat daripada seorang bakal mertua kepada bakal menantunya.
Khalisah tidak mampu lagi menahan cecair hangat untuk untuk mengalir ke pipinya. Kelopak matanya dipejam rapat. “Insya-ALLAH, mummy.”

KITAB ringkasan Riyadus Solihin yang sudah dihadapnya semenjak beberapa jam tadi ditutup. Baru kini terasa keletihan itu sudah menjalar ke mindanya. Matanya dipejam rapat.
“Astaghfirullahalazim…” Faqih beristighfar panjang lalu memicit kening. Cuba menstabilkan otak dan mindanya kembali setelah puas menelaah kitab ulama yang mana telah menjadi kebiasaannya semenjak berada di maahad tahfiz lagi.
Setelah merasakan jiwanya kembali tenang, Faqih bangun dari kerusi meja kerjanya. Lalu meletakkan semula kitab tersebut ke rak buku di dalam biliknya. Dia mahu turun ke dapur. Tekaknya yang kehausan memaksanya berbuat begitu.
Setelah melafazkan basmalah, perlahan-lahan diteguknya air mineral memasuki tekaknya. Alhamdulillah, tekak yang kering terasa dingin kembali.
Seketika kemudian lelaki itu termenung pula di meja makan. Bermacam-macam perkara berlegar di mindanya.
Dan, salah satu perkara yang berlegar di mindanya ialah… Khalisah. Ya, Khalisah turut mendapat tempat di dalam mindanya ketika ini.
Faqih tersenyum sendiri. Hari ini Khalisah bertunang… dengan seorang jejaka yang dia sendiri tidak kenal siapa. Hmmm… apa rasanya ya? Kecewakah dia?
Tidak… dia tidak kecewa. Kenapa pula dia perlu kecewa?
Faqih cuba menyedapkan hati. Segala kenangan sepanjang mengenali wanita itu berputar kembali di ingatan.
Sesekali dia tergelak sendiri. Sememangnya apa yang dapat disimpulkan ialah, kehadirannya banyak membawa ‘bencana’ bagi wanita itu. Tersiram air paip ke wajah manis wanita itu, meletakkan iguana bernama Aaron Aziz ke bahu wanita itu dengan sangkaan yang wanita itu sukakan iguana tersebut, berlanggaran dengan wanita itu ketika sedang membawa pisau berdarah yang digunakan untuk mengkhatankan budak-budak pada ketika itu…
‘Ya ALLAH, teruk betul aku ni rupanya!’ Faqih menongkat dahinya ke meja makan. Bila difikirkan balik, rasa kesal pula dengan perkara-perkara ‘tak senonoh’ yang bukan sengaja dilakukannya terhadap wanita itu. Entahlah… dia tidak tahu kenapa dia boleh jadi begitu setiap kali berhadapan dengan Khalisah!
“Hoi! Ustaz muda ni tengah angau kat awek mana ha?” Sergah Hakimi beserta tepukan yang agak kasar pada belakang rakan serumahnya itu.
Faqih terkujat seketika. Hilang lenyap terus lamunan panjangnya di meja makan itu. “Kau ni, bagilah salam dulu! Nasib baik aku tak ada sakit jantung! Fuhhh…” Jelas benar yang lelaki itu terkejut disergah tiba-tiba.  Turun naik dadanya.
Hakimi tergelak besar. Seronok! “Hahahaha… itulah, lain kali nak berangan carilah tempat tersorok sikit. Ini tak, kau berangan depan aku. Hehehe… cuba cerita sikit, kau tengah ingatkan ‘ustazah’ mana ni sampai termenung kat meja makan?”
“Merapulah kau ni, Kimi! Mana ada siapa-siapa…” Dalih Faqih sungguh-sungguh. Siap dengan dahi yang berkerut-kerut lagi.
Elehhh, yalah tu!
“Humhum… pandai kau ‘kencing’ aku ya, Faqih? Haha, tak apalah. Eh, hari ni kau tak bawak bos kau pergi kerja?” Hakimi duduk di kerusi sebelah Faqih.
Faqih menggeleng. “Tak. Hari ni dia cuti. Anak perempuan dia bertunang. Eh, aku tengok kau happy aje ni? Entah-entah kau yang ada apa-apa!” Lelaki itu cuba mencari peluang beralih ke topik lain. Malas hendak terus memikirkan hal itu.
“Aku kan sentiasa happy. Apa yang kau peliknya? Humhum… malam ni aku nak date dengan awek baru. Baru first time nak tunjuk Preve aku pada dia.” Teruja betul Hakimi memberitahu tentang perancangannya untuk malam itu.
“Kau ni, Kimi. Dua kali lima aje dengan Taufiq tu. Siapa pulak awek kau kali ni?”
“Eh, kau jaga mulut sikit eh! Aku tak adalah teruk macam si Taufiq tu, tukar awek macam tukar baju! Dah awek aku dulu tu curang, aku carilah lain.” Naik juga angin si Hakimi apabila dirinya disamakan dengan si Taufiq yang memang kaki perempuan sejati itu.
Faqih mengherotkan bibir. “Yalah. Aku minta maaf. Tapi, bawak awek dating tanpa ikatan sah pun haram, bro.”
Hakimi tersengih sinis. “Aku tahu, Faqih. Nanti aku taubatlah.” Senang saja dia membuat ‘fatwa’ sendiri!
“Hmmm… suka hati kaulah. Ha, siapa awek baru kau ni? Perempuan yang buat kereta kau kemik tu ke? Ekekeke…” Mengekek Faqih ketawa. Teringat kembali betapa ‘Hulk’nya muka Hakimi ketika insiden ‘malang tidak berbau’ itu berlaku.
“Apa? Minah sengal tu? Hishhh, mintak simpanglah! Tak ingin aku awek macam tu. Hari-hari kena ‘bala’ nanti!” Alah benar si Hakimi jika menyebut perihal perempuan yang telah membuatkan Prevenya tersadai di bengkel buat sehari itu. Sudahlah tu, mulut pun boleh tahan!
Faqih berwajah serius tiba-tiba. Menyebut tentang perempuan itu, serta-merta membuatkan benaknya teringatkan suatu hal. “Hmmm… kau tahu dia siapa? Dia anak saudara majikan aku, Tan Sri Kamarul.”
Hakimi mengangkat kening. “Serius?”
“Yalah.” Faqih menghela nafas sebelum menyambung kata-katanya. “Dia dah tahu siapa aku.”
“Dia dah tahu siapa kau? Maksudnya, dia tahu niat kau bekerja dengan bapak saudara dia?” Hakimi juga ikut serius serta-merta.
Faqih mengangkat bahu. “Lebih kurang. Tapi bukan macam tu.”
“Dia tahu kau ni ustaz ke?” Hakimi berandaian sendiri mendengarkan Faqih masih tidak berterus-terang.
Faqih hanya mengangguk selepas itu. Matanya terus mengecil, sepertinya masih ada sesuatu yang berlegar-legar di kepalanya.

12 comments:

Anonymous said...

bestnyer...update cpt skit yer..xsbr nk tggu ni, kesian lisa kna tnang dgn izham..=(

Anonymous said...

hehe.. cpat2 update tau.. :)

Anonymous said...

hehe.. cpat2 update tau.. :)

Anonymous said...

hehe.. cpat2 update tau.. :)

mariam said...

x sbr nak tggu citer ni d update...hehehe... semoga novel ni dpt diterbitkan dan sy org pertama yg beli tau...heheheh...terbaikkkk

bella said...

bestnye cte ni.. x sabar nk tunggu.. jln cerita yg menarik.. keep it up the good work :)

Anonymous said...

huda : bestnyer... :)

Vampire3kidz said...

lama tgu dkt p2u..rupanya ada kat cne..lega

obat penyakit jantung said...

cukup menarik cerita ini...

Anonymous said...

Bestkn...

Anonymous said...

bestnya crita! Bla nak update g?

As Syura Azalea Rose said...

next chapter please..hehe sy dh bca hbis novel ni tp lepas tngok drama kt astro oasis rasa nak reread balik...