BAB
14
KETIKA
azan
subuh berkumandang nyaring di ruang angkasa, lelaki berusia awal lima puluh-an
itu mencelikkan mata. Dan celik matanya itu tidak sia-sia… kemungkinan buat
pertama kalinya, sendi-sendinya terasa ringan untuk bangun daripada tilam
empuknya… untuk menyahut seruan ILAHI
itu.
Air dingin yang
mengalir dari permukaan paip langsung tidak menggugah semangatnya untuk
meneruskan wuduknya. Walaupun sudah terlalu lama dia meninggalkan ibadah ini,
namun… hari ini dia nekad! Dia tidak mahu kalah pada nafsunya lagi!
Setelah menyarung
songkok yang mana selama ini hanya digunakan untuk menghadiri majlis-majlis
tertentu yang memerlukannya memakai pakaian tradisional, sejadah yang sudah
lama tersimpan kemas di dalam almari dihampar ke permukaan lantai. Diiringi air
mata yang entah kenapa mengalir tidak bersebab…
“Allahu…” Takbiratul
ihram yang baru hendak diangkat tersekat serta-merta.
Masalah! Dia sudah lupa
bagaimana mahu solat… lalu, bagaimana?
Perlahan dia bergerak
menuju ke katil. Wajah wanita yang masih enak diulit mimpi lena di dalam gebar
tebal itu diperhatikan seketika.
“Lydia, bangun. Dah
subuh ni. Kita solat sama-sama?” Bahu isterinya itu disentuh lalu
digerak-gerakkan lembut.
Tiada respon. Wanita
itu memang betul-betul menghayati lenanya.
“Lydia, kita solat jom.
Dah lama kita tak solat,” pujuk si suami. Masih tidak berputus-asa cuba menggerakkan
isterinya itu daripada tidurnya. Sememangnya permulaan ini sungguh sukar!
Beberapa ketika
kemudian, kelopak mata yang tertutup itu mula bergerak-gerak. Semakin lama,
semakin terbuka. “Abang… kenapa?” Terpisat-pisat Puan Sri Lydia memandang suaminya
itu.
“Kita solat subuh jom?”
Tan Sri Kamarul mengulangi ayatnya itu. Buat kesekian kalinya. Namun, dia tetap
tenang.
Puan Sri Lydia merengus
dalam keadaannya yang masih mamai itu. “Apa abang cakap ni? Saya mengantuklah.”
Kepalanya direbahkan semula ke permukaan empuk bantalnya.
“Saya dah lupa macam
mana nak solat. Sebab tu saya ajak awak sekali. Kita belajar sama-sama balik.”
Tan Sri Kamarul tetap bersuara walaupun dia sudah mengetahui apa reaksi yang
bakal diterimanya daripada isterinya itu.
Puan Sri Lydia yang
matanya masih terpejam itu mengerutkan dahi. “Saya manalah tahu, bang. Dah… saya
ngantuk ni. Jangan kacau.” Ada rengusan tidak senang mengakhiri ‘perbualan’
ringkasnya dengan si suami pada subuh yang hening itu.
Tan Sri Kamarul tidak
mampu berbuat apa-apa lagi. Hanya mampu membiarkan isterinya itu terus hanyut
dalam ‘mimpi palsu’.
Lelaki itu kebingungan.
Hamparan sejadah yang hanya menunggu ketibaan seorang insan untuk bersolat di
atasnya itu cuma diperhatikan dengan pandangan kosong yang diselaputi
kebuntuan.
KHALISAH merenung dirinya di cermin.
Dengan baju kurung berwarna putih yang ditaburi manik-manik halus serta sedikit
solekan nipis yang menempel di wajahnya, debaran dalam hati masih belum mampu
dihakis.
Hari ini dia akan
bertunang. Bertunang dengan jejaka yang bernama Izham, jejaka yang tidak pernah
berjaya mencuri hatinya. Namun apa lagi yang boleh dia lakukan untuk menghalang
semua ini daripada berlaku? Semuanya berlaku terlalu pantas dan di belakang
pengetahuannya.
Redha? Ya, dia cuba meredhai
walau jiwa terasa sungguh sakit…. Sangat sakit.
Kaca jernih itu ingin
mengalir lagi, namun cepat-cepat diseka. Semalaman dia menangis seorang diri
dengan hanya ALLAH sebagai tempat mengadunya. Dan kini dia sudah letih untuk
menangis. Solekannya pasti akan luntur jika kaca jernih itu dibiarkan mengalir
kembali.
“Khalisah, jangan
menangis lagi. Sabar ya?” Suara yang baru muncul mengetuk pendengarannya itu
disertai dengan tepukan lembut di bahunya.
Khalisah menggeleng
lemah. “Aku dah tak larat nak menangis, Zue.”
Zurina menghela nafas
kecil. Diam seketika daripada sebarang bicara, memberi ruang kepada ketenangan
untuk menerpa hati sahabatnya yang kini rawan itu.
Khalisah bergerak
tiba-tiba dari terus membatu di depan cermin. Langkahnya dihalakan ke jendela
yang ternganga luas. Bayu dhuha yang bertiup masuk mungkin sedikit sebanyak
dapat meredakan jiwanya yang bercelaru.
“Aku tak sukakan dia,
Zue. Aku tak nak dia. Kenapa dia sanggup buat aku macam ni?” Khalisah kembali
mempertaruhkan emosinya pada tempat yang mungkin membuat luka hatinya berdarah
lagi. Dia tidak sanggup untuk terus memendam.
“Khalisah, rasa suka
memang tak boleh dipaksa. Tapi, kita boleh minta rasa suka untuk datang kepada
kita. Cubalah pelan-pelan, Lisa. Insya-ALLAH, kau boleh. Mungkin bukan hari
ini, tapi kau berdoalah pada ALLAH. Minta dari DIA kekuatan, sekali rasa ‘suka’
yang kau nakkan.” Zurina cuba memberikan nasihatnya dengan penuh hikmah yang
boleh. Sebagai sahabat, semestinya dia tidak mahu melihat sahabatnya itu terus
mempersoalkan apa yang terjadi.
Khalisah diam. Wajahnya
hiba namun tiada air mata yang mengalir. Pemandangan luar terus menjadi saksi
lara hatinya pada pagi itu.
“Aku pasrah, Zue. Dah
ini takdir aku…” Desis Khalisah perlahan, lemah kedengaran.
“Lisa, memang takdir
kita ALLAH yang tentukan. Tapi kita mesti ingat, ALLAH juga bagi peluang untuk
kita buat pilihan dalam hidup kita. Kalau betullah kau memang tak mahukan
Izham, kenapa kau biarkan semua ni berlaku?” Persoal Zurina. Tanda tanya
tentang mengapa Khalisah begitu mudah ‘mengalah’ untuk membiarkan semua ini
berlaku berlegar-legar di minda Zurina semenjak sahabatnya itu memberitahu akan
bertunang dengan Izham.
Khalisah ketawa kecil,
ketawa sinikal yang berselirat dengan kekecewaan. “Kau cakap dengan aku, Zue.
Macam mana kau nak nafikan sesuatu yang kau tak nak bila semuanya berlaku
terlalu pantas? Aku tak diberi masa untuk halang semua ni, Zue. Malah, aku tak
diberi peluang langsung pun. Tiap kali aku cuba bagitahu mama aku, dia bidas
cakap aku. Dia tetap nak menang. Jadi, macam mana aku nak buat pilihan? Dah
memang aku tak diberi pilihan!” Wanita itu mencamurkan isi hatinya panjang
lebar. Biarlah… biar Zurina mendengar!
“Hmmm… dah tu kata kau,
aku tak boleh nak cakap apa-apa. Bila sesuatu dah berlaku, bermakna itulah
takdir kau. Nak tak nak, kau kena jugak terima. Kau kena redha,” kata Zurina,
sebagai ulasan. Dia tidak mampu untuk membidas apa-apa lagi.
Khalisah terus membatu,
membuang pandangan ke luar tingkap, menangkap udara segar pagi untuk masuk ke
saluran pernafasannya serta mencari baki-baki ketenteraman.
DEBARAN di hati semakin kencang
mengiringi penantian untuk saat itu. Sedaya upaya debaran itu cuba dikawal
dengan bait-bait zikir yang bermain di ulas bibirnya. Ya ALLAH, berilah
ketenangan! Doa itu terus diulang-ulang tanpa letih dan jemu.
Pintu biliknya terbuka.
Kelibat Datin Izreen yang sentiasa dengan senyuman bahagianya itu muncul.
Inilah masanya!
Khalisah mengangkat
wajahnya yang terasa berat mahu diangkat, cuba membalas senyuman bahagia bakal
ibu mertuanya itu dengan senyumannya yang tetap kelihatan tawar.
Kini Datin Izreen
betul-betul berada di depan bakal menantunya yang sedang duduk di birai katil
itu, menunggu detik ‘mendebarkan’ yang bakal dilaluinya selepas ini.
Beberapa orang yang
turut berada di dalam bilik itu sudah tidak sabar-sabar untuk melihat upacara
selepas ini berlangsung. Cahaya daripada kamera tidak putus-putus menyambar
wajah manis Khalisah.
Sebuah bekas cincin
berwarna merah dikeluarkan dari beg tangan berjenama Datin Izreen. Setelah
jari-jemari Khalisah yang diwarnai merah inai itu dihulurkan, perlahan-lahan
Datin Izreen menyelitkan jari manisnya dengan sebentuk cincin bertatahkan
permata berwarna putih.
Sah, kini dia sudah
menjadi tunangan orang. Tunangan kepada Izham!
“Mummy sayang Khalisah,” bisik Datin Izreen kepada bakal menantunya
itu sebaik cincin emas tersebut selamat tersarung di jari manis Khalisah.
“Terima kasih… mummy.” Agak berat Khalisah hendak
mengeluarkan suaranya. Dadanya tiba-tiba sebak.
Tubuh Khalisah tiba-tiba
ditarik lembut ke dalam dakapan Datin Izreen, bakal mertuanya. Pelukan mereka
bertaut, agak lama.
“Mummy percaya yang Khalisah boleh jaga Izham baik-baik. Mummy percaya yang kamu berdua akan
bahagia.” Datin Izreen terus berbisik perlahan ke telinga Khalisah, bisikan
yang sebenarnya adalah amanat daripada seorang bakal mertua kepada bakal
menantunya.
Khalisah tidak mampu
lagi menahan cecair hangat untuk untuk mengalir ke pipinya. Kelopak matanya
dipejam rapat. “Insya-ALLAH, mummy.”
KITAB ringkasan Riyadus Solihin yang
sudah dihadapnya semenjak beberapa jam tadi ditutup. Baru kini terasa keletihan
itu sudah menjalar ke mindanya. Matanya dipejam rapat.
“Astaghfirullahalazim…”
Faqih beristighfar panjang lalu memicit kening. Cuba menstabilkan otak dan
mindanya kembali setelah puas menelaah kitab ulama yang mana telah menjadi
kebiasaannya semenjak berada di maahad tahfiz lagi.
Setelah merasakan
jiwanya kembali tenang, Faqih bangun dari kerusi meja kerjanya. Lalu meletakkan
semula kitab tersebut ke rak buku di dalam biliknya. Dia mahu turun ke dapur.
Tekaknya yang kehausan memaksanya berbuat begitu.
Setelah melafazkan
basmalah, perlahan-lahan diteguknya air mineral memasuki tekaknya.
Alhamdulillah, tekak yang kering terasa dingin kembali.
Seketika kemudian
lelaki itu termenung pula di meja makan. Bermacam-macam perkara berlegar di
mindanya.
Dan, salah satu perkara
yang berlegar di mindanya ialah… Khalisah. Ya, Khalisah turut mendapat tempat
di dalam mindanya ketika ini.
Faqih tersenyum
sendiri. Hari ini Khalisah bertunang… dengan seorang jejaka yang dia sendiri
tidak kenal siapa. Hmmm… apa rasanya ya? Kecewakah dia?
Tidak… dia tidak
kecewa. Kenapa pula dia perlu kecewa?
Faqih cuba menyedapkan
hati. Segala kenangan sepanjang mengenali wanita itu berputar kembali di ingatan.
Sesekali dia tergelak
sendiri. Sememangnya apa yang dapat disimpulkan ialah, kehadirannya banyak
membawa ‘bencana’ bagi wanita itu. Tersiram air paip ke wajah manis wanita itu,
meletakkan iguana bernama Aaron Aziz ke bahu wanita itu dengan sangkaan yang
wanita itu sukakan iguana tersebut, berlanggaran dengan wanita itu ketika
sedang membawa pisau berdarah yang digunakan untuk mengkhatankan budak-budak
pada ketika itu…
‘Ya ALLAH, teruk betul
aku ni rupanya!’ Faqih menongkat dahinya ke meja makan. Bila difikirkan balik,
rasa kesal pula dengan perkara-perkara ‘tak senonoh’ yang bukan sengaja
dilakukannya terhadap wanita itu. Entahlah… dia tidak tahu kenapa dia boleh
jadi begitu setiap kali berhadapan dengan Khalisah!
“Hoi! Ustaz muda ni
tengah angau kat awek mana ha?” Sergah Hakimi beserta tepukan yang agak kasar
pada belakang rakan serumahnya itu.
Faqih terkujat
seketika. Hilang lenyap terus lamunan panjangnya di meja makan itu. “Kau ni,
bagilah salam dulu! Nasib baik aku tak ada sakit jantung! Fuhhh…” Jelas benar
yang lelaki itu terkejut disergah tiba-tiba.
Turun naik dadanya.
Hakimi tergelak besar.
Seronok! “Hahahaha… itulah, lain kali nak berangan carilah tempat tersorok
sikit. Ini tak, kau berangan depan aku. Hehehe… cuba cerita sikit, kau tengah
ingatkan ‘ustazah’ mana ni sampai termenung kat meja makan?”
“Merapulah kau ni,
Kimi! Mana ada siapa-siapa…” Dalih Faqih sungguh-sungguh. Siap dengan dahi yang
berkerut-kerut lagi.
Elehhh, yalah tu!
“Humhum… pandai kau
‘kencing’ aku ya, Faqih? Haha, tak apalah. Eh, hari ni kau tak bawak bos kau
pergi kerja?” Hakimi duduk di kerusi sebelah Faqih.
Faqih menggeleng. “Tak.
Hari ni dia cuti. Anak perempuan dia bertunang. Eh, aku tengok kau happy aje ni? Entah-entah kau yang ada
apa-apa!” Lelaki itu cuba mencari peluang beralih ke topik lain. Malas hendak
terus memikirkan hal itu.
“Aku kan sentiasa happy. Apa yang kau peliknya? Humhum…
malam ni aku nak date dengan awek
baru. Baru first time nak tunjuk
Preve aku pada dia.” Teruja betul Hakimi memberitahu tentang perancangannya
untuk malam itu.
“Kau ni, Kimi. Dua kali
lima aje dengan Taufiq tu. Siapa pulak awek kau kali ni?”
“Eh, kau jaga mulut
sikit eh! Aku tak adalah teruk macam si Taufiq tu, tukar awek macam tukar baju!
Dah awek aku dulu tu curang, aku carilah lain.” Naik juga angin si Hakimi
apabila dirinya disamakan dengan si Taufiq yang memang kaki perempuan sejati
itu.
Faqih mengherotkan
bibir. “Yalah. Aku minta maaf. Tapi, bawak awek dating tanpa ikatan sah pun haram, bro.”
Hakimi tersengih sinis.
“Aku tahu, Faqih. Nanti aku taubatlah.” Senang saja dia membuat ‘fatwa’
sendiri!
“Hmmm… suka hati kaulah.
Ha, siapa awek baru kau ni? Perempuan yang buat kereta kau kemik tu ke?
Ekekeke…” Mengekek Faqih ketawa. Teringat kembali betapa ‘Hulk’nya muka Hakimi
ketika insiden ‘malang tidak berbau’ itu berlaku.
“Apa? Minah sengal tu?
Hishhh, mintak simpanglah! Tak ingin aku awek macam tu. Hari-hari kena ‘bala’
nanti!” Alah benar si Hakimi jika menyebut perihal perempuan yang telah
membuatkan Prevenya tersadai di bengkel buat sehari itu. Sudahlah tu, mulut pun
boleh tahan!
Faqih berwajah serius
tiba-tiba. Menyebut tentang perempuan itu, serta-merta membuatkan benaknya
teringatkan suatu hal. “Hmmm… kau tahu dia siapa? Dia anak saudara majikan aku,
Tan Sri Kamarul.”
Hakimi mengangkat
kening. “Serius?”
“Yalah.” Faqih menghela
nafas sebelum menyambung kata-katanya. “Dia dah tahu siapa aku.”
“Dia dah tahu siapa
kau? Maksudnya, dia tahu niat kau bekerja dengan bapak saudara dia?” Hakimi
juga ikut serius serta-merta.
Faqih mengangkat bahu.
“Lebih kurang. Tapi bukan macam tu.”
“Dia tahu kau ni ustaz
ke?” Hakimi berandaian sendiri mendengarkan Faqih masih tidak berterus-terang.
Faqih hanya mengangguk
selepas itu. Matanya terus mengecil, sepertinya masih ada sesuatu yang
berlegar-legar di kepalanya.
12 comments:
bestnyer...update cpt skit yer..xsbr nk tggu ni, kesian lisa kna tnang dgn izham..=(
hehe.. cpat2 update tau.. :)
hehe.. cpat2 update tau.. :)
hehe.. cpat2 update tau.. :)
x sbr nak tggu citer ni d update...hehehe... semoga novel ni dpt diterbitkan dan sy org pertama yg beli tau...heheheh...terbaikkkk
bestnye cte ni.. x sabar nk tunggu.. jln cerita yg menarik.. keep it up the good work :)
huda : bestnyer... :)
lama tgu dkt p2u..rupanya ada kat cne..lega
cukup menarik cerita ini...
Bestkn...
bestnya crita! Bla nak update g?
next chapter please..hehe sy dh bca hbis novel ni tp lepas tngok drama kt astro oasis rasa nak reread balik...
Post a Comment