BAB
12
MASA
senggang
pada petang itu betul-betul dinikmati oleh jejaka-jejaka tersebut. Kafe Pandan
Jaya menjadi destinasi pilihan mereka untuk melepak dan membuang masa. Di atas
meja, beberapa cawan kopi berlonggokan. Mana tidaknya, habis secawan, pesan
lagi dua cawan!
Faqih menghirup teh o
panas yang mana menjadi pesanannya yang kelima pada petang itu. Setelah puas
menghirup kopi, sekarang dia mahu menikmati kesedapan air teh pula.
“Hmmm… petang ni kenapa
aku rasa relaks aje eh? Biasanya waktu-waktu macam nilah kepala aku lagi
berserabut!” Taufiq meluahkan rasa aneh yang mewarnai perasaannya ketika ini.
Matanya mengecil memandang ke arah jalan raya yang bersusun dengan kereta.
Maklumlah, sudah namanya pun Kuala Lumpur. Mana pernah sunyi!
Faqih meletakkan cawan
berisi teh yang sudah hampir separuh dihirupnya ke atas meja. Tawa kecilnya
meletus. “Sebab kau cuti hari ni. Sebab tu kau rasa relaks.”
“Bukan, Faqih. Selama
ni aku happy dengan kerja aku. Hmmm…
mungkin sebab hari ni aku tak dikelilingi perempuan kut. Yalah, kadang-kadang
aku rasa diorang tu bukan lagi buat aku bahagia, lagi serabutkan kepala otak
aku adalah.” Taufiq menjawab soalan yang membelenggu mindanya sendiri akhirnya.
Bukan dia tidak tahu pun…
“Perempuan-perempuan?
Dahsyatnya kau!” Faqih bernada sinis. Faham benar dia dengan tabiat rakan
serumahnya itu. Perempuan memang ‘barang’ mainannya. Cakaplah sesiapa pun. Yang
tinggi, pendek, kurus, gemuk, comel, kaya? Semuanya ada!
Taufiq mengerling ke
arah Faqih. “Kau perli aku, ya? Hmmm… entahlah, Faqih. Dah diorang sendiri rela
jadi ‘mainan’, aku sebagai lelaki apa lagi? Jalankanlah tanggungjawab aku!
Hehe…” Ada ketawa nakal menyusul di penghujung ayatnya.
Faqih menggeleng
perlahan dengan dahi yang berkerut. “Taufiq, Taufiq, dah tahu
perempuan-perempuan tu rela kena ‘main’, sepatutnya tanggungjawab kau bimbing
diorang, nasihat diorang. Bukan lagi kau join
‘kejahilan’ diorang! Humhum…”
Taufiq hanya diam
selepas itu. Tidak tahulah sama ada dia menerima atau masuk telinga kanan,
keluar telinga kiri saja terhadap kata-kata rakan serumahnya itu.
“Kau tak balik kampung,
Taufiq?” Tanya Faqih, menyedari kesepian semakin tercetus.
Wajah Taufiq berubah
sebaik mendengar pertanyaan lelaki itu. Tampak jelas riak kegusaran dan kegelisahan
merona di wajahnya. “Balik kampung? Humhum… buat apa, Faqih? Siapa nak terima
aku kat kampung tu?”
“Bapak kau kan ada?
Dialah yang terima kau nanti.”
Taufiq menggeleng. Kini
riak kesal pula jelas di mukanya. “Dia mana pernah terima aku lagi lepas kahwin
dengan perempuan tak guna tu! Entahlah… biarlah dia. Aku pun boleh buktikan
yang aku bahagia walaupun dia tak ada. Aku tak perlukan dia pun. Hmmm… lainlah
kalau mak aku hidup lagi.” Sayu nada itu kedengaran pada akhirnya.
Faqih tergamam. Bicara
Taufiq yang mana lebih kepada luahan hatinya sebagai seorang anak yang
‘dibuang’ oleh bapanya sendiri itu sedikit sebanyak menimbulkan simpatinya.
Tidak tahulah di mana silapnya, bapa Taufiq tiba-tiba saja tidak mengakuinya
sebagai anak selepas beberapa bulan berkahwin dengan perempuan yang entah dari
mana datangnya setelah kematian arwah isterinya.
Kebetulan, Taufiq
sedang menyambung pengajian di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur ketika
itu, maka tamat sahaja pengajian, dia tidak pulang-pulang langsung ke kampung.
Sehinggalah hari ini.
“Hmmm… aku minta maaf.
Tapi, satu hari nanti kau kena jugak mengalah, Taufiq. Walau apa pun yang dia
buat, dia tetap bapak kau,” ulas Faqih sebagai penutup kepada topik
perbincangan mereka… yang mana agak mengganggu seketika ‘ketenteraman’ yang
sedang asyik dinikmati.
Taufiq mengangkat bahu.
“Alright.” Lalu menghirup semula
kopinya yang masih bersisa. Apa lagi yang boleh dia katakan?
Faqih juga diam selepas
itu. Malas hendak membuka ‘isu’ baru lagi. Silap-silap ketenangan yang sedang
dinikmati ini akan hancur musnah begitu saja. Walhal, dia baru hendak
merehatkan jiwa dan minda yang entah kenapa… agak bercelaru semenjak dua menjak
ini. Tidak pasti pula kenapa jiwanya bercelaru.
Namun, seandainya dia rebah…
ALLAH itu masih ada!
HARI ini sekali lagi dia menjadi
‘perisik’ tidak berbayar untuk mengintip lelaki yang kini diragui ‘statusnya’
itu. Adriana setia menunggu di luar Kafe Pandan Jaya… memerhati gerak-geri
lelaki bernama Faqih itu dari tadi.
Hampir sejam juga dia
menunggu. Walaupun sudah beberapa kali dia menguap di dalam keretanya itu,
namun istilah berputus asa tidak muncul dalam kamus hidupnya.
Memang, selagi
teka-teki tentang siapa sebenarnya lelaki bernama Faqih itu belum berjawab, dia
akan bertungkus-lumus mencari jawapan sendiri!
Tetapi… kenapa pula dia
perlu bersusah-payah hendak mengetahui perihal sebenar lelaki itu? Apa
tujuannya pula?
Adriana menegakkan
badannya serta-merta sebaik melihat kelibat lelaki yang diyakininya sebagai
Faqih itu keluar dari kafe tersebut. Lelaki itu tidak keseorangan… ada seorang lelaki lain turut bersama-samanya.
‘Kawan dia agaknya,’
getus Adriana dalam hati. Matanya terus mengekori langkah lelaki itu dan…
‘Aih, hari ni pakai
motosikal buruk pulak?’ Adriana menggaru-garu kepala melihat lelaki yang
diintipnya itu sedang menghidupkan enjin sebuah motosikal Honda petak. Dan kali
ini, Adriana tidak silap. Memang itulah motosikal yang ditunggangi oleh Faqih
ketika di rumah Khalisah tempoh hari.
Lalu, siapa pula lelaki
seiras Faqih yang menunggangi motosikal Ducati itu semalam?
Adriana tidak mahu
ketinggalan jejak. Lantas, selepas motosikal Faqih mula meredah jalan, wanita
itu pula menurunkan brek. Walau apapun, ‘penyiasatan’ perlu diteruskan!
KALI ini, hasil mengikut jejak motosikal
Honda petak itu telah membawa Mini Cooper Adriana masuk ke kawasan perumahan
rumah teres dua tingkat biasa. Rumah orang yang berada di kelas sederhana
berbanding semalam.
Adriana terus mengekor.
Jaraknya dengan motosikal lelaki itu tetap dijaga agar lelaki itu tidak perasan
yang dia sedang diekori. Rakan lelaki itu yang turut menaiki sebuah motosikal
lain entah ke mana-mana menghilang semenjak dari Kafe Pandan Jaya tadi.
Biarlah… Adriana hanya mahu mengintip jejaka bernama Faqih itu seorang.
Motosikal Faqih
akhirnya selamat terparkir di perkarangan sebuah rumah teres dua tingkat yang
kedua dari hujung. Masih tidak perasan yang gerak-gerinya sedang diperhatikan
oleh wanita itu.
‘Hari ni dia bawak
motosikal buruk, balik rumah biasa…. semuanya biasa-biasa. Tapi siapa pulak
yang aku nampak semalam?’ Adriana terus bermain dengan teka-teki. Kemungkinan
bahawa dia telah tersalah lihat semalam semakin meninggi. Namun, mengapa dia
begitu yakin bahawa lelaki yang menunggang Ducati itu memang benar-benar Faqih,
jejaka tampan yang berjaya mencairkan hatinya tatkala pertama kali berjumpa?
Adriana menurunkan brek
untuk memastikan lagi apa yang dilihatnya. Keretanya terus bergerak perlahan
sehinggalah ruang udara bergema dengan bunyi dentuman kecil bertingkah dengan
bunyi hon yang agak kuat dari arah belakang!
Wanita itu tersentak.
Darah merah terasa seperti berhenti mengalir. Sungguh dia terlalu terkejut
dengan ‘sergahan’ itu!
Adriana mengerling ke
arah cermin pandang belakang yang tergantung, seorang lelaki keluar dari Proton
Preve yang berada di belakang keretanya.
Kaget! Peluh mula
membasahi dahinya. Oh TUHAN, apa yang telah dia lakukan???
Adriana tiada pilihan
lain. Dia terpaksa juga keluar dari keretanya.
“Kau ni reti bawak
kereta ke tak? Kau tengok apa yang kau dah buat pada kereta aku?” Marah lelaki,
pemilik Proton Preve yang telah berlanggaran dengan belakang Mini Cooper
Adriana itu. Tiada langsung riak ceria atau bahagia merona di wajahnya yang sedang
merah padam menanggung kemarahan. Mana tidaknya, kereta yang baru saja
dibelinya dua bulan lepas sudah kemik di depan!
Adriana terketar-ketar.
Dia tidak sengaja… dan dia tidak sedar yang dia telah tertekan brek secara
mengejut ketika leka memerhatikan gerak-geri Faqih di perkarangan rumah teres
itu.
“Aku tahulah kau bawak
kereta mahal! Tapi bukan kau boleh suka-suka hati bila nak jalan, bila nak
berhenti! Jalan ni bukan kau punya! Sekarang siapa nak tanggung Preve aku yang dah kemik tu?” Lelaki itu nampaknya naik
angin benar atas ‘kecacatan’ yang telah berlaku pada kereta baharunya. Tempikan
demi tempikan terus dihamburkan.
Sementara Adriana,
terus kelu. Beserta tangan yang sudah sejuk menggigil. Arghhh, kenapa boleh
jadi macam ni???
Dan kekalutan itu
bertambah sebaik menyedari lelaki yang diintipnya, iaitu Faqih sedang keluar
dari rumah, menuju ke arah mereka. Ah, nampaknya lelaki itu sudah mengetahui
kekecohan yang sedang melanda betul-betul di hadapan rumahnya!
Adriana makin kalut.
Semakin tidak tahu perkataan apa yang perlu diucapkan!
“Woi, kau bisu ke pekak
ke? Aku cakap dengan kaulah, perempuan!!!” Pemilik Preve itu tidak mampu lagi
menanggung amarahnya yang membara. Menengking juga dia akhirnya setelah
tempikan demi tempikannya hanya dibalas dengan kebisuan wanita yang telah
melanggar keretanya itu!
“Astaghfirullahalazim,
Hakimi! Kenapa ni?” Faqih terpaksa ikut masuk campur setelah melihat amarah
rakannya, juga pemilik Preve itu mencapai tahap maksimum. Bahu lelaki itu
ditepuk-tepuknya separuh kasar.
“Ssaya… saya minta
maaf. Sayaa… nanti saya tanggung kos baiki Preve awak.” Adriana bersuara juga
akhirnya walaupun tersekat-sekat. Tanpa disedari, ada manik jernih mula
bertitisan dari pelupuk matanya. Ya, dia sedang menangis.
“Heiii, aku…” Hakimi
menaikkan telapak tangannya. Hampir-hampir saja dilayangkan ke pipi perempuan
itu.
Adriana tersentak.
Telapak tangan sudah ditekupkan ke mukanya.
“Nauzubillah… sabar,
Kimi! Sabar!” Faqih pantas menghalang tangan yang sudah dihayun tinggi itu.
Suaranya juga terpaksa ditinggikan. Dalam keadaan begini, cara lembut tidak
boleh digunakan lagi. Hakimi memang sudah hilang ‘kewarasan’.
“Kereta aku, Faqih!
Macam mana aku nak sabar???” Tidak pasal-pasal, si Faqih pula menjadi mangsa
herdikannya.
“Ya, ya… aku tahu tu
kereta kau. Tapi kau sabarlah. Kan dia dah cakap nak tanggung kos baiki kereta
kau?” Faqih separuh menjerit.
Adriana menurunkan
telapak tangan yang menutupi wajahnya perlahan-lahan. Jelas sepasang mata
bundarnya sudah merah… menunjukkan tangisannya mengalir agak deras bercampur
hati yang kini patah seribu. Selepas satu, satu masalah lain pula menimpa…
kenapa hidupnya asyik dirundung malang semenjak dua menjak ini?
“Ya… saya janji. Saya
akan bayar ganti rugi…” Sayup-sayup wanita itu bersuara, diselangi dengan
esakan yang tidak dapat diselindungi.
Faqih terkesima
sebentar melihat wajah yang sembab dengan air mata itu. Serasanya dia mengenali
wanita di hadapannya ini.
“Ha, bagus! Pakai
kereta mahal takkanlah nak lari macam tu aje kan?” Hakimi yang masih panas hati
belum puas mengherdik. Butang atas baju kemejanya dibuka… memberi ruang kepada
udara luar untuk menyejukkan dada yang masih hangat membakar.
“Ya, saya tahu salah
saya. Awak bagi nombor telefon. Dah siap nanti call aje saya. Saya tak lari mana,” tegas Adriana. Tidak tahan
asyik terus diherdik. Macamlah dia tidak punya maruah!
Hakimi merengus.
Pegangan Faqih pada bahunya ditepis kasar. Seketika kemudian, dengan suara yang
masih kedengaran macam mahu cari gaduh, dia memberitahukan nombor telefonnya
kepada wanita itu.
Faqih hanya mampu
menggeleng kepala melihat kelakuan rakan serumahnya itu. Tidak habis-habis
dengan barannya!
Namun, seketika
kemudian, mata Faqih kembali tertumpu pada wanita yang sedang rancak menaip
nombor telefon Hakimi pada telefon pintarnya itu. Ya, dia mengenali wanita ini.
Wanita inilah yang dijumpainya ketika berada di rumah Tan Sri Kamarul,
majikannya tempoh hari. Dan wanita ini jugalah yang telah memandangnya seperti
hendak menerkam dirinya saja, hingga dia merasakan yang dia telah ‘dibogelkan’
oleh pandangan tajam wanita itu!
Lalu, kenapa wanita ini
boleh pula tiba-tiba muncul di hadapan rumahnya? Siap berlanggaran lagi dengan
kereta Hakimi!
“Okey. Aku percayakan
kau. Nanti lepas aku dah betulkan kereta aku, aku cari kau! Kalau kau menipu,
aku cari kau sampai lubang biawak!” Hakimi sempat menghamburkan lagi sisa-sisa
amarahnya yang tidak berkesudahan.
Adriana membuat muka
pelik. Namun seketika kemudian, wajahnya mula menunjukkan riak orang menyampah.
Sepertinya kesedihan hatinya sudah berakhir… namun berganti pula dengan rasa
meluat!
‘Hei, lelaki ni tak
layak jadi boyfriend aku!’ Sempat
hatinya berdesis.
“Errr… cik… ni cik yang
saya jumpa kat rumah Tan Sri Kamarul ke?” Barulah kini Faqih berpeluang
mengutarakan pertanyaannya.
Adriana membulatkan
matanya. Ah, baru kini dia sedar akan tujuan asal mengapa dia berada di sini!
“Errr… ya. Saya
Adriana.” Adriana memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangannya untuk
bersalaman dengan lelaki itu.
Faqih pantas
menggeleng. “Saya minta maaf. Kita tak boleh bersentuhan sebab kita bukan
mahram,” jelas lelaki itu. Tenang saja suaranya.
“Owh, tak apa. Errmmm…
saya pergi dulu!” Adriana terus saja menuju ke keretanya tanpa sebarang ucapan
selamat tinggal. Terpinga-pinga jugalah Faqih di situ… serasanya dia tidak
salah cakap tadi.
Seketika kemudian, Mini
Cooper wanita yang bernama Adriana itu hilang dari pandangan.
“Kau kenal minah sengal
tu?” Tegur Hakimi. Eh, tidak sedar pula yang dia masih berada di situ!
Faqih mengerutkan dahi.
“Hmmm… aku masuk dalam dulu.” Soalan itu dibiarkan tergantung begitu saja.
7 comments:
best sangat.. thumbs up akak.. ^_^
terima kasih. teruskan mnyokong ye :D
mne smbungnnye???
saya akan post nnti ye... tunggu tau :)))
tertanya2 juga...apa pekerjaan Faqih yg sbnrnya? apa yg dicri? dia dduk mana sbnrnya? apa kelulusannya? pelik2...hmmmmm truskn smbgnnya ya... tunggu ni
dari bab 1 - 12, semuanya tanda soal.bila nak jawab sikit2 ni.teruja nak tau
cukup menarik cerita ini,sukses saja....
Post a Comment