Tuesday, February 5, 2013

Imam Mudaku Romantik! 11


BAB 11
“IZHAM!”
Lelaki yang baru saja hendak meloloskan tubuh tinggi lampainya itu ke dalam kereta membantutkan niatnya sebaik mendengar namanya dilaung agak kuat.
Wanita yang berambut panjang beralun itu membuka langkahnya kembali melihat lelaki yang dipanggilnya itu tidak jadi masuk ke dalam kereta.
“Adriana! Kenapa ni?” Izham meriak wajah tidak senang.
Adriana mengambil nafas dalam sebelum mengumpul semula kekuatan untuk membuka bicaranya. “Izham… ermmm… you sibuk?”
“Errr… I sibuklah jugak. Ada meeting lepas ni,” beritahu Izham sambil melihat jam tangannya.
Adriana mengeluh. Dia sudah muak mendengar alasan yang bermacam-macam diberikan oleh lelaki itu setiap kali berhadapan dengannya. Tiada perasaan langsungkah lelaki itu terhadapnya yang sudah menunggu empat tahun ini?
“You nak cakap, cakap ajelah kat sini.” Izham berpeluk tubuh, acuh tidak acuh saja dia melayan wanita yang juga rakannya semasa di universiti dahulu itu.
“Izham, I harap you faham apa yang I rasa. I… I sukakan you.” Entah kenapa, setelah empat tahun, hari ini Adriana berani berterus-terang kepada lelaki itu.
Namun, Izham tidak terkejut dengan luahan itu. Sudah lama dia mengetahui yang Adriana menyimpan perasaan terhadapnya. Lalu, apa yang boleh dilakukannya? Dia tidak menginginkan wanita itu pun!
“Izham, you dengar  tak?” Adriana meninggikan sedikit suaranya melihat lelaki itu tidak bereaksi.
Izham memeluk tubuh. Wajah Adriana dipandangnya redup. “I minta maaf, Adriana. I tak boleh terima you.”
“Kenapa?” Adriana tidak mahu mengalah. Dia mahukan alasan!
“Sebab… I cuma anggap you sebagai kawan biasa.” Izham teragak-agak menyebutkan hal itu. Walau sebenarnya, dia punya alasan yang lebih kukuh. Ya, kerana hatinya sudah diisi dengan insan lain.
Adriana memegang lengan lelaki itu tiba-tiba. Pandangannya dihalakan betul-betul ke dalam anak mata lelaki itu.
Izham tersentak. Tidak sempat dia hendak menghalang perlakuan itu. Segalanya berlaku di luar jangkaan.
“I betul-betul cintakan you, Izham. Empat tahun I pendamkan rasa ni. Please, Izham. Takkan you tak ada rasa langsung untuk terima cinta I?” Adriana sudah seperti orang yang terdesak. Merayu kepada lelaki itu mungkin jalan terakhir yang belum dicubanya. Mungkin juga nasib baiknya ada di situ?
Namun, Izham tetap bereaksi sama. Menggeleng menunjukkan yang dia memang benar-benar tidak mahu!
“Izham…” Adriana hilang kata-kata.
“Sudahlah, Adriana. Lupakanlah semua ni. I doakan you jumpa dengan orang yang lebih baik daripada I.” Izham menurunkan pegangan Adriana pada lengannya. Sememangnya dia muktamad dengan keputusannya.
“Sampai hati you, Izham.” Adriana tidak mampu menahan cecair jernih mengalir ke pipinya. Kolam matanya sudah pecah diiringi kekecewaan yang sukar hendak ditafsirkan.
“I minta maaf. Tapi I tak boleh nak tipu diri I. I…”
“I tahu you sukakan Khalisah. I tahu you memang ada hati pada dia. Itu sebabnya you tak boleh terima I. I tahu, Izham.” Adriana memintas percakapan Izham yang teragak-agak… meluahkan lagi satu hal yang terbuku di dasar hati.
Izham kelu. Kali ini, dia pula yang hilang kata-kata. Adriana sudah mengetahui. Jadi, apa lagi? Sepatutnya Adriana perlu lebih memahami bukan lagi mendesak dirinya!
“Ya, memang I cintakan Khalisah. I harap you faham,” akui Izham akhirnya.
Adriana tunduk. Kini dia tidak nampak di mana ruang untuknya lagi. Semuanya sudah jelas…
Dari jauh, Khalisah hanya memerhati perbualan antara lelaki dan wanita itu. Namun, sayangnya Khalisah tidak dapat mendengar walau sebutir pun bicara mereka. Tetapi yang pasti, perbualan itu bukanlah sesuatu yang indah. Kerana wajah kedua-dua mereka tidak menampakkan langsung riak bahagia.

ADRIANA tidak mampu meneruskan perjalanannya lagi. Air mata yang tidak berhenti-henti mengalir bagai meruntuhkan segala kekuatan dirinya. Terasa sendi-sendinya lemah semenjak peristiwa tadi.
Brek diangkat. Di tepi jalan raya yang agak lengang dengan kenderaan itu, Adriana memarkir keretanya. Duduk termenung memikirkan nasibnya sambil mencari-cari sisa ketenangan...
Penantiannya selama empat tahun ini terasa sia-sia saja. Izham langsung tidak menunjukkan minat untuk menerima cintanya. Lebih melukakan lagi, lelaki itu telah pun mengakui akan cintanya terhadap Khalisah…
“Arghhhh!!!”
Adriana menampar-nampar setereng keretanya. Kali ini emosinya tidak dapat dikawal lagi. Dia perlu menjerit bagi meredakan segala kekusutan jiwa!
Setelah puas melayan air mata, barulah Adriana merasakan ada sedikit kekuatan untuknya meneruskan perjalanan. Cecair jernih yang mengalir diseka-seka dengan telapak tangannya. Sudahlah air mata!
Namun, ketika Adriana baru saja hendak menghidupkan enjin keretanya semula, matanya tertancap pada sebuah motosikal mewah Ducati 848 Evo berhenti di hadapan keretanya yang berdekatan dengan gerai menjual burger.
Adriana terus memerhatikan penunggang motosikal itu membuka helmetnya.
Lalu terbeliak biji mata wanita itu serta-merta!
Faqih!
Penunggang motosikal itu kemudiannya menghampiri gerai menjual burger bersebelahan dengan tempatnya memarkir motosikal Ducatinya.
Sementara Adriana masih melongo. Matanya yang masih sembab dengan sisa air mata digosok-gosok. Betulkah apa yang dilihatnya sekarang ini? Betulkah ini mamat hensem yang ditemuinya di rumah sepupunya tempoh hari? Tapi… tidak silapnya mamat hensem itu hanya bekerja sebagai pemandu dan memakai motosikal buruk!
Takkanlah… Macam mana pula tiba-tiba boleh pakai Ducati ni???
Adriana hampir sesak nafas. Hendak kata yang dia salah tengok, tetapi memang betul lelaki yang sedang membeli burger itulah mamat hensem yang pernah dijumpainya! Dia yakin dia tidak salah orang. Dia masih ingat wajah tampan itu sehingga kini…
Penunggang motosikal yang seiras Faqih itu kembali mendapatkan motosikalnya semula. Selepas menyarung helmet HJC di kepalanya, enjin Ducati itu dihidupkan. Seperti tidak menyedari langsung yang gerak-gerinya diperhatikan oleh pemandu Mini Cooper yang berada di belakang motosikalnya itu semenjak tadi.
Adriana mengherotkan bibir. Tidak… dia tidak akan membiarkan sebarang tanda tanya tergantung tanpa jawapan! Dia akan mencari jawapannya sendiri!
Seketika selepas Ducati mewah itu meluncur laju di atas jalan, Adriana menurunkan breknya, turut meredah jalan raya dengan kelajuan yang setara untuk mengejar Ducati itu!

TANDA tanya yang menghantui mindanya semenjak tadi semakin bertimbun pula nampak gayanya. Adriana tidak culas mengekori motosikal Ducati yang penunggangnya mempunyai wajah mirip Faqih, pemandu bapa saudaranya itu dengan Mini Coopernya.
Sehinggalah, motosikal itu memasuki sebuah kawasan perumahan mewah… dan, sekali lagi Adriana kecelaruan. Dia tidak hairan kalau penunggang Ducati itu tinggal di kawasan mewah, tetapi masalahnya… kawasan mewah ini adalah kawasan perumahan Khalisah, sepupunya dan juga rumahnya sendiri!
Tidak mengapa… dia akan terus mengekor senyap-senyap.
Sehinggalah tiba di hadapan sebuah rumah banglo mewah tiga tingkat, motosikal Ducati itu berhenti seketika, menunggu pagar besar automatik di hadapannya terbuka. Selepas kelibat motosikal mewah itu hilang masuk ke dalam perkarangan rumah mewah itu, pagar automatik tersebut tertutup kembali.
Adriana terus memerhati dari jauh… dengan kebingungan yang amat. Puas dia cuba menyedapkan hatinya bahawa dia telah tersalah lihat kerana lelaki itu tidak menuju ke rumah Khalisah pun. Tetapi, susah juga kerana dia memang mengecamkan wajah lelaki itu! Mungkinkah dia sudah tersilap orang?
Namun, kalau betullah lelaki itu memang Faqih, kenapa pula dia hanya bekerja sebagai pemandu? Dan kenapa pula dia cuma memakai motosikal buruk selama ini?
Adriana menggaru-garu kepala. Tanda tanya yang menghantui mindanya masih tidak terjawab, malah semakin bertimbun-timbun pula!

KETIKA Khalisah sibuk menguruskan pekerja-pekerjanya yang sedang membungkus barang pesanan pelanggan, wanita itu perasan yang sepupunya masih duduk termenung di penjuru kedai butiknya itu. Entah apa sebabnya, Khalisah masih tidak mengetahui. Tetapi, dia yakin yang perubahan emosi Adriana ada kena-mengena dengan perbualan wanita itu dengan Izham di tepi jalan tempoh hari.
“Akak, pembekal kain tu telefon tadi. Dia kata esok kain-kain yang kita tempah tu sampai.” Anita memberitahu bosnya yang sedang bercekak pinggang memerhati pekerja-pekerjanya itu.
“Esok? Hmmm… okey,” balas Khalisah ringkas. Sesekali dia menyuarakan arahan kepada pekerja-pekerjanya yang masih bertungkus-lumus itu.
“Errr… akak. Kenapa dengan Kak Yana tu?” Anita mengambil peluang bertanyakan hal wanita yang dari tadi duduk termenung di penjuru kedai itu. Putus cinta, kah?
Khalisah ikut mengerling ke arah penjuru kedai. Keluhan yang agak panjang dilepaskan. “Entahlah, Nita. Akak pun tak tahu. Biarlah dia. Tengah tensionlah agaknya tu.” Hanya itulah jawapan yang mampu diberikannya.
Anita hanya mengherotkan bibir lalu pergi menghampiri pekerja-pekerja lain untuk membantu.
Setelah puas memerhati para pekerjanya, Khalisah tergerak hati pula hendak menegur sepupunya yang masih termenung itu. Inilah masa yang sesuai agaknya untuk dia mengorek cerita daripada Adriana.
“Adriana, kau okey tak?” Khalisah menepuk lembut bahu Adriana.
Adriana yang seperti kehilangan daya kekuatannya itu hanya membalas dengan senyuman tawar. Wajah Khalisah hanya dijelingnya sekilas.
“Jom, masuk dalam. Kau ceritalah pada aku. Aku nak tau jugak kenapa kau jadi pelik semacam aje ni,” pelawa Khalisah. Lembut suaranya seakan memujuk. Dia tahu, dalam keadaan begini desakan bukanlah suatu langkah yang bijak.
Sepertinya, Adriana termakan juga dengan pujukan sepupunya itu. Setelah agak lama dia berada di penjuru itu, duduk temenung seorang diri, barulah kini dia mengangkat punggung dari kerusinya. Mungkin sudah bersedia untuk bercerita tentang kisah hatinya kepada sepupunya itu.
Khalisah menuntun Adriana ke dalam biliknya, sudah seperti orang sakit pula kelihatannya. Namun, tidak mengapalah. Emosi sepupunya itu masih tidak stabil dan semestinya dia perlu melayan wanita itu dengan baik.
“Okey, Yana. Ceritalah,” pinta Khalisah seusai mengambil tempat duduknya yang berhadapan dengan Adriana itu.
Adriana tunduk. Permintaan itu tidak mampu dijawabnya spontan. Fikirannya yang berkecamuk itu perlu ditenangkan dahulu.
“Hmmm… Izham cakap apa dengan kau semalam?” Khalisah pula sepertinya sudah tidak sabar-sabar mendesak sepupunya itu membuka mulut. Hai, Khalisah… kau memang tiada bakat jadi kaunselor!
Adriana mengelatkan wajah. Seketika kemudian, jelas kelihatan bahunya terinjut-injut. Air mata kembali membasahi pipi gebunya.
Khalisah mengerutkan dahi. Alahai, macam mana pulalah ni? Belum cerita apa-apa sudah menangis! “Yana, aku minta maaf.” Jalan mudah Khalisah untuk menutup rasa gabranya melihat reaksi Adriana.
Adriana menggeleng. Tisu di tangannya ditekap-tekapkan pada kelopak matanya yang sembap. “Izham… Izham tak cintakan aku.” Serak-serak suaranya beralun.
Khalisah mengetap bibir. Tapak tangan sepupunya itu digenggam erat. “Yana, sabar ya? Mungkin ada lelaki yang lebih baik daripada Izham untuk kau.” Dia cuba memberikan nasihat yang terbaik. Tapi, terbaikkah nasihat itu? Entahlah, dia memang tiada bakat menjadi kaunselor!
Adriana tiba-tiba ketawa dalam tangisannya pula. Aih, boleh pula macam tu?
“Izham cintakan kau, Lisa. Dia cuma nakkan kau. Dia tak nak orang lain!” Agak menekan suara Adriana memberitahukan perkara itu. Marahkah dia?
Khalisah kelu. Kini, rasa bersalahnya semakin menggila. Baru dia sedar kekecewaan yang dialami oleh Adriana berpunca daripadanya sendiri!
Namun, pernahkah dia meminta Izham agar mencintai dirinya? Tidak! Jadi, mengapa pula dia yang patut rasa bersalah?
“Untung kau, Lisa. Aku yang tunggu dia empat tahun langsung tak dapat apa!” Adriana kini seperti lebih meluahkan ‘amarahnya’ yang terpendam atau mungkin juga meluahkan ‘kecemburuannya’ terhadap apa yang dimiliki oleh Khalisah. Sungguh beruntung sepupunya itu!
Khalisah pula menundukkan wajah. Rasa bersalah menghempap kembali bahunya.
“Aku tak pernah mintak semua ni, Adriana…” Suara Khalisah kedengaran sayup di telinga Adriana.









0 comments: