Tuesday, February 5, 2013

Imam Mudaku Romantik! 12


BAB 12
MASA senggang pada petang itu betul-betul dinikmati oleh jejaka-jejaka tersebut. Kafe Pandan Jaya menjadi destinasi pilihan mereka untuk melepak dan membuang masa. Di atas meja, beberapa cawan kopi berlonggokan. Mana tidaknya, habis secawan, pesan lagi dua cawan!
Faqih menghirup teh o panas yang mana menjadi pesanannya yang kelima pada petang itu. Setelah puas menghirup kopi, sekarang dia mahu menikmati kesedapan air teh pula.
“Hmmm… petang ni kenapa aku rasa relaks aje eh? Biasanya waktu-waktu macam nilah kepala aku lagi berserabut!” Taufiq meluahkan rasa aneh yang mewarnai perasaannya ketika ini. Matanya mengecil memandang ke arah jalan raya yang bersusun dengan kereta. Maklumlah, sudah namanya pun Kuala Lumpur. Mana pernah sunyi!
Faqih meletakkan cawan berisi teh yang sudah hampir separuh dihirupnya ke atas meja. Tawa kecilnya meletus. “Sebab kau cuti hari ni. Sebab tu kau rasa relaks.”
“Bukan, Faqih. Selama ni aku happy dengan kerja aku. Hmmm… mungkin sebab hari ni aku tak dikelilingi perempuan kut. Yalah, kadang-kadang aku rasa diorang tu bukan lagi buat aku bahagia, lagi serabutkan kepala otak aku adalah.” Taufiq menjawab soalan yang membelenggu mindanya sendiri akhirnya. Bukan dia tidak tahu pun…
“Perempuan-perempuan? Dahsyatnya kau!” Faqih bernada sinis. Faham benar dia dengan tabiat rakan serumahnya itu. Perempuan memang ‘barang’ mainannya. Cakaplah sesiapa pun. Yang tinggi, pendek, kurus, gemuk, comel, kaya? Semuanya ada!
Taufiq mengerling ke arah Faqih. “Kau perli aku, ya? Hmmm… entahlah, Faqih. Dah diorang sendiri rela jadi ‘mainan’, aku sebagai lelaki apa lagi? Jalankanlah tanggungjawab aku! Hehe…” Ada ketawa nakal menyusul di penghujung ayatnya.
Faqih menggeleng perlahan dengan dahi yang berkerut. “Taufiq, Taufiq, dah tahu perempuan-perempuan tu rela kena ‘main’, sepatutnya tanggungjawab kau bimbing diorang, nasihat diorang. Bukan lagi kau join ‘kejahilan’ diorang! Humhum…”
Taufiq hanya diam selepas itu. Tidak tahulah sama ada dia menerima atau masuk telinga kanan, keluar telinga kiri saja terhadap kata-kata rakan serumahnya itu.
“Kau tak balik kampung, Taufiq?” Tanya Faqih, menyedari kesepian semakin tercetus.
Wajah Taufiq berubah sebaik mendengar pertanyaan lelaki itu. Tampak jelas riak kegusaran dan kegelisahan merona di wajahnya. “Balik kampung? Humhum… buat apa, Faqih? Siapa nak terima aku kat kampung tu?”
“Bapak kau kan ada? Dialah yang terima kau nanti.”
Taufiq menggeleng. Kini riak kesal pula jelas di mukanya. “Dia mana pernah terima aku lagi lepas kahwin dengan perempuan tak guna tu! Entahlah… biarlah dia. Aku pun boleh buktikan yang aku bahagia walaupun dia tak ada. Aku tak perlukan dia pun. Hmmm… lainlah kalau mak aku hidup lagi.” Sayu nada itu kedengaran pada akhirnya.
Faqih tergamam. Bicara Taufiq yang mana lebih kepada luahan hatinya sebagai seorang anak yang ‘dibuang’ oleh bapanya sendiri itu sedikit sebanyak menimbulkan simpatinya. Tidak tahulah di mana silapnya, bapa Taufiq tiba-tiba saja tidak mengakuinya sebagai anak selepas beberapa bulan berkahwin dengan perempuan yang entah dari mana datangnya setelah kematian arwah isterinya.
Kebetulan, Taufiq sedang menyambung pengajian di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur ketika itu, maka tamat sahaja pengajian, dia tidak pulang-pulang langsung ke kampung.
Sehinggalah hari ini.
“Hmmm… aku minta maaf. Tapi, satu hari nanti kau kena jugak mengalah, Taufiq. Walau apa pun yang dia buat, dia tetap bapak kau,” ulas Faqih sebagai penutup kepada topik perbincangan mereka… yang mana agak mengganggu seketika ‘ketenteraman’ yang sedang asyik dinikmati.
Taufiq mengangkat bahu. “Alright.” Lalu menghirup semula kopinya yang masih bersisa. Apa lagi yang boleh dia katakan?
Faqih juga diam selepas itu. Malas hendak membuka ‘isu’ baru lagi. Silap-silap ketenangan yang sedang dinikmati ini akan hancur musnah begitu saja. Walhal, dia baru hendak merehatkan jiwa dan minda yang entah kenapa… agak bercelaru semenjak dua menjak ini. Tidak pasti pula kenapa jiwanya bercelaru.
Namun, seandainya dia rebah… ALLAH itu masih ada!

HARI ini sekali lagi dia menjadi ‘perisik’ tidak berbayar untuk mengintip lelaki yang kini diragui ‘statusnya’ itu. Adriana setia menunggu di luar Kafe Pandan Jaya… memerhati gerak-geri lelaki bernama Faqih itu dari tadi.
Hampir sejam juga dia menunggu. Walaupun sudah beberapa kali dia menguap di dalam keretanya itu, namun istilah berputus asa tidak muncul dalam kamus hidupnya.
Memang, selagi teka-teki tentang siapa sebenarnya lelaki bernama Faqih itu belum berjawab, dia akan bertungkus-lumus mencari jawapan sendiri!
Tetapi… kenapa pula dia perlu bersusah-payah hendak mengetahui perihal sebenar lelaki itu? Apa tujuannya pula?
Adriana menegakkan badannya serta-merta sebaik melihat kelibat lelaki yang diyakininya sebagai Faqih itu keluar dari kafe tersebut. Lelaki itu tidak keseorangan… ada  seorang lelaki lain turut bersama-samanya.
‘Kawan dia agaknya,’ getus Adriana dalam hati. Matanya terus mengekori langkah lelaki itu dan…
‘Aih, hari ni pakai motosikal buruk pulak?’ Adriana menggaru-garu kepala melihat lelaki yang diintipnya itu sedang menghidupkan enjin sebuah motosikal Honda petak. Dan kali ini, Adriana tidak silap. Memang itulah motosikal yang ditunggangi oleh Faqih ketika di rumah Khalisah tempoh hari.
Lalu, siapa pula lelaki seiras Faqih yang menunggangi motosikal Ducati itu semalam?
Adriana tidak mahu ketinggalan jejak. Lantas, selepas motosikal Faqih mula meredah jalan, wanita itu pula menurunkan brek. Walau apapun, ‘penyiasatan’ perlu diteruskan!

KALI ini, hasil mengikut jejak motosikal Honda petak itu telah membawa Mini Cooper Adriana masuk ke kawasan perumahan rumah teres dua tingkat biasa. Rumah orang yang berada di kelas sederhana berbanding semalam.
Adriana terus mengekor. Jaraknya dengan motosikal lelaki itu tetap dijaga agar lelaki itu tidak perasan yang dia sedang diekori. Rakan lelaki itu yang turut menaiki sebuah motosikal lain entah ke mana-mana menghilang semenjak dari Kafe Pandan Jaya tadi. Biarlah… Adriana hanya mahu mengintip jejaka bernama Faqih itu seorang.
Motosikal Faqih akhirnya selamat terparkir di perkarangan sebuah rumah teres dua tingkat yang kedua dari hujung. Masih tidak perasan yang gerak-gerinya sedang diperhatikan oleh wanita itu.
‘Hari ni dia bawak motosikal buruk, balik rumah biasa…. semuanya biasa-biasa. Tapi siapa pulak yang aku nampak semalam?’ Adriana terus bermain dengan teka-teki. Kemungkinan bahawa dia telah tersalah lihat semalam semakin meninggi. Namun, mengapa dia begitu yakin bahawa lelaki yang menunggang Ducati itu memang benar-benar Faqih, jejaka tampan yang berjaya mencairkan hatinya tatkala pertama kali berjumpa?
Adriana menurunkan brek untuk memastikan lagi apa yang dilihatnya. Keretanya terus bergerak perlahan sehinggalah ruang udara bergema dengan bunyi dentuman kecil bertingkah dengan bunyi hon yang agak kuat dari arah belakang!
Wanita itu tersentak. Darah merah terasa seperti berhenti mengalir. Sungguh dia terlalu terkejut dengan ‘sergahan’ itu!
Adriana mengerling ke arah cermin pandang belakang yang tergantung, seorang lelaki keluar dari Proton Preve yang berada di belakang keretanya.
Kaget! Peluh mula membasahi dahinya. Oh TUHAN, apa yang telah dia lakukan???
Adriana tiada pilihan lain. Dia terpaksa juga keluar dari keretanya.
“Kau ni reti bawak kereta ke tak? Kau tengok apa yang kau dah buat pada kereta aku?” Marah lelaki, pemilik Proton Preve yang telah berlanggaran dengan belakang Mini Cooper Adriana itu. Tiada langsung riak ceria atau bahagia merona di wajahnya yang sedang merah padam menanggung kemarahan. Mana tidaknya, kereta yang baru saja dibelinya dua bulan lepas sudah kemik di depan!
Adriana terketar-ketar. Dia tidak sengaja… dan dia tidak sedar yang dia telah tertekan brek secara mengejut ketika leka memerhatikan gerak-geri Faqih di perkarangan rumah teres itu.
“Aku tahulah kau bawak kereta mahal! Tapi bukan kau boleh suka-suka hati bila nak jalan, bila nak berhenti! Jalan ni bukan kau punya! Sekarang siapa nak tanggung Preve aku  yang dah kemik tu?” Lelaki itu nampaknya naik angin benar atas ‘kecacatan’ yang telah berlaku pada kereta baharunya. Tempikan demi tempikan terus dihamburkan.
Sementara Adriana, terus kelu. Beserta tangan yang sudah sejuk menggigil. Arghhh, kenapa boleh jadi macam ni???
Dan kekalutan itu bertambah sebaik menyedari lelaki yang diintipnya, iaitu Faqih sedang keluar dari rumah, menuju ke arah mereka. Ah, nampaknya lelaki itu sudah mengetahui kekecohan yang sedang melanda betul-betul di hadapan rumahnya!
Adriana makin kalut. Semakin tidak tahu perkataan apa yang perlu diucapkan!
“Woi, kau bisu ke pekak ke? Aku cakap dengan kaulah, perempuan!!!” Pemilik Preve itu tidak mampu lagi menanggung amarahnya yang membara. Menengking juga dia akhirnya setelah tempikan demi tempikannya hanya dibalas dengan kebisuan wanita yang telah melanggar keretanya itu!
“Astaghfirullahalazim, Hakimi! Kenapa ni?” Faqih terpaksa ikut masuk campur setelah melihat amarah rakannya, juga pemilik Preve itu mencapai tahap maksimum. Bahu lelaki itu ditepuk-tepuknya separuh kasar.
“Ssaya… saya minta maaf. Sayaa… nanti saya tanggung kos baiki Preve awak.” Adriana bersuara juga akhirnya walaupun tersekat-sekat. Tanpa disedari, ada manik jernih mula bertitisan dari pelupuk matanya. Ya, dia sedang menangis.
“Heiii, aku…” Hakimi menaikkan telapak tangannya. Hampir-hampir saja dilayangkan ke pipi perempuan itu.
Adriana tersentak. Telapak tangan sudah ditekupkan ke mukanya.
“Nauzubillah… sabar, Kimi! Sabar!” Faqih pantas menghalang tangan yang sudah dihayun tinggi itu. Suaranya juga terpaksa ditinggikan. Dalam keadaan begini, cara lembut tidak boleh digunakan lagi. Hakimi memang sudah hilang ‘kewarasan’.
“Kereta aku, Faqih! Macam mana aku nak sabar???” Tidak pasal-pasal, si Faqih pula menjadi mangsa herdikannya.
“Ya, ya… aku tahu tu kereta kau. Tapi kau sabarlah. Kan dia dah cakap nak tanggung kos baiki kereta kau?” Faqih separuh menjerit.
Adriana menurunkan telapak tangan yang menutupi wajahnya perlahan-lahan. Jelas sepasang mata bundarnya sudah merah… menunjukkan tangisannya mengalir agak deras bercampur hati yang kini patah seribu. Selepas satu, satu masalah lain pula menimpa… kenapa hidupnya asyik dirundung malang semenjak dua menjak ini?
“Ya… saya janji. Saya akan bayar ganti rugi…” Sayup-sayup wanita itu bersuara, diselangi dengan esakan yang tidak dapat diselindungi.
Faqih terkesima sebentar melihat wajah yang sembab dengan air mata itu. Serasanya dia mengenali wanita di hadapannya ini.
“Ha, bagus! Pakai kereta mahal takkanlah nak lari macam tu aje kan?” Hakimi yang masih panas hati belum puas mengherdik. Butang atas baju kemejanya dibuka… memberi ruang kepada udara luar untuk menyejukkan dada yang masih hangat membakar.
“Ya, saya tahu salah saya. Awak bagi nombor telefon. Dah siap nanti call aje saya. Saya tak lari mana,” tegas Adriana. Tidak tahan asyik terus diherdik. Macamlah dia tidak punya maruah!
Hakimi merengus. Pegangan Faqih pada bahunya ditepis kasar. Seketika kemudian, dengan suara yang masih kedengaran macam mahu cari gaduh, dia memberitahukan nombor telefonnya kepada wanita itu.
Faqih hanya mampu menggeleng kepala melihat kelakuan rakan serumahnya itu. Tidak habis-habis dengan barannya!
Namun, seketika kemudian, mata Faqih kembali tertumpu pada wanita yang sedang rancak menaip nombor telefon Hakimi pada telefon pintarnya itu. Ya, dia mengenali wanita ini. Wanita inilah yang dijumpainya ketika berada di rumah Tan Sri Kamarul, majikannya tempoh hari. Dan wanita ini jugalah yang telah memandangnya seperti hendak menerkam dirinya saja, hingga dia merasakan yang dia telah ‘dibogelkan’ oleh pandangan tajam wanita itu!
Lalu, kenapa wanita ini boleh pula tiba-tiba muncul di hadapan rumahnya? Siap berlanggaran lagi dengan kereta Hakimi! 
“Okey. Aku percayakan kau. Nanti lepas aku dah betulkan kereta aku, aku cari kau! Kalau kau menipu, aku cari kau sampai lubang biawak!” Hakimi sempat menghamburkan lagi sisa-sisa amarahnya yang tidak berkesudahan.
Adriana membuat muka pelik. Namun seketika kemudian, wajahnya mula menunjukkan riak orang menyampah. Sepertinya kesedihan hatinya sudah berakhir… namun berganti pula dengan rasa meluat!
‘Hei, lelaki ni tak layak jadi boyfriend aku!’ Sempat hatinya berdesis.
“Errr… cik… ni cik yang saya jumpa kat rumah Tan Sri Kamarul ke?” Barulah kini Faqih berpeluang mengutarakan pertanyaannya.
Adriana membulatkan matanya. Ah, baru kini dia sedar akan tujuan asal mengapa dia berada di sini!
“Errr… ya. Saya Adriana.” Adriana memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan lelaki itu.
Faqih pantas menggeleng. “Saya minta maaf. Kita tak boleh bersentuhan sebab kita bukan mahram,” jelas lelaki itu. Tenang saja suaranya.
“Owh, tak apa. Errmmm… saya pergi dulu!” Adriana terus saja menuju ke keretanya tanpa sebarang ucapan selamat tinggal. Terpinga-pinga jugalah Faqih di situ… serasanya dia tidak salah cakap tadi.
Seketika kemudian, Mini Cooper wanita yang bernama Adriana itu hilang dari pandangan.
“Kau kenal minah sengal tu?” Tegur Hakimi. Eh, tidak sedar pula yang dia masih berada di situ!
Faqih mengerutkan dahi. “Hmmm… aku masuk dalam dulu.” Soalan itu dibiarkan tergantung begitu saja.

7 comments:

Anonymous said...

best sangat.. thumbs up akak.. ^_^

Izzah Haneefa said...

terima kasih. teruskan mnyokong ye :D

Unknown said...

mne smbungnnye???

Izzah Haneefa said...

saya akan post nnti ye... tunggu tau :)))

Sakura Aihana said...

tertanya2 juga...apa pekerjaan Faqih yg sbnrnya? apa yg dicri? dia dduk mana sbnrnya? apa kelulusannya? pelik2...hmmmmm truskn smbgnnya ya... tunggu ni

aya ameena said...

dari bab 1 - 12, semuanya tanda soal.bila nak jawab sikit2 ni.teruja nak tau

obat penyakit jantung said...

cukup menarik cerita ini,sukses saja....