Tuesday, January 8, 2013

Imam Mudaku Romantik 6

BAB 6
MASUK saja ke dalam bilik, tidak menyempat-nyempat Khalisah menghenyakkan belakang tubuhnya ke atas tilam yang bersaiz queen itu. Tudung labuh yang dipakainya pun tidak ditanggalkan. Lelahan demi lelahan dilepaskan, diiringi alunan tasbih yang bermain di ulas bibirnya yang dicalit sedikit pengilat bibir itu. Putaran kipas di atas siling menjadi sasaran penyaksian bola matanya.
Khalisah meraup wajah. ‘Ya ALLAH… siapa perempuan tadi?’ Berkata-kata hatinya. Hatinya yang entah kenapa berasa sedikit ‘gusar’. Hmmm… kenapa dia perlu gusar? Apa yang digusarkan sebenarnya?
‘Siapa perempuan tadi?’ Soalan itu makin mendesak minda Khalisah. Namun, apa kepentingannya untuk mengetahui semua itu? Biarlah Muhammad Faqih itu hendak berkawan dengan sesiapa pun!
Muhammad Faqih?
‘Ah, dia bukan imam muda! Aku tak mahu!’ Hati Khalisah berperang sendiri.
Khalisah bangun dari pembaringannya, kini duduk pula. Fikirannya memutar sejenak apa yang telah disaksikan oleh kedua-dua bola matanya sebentar tadi…
Wanita itu… seperti mesra benar dengan Faqih, pemandu papanya. Siapa wanita itu sebenarnya?
Khalisah hanya mampu memerhati dari jauh babak itu.
Satu kesimpulan yang dapat dibuat oleh Khalisah… Faqih memang bukan salah seorang yang tersenarai dalam calon suaminya. Daripada cara wanita itu berinteraksi dengan Faqih tadi, sepertinya mereka pasangan kekasih. Dan itu bermakna mereka mengamalkan percintaan sebelum bernikah. Dan… Khalisah tidak mahu lelaki seperti itu.
Cinta yang hanya dia percaya cumalah cinta selepas nikah!
Cinta sebelum nikah hanyalah fatamorgana belaka…
Khalisah bangun, berdiri tegak dari bermalasan di atas katilnya. Kekuatannya bagai pulih tiba-tiba. Dia nekad… Faqih bukan pilihannya!
Tok… tok… tok…
Khalisah tersentak. Ketukan pada daun pintu meneutralkan kembali perasaannya yang sedang berlawanan sesama sendiri. “Masuk,” laungnya.
Pintu terkuak tidak sampai beberapa saat. Kelibat seorang lelaki bertubuh tegap muncul memenuhi ruang mata Khalisah.
“Lisa, kau ada nampak Aaron tak?” Khalis, abang kandungnya Khalisah, juga satu-satunya adik-beradik Khalisah, menerjah adik perempuannya itu dengan persoalan.
Khalisah menjongket kening. Wajah abangnya yang nampak kebuntuan itu diperhati agak lama. “Abang cari Aaron Aziz kat sini? Manalah Lisa tahu!”
“Laaa… tadi abang nampak Aaron masuk bilik kau!” Dakwa Khalis. Kepalanya dikeruk-keruk kasar. Arghhhh… mana pula Aaron Aziz ni?
‘Aaron Aziz masuk bilik aku? Agak-agaklah abang ni!’ Berdesis-desis hati Khalisah.
“Hishhh… mengarutlah abang ni! Kalau Aaron Aziz masuk bilik Lisa, dah lama Lisa terbongkang lari tak cukup darat tau!” Bersungguh-sungguh Khalisah menafikan dakwaan abangnya yang baginya agak mengarut itu. Sesungguhnya dia amat takut dengan Aaron Aziz!
“Manalah tahu kau dah tak takut lagi ke dengan Aaron Aziz? Sebab tu dia masuk bilik kau.” Khalis tetap tidak berpuas hati. Tidak cukup dengan penafian Khalisah, selamba saja dia menyelongkar bilik adiknya itu. Habis segala bawah katil, almari, bilik air dijengahnya.
Aaron Aziz tiada!
Khalisah sudah panas memerhati perlakuan abangnya yang selamba badak macam orang tidak bersalah menyelongkar biliknya itu. Sudahlah tidak meminta izin dahulu!
“Abang! Aaron Aziz tak ada kat sinilah! Abang pergilah cari kat tempat lain!” Tertinggi juga suara Khalisah, melepaskan geram yang terbuku di hati terhadap abangnya yang masih ligat mencari Aaron Aziz di dalam almari bajunya itu.
Khalis mengalah juga akhirnya. Sah, Aaron Aziz sudah hilang! Merata sudah dia mencari Aaron Aziz di sekeliling rumah banglo bapanya itu. Namun, tidak berjumpa.
Kalau betullah Aaron Aziz hilang, sudah pasti Khalis akan demam seminggu. Mana tidaknya, dia sudah jatuh cinta dengan Aaron Aziz semenjak pertemuan mereka yang pertama kali!
“Abang, dahlah tu. Dia tak ada kat sini!” Sungut Khalisah. Naik rimas dia melihat gelagat si Khalis yang macam baru hilang bini itu.
“Eh, bisinglah kau! Kau tahu tak aku sayang dia? Dah, kau keluar dulu! Biar aku cari dia sampai jumpa!” Khalis membentak agak kuat. Mungkin dia juga rimas dibebelkan oleh si adik.
Khalisah merengus kasar. Hei… panas, panas! Abangnya ini sudahlah menyelongkar biliknya sesuka hati, sekarang dia pula yang dihalau? Kurang asam betul!
Khalisah menghentak-hentak kaki seperti anak-anak kecil sebelum akur juga akan arahan keras abangnya itu. Dengan muka yang masam-masam pahit, Khalisah beredar dari biliknya… bersama-sama hati yang sudah hangit terbakar. Arghhhh!!!
Pintu dapur dibuka. Khalisah melangkah keluar bagi mencari udara sejuk. Maklumlah, udara di dalam rumah pun sudah terlalu panas sampai hangit hatinya dikerjakan!
Di taman mini itu, Khalisah mengambil tempat duduk. Fikirannya cuba ditenangkan daripada membayangkan wajah abangnya, Khalis. ‘Ah, susah mahu cakap dengan orang gila macam dia!’ Wanita itu masih tidak mampu membendung rasa amarahnya terhadap abangnya.
Sungguh sakit hatinya mengenangkan apa yang abangnya telah buat tadi. Gara-gara Aaron Aziz, dia dihalau daripada biliknya sendiri!
Khalisah menampar meja bulat di hadapannya. Namun… astaghfirullahalazim. Sabar, Khalisah!
Sedang asyik melayan perasaan, semuanya bagai lebur tiba-tiba apabila Khalisah merasakan seperti ada sesuatu yang sedang mencakar bajunya di bahagian bahu kiri.
Khalisah kaget. Wajahnya tidak semena-mena pucat lesi… tidak berdarah. Pelan-pean dia menoleh ke kiri dan…
“Aaaaaaaaaaa!!! Aaron Aziz!!! Mama!!! Aaron Aziz!!!” Khalisah terlompat dari kerusi yang diduduki. Ruang angkasa raya rumah Tan Sri Kamarul bergempita dengan jeritan wanita itu tidak semena-mena.
Faqih terkujat dengan reaksi yang diterima. Lantas, Aaron Aziz diambilnya semula daripada bahu wanita itu. Jantungnya berlari pecut seribu lima ratus meter. Matanya yang terbuntang dan terkebil-kebil hanya mampu menyaksikan Khalisah semakin kelam-kabut ‘menyelamatkan diri’ daripada Aaron Aziz dengan memanjat meja bulat di taman mini itu. Masya-ALLAH!
“Argghhhhh! Kenapa awak letak Aaron Aziz kat bahu saya?” Khalisah yang kini sudah berdiri di atas meja bulat itu berteriak keras diselangi dengan esak-esakan. Bercucuran air mata wanitanya jatuh ke rumput. Nampaknya dia memang benar-benar terperanjat!
Faqih meneguk liur yang terasa pahit dan tajam untuk ditelan oleh anak tekak. Wajahnya turut berubah pucat bak mayat. Matanya langsung tidak berkedip. Dia sangat terkejut… dalam masa yang sama, dia kebingungan juga. Kenapa Aaron Aziz turut terbabit dalam hal ini?
“Awak memang jahat! Jahat! Jauhkan saya dari benda tu!!!” Khalisah terus berteriak bagai orang disampuk jembalang tanah sambil menggoyang-goyangkan tapak tangannya kepada Faqih, sebagai isyarat supaya menjauhkan diri. Semakin deras juga air matanya gugur.
Faqih cuba mencari kekuatan. Dia tahu dia sudah berbuat salah. Dan kali ini, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk memohon maaf kepada wanita itu.
“Saya minta maaf. Saya ingat awak tengah cari benda ni. Sebab itu saya letak di bahu awak, sebab saya tahu benda ni memang manja,” terang Faqih, seupaya boleh dia cuba membuatkan dirinya berada dalam keadaan tenang. Sambil-sambil itu, dia mengusap-usap kepala Aaron Aziz yang masih diam di tangannya.
Khalisah tidak membalas. Tangisannya makin menjadi-jadi pula.
Faqih serba-salah. Dia tahu dia sudah berbuat silap besar kepada Khalisah. Namun… dia bukan sengaja.
“Aaron Aziz! Oh god, Aaron Aziz sayang!” Khalis muncul, menambah ‘ribut-ribut’ yang sedang membadai ruang atmosfera di situ dengan rasa terujanya sebaik melihat Aaron Aziz selamat di tangan Faqih. Berlari dia mendapatkan pemandu papanya itu.
“Kau pergi mana ha? Kau tahu aku macam nak mereng dah cari kau?” Khalis menyambar Aaron Aziz dari tangan Faqih tidak menyempat-nyempat. Kepala Aaron Aziz dicium-ciumnya penuh kasih.
Faqih menggaru-garu kepala. Berserabut kepala otaknya dengan situasi yang dihadapinya sekarang ini. Nama iguana itu Aaron Aziz?
“Heh, kau curi Aaron ya?” Tuduh Khalis tiba-tiba terhadap Faqih setelah ‘lunyai’ kepala Aaron Aziz diciumnya.
Faqih menggeleng laju. “Tak! Saya tak curi Aaron Aziz! Saya jumpa dia tepi jalan kat luar pagar sana.”
Khalis mengherot-herotkan bibir. “Ahhh! Talam dua muka! Macam mana Aaron boleh keluar sendiri dari sangkar dia kalau bukan kau yang bukakan?”
Wallahi, saya tak curi dan tak ada niat langsung nak curi iguana awak ni!” Faqih tegas membela dirinya. Curi iguana? Hei, tiada kerja lain ke apa sampai hendak mencuri cicak naga itu?
Khalis mengepal-ngepal penumbuknya lalu dihalakan ke wajah Faqih. Namun, sepertinya buku lima itu hanya gimik saja. Tanpa membuat sebarang tindakan terhadap Faqih, terus saja lelaki itu pergi masuk ke dalam rumah semula bersama-sama iguananya yang bernama Aaron Aziz.
Astaghfirullahalazim… Faqih beristighfar panjang. Seketika kemudian, dia berpaling semula ke arah Khalisah.
Mata Khalisah sembab. Kesan air matanya jelas, masih diselang-seli dengan esakan yang membuatkan bahunya terinjut-injut. Tajam mata wanita itu merenung Faqih.
Faqih memandang tanah. Dia mahu meminta maaf tetapi… sekali lagi dia kalah.
Khalisah berpusing tubuh, lalu berlari ke dalam rumah semula dengan tangisan yang bersambung kembali.

TEPAT jam satu setengah petang, mesyuarat ahli lembaga pengarah yang turut disertai oleh Tan Sri Kamarul di MegaPutra Holdings berakhir dengan jayanya. Kata sepakat antara mereka telah dicapai. Oleh sebab itu, kesemua mereka keluar dari bangunan MegaPutra Holdings dengan senyuman meleret di wajah masing-masing. Senyuman orang korporatlah katakan.
Faqih yang sudah sepuluh minit berdiri di luar kereta mewah Tan Sri Kamarul kerana sudah kepanasan punggung duduk di dalam kereta hanya memerhati kelibat orang yang keluar masuk bangunan gah itu. Dia hanya mahu mencari kelibat seseorang saja…
Akhirnya, Tan Sri Kamarul muncul jua. Cepat-cepat Faqih masuk semula ke dalam kereta dan memandu kereta tersebut hinggalah berhenti betul-betul di hadapan Tan Sri Kamarul. Nampaknya, lelaki korporat itu masih rancak berborak dengan ahli lembaga pengarah yang lain.
Lima minit kemudian, barulah Tan Sri Kamarul masuk ke dalam kereta dan duduk di bahagian penumpang belakang. “Lama kau tunggu, Faqih?” Soal lelaki itu sebaik saja kereta mula bergerak.
Faqih mengerling sekilas majikannya itu melalui cermin pandang belakang yang tergantung. “Tak lama sangat. Dalam tiga jam.”
“Aih, tak lama? Hmmm… lepas ni kalau aku ada meeting ke apa ke, kau nak pergi berjalan dulu pergilah. Bila dah selesai, aku panggil,” beritahu Tan Sri Kamarul.
Faqih terdiam. Tidak tahulah kenapa… namun, dia merasakan Tan Sri Kamarul sudah terlalu baik melayannya sepanjang seminggu dia menjadi pemandu lelaki ini. “Errr… betul ke, tan sri? Kalau macam tu, terima kasih banyak-banyak.”
“Yalah. Takkan aku nak suruh kau tunggu berjam-jam kut? Kesian pulak kau.” Jujur benar Tan Sri Kamarul kali ini.
Terharunya si Faqih tidak terkata. Lantas, satu persepsi lain timbul di benaknya… dalam hati Tan Sri Kamarul ada taman! Walaupun insiden ketika lelaki korporat itu mengherdik pak cik tua buta yang selalu Faqih beri makan di kaki lima luar masjid itu masih segar di ingatannya.
Serentak itu juga, kata-kata Ustaz Syed Nazli turut muncul memenuhi ruang minda Faqih… “Fitrah manusia yang sebenarnya ialah berhati lembut.”
“Faqih?” Panggil Tan Sri Kamarul. Sedar yang suasana di dalam kereta itu sudah beberapa ketika berlangsung sepi.
Lafaz tasbih bermain di bibir Faqih. Sudah jauh rupanya fikirannya bertebaran! “Ya, tan sri?”
“Kamu termenung ya?” Duga Tan Sri Kamarul.
Faqih membulatkan mata. Pantas dia menggeleng. “Tak adalah, tan sri. Errr… tan sri, kebetulan zohor dah masuk ni, apa kata kita pergi solat dulu?”
“Hah? Solat?” Tan Sri Kamarul tercengang-cengang. Lagaknya seperti apa yang baru didengarinya itu adalah  suatu perkara baharu yang tidak pernah didengarinya seumur hidup!
“Ya, tan sri. Kita solat zohor dulu sebelum balik?” Faqih menekankan sikit suaranya, mungkin Tan Sri Kamarul tidak mendengar dengan jelas. Yang sebenarnya, lelaki itu tidak perasan pun yang Tan Sri Kamarul tercengang-cengang ketika dia menyebut pasal solat tadi.
“Hmmm… kat mana?”
“Kat depan tu nanti ada masjid, tan sri. Kita solat situlah ya?” Faqih terus menumpukan pada pemanduannya. Sesekali dia melihat jam tangannya. Memang harapan hendak berjemaah serasanya sudah terlepas, tapi seboleh mungkin dia cuba untuk menunaikan solat pada awal waktu.
“Kita dah sampai, tan sri.”
Tan Sri Kamarul tersentak sebentar. Terpinga-pinga dia memandang kawasan sekitarnya. Lahhh… bila masa pula sampai ni? Kenapa dia tidak perasan langsung?
Faqih sudah berdiri di luar, membukakan pintu penumpang di belakang.
Tan Sri Kamarul menelan liur… yang terasa mencucuk di anak tekak. Jantungnya berlari entah pantas bagaimana. Sepertinya ada sesuatu yang ‘menggerunkan’ sedang menghantuinya.
Lelaki korporat itu keluar juga dari keretanya. Butang baju kemeja di bahagian dadanya dibuka… bagi membenarkan sedikit udara mendinginkan diri yang terasa hangat dibakar pancaran matahari.
Selepas mengunci kereta, Faqih meneruskan langkah. Tidak menunggu Tan Sri Kamarul. Fikirnya, majikannya itu pasti mengikut dari belakang.
“Faqih.”
Panggilan Tan Sri Kamarul agak sayup. Lantas memberhentikan langkah Faqih yang baru dihayun.
“Tan sri?” Faqih memusing tubuh semula.
Tan Sri Kamarul mengambil nafas dalam. Lama wajah anak muda itu dipandangnya. Dia ingin memberitahu sesuatu tetapi… suaranya tidak lepas dari kerongkong.
Kening Faqih bertaut. Namun raut wajahnya tetap tenang menunggu reaksi Tan Sri Kamarul. “Tan sri ada apa-apa yang nak diberitahukan?”
Setelah berdiam agak lama, Tan Sri Kamarul menggerakkan bibirnya… mungkin setelah memperoleh kekuatan. “Kamu ajelah yang solat. Saya solat di rumah.”
Faqih membatu. Dia pula tidak terkata apa melainkan hanya mampu memerhati lelaki korporat itu masuk semula ke dalam kereta setelah kuncinya dibuka.

7 comments:

Anonymous said...

sambung lagi! best >.<

Izzah Haneefa said...

in shaa ALLAH. saya akan sambung :)

Anonymous said...

hai akak!!suke2..cerita ni mmg best la akak..sambung lah lagi..tak sabar nye...
-nasira comel-

Dhia Faaezah said...

Assalamu'alaikum.yeay alhamdulillah found ur blog at last~sbelum ni I follow kat p2u

Anonymous said...

Baru je mula baca.... ;)

obat penyakit jantung said...

cukup menarik cerita ini...sukses....

BAIN said...

Ble bygkn cerita ni, memang rasa na gelak begolek golek.