Tuesday, January 8, 2013

Imam Mudaku Romantik 5


BAB 5
SUDAH setengah jam wajah itu dihadapkan ke muka cermin. Macam-macam alat solek sudah ditampal ke wajahnya yang mulus itu. Namun, bila dia akan rasa berpuas hati tidak tahulah. Si suami sudah kepanasan punggung. Daripada menunggu di bawah, sesekali dia naik ke atas, menjenguk isterinya. Kemudian, turun balik. Hei, orang perempuan…
“Lydia, awak nak punggung saya terbakar ke tunggu awak kat bawah tu?” Tan Sri Kamarul menyindir pedas. Sepedas hatinya sekarang.
Puan Sri Lydia, isteri Tan Sri Kamarul menjeling suaminya. Bukan dia terasa pun dengan sindiran itu. “Kalau punggung awak terbakar, pergilah duduk atas ais.” Selamba saja wanita separuh umur itu membalas sambil menguis-nguis celoreng pada solekannya dengan tisu.
Tan Sri Kamarul mengeluh. Mukanya disapu-sapu. Berasap saja jiwa raganya mendengar loyar buruk si isteri. “Saya tak main-main, Lydia. Awak nak pergi ke tak nak ni? Kalau nak melekat terus dengan cermin tu suka hati awaklah, boleh saya pergi sorang.”
“Alaahhh… awak nak pergi dengan siapa kalau bukan saya? Awak bukannya boleh memandu pun!” Puan Sri Lydia tidak betah membuat serangan balas.
Tan Sri Kamarul diam sebelum ketawanya meletus. “Saya dah ada driver baru. So lepas ni bila-bila masa aje saya boleh tinggalkan awak.”
“Apa? Driver baru? Eh, baru semalam driver lama awak tu ‘curang’, senang aje dah dapat driver baru? Awak biar betul sikit, Tan Sri Kamarul!” Terbangun Puan Sri Lydia daripada kerusi dek terkejut mendengar kenyataan suaminya.
“Ya. Saya dah ada pemandu baru. Awak tak payah risau. Dia budak baik.” Tan Sri Kamarul memberi jaminan.
“Eh, eh… kat mana awak jumpa budak tu?” Puan Sri Lydia masih tidak berpuas hati.
“Dahlah, Lydia. Saya tahulah apa yang saya buat. Banyak soal pulak awak ni!” Tan Sri Kamarul mula buat muka tidak senang.
Puan Sri Lydia mengherotkan bibir. Geram! “Saya isteri awak, memanglah saya kena tanya! Saya pelik kenapa cepat sangat awak dapat pemandu baru? Baru semalam awak kata budak Boy tu dah larikan diri dengan duit awak. Saya kenal awaklah Tan Sri Kamarul! Awak bukannya mudah percaya pada orang. Tapi kenapa…” Wanita itu tiba-tiba tidak mampu menghabiskan bebelannya yang agak berjela-jela. Entahlah… susah mahu cakap.
Tan Sri Kamarul mendekati isterinya, bahu wanita itu ditepuk-tepuk lembut. “Don’t worry, sayang. Percayakan saya, please?”
Puan Sri Lydia merengus, kasar lalu memeluk tubuh. “Okey. Lepas ni kalau ada apa-apa yang di luar jangkaan berlaku, saya tak nak ambik tahu!” Ugutnya.
“Yalah, sayang. Saya yakin kali ni tak ada apa-apa yang berlaku. Lepas ni awak tengok sendirilah budak tu. Saya tahu dia budak baik.” Tan Sri Kamarul terus memujuk. Sungguh, walaupun sudah tiga puluh tahun rumah tangga mereka terbina, dia tetap akan rasa bersalah sekiranya perasaan isterinya itu terguris gara-garanya.
Puan Sri Lydia termakan juga dengan pujukan itu. Wajah kelatnya tadi pelan-pelan berubah tenang semula. “Okey. Saya dah siap. Jom!”
Pasangan suami isteri itu kemudiannya melangkah keluar dari kamar tidur mereka. Beriringan. Hinggalah tiba di tingkat bawah…
“Sayang, kenalkan… Muhammad Faqih, pemandu baru kita,” perkenal Tan Sri Kamarul sebaik dia dan isterinya datang kepada anak muda yang sedang duduk termenung di atas sofa ruang tamu rumah mewah itu.
Faqih tersedar dari lamunannya. Lekas dia mengangkat punggung lalu menundukkan sikit badannya, tanda hormat kepada pasangan suami isteri itu.
Kening Puan Sri Lydia senget sebelah sebaik memandang anak muda itu. Sepertinya, ada sesuatu yang sedang bermain di mindanya. “Faqih… hmmm… awak ke yang nak jadi pemandu ni?”
Faqih menguntum senyuman. “Ya, puan sri.”
“Jap, jap…” Puan Sri Lydia mencubit-cubit dagunya. Nampaknya ada lagi yang bermain di fikirannya tentang jejaka itu. Seperti ada sesuatu… yang tidak kena.
Tan Sri Kamarul naik hairan. Kenapa lain macam saja pandangan isterinya ini terhadap jejaka merangkap pemandunya itu? Aih, jangan kata terjatuh hati sudahlah! Memang ada yang kena tendang keluar dari rumah ini nampaknya…
“Hurmmm… saya rasa, saya macam pernah nampak awaklah.” Puan Sri Lydia mengangguk-angguk kepala dengan kening yang masih bercantum satu. Bikin saspen…
“Awak kenal Faqih, Lydia?” Tan Sri Kamarul menyoal tidak sabar-sabar.
Faqih meneguk liur. Entah kenapa urat-uratnya terasa sejuk tiba-tiba. Janganlah…
“Ohhh… awak yang kerja dekat salun rambut Michelle Chong tu dulu kan?” Puan Sri Lydia membuat dakwaan.
Faqih terkebil-kebil. “Errr… mana ada, puan sri. Saya tak pernah kerja kat salun rambut!” Balasnya. Sedikit sebanyak dia lega juga. Namun… bila masa pula dia kerja di salun rambut ni? Kenapa Puan Sri Lydia mengatakan yang dia pernah bekerja di salun rambut? Mukanya nampak macam pendandan rambut profesional ke? Ewah, ewah!
Puan Sri Lydia mengeluh kecil. “Hmmm… tak apalah. I’ve mistaken maybe. Tapi saya tak tipulah… rasanya saya macam familiar dengan muka awak!” Lagi sekali wanita itu mahu buat saspen.
Faqih tidak terkata apa lagi. Dahinya sudah mula berpeluh… kenapalah dia merasakan seperti ingin menjalani hukuman mati ketika disoal siasat oleh wanita ini?
Tan Sri Kamarul memeluk bahu isterinya. “Awak silap orang kut, Lydia. Faqih baru datang rumah ni semalam. Mungkin pendandan rambut tu mukanya sama macam Faqih,” ulasnya. Sekadar menyedapkan hati isterinya itu dan tidak mahu memanjang-manjang cerita.
Faqih semakin tidak ketahuan. Aduhai…
“Hmmm… yalah kut. Tapi, kenapa muka lawa-lawa macam ni pun nak jadi pemandu? Pelik-peliklah manusia sekarang ni.” Puan Sri Lydia mengomel sendiri sebelum melangkah keluar begitu saja dari rumah diikuti Tan Sri Kamarul.
Faqih menepuk dahi. Masya-ALLAH… hampir-hampir saja!

PETANG itu, seperti biasa solat Asarnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Selepas menghantar Tan Sri Kamarul dan Puan Sri Lydia pulang ke rumah mereka, dia terus menuju ke rumah ALLAH ini. Tidak lengkap rasanya hidup jika meninggalkan solat jemaah yang sudah menjadi rutinnya semenjak dahulu lagi.
Faqih bersalam-salaman dengan jemaah setelah selesai doa dibaca. Selepas itu, dia bergerak keluar dari ruang solat, mengambil bekas makanan polisterin di raga motosikal Honda Petaknya dan pergi mendapatkan orang tua berpakaian lusuh yang sentiasa menunggunya di kaki lima luar masjid.
“Nak, dalam Islam kita dituntut mengucapkan salam bila berjumpa dengan sesama muslim. Takkan kamu tak rasa rugi tak rebut peluang pahala tu?” Pak cik tua berpakaian lusuh itu bersuara sebaik deria pendengarannya menyedari seseorang datang menghampirinya… seorang yang dia kenal pastinya.
Faqih mengetap bibir. Pahala memberi salam? Ya, ada benarnya kata orang tua itu. Tetapi, dalam masa yang sama dia tahu, ini adalah taktik orang tua itu hendak mendengar suaranya.
Nasi di dalam bekas polisterin itu digaul-gaulkan dengan sudu plastik di tangannya, lalu selepas lelaki tua itu membaca basmalah, perlahan-lahan Faqih menyuapkan nasi ke mulut lelaki buta itu.
“Nak, boleh tak pak cik nak solat dalam masjid ni?” Tanya lelaki tua itu setelah selesai kunyahan pertamanya.
Faqih berhenti menggaul nasi. Pelan-pelan senyuman tertarik ke sudut bibirnya. Ada sesuatu yang membahagiakan hatinya tiba-tiba.
Lengan lelaki tua itu dipegang, memberi isyarat supaya lelaki tua itu bangun, jika benarlah dia hendak solat di masjid.
“Tak apalah, nak.” Entah kenapa, lelaki tua itu tiba-tiba berubah fikiran. Pegangan anak muda itu dilepaskan lembut dari mencengkam lengannya.
Faqih kehairanan. Namun, dia tidak tergamak hendak meluahkan kehairanannya. Suaranya acap kali tidak lepas tika ingin berbicara dengan orang tua itu.
Setelah selesai tugas Faqih memberi lelaki buta itu makan, dia pun berlalu pergi. Menjauh daripada lelaki tua yang entah bila akan beredar dari kaki lima itu.
“Assalamualaikum, Faqih!”
Langkah Faqih terhenti. Suara garau yang beralun tenang memanggil namanya itu diamati seketika sebelum dia memusing tubuh.
“Waalaikumussalam… Ustaz Syed!” Faqih menyambut salam itu. Lekas tangannya ditautkan dengan tangan lelaki yang telah muncul tiba-tiba memanggilnya itu.
“Jadi setiap petang kamu ke sinilah ya? Humhum… dah jumpa apa yang kamu cari?” Tanya Ustaz Syed atau nama sebenarnya Ustaz Syed Nazli itu.
Faqih membuang pandang ke jalan raya, sebelum mengambil nafas dalam untuk menjawab soalan itu. “Entahlah, ustaz. Saya sedang belajar apa yang saya cari.”
Ustaz Syed Nazli hanya tertawa kecil sebagai respon kepada kenyataan anak muda itu. Terangguk-angguk kepalanya yang dililit serban berwarna putih itu. Mungkin tidak tahu hendak mengutarakan apa lagi.
“Hidup ni memang macam-macam kan, ustaz? Sebab itulah kita tak boleh terus selesa dengan apa yang kita ada. Sepatutnya kita kena ambil peluang pada setiap warna-warni kehidupan tu… untuk belajar bersyukur dengan apa yang ALLAH berikan,” ujar Faqih, mengeluarkan pandangannya untuk menutup kecanggungan.
Ustaz Syed Nazli menepuk bahu anak muda itu. “Tapi tak salah kalau kita guna nikmat yang ALLAH berikan, sebab itu dah rezeki kita yang ALLAH tetapkan. Menggunakan nikmat ALLAH dengan sebaiknya pun merupakan salah satu tanda kita bersyukur dengan-NYA.” Lelaki yang wajahnya tenang itu menambah.
Faqih mengangguk-angguk, bersetuju saja dengan kata-kata Ustaz Syed Nazli. “Betul tu, ustaz. Tapi buat masa sekarang, saya masih mahu mencari apa yang saya nak cari.” Tekad Faqih menegakkan pendiriannya.

“EH, kenapa Mak Yah tak pergi pasar lagi?” Suara lembut yang tiba-tiba kedengaran di ruang dapur rumah mewah itu mengejutkan lamunan Mak Yah, pembantu rumah itu.
Lekas Mak Yah menoleh, jelas garis-garis kerisauan terpancar dari wajahnya.
“Aih, kenapa Mak Yah takut-takut ni? Mak Yah nampak hantu ke?” Tanya perempuan muda itu. Tercengang-cengang juga dia melihat wajah Mak Yah yang berkerut dua tiga ribu itu.
“Khalisah… hmmm… macam ni, Mak Yah nak pergi pasar tapi…” Mak Yah tidak mampu menghabiskan kata-katanya. Ada lagi beban yang mengganggu fikiran wanita yang berusia penghujung empat puluh-an itu.
Khalisah mengangkat sebelah kening. “Tapi apa, Mak Yah?”
Mak Yah mengurut dada sebentar. Nafas dalam diambil. “Mak Yah tak naklah… pemandu baru tu yang bawak Mak Yah.”
“Ohhh… Faqih. Kenapa dengan dia, Mak Yah?” Khalisah bertanya lanjut. Wajah pemuda yang boleh tahan tampannya tetapi hanya sanggup menjadi pemandu keluarganya itu terbayang semula di minda. Satu insiden yang dia tidak boleh lupa… ketika lelaki itu menyemburnya dengan air segar dari paip gara-gara mereka sama-sama terkejut tempoh hari. Memang kuram asam betul! Tak pasal-pasal dia bermandi sebelum masuk ke bilik air!
“Mak Yah sebenarnya… Mak Yah sebenarnya… segan dengan dia. Dia hensem sangat. Buat Mak Yah teringat kat arwah suami Mak Yah.” Tersengih-sengih macam kerang busuk Mak Yah membuat pengakuan akhirnya. Siap menggigit jari lagi. Amboi, Mak Yah!
Khalisah membulatkan mata. Mak Yah ni biar betul sikit? Sedangkan dia yang masih muda dan anak dara ini pun tiada rasa apa-apa dengan jejaka bernama Faqih itu… kenapa pula Mak Yah boleh terasa ‘apa-apa’ dengan lelaki itu?
‘Khalisah, ia ke kau tak rasa apa-apa dengan mamat tu?’ Sisi jahat dalam hati Khalisah berbisik.
Khalisah menggeleng laju. ‘Tidak! Ermmm… adalah sikit sebab dia hensem!’
Lagi sekali Khalisah menggeleng. ‘Haishhh, duduk diam-diam sudahlah, hati!’
‘Tapi aku tak naklah laki hensem je. Aku nak imam muda. Aku cuma terima imam muda aje untuk jadi suami aku!’ Sisi ‘baik’ hati Khalisah pula ikut ‘campur tangan’.
Khalisah tersenyum lebar akhirnya. Ya, dia hanya mahukan imam muda. Selain daripada imam muda, jangan haraplah! Sudah itu impiannya dari kecil, hendak bersuamikan seorang imam muda. Ah, bahagianya!
“Errr… Khalisah? Hehe… Khalisah pun sukakan pemandu baru tu, ya?” Mak Yah menguji, menyedari anak dara majikannya itu sudah terbang jauh.
Khalisah tersentak. “Eh, mana ada Mak Yah! Kan Lisa pernah kata yang Lisa cuma nak imam muda je! Dia tu imam muda ke, Mak Yah? Heiii… tak mahulah!” Lekas Khalisah menidakkan andaian Mak Yah. Mana boleh jadi! Dia tidak mahukan langsung si Faqih itu gara-gara lelaki itu bukan imam muda. Tambah pula, lelaki itu hanya pemandu saja. Memang tak jalan!
“Khalisah, Khalisah… maksud imam muda tu luas. Imam maksudnya pemimpin. Tak kiralah imam apa pun. Pemimpin negara pun imam, ketua pengawas di sekolah pun ‘imam’ bagi anak-anak buahnya dan suami pun ‘imam’ bagi keluarganya. Lisa kata Lisa nak imam muda aje kan? Tapi imam dari sudut yang mana Lisa nakkan? Kalaulah Faqih jadi suami Lisa, automatik dia akan jadi ‘imam’ kepada Lisa. Pasal muda jangan risau. Mak Yah yakin yang Faqih tu muda lagi. Baru habis belajar agaknya.” Mak Yah mempersoalkan keinginan Khalisah yang ingin bersuamikan hanya ‘imam muda’ panjang lebar. Sekali gus memasukkan sekali nama si Faqih sebagai suami si Khalisah.
Khalisah diam sejenak. Kata-kata Mak Yah membuatkan dia berfikir tentang apa yang diangan-angankannya selama ini. Betul juga… dia memang mahukan suaminya seorang imam muda. Tetapi, imam muda yang macam mana pula? Walhal, setiap lelaki yang berkahwin secara sendirinya akan bergelar ‘imam’ kepada keluarganya. Jadi… imam muda bagaimana yang dia hendakkan sebenarnya? Jujur, dia tidak pernah terfikir akan hal itu.
Yang dia tahu, imam muda itu seperti rancangan imam muda di Astro Oasis, yang menampilkan sepuluh lelaki berlatarbelakangkan agama untuk menjadi imam muda. Apakah itu imam muda yang dimahukannya? Tapi… takkanlah sesiapa yang tidak menyertai program imam muda tidak layak menjadi imam muda buat selama-lamanya?
Ah, pening!
Khalisah menggaru-garu kepala. Sudahlah… malas hendak fikir.
“Lisa, boleh teman Mak Yah pergi pasar tak? Lisa free kan?” Suara Mak Yah memecah semula kesunyian yang baru hendak tercetus.
Khalisah diam sejenak. Hmmm… kalau dia pergi, bermakna dia perlu menaiki satu kereta dengan Faqih. Tapi, tidak mengapalah. Yang penting, Faqih bukan imam muda dan dia tidak akan pernah mahu dengan lelaki itu.
“Hmmm… kalau kereta saya ada, bolehlah saya bawakan Mak Yah. Waktu macam nilah dia nak rosak pulak. Ha, okeylah, Mak Yah. Saya teman Mak Yah. Tapi ada syarat… nanti Mak Yah buatkan Durian Crepe ya?” Setujunya Khalisah bersyarat.
Mak Yah hanya mengangguk. Dia sudah mengagak syarat yang dikenakan oleh anak majikannya itu. Kalau tidak menyuruhnya membuat Durian Crepe, pasti anak majikannya itu akan menyuruhnya membuat Char Kuey Teow goreng belacan yang resepi rahsianya hanya dia saja yang tahu.
Khalisah lekas berlari ke billiknya, menyiap-nyiapkan diri.

RASA bersalah cukup menghantui jejaka itu semenjak dua hari lepas. Perlukah dia meminta maaf? Tidak perlu banyak bertanya, sememangnya dia bersalah akan insiden hari itu dan dia patut meminta maaf. Tapi bagaimana?
Faqih yang menjadi penunggu di dalam kereta sekejap-sekejap memejamkan mata. Sekejap-sekejap termenung memandang ke luar tingkap, melihat gelagat orang bertali-arus keluar masuk pasar raya itu. Sekarang dia sedang menunggu kelibat Mak Yah dan Khalisah untuk muncul. Sudah setengah jam semenjak kedua-dua orang wanita itu hilang dari pandangannya.
Khalisah… sungguh, rasa bersalahnya gara-gara tersiram muka anak majikannya dengan air paip sehingga basah lencun tempoh hari semakin menggunung. Dia perlu meminta maaf tapi… dia segan dengan perempuan. Lalu bagaimana? Bagaimana hendak memulakan?
Lantas, daripada terus pening kepala memikirkan masalahnya itu, Faqih membuka laci di dashboard kereta. Sebuah buku kecil dikeluarkan. Selepas menyelak-nyelak, akhirnya dia berhenti pada suatu muka surat dan bibirnya mula bergerak-gerak perlahan.
Tok… tok… tok…
Ketukan pada cermin kereta membantutkan bacaannya. Lekas Faqih menyelesaikan ayat terakhir sebelum menyebut sadaqallahul ‘azim dan menyimpan semula mushaf Al-Quran kecil itu ke dalam laci dashboard. Tanpa melihat siapa yang telah mengetuk cermin kereta majikannya itu, terus saja dia keluar dari kereta.
“Nana!” Terloncat ke belakang si Faqih sebaik melihat wanita yang berdiri di hadapannya sekarang ini.
“Abang Faqih… kereta siapa yang Abang Faqih bawa ni?” Nana kelihatannya teruja melihat BMW 528i yang berkilat itu. Badan kereta mewah itu diusap-usap.
“Nana buat apa kat sini?” Faqih yang masih terkujat dengan kemunculan wanita yang telah lama gila bayang dengannya itu terketar-ketar bertanya.
“Laaa… Nana beli baranglah, Abang Faqih. Takkanlah tanam Jagung kut!” Mahu juga si Nana berloyar buruk waktu-waktu begini.
Faqih menggaru-garu kepala. Cuba menenangkan hati yang kini tidak ketahuan. Tanpa disedari, wajahnya sudah naik pucat. Begitulah dia… jika berhadapan dengan perempuan.
“Abang… takkanlah abang nak kerja macam ni? Banyak lagi kerja yang bagus.” Nana menyatakan pendapatnya, bagai seorang isteri menasihati suaminya pula. Jujur dia memang tidak menyangka yang lelaki pujaan hatinya ini sanggup menjadi seorang pemandu.
Faqih tidak tahu hendak membalas apa. Hendak menjelaskan pun tak guna. Apa yang hendak dijelaskan? Sudah memang ini yang menjadi pilihannya.












0 comments: