BAB
6
MASUK
saja
ke dalam bilik, tidak menyempat-nyempat Khalisah menghenyakkan belakang
tubuhnya ke atas tilam yang bersaiz queen
itu. Tudung labuh yang dipakainya pun tidak ditanggalkan. Lelahan demi
lelahan dilepaskan, diiringi alunan tasbih yang bermain di ulas bibirnya yang
dicalit sedikit pengilat bibir itu. Putaran kipas di atas siling menjadi
sasaran penyaksian bola matanya.
Khalisah meraup wajah.
‘Ya ALLAH… siapa perempuan tadi?’ Berkata-kata hatinya. Hatinya yang entah
kenapa berasa sedikit ‘gusar’. Hmmm… kenapa dia perlu gusar? Apa yang
digusarkan sebenarnya?
‘Siapa perempuan tadi?’
Soalan itu makin mendesak minda Khalisah. Namun, apa kepentingannya untuk
mengetahui semua itu? Biarlah Muhammad Faqih itu hendak berkawan dengan sesiapa
pun!
Muhammad Faqih?
‘Ah, dia bukan imam
muda! Aku tak mahu!’ Hati Khalisah berperang sendiri.
Khalisah bangun dari
pembaringannya, kini duduk pula. Fikirannya memutar sejenak apa yang telah
disaksikan oleh kedua-dua bola matanya sebentar tadi…
Wanita itu… seperti
mesra benar dengan Faqih, pemandu papanya. Siapa wanita itu sebenarnya?
Khalisah hanya mampu
memerhati dari jauh babak itu.
Satu kesimpulan yang
dapat dibuat oleh Khalisah… Faqih memang bukan salah seorang yang tersenarai
dalam calon suaminya. Daripada cara wanita itu berinteraksi dengan Faqih tadi,
sepertinya mereka pasangan kekasih. Dan itu bermakna mereka mengamalkan
percintaan sebelum bernikah. Dan… Khalisah tidak mahu lelaki seperti itu.
Cinta yang hanya dia
percaya cumalah cinta selepas nikah!
Cinta sebelum nikah
hanyalah fatamorgana belaka…
Khalisah bangun,
berdiri tegak dari bermalasan di atas katilnya. Kekuatannya bagai pulih
tiba-tiba. Dia nekad… Faqih bukan pilihannya!
Tok… tok… tok…
Khalisah tersentak.
Ketukan pada daun pintu meneutralkan kembali perasaannya yang sedang berlawanan
sesama sendiri. “Masuk,” laungnya.
Pintu terkuak tidak
sampai beberapa saat. Kelibat seorang lelaki bertubuh tegap muncul memenuhi ruang
mata Khalisah.
“Lisa, kau ada nampak
Aaron tak?” Khalis, abang kandungnya Khalisah, juga satu-satunya adik-beradik
Khalisah, menerjah adik perempuannya itu dengan persoalan.
Khalisah menjongket
kening. Wajah abangnya yang nampak kebuntuan itu diperhati agak lama. “Abang
cari Aaron Aziz kat sini? Manalah Lisa tahu!”
“Laaa… tadi abang
nampak Aaron masuk bilik kau!” Dakwa Khalis. Kepalanya dikeruk-keruk kasar.
Arghhhh… mana pula Aaron Aziz ni?
‘Aaron Aziz masuk bilik
aku? Agak-agaklah abang ni!’ Berdesis-desis hati Khalisah.
“Hishhh… mengarutlah
abang ni! Kalau Aaron Aziz masuk bilik Lisa, dah lama Lisa terbongkang lari tak
cukup darat tau!” Bersungguh-sungguh Khalisah menafikan dakwaan abangnya yang
baginya agak mengarut itu. Sesungguhnya dia amat takut dengan Aaron Aziz!
“Manalah tahu kau dah
tak takut lagi ke dengan Aaron Aziz? Sebab tu dia masuk bilik kau.” Khalis
tetap tidak berpuas hati. Tidak cukup dengan penafian Khalisah, selamba saja
dia menyelongkar bilik adiknya itu. Habis segala bawah katil, almari, bilik air
dijengahnya.
Aaron Aziz tiada!
Khalisah sudah panas
memerhati perlakuan abangnya yang selamba badak macam orang tidak bersalah
menyelongkar biliknya itu. Sudahlah tidak meminta izin dahulu!
“Abang! Aaron Aziz tak
ada kat sinilah! Abang pergilah cari kat tempat lain!” Tertinggi juga suara
Khalisah, melepaskan geram yang terbuku di hati terhadap abangnya yang masih
ligat mencari Aaron Aziz di dalam almari bajunya itu.
Khalis mengalah juga
akhirnya. Sah, Aaron Aziz sudah hilang! Merata sudah dia mencari Aaron Aziz di
sekeliling rumah banglo bapanya itu. Namun, tidak berjumpa.
Kalau betullah Aaron
Aziz hilang, sudah pasti Khalis akan demam seminggu. Mana tidaknya, dia sudah
jatuh cinta dengan Aaron Aziz semenjak pertemuan mereka yang pertama kali!
“Abang, dahlah tu. Dia
tak ada kat sini!” Sungut Khalisah. Naik rimas dia melihat gelagat si Khalis
yang macam baru hilang bini itu.
“Eh, bisinglah kau! Kau
tahu tak aku sayang dia? Dah, kau keluar dulu! Biar aku cari dia sampai jumpa!”
Khalis membentak agak kuat. Mungkin dia juga rimas dibebelkan oleh si adik.
Khalisah merengus
kasar. Hei… panas, panas! Abangnya ini sudahlah menyelongkar biliknya sesuka
hati, sekarang dia pula yang dihalau? Kurang asam betul!
Khalisah
menghentak-hentak kaki seperti anak-anak kecil sebelum akur juga akan arahan
keras abangnya itu. Dengan muka yang masam-masam pahit, Khalisah beredar dari
biliknya… bersama-sama hati yang sudah hangit terbakar. Arghhhh!!!
Pintu dapur dibuka.
Khalisah melangkah keluar bagi mencari udara sejuk. Maklumlah, udara di dalam
rumah pun sudah terlalu panas sampai hangit hatinya dikerjakan!
Di taman mini itu,
Khalisah mengambil tempat duduk. Fikirannya cuba ditenangkan daripada
membayangkan wajah abangnya, Khalis. ‘Ah, susah mahu cakap dengan orang gila
macam dia!’ Wanita itu masih tidak mampu membendung rasa amarahnya terhadap
abangnya.
Sungguh sakit hatinya
mengenangkan apa yang abangnya telah buat tadi. Gara-gara Aaron Aziz, dia
dihalau daripada biliknya sendiri!
Khalisah menampar meja
bulat di hadapannya. Namun… astaghfirullahalazim. Sabar, Khalisah!
Sedang asyik melayan
perasaan, semuanya bagai lebur tiba-tiba apabila Khalisah merasakan seperti ada
sesuatu yang sedang mencakar bajunya di bahagian bahu kiri.
Khalisah kaget.
Wajahnya tidak semena-mena pucat lesi… tidak berdarah. Pelan-pean dia menoleh
ke kiri dan…
“Aaaaaaaaaaa!!! Aaron
Aziz!!! Mama!!! Aaron Aziz!!!” Khalisah terlompat dari kerusi yang diduduki.
Ruang angkasa raya rumah Tan Sri Kamarul bergempita dengan jeritan wanita itu
tidak semena-mena.
Faqih terkujat dengan
reaksi yang diterima. Lantas, Aaron Aziz diambilnya semula daripada bahu wanita
itu. Jantungnya berlari pecut seribu lima ratus meter. Matanya yang terbuntang
dan terkebil-kebil hanya mampu menyaksikan Khalisah semakin kelam-kabut
‘menyelamatkan diri’ daripada Aaron Aziz dengan memanjat meja bulat di taman
mini itu. Masya-ALLAH!
“Argghhhhh! Kenapa awak
letak Aaron Aziz kat bahu saya?” Khalisah yang kini sudah berdiri di atas meja
bulat itu berteriak keras diselangi dengan esak-esakan. Bercucuran air mata
wanitanya jatuh ke rumput. Nampaknya dia memang benar-benar terperanjat!
Faqih meneguk liur yang
terasa pahit dan tajam untuk ditelan oleh anak tekak. Wajahnya turut berubah
pucat bak mayat. Matanya langsung tidak berkedip. Dia sangat terkejut… dalam
masa yang sama, dia kebingungan juga. Kenapa Aaron Aziz turut terbabit dalam
hal ini?
“Awak memang jahat!
Jahat! Jauhkan saya dari benda tu!!!” Khalisah terus berteriak bagai orang
disampuk jembalang tanah sambil menggoyang-goyangkan tapak tangannya kepada
Faqih, sebagai isyarat supaya menjauhkan diri. Semakin deras juga air matanya
gugur.
Faqih cuba mencari
kekuatan. Dia tahu dia sudah berbuat salah. Dan kali ini, dia tidak mahu
melepaskan peluang untuk memohon maaf kepada wanita itu.
“Saya minta maaf. Saya
ingat awak tengah cari benda ni. Sebab itu saya letak di bahu awak, sebab saya
tahu benda ni memang manja,” terang Faqih, seupaya boleh dia cuba membuatkan
dirinya berada dalam keadaan tenang. Sambil-sambil itu, dia mengusap-usap
kepala Aaron Aziz yang masih diam di tangannya.
Khalisah tidak
membalas. Tangisannya makin menjadi-jadi pula.
Faqih serba-salah. Dia
tahu dia sudah berbuat silap besar kepada Khalisah. Namun… dia bukan sengaja.
“Aaron Aziz! Oh god, Aaron Aziz sayang!” Khalis
muncul, menambah ‘ribut-ribut’ yang sedang membadai ruang atmosfera di situ
dengan rasa terujanya sebaik melihat Aaron Aziz selamat di tangan Faqih.
Berlari dia mendapatkan pemandu papanya itu.
“Kau pergi mana ha? Kau
tahu aku macam nak mereng dah cari kau?” Khalis menyambar Aaron Aziz dari
tangan Faqih tidak menyempat-nyempat. Kepala Aaron Aziz dicium-ciumnya penuh
kasih.
Faqih menggaru-garu
kepala. Berserabut kepala otaknya dengan situasi yang dihadapinya sekarang ini.
Nama iguana itu Aaron Aziz?
“Heh, kau curi Aaron
ya?” Tuduh Khalis tiba-tiba terhadap Faqih setelah ‘lunyai’ kepala Aaron Aziz
diciumnya.
Faqih menggeleng laju.
“Tak! Saya tak curi Aaron Aziz! Saya jumpa dia tepi jalan kat luar pagar sana.”
Khalis
mengherot-herotkan bibir. “Ahhh! Talam dua muka! Macam mana Aaron boleh keluar
sendiri dari sangkar dia kalau bukan kau yang bukakan?”
“Wallahi, saya tak curi dan tak ada niat langsung nak curi iguana awak
ni!” Faqih tegas membela dirinya. Curi iguana? Hei, tiada kerja lain ke apa
sampai hendak mencuri cicak naga itu?
Khalis mengepal-ngepal
penumbuknya lalu dihalakan ke wajah Faqih. Namun, sepertinya buku lima itu
hanya gimik saja. Tanpa membuat sebarang tindakan terhadap Faqih, terus saja
lelaki itu pergi masuk ke dalam rumah semula bersama-sama iguananya yang
bernama Aaron Aziz.
Astaghfirullahalazim…
Faqih beristighfar panjang. Seketika kemudian, dia berpaling semula ke arah
Khalisah.
Mata Khalisah sembab.
Kesan air matanya jelas, masih diselang-seli dengan esakan yang membuatkan
bahunya terinjut-injut. Tajam mata wanita itu merenung Faqih.
Faqih memandang tanah.
Dia mahu meminta maaf tetapi… sekali lagi dia kalah.
Khalisah berpusing
tubuh, lalu berlari ke dalam rumah semula dengan tangisan yang bersambung
kembali.
TEPAT jam satu setengah petang,
mesyuarat ahli lembaga pengarah yang turut disertai oleh Tan Sri Kamarul di
MegaPutra Holdings berakhir dengan jayanya. Kata sepakat antara mereka telah
dicapai. Oleh sebab itu, kesemua mereka keluar dari bangunan MegaPutra Holdings
dengan senyuman meleret di wajah masing-masing. Senyuman orang korporatlah
katakan.
Faqih yang sudah
sepuluh minit berdiri di luar kereta mewah Tan Sri Kamarul kerana sudah
kepanasan punggung duduk di dalam kereta hanya memerhati kelibat orang yang
keluar masuk bangunan gah itu. Dia hanya mahu mencari kelibat seseorang saja…
Akhirnya, Tan Sri
Kamarul muncul jua. Cepat-cepat Faqih masuk semula ke dalam kereta dan memandu
kereta tersebut hinggalah berhenti betul-betul di hadapan Tan Sri Kamarul.
Nampaknya, lelaki korporat itu masih rancak berborak dengan ahli lembaga
pengarah yang lain.
Lima minit kemudian,
barulah Tan Sri Kamarul masuk ke dalam kereta dan duduk di bahagian penumpang
belakang. “Lama kau tunggu, Faqih?” Soal lelaki itu sebaik saja kereta mula
bergerak.
Faqih mengerling
sekilas majikannya itu melalui cermin pandang belakang yang tergantung. “Tak
lama sangat. Dalam tiga jam.”
“Aih, tak lama? Hmmm…
lepas ni kalau aku ada meeting ke apa
ke, kau nak pergi berjalan dulu pergilah. Bila dah selesai, aku panggil,”
beritahu Tan Sri Kamarul.
Faqih terdiam. Tidak
tahulah kenapa… namun, dia merasakan Tan Sri Kamarul sudah terlalu baik
melayannya sepanjang seminggu dia menjadi pemandu lelaki ini. “Errr… betul ke,
tan sri? Kalau macam tu, terima kasih banyak-banyak.”
“Yalah. Takkan aku nak
suruh kau tunggu berjam-jam kut? Kesian pulak kau.” Jujur benar Tan Sri Kamarul
kali ini.
Terharunya si Faqih
tidak terkata. Lantas, satu persepsi lain timbul di benaknya… dalam hati Tan
Sri Kamarul ada taman! Walaupun insiden ketika lelaki korporat itu mengherdik
pak cik tua buta yang selalu Faqih beri makan di kaki lima luar masjid itu
masih segar di ingatannya.
Serentak itu juga,
kata-kata Ustaz Syed Nazli turut muncul memenuhi ruang minda Faqih… “Fitrah manusia yang sebenarnya ialah
berhati lembut.”
“Faqih?” Panggil Tan
Sri Kamarul. Sedar yang suasana di dalam kereta itu sudah beberapa ketika
berlangsung sepi.
Lafaz tasbih bermain di
bibir Faqih. Sudah jauh rupanya fikirannya bertebaran! “Ya, tan sri?”
“Kamu termenung ya?”
Duga Tan Sri Kamarul.
Faqih membulatkan mata.
Pantas dia menggeleng. “Tak adalah, tan sri. Errr… tan sri, kebetulan zohor dah
masuk ni, apa kata kita pergi solat dulu?”
“Hah? Solat?” Tan Sri
Kamarul tercengang-cengang. Lagaknya seperti apa yang baru didengarinya itu
adalah suatu perkara baharu yang tidak
pernah didengarinya seumur hidup!
“Ya, tan sri. Kita
solat zohor dulu sebelum balik?” Faqih menekankan sikit suaranya, mungkin Tan
Sri Kamarul tidak mendengar dengan jelas. Yang sebenarnya, lelaki itu tidak
perasan pun yang Tan Sri Kamarul tercengang-cengang ketika dia menyebut pasal
solat tadi.
“Hmmm… kat mana?”
“Kat depan tu nanti ada
masjid, tan sri. Kita solat situlah ya?” Faqih terus menumpukan pada
pemanduannya. Sesekali dia melihat jam tangannya. Memang harapan hendak
berjemaah serasanya sudah terlepas, tapi seboleh mungkin dia cuba untuk
menunaikan solat pada awal waktu.
“Kita dah sampai, tan
sri.”
Tan Sri Kamarul
tersentak sebentar. Terpinga-pinga dia memandang kawasan sekitarnya. Lahhh…
bila masa pula sampai ni? Kenapa dia tidak perasan langsung?
Faqih sudah berdiri di
luar, membukakan pintu penumpang di belakang.
Tan Sri Kamarul menelan
liur… yang terasa mencucuk di anak tekak. Jantungnya berlari entah pantas
bagaimana. Sepertinya ada sesuatu yang ‘menggerunkan’ sedang menghantuinya.
Lelaki korporat itu
keluar juga dari keretanya. Butang baju kemeja di bahagian dadanya dibuka… bagi
membenarkan sedikit udara mendinginkan diri yang terasa hangat dibakar pancaran
matahari.
Selepas mengunci
kereta, Faqih meneruskan langkah. Tidak menunggu Tan Sri Kamarul. Fikirnya,
majikannya itu pasti mengikut dari belakang.
“Faqih.”
Panggilan Tan Sri
Kamarul agak sayup. Lantas memberhentikan langkah Faqih yang baru dihayun.
“Tan sri?” Faqih
memusing tubuh semula.
Tan Sri Kamarul
mengambil nafas dalam. Lama wajah anak muda itu dipandangnya. Dia ingin
memberitahu sesuatu tetapi… suaranya tidak lepas dari kerongkong.
Kening Faqih bertaut.
Namun raut wajahnya tetap tenang menunggu reaksi Tan Sri Kamarul. “Tan sri ada
apa-apa yang nak diberitahukan?”
Setelah berdiam agak
lama, Tan Sri Kamarul menggerakkan bibirnya… mungkin setelah memperoleh
kekuatan. “Kamu ajelah yang solat. Saya solat di rumah.”
Faqih membatu. Dia pula
tidak terkata apa melainkan hanya mampu memerhati lelaki korporat itu masuk
semula ke dalam kereta setelah kuncinya dibuka.
7 comments:
sambung lagi! best >.<
in shaa ALLAH. saya akan sambung :)
hai akak!!suke2..cerita ni mmg best la akak..sambung lah lagi..tak sabar nye...
-nasira comel-
Assalamu'alaikum.yeay alhamdulillah found ur blog at last~sbelum ni I follow kat p2u
Baru je mula baca.... ;)
cukup menarik cerita ini...sukses....
Ble bygkn cerita ni, memang rasa na gelak begolek golek.
Post a Comment