Tuesday, January 8, 2013

Imam Mudaku Romantik 4


BAB 4
MALAM sudah buta benar. Tiada apa lagi yang sesuai dilakukan pada waktu-waktu sebegini melainkan hanya tidur. Namun, tetap ada manusia yang tidak menggunakan nikmat pemberian ALLAH itu sebetul-betulnya. Ada yang waktu malam baru hendak ‘menikmati kehidupan’. Orang putih kata, nightlife.
“Jadi kau memang nekadlah ye kerja kat situ?” Entah kali ke berapa Hakimi menanyakan soalan itu. Lelaki itu nampaknya susah hendak percaya dengan keputusan yang rakan serumahnya itu ambil.
Faqih menutup buku yang dibacanya. Tiada mood lagi untuk meneruskan pembacaan. Dia yang berbaring di atas sofa menukar posisi, duduk pula. Soalan Hakimi itu dibalas dengan pandangan matanya yang tidak berkelip beberapa ketika. “Kenapa susah sangat kau nak percaya ha? Salah ke aku jadi driver?”
“Hmmm… taklah salah. Tapi aku tak fahamlah dengan kau ni, Faqih. Kadang-kadang aku rasa kau ni macam… ermmm…” Hakimi mengherot-herotkan bibir. Tidak tahu perkataan apa yang sesuai untuk menyambung ayatnya itu. Macam apa ya?
Faqih mengangkat sebelah kening. “Macam? Ha, macam apa?!” Terjah Faqih.
Hakimi menggaru-garu kepala. Bingung dia mencari perkataan yang sesuai untuk digunakan. “Macam ni, Faqih. Aku tak faham kenapa kau nak jadi diri orang lain. Rasanya tak salah kan kalau kita guna nikmat kehidupan yang ALLAH dah bagi?”
“Aku pulak tak faham dengan apa yang kau cakap, Kimi. Aku rasa aku tak pernah jadi diri orang lain. Aku jadi diri akulah!” Bidas Faqih, menidakkan kata-kata Hakimi.
Hakimi mengeluh… entahlah. Susah mahu cakap dengan orang yang ‘berpendirian tegas’ atau dengan istilah betulnya ‘degil’ sebegini. Sejujurnya, dia sendiri tidak faham bagaimana Muhammad Faqih yang sebenar walau mereka sudah menjadi kawan semenjak dari sekolah rendah lagi.
Muhammad Faqih memang misteri orangnya…
“Dahlah, Kimi. Tak payah susah-susah fikir pasal aku sangat. Aku tahulah apa yang aku buat,” ulas Faqih bagi menutup topik tersebut daripada terus menjadi perbahasan sengit.
Hakimi mengangkat bahu. ‘Lantak kaulah, Faqih!’ Hatinya berbisik. Cawan kopi di tangannya dicicip setelah agak lama dibiarkan wap panas merebak ke udara. Ah, sungguh nikmat menghirup kopi di tengah-tengah malam buta!
“Kau minum kopi, Kimi? Apa? Kau tak nak tidur ke?” Soal Faqih, kebetulan terperasankan cawan yang dipegang oleh Hakimi.
“Kau macam tak kenal aku, Faqih! Aku ni hantu kopi. Tak kiralah, siang, malam, pagi, petang, senja, subuh, sebelum subuh… kalau aku nak layan, aku layan,” jelas Hakimi panjang lebar.
Faqih hanya terangguk-angguk selepas itu. Nah, sekarang baru moodnya hendak membaca datang balik. Lantas buku yang tadi sudah ‘dikhatamnya’ awal-awal itu dibuka semula. Tidak lama kemudian, kerutan-kerutan mula jelas kelihatan di dahinya… menandakan dia mula serius dengan pembacaannya. Syhhh… tak boleh kacau!
“Ha, hello! Taufiq? Ha, kenapa?” Suara Hakimi memecahkan kembali ruang tamu rumah yang baru hendak sunyi sebentar tadi itu, sebaik dia menjawab telefonnya yang menjerit minta diangkat.
“Laaa… kau ni spoil betullah! Tulah, lain kali kalau nak dating dengan awek, periksalah dulu kereta tu betul-betul. Hisy, buat malu kaum playboy je!” Berdegar-degar suara Hakimi ‘menyembur’ gerangan yang berada di hujung talian.
Faqih hilang tumpuan lagi. Hakimi dijeling dengan ekor matanya.
“Haaa, yalah. Nanti aku suruh Faqih datang ambik kau. Okey, bye. Heiii… sengal betul mamat ni!” Hakimi terus menyumpah-nyumpah tidak puas hati walaupun talian telah dimatikan. Marah betul dia.
Faqih sudah mengherotkan sebelah bibir. Dia tahu, pasti ada sesuatu yang perlu dilakukannya sebaik mendengar namanya disebut tadi oleh Hakimi.
“Faqih, kau pergi jemput Taufiq boleh tak? Kereta dia rosaklah. Tulah… nak pakai kereta mewah sangat, beli second hand sebab tak mampu. Tengok, sekarang dah hang tengah jalan dengan awek! Heiii… kalau akulah, aku dah menyorok dalam gua kat Zimbabwe!” Hakimi terus membebel macam mak nenek. Amboi, bukan main lagi dia!
Faqih menahan nafas yang entah kenapa terasa berasap dan berwap saja. Sabar, Faqih, sabar. “Sesuka hati kau aje mengarah aku. Kau pun agak-agaklah… aku mana ada kereta! Honda Petak buruk tu aje! Kau kan ada Preve, apahal aku pulak yang kena pergi jemput dia?”
Hakimi diam. Mungkin terinsaf sikit agaknya dengan kata-kata rakan serumahnya itu.
Namun… beberapa saat kemudian.
“Faqih, malam ni aku kasi chance kat kau. Kau bawaklah Preve aku tu.” Tersengih-sengih Hakimi sambil mendekati Faqih lalu ditepuk-tepuknya bahu lelaki itu.
“Apa dia? Itu bukan kasi peluang. Itu namanya kau malas! Hmmm… yalah, yalah. Nasib baik Preve. Kalau kereta kancil berlapuk kau yang dulu tu aku dah kirim salam awal-awal.” Faqih mengalah. Tidak mengapalah… lagipun inilah peluangnya hendak merasa bawa Preve. Tetapi petang tadi lagi dahsyat. Dia berpeluang memandu BMW 528i kepunyaan Tan Sri Kamarul.
Macam-macamlah hidup ini.
“Amboi, amboi kau, Faqih! Eh, kancil berlapuk tulah yang dah berjaya bawak aku ke menara gading tau! Yang berlapuk-lapuk tulah yang hantar aku pergi kuliah hari-hari masa kat universiti dulu. Kau sesuka hati aje merendahkan martabat kancil aku!” Terasa juga mamat bernama Hakimi itu apabila kereta kancilnya yang sudah menjadi besi buruk agaknya direndah-rendahkan. Barang berjasa, memang akan dikenang-kenang.
Faqih ketawa. “Aku minta maaf. Saja aje nak buat kau panas. Ha, mana kunci Preve? Aku tak sabar ni!” Berkobar-kobar semangat si jejaka. Tapak tangan sudah pun bersiap sedia ditadahkan.

0 comments: