Wednesday, February 13, 2013

Imam Mudaku Romantik! 13


BAB 13
PERJALANAN pulang pada petang itu terasa agak meletihkan kerana hari ini dia tidak duduk sepanjang masa di butiknya. Tadinya dia singgah ke tempat pembekal kain untuk berunding tentang pembekalan stok kain  untuk syarikatnya. Selaku bos, siapa lagi kalau bukan dia yang perlu bertungkus-lumus?
Nah, sekarang jalan sesak pula! Khalisah menguap kecil. Berhadapan dengan jalan raya yang sesak sebegini bukan suatu perkara asing di Kuala Lumpur. Tetapi masalahnya, dia sudah mengantuk! Lagi teruk, kepalanya sudah ‘terangguk-angguk’ beberapa kali sepanjang perjalanan itu. Memang bahaya!
Hampir empat puluh minit tersekat dalam kesesakan di kota metropolitan itu, akhirnya tercapai juga hajat Khalisah hendak melihat rumahnya tersergam di depan mata. Ahhhh… alhamdulillah, sampai juga!
Namun, ketika kereta Khalisah melepasi pagar rumahnya, kelihatan sebuah kereta yang memang pasti bukan milik keluarganya sedang elok terparkir di tempat biasa Khalisah meletakkan keretanya. Nak tak nak, Khalisah terpaksa memarkir keretanya di tempat lain.
‘Siapa pulak ni?’ Khalisah tertanya-tanya sendiri. Perlahan dia menutup pintu keretanya semula.
Pintu depan rumah banglo itu tiba-tiba terkuak dari dalam. Khalisah tidak jadi meneruskan langkah, hendak melihat siapa yang akan keluar dari balik pintu tersebut.
“Terima kasihlah, you. Lega hati kami ni. Tercapai jugak hajat anak teruna kami tu akhirnya,” kata wanita yang pertama keluar dari balik pintu tersebut. Wajahnya nampak bahagia.
“Yalah, Izreen. I pun dah lama berkenan kat dia. You jangan risaulah. Semuanya akan berjalan lancar nanti.” Muncul pula seorang wanita yang amat dikenali oleh Khalisah… siapa lagi kalau bukan mamanya!
Seketika kemudian, muncul pula Tan Sri Kamarul dan seorang lelaki sebayanya sedang rancak berbual sambil berjalan menghampiri kereta ‘asing’ yang elok terparkir itu.
Khalisah membulatkan biji mata. Mama dan papa Izham!
‘Apa yang diorang buat kat sini?’ Serta-merta Khalisah menjadi gelisah. Terbayang semula akan perbualan dengan mamanya beberapa hari lepas. Tanpa selindung atau kiasan, Puan Sri Lydia berterus-terang kepada Khalisah tentang keinginannya untuk bermenantukan Izham!
Entah kenapa, Khalisah merasakan jiwanya perit sangat. Sungguh perit… bermacam-macam kemungkinan yang tidak pernah diimpikan mula menghantui pemikirannya.
“Eh, Khalisah! Apa khabar, sayang? Lama tak jumpa Lisa.” Datin Izreen menyapa ramah wanita yang dari tadi tegak berdiri memerhati itu. Telapak tangannya dihulurkan.
Sayang? Sungguh Khalisah agak terkilan dengan panggilan itu. Namun, huluran tangan itu dibalasnya juga lalu dikucup lembut. “Alhamdulillah, datin. Saya sihat.”
“Eh, jangan berdatin-datin lagi. Panggil mummy ya? Biasakan diri dulu,” pinta Datin Izreen. Seakan tidak perasan langsung garis-garis kegusaran yang jelas terpancar di wajah gadis itu.
Khalisah mengerutkan dahi. Mummy? Kenapa pula dia perlu memanggil wanita berada ini dengan panggilan sebegitu?
“Lisa, kenapa balik lambat?” Puan Sri Lydia menegur anak gadisnya itu. Ya, dia menyedari perubahan pada riak wajah Khalisah. Bukannya dia tidak tahu isi hati anak perempuannya itu!
 “Errr… jalan sesak, ma. Tu yang lambat sikit.”
Datin Izreen tiba-tiba mengusap-usap pipi Khalisah. “Jaga diri baik-baik ya, sayang. Mummy balik dulu.”
Khalisah terkesima sekali lagi. Terkesima dengan perlakuan spontan mama kepada Izham, lelaki yang terlalu menaruh harapan kepadanya itu. Ya ALLAH…
“Okeylah, Lydia. Apa-apa hal nanti I call you. I balik dulu ya.” Datin Izreen meminta izin mengundur diri. Seketika kemudian, wanita itu berjalan dan masuk ke dalam keretanya bersama-sama suaminya yang sudah turut menamatkan perbualan dengan Tan Sri Kamarul.
Khalisah masih tegak di situ… kebingungan. Cuma matanya yang bergerak-gerak memerhati kelibat kereta mewah yang semakin hilang dari padangan itu.
“Lisa, kamu nak berdiri kat situ ke? Masuk dalam sekarang. Mama nak cakap sikit.” Agak tegas Puan Sri Lydia memberikan arahannya. Lalu masuk ke dalam bersama-sama Tan Sri Kamarul yang hanya memandang anak daranya itu dengan pandangan kosong.
Khalisah meneguk liur yang terasa perit untuk ditelan. Keseriusan yang jelas pada gaya mamanya sudah cukup menimbulkan rasa cuak dalam hatinya. Ya ALLAH, tenangkanlah hati ini!
“Mama nak cakap apa dengan Lisa?” Khalisah bertanya sebaik saja melabuhkan punggung di sofa ruang tamu, berhadapan dengan tempat duduk Puan Sri Lydia.
Puan Sri Lydia menegakkan badan. Wajah anak perempuannya itu dipandang kosong. “Tadi Datin Izreen merisik Lisa untuk Izham.”
Khalisah menggumam bibir. Dia tidak terkejut kerana sudah mengagak awal-awal lagi akan hal itu. Namun, debaran di hatinya tidak mampu dielakkan.
“Errr… jadi?” Teragak-agak Khalisah bersuara. Sememangnya dia amat takut jika akan mendengar sesuatu yang tidak diingininya dari Puan Sri Lydia!
Puan Sri Lydia menghela nafas kecil. “Mama terima. Seminggu lagi Lisa akan bertunang dengan Izham.”
Khalisah mengangkat wajahnya. Anak matanya yang mula bertakungan tepat menghala ke wajah Puan Sri Lydia. “Ma, kenapa mama tak bincang dengan Lisa dulu?” Bergetar-getar suaranya menahan sebak.
“Kan mama dah bagitahu Lisa hari tu? Lisa tak bagi respon, so mama anggap Lisa terima pinangan keluarga Izham,” jawab Puan Sri Lydia. Begitu saja.
“Tapi mama kan dah janji… mama janji akan setuju dengan siapa pun yang Lisa pilih asalkan Lisa bahagia. Masalahnya, Lisa tak nakkan Izham. Lisa tak tahulah boleh bahagia ke tak dengan dia. Lisa tak nak dia, ma.” Khalisah merayu seperti anak kecil. Itu sajalah cara yang terlintas di fikirannya tika ini untuk menegaskan ketidaksetujuannya.
Puan Sri Lydia menggeleng. “Mama percaya yang Lisa akan bahagia dengan Izham. Lagipun, apa kurangnya Izham, Khalisah? Dia ada master, ada kerja bagus, ada harta, rumah, kereta… semua lengkap! Beritahu mama, apa lagi yang Lisa rasa tak cukup?”
Khalisah kelu mendengar bidasan mamanya. Bukan dia tidak tahu hendak menjawab, malah seribu satu hujah boleh menjadi senjatanya untuk membangkang keputusan mamanya. Namun, dia cuma terkilan… terkilan dengan pendirian mamanya selama ini.
Mamanya cuma memandang kecukupan harta-benda sebagai syarat untuk melahirkan rasa cinta! Itu yang membuatkan Khalisah kebuntuan sebentar…
“Lisa, mama cuma nak yang terbaik untuk Lisa. Mama takkan pernah letakkan anak mama pada situasi yang boleh mengancam kebahagiaan anak mama sendiri. Mama tahu ini yang terbaik, sebab itu mama buat semua ni.” Bicara Puan Sri Lydia semakin reda. Tidak sekeras dan setegas tadi. Cuma kata putusnya yang masih ditegaskan.
Khalisah tunduk. Membiarkan cecair jernih yang bertakung tumpah lalu menitik ke ribanya. Hancur sungguh hatinya!
Puan Sri Lydia terus bangun dari tempatnya. Tidak memujuk anak gadisnya itu, terus saja dia menghilang ke tingkat atas.
“Lisa.” Ketika hatinya masih diruntun kepedihan, terasa ada sentuhan lembut mengena bahunya.
Khalisah mengangkat wajah. Jelas pipinya sembab. “Papa…”
Tan Sri Kamarul tersenyum hambar. Lalu duduk di sebelah anak perempuannya itu. “Papa dah cuba cakap dengan mama, supaya berbincang dengan Lisa dulu. Tapi… Lisa faham macam mana mama kan? Hmmm… sabarlah, nak. Kan Lisa yang selalu cakap selama ni, setiap perkara ada hikmahnya. Jadi, Lisa terimalah. Anggap semua yang berlaku ni mesti ada hikmahnya.” Lelaki itu cuba memberikan nasihat terbaik yang mampu diutarakannya sebagai seorang bapa. Bahu Khalisah dipeluknya lalu ditepuk-tepuk lembut.
Khalisah tidak mampu bersuara lagi. Kesedihan sudah menguasai emosinya. Ya ALLAH… ketika ini, aku hanya mahukan kekuatan dari-MU!
Perlahan-lahan Khalisah mendaratkan kepala ke bahu Tan Sri Kamarul. Moga-moga papanya akan mengerti kepedihan yang telah menambah luka pada hatinya kini.

“SEMUA seratus lima puluh ringgit, taukeh,” kata lelaki cina berbadan gempal itu. Tangannya sudah siap sedia dihulurkan.
“Hah? Seratus lima puluh? Kenapa mahal sangat?” Tempik wanita itu, betul-betul tidak berpuas hati dengan bayaran yang dikenakan.
“Hai, kau jangan banyak soallah. Hari tu bukan kau dah janji ke nak tanggung ganti rugi aku? Mahal tak mahal, kau kena bayar jugak. Aku tak peduli. Aku cuma nak tahu kereta aku cantik balik aje!” Hakimi bercekak pinggang. Keningnya diangkat memandang wanita itu, memang gaya hendak mencari gaduh.
Lelaki cina itu menggaru-garu kepala. “Haiyaa amoi… lu pakai Mini Cooper takkan seratus lima puluh lu tak boleh bayar? Ini kemik ada banyak teruk jugak. Sebab itu mahal sikit,” bebelnya.
“Haaa, betul tu apek! Apapun, terima kasih ya apek. Boleh saya ambik kereta saya dulu? Itu duit lu mintak sama ini perempuan!” Hakimi tidak kuasa hendak melihat pertelagahan antara perempuan yang digelarnya minah sengal itu dengan lelaki Cina bertubuh gempal tersebut.  Dia sudah tidak sabar-sabar hendak memandu Prevenya semula!
“Eiii… kau ni sengaja aje kan nak susahkan hidup aku?” Adriana menghentak-hentak kaki pula. Sakit sungguh hatinya berhadapan dengan lelaki kerek ini! Kenapalah dia dipertemukan dengan lelaki gila ini?
“Eh eh… bukan kau ke yang cari pasal dengan aku? Itulah, lain kali mata tu letak kat atas hidung, bukan dalam lubang hidung! Sengal!” Hakimi tidak melepaskan peluang menghamburkan rasa geramnya.
“Haiya, lu orang mau gaduh kasi cari tempat lain meh! Wa sudah betulkan itu kereta, sekarang wa mau itu duit saja. Wa tak mau dengar lu gaduh!” Lelaki Cina itu juga sudah naik berang melihatkan bengkelnya kini menjadi gelanggang ‘gusti mulut’ pula antara lelaki dan wanita itu.
“Hei, bisinglah lu, apek! Apa lu ingat wa tak ada duit ka? Nah, duit lu wa bayar! Puas?” Adriana menarik sekeping not seratus ringgit dan sekeping not lima puluh ringgit dari beg duit yang dipegangnya. Betul-betul dihalakan duit itu ke muka Cina gempal tersebut.
“Haha. Okey, amoi. Wa tulis itu resit sekejap. Lu tunggu sini!” Setelah mendapat bayarannya, tidak menyempat-nyempat lelaki Cina itu berlari ke meja kaunternya dan menulis sesuatu.
“Hmmm… apapun, terima kasih. Lain kali hati-hati. Muka lawa tapi mata letak kat lubang hidung pun tak guna jugak!” Hakimi mencebik. Sempat dia menembak wanita itu dengan ‘ayat manisnya’ sebelum berlalu pergi dengan Prevenya yang telah pulih dari ‘kecederaan’ itu.
“Arghhh… mamat sewel! Muka hensem tapi mulut busuk macam loji taik!” Adriana menjerit seorang diri walaupun dia sedar yang Preve itu sudah hilang dari pandangan.
Beberapa orang yang turut melihat adegan itu hanya menggeleng. ‘Si lelaki dengan si perempuan, dua-dua mereng!’

ADRIANA melepaskan keluhan lega. Fuhhh… satu ‘bala’ sudah dapat ditangani. Nah, sekarang apa lagi? Sekarang dia mahu relaks dahulu. Mencari baki-baki ketenangan yang masih tinggal untuknya.
Akhirnya, kereta Adriana memasuki perkarangan sebuah masjid. Kenapa dia ke masjid? Kerana hanya itulah satu-satu tempat di mana dia boleh meletakkan keretanya selama mana yang dia mahu tanpa dihalau oleh sesiapa.
Brek diangkat. Cermin keretanya diturunkan lalu enjin pula dimatikan. Kepalanya disandarkan pada kepala kerusi. Ah, terasa sedikit lega!
Faqih… sebaris nama itu terus berlegar-legar di mindanya.
Walaupun insiden semalam seperti sudah jelas menyatakan bahawa dia telah tersalah sangka terhadap lelaki yang menunggang Ducati itu, namun dia tidak tahu kenapa hatinya tetap berdegil untuk mengiakan. Lelaki itu memang Faqih!
Tetapi semalam… Faqih yang sebenar hanyalah menunggang motosikal buruk dan tinggal di kawasan perumahan sederhana. Tidak pula seperti hari yang sebelumnya, menunggang Ducati dan tinggal di perumahan mewah!
Adriana menarik nafas dalam lalu dilepas perlahan-lahan… walau apa pun, dia tetap akan terus menyiasat hingga kebenaran terungkai!
Suara azan berkumandang di langit… menandakan waktu Asar sudah tiba. Ah, sekejap sungguh masa berputar!
Adriana memejamkan matanya. Suara azan bagai tidak langsung menggerakkan keinginannya untuk menyahut seruan ILAHI itu. Fikirannya terus berputar-putar entah ke mana.
Sehinggalah suara imam menyuruh supaya jemaah meluruskan saf di dalam masjid, wanita itu masih membatu. Cuma matanya yang terpejam kini terbuka.
Takbiratul ihram beralun tenang.
Adriana menghidupkan enjin keretanya semula. Sekarang, jiwanya sudah tenang sedikit. Dia mahu pulang.
Namun… matanya tiba-tiba tertancap ke suatu arah. Motosikal Faqih!
Adriana terkebil-kebil sebentar. Faqih ada di sini? Nah, inilah peluangnya!
Wanita itu keluar dari kereta. Semangatnya berkobar-kobar kembali untuk meneruskan ‘misinya’. Motosikal Honda C70 itu dihampiri. Sah, ini memang motosikal buruk yang digunakan oleh jejaka tampan itu!
Adriana masih belum puas. Tidak cukup dengan itu, dia bergerak pula menuju ke beranda masjid. Dari balik pintu, dia mengintai ke ruang solat… di mana jemaah lelaki sedang bersolat.
Mata Adriana lebih membundar kini. Betulkah apa yang sedang dilihatnya?

SELESAI bersalam-salaman dengan para jemaah seperti biasa, Faqih menuju keluar dari dewan solat. Ketenangan yang diperoleh menghasilkan senyuman yang tidak lekang di bibirnya. Motosikalnya dihampiri sebaik dia menyarung selipar.
“Faqih…” Ada suara lembut menegur dari belakang.
Faqih lekas memusing tubuh mendengar namanya disapa. Namun, hampir-hampir gugur jantungnya sebaik melihat gerangan yang berdiri di belakang itu. “Adriana!”
Adriana tersenyum tawar, nampak seperti dibuat-buat. Matanya tidak berkelip langsung memandang Faqih yang segak berjubah putih serta berkopiah itu. “Faqih, tak payah nak berselindung apa-apa lagi. Saya dah tahu siapa awak.”
“Tahu apa?” Faqih cuak, turut bercampur kebingungan. Tidak sangka yang wanita ini boleh muncul di belakangnya tiba-tiba!
“Humhum… Ustaz Muhammad Faqih bin Farhan Al-Hafiz, imam satu Masjid As-Salam. Hai, lucu… lucu…” Adriana ketawa sinis. Salah satu misteri sudah terungkai… bermakna misinya hampir berjaya! Faqih bukanlah orang ‘biasa-biasa’. Sudah diagak, lelaki itu memang ada menyembunyikan ‘sesuatu’ selama ini.
Faqih mengetap bibir. Tiada apa yang boleh dinafikan kerana… apa yang disebut oleh wanita itu benar belaka.
“Saya ingat awak ni bijak sangatlah. Lain kali kalau nak ‘menyamar’ pun pandai-pandailah. Ni tidak, jelas terpapar dekat papan kenyataan itu nama awak sebagai imam masjid ni.” Adriana berpeluk tubuh. Bibirnya dimuncungkan ke arah papan kenyataan yang tergantung di dinding masjid.
Faqih menghirup nafas kecil. Fahamlah dia kini bagaimana Adriana boleh mengetahui perihalnya. “Cik Adriana, saya tak pernah menyamar pun. Dah memang cik tak kenal saya, memanglah cik tak tahu siapa saya.”
“Sudahlah, Ustaz Faqih. Kalau dah sampai jadi pemandu tu tak menyamar ke? Apa motif ustaz sebenarnya ha?” Adriana tidak mahu perbualan tersebut terus terhenti. Dia mahu mengetahui perihal lelaki di hadapannya ini sebanyak mana yang boleh. Dan… panggilan terhadap Faqih pun tiba-tiba saja bertukar menjadi ‘ustaz’!
“Kalau saya cerita kat awak pun bukan awak faham. Nanti awak kata saya tak betul pulak. Hmmm… apapun, saya mintak janganlah dihebohkan perkara ni pada tan sri termasuk keluarga dia sekali pun,” pinta Faqih. Suaranya kembali tenang berbanding tadi.
“Ustaz tahu siapa saya? Saya sepupu Khalisah. Tan Sri Kamarul bapa saudara saya! Jadi, saya pun keluarga tan sri. Tapi saya dah tahu rahsia ustaz.” Adriana mengangguk-angguk perlahan kepalanya, seperti memberikan isyarat ‘mengugut’ dengan mata yang mengecil.
“Oh, keluarga tan sri jugalah ni? Okey, tak apa. Tapi saya mintak tolong awak tetap jangan beritahu apa-apa pada tan sri.” Faqih gusar juga. Namun, dia perlu betul-betul meminta tolong wanita itu kali ini.
Adriana mengangkat bahu. “Ustaz Muhammad Faqih Al-Hafiz, lulusan sarjana muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat As-Shubra, Mesir. Oh my god, dahsyatnya ustaz!” Wanita itu terus mencamurkan segala ‘fakta’ yang diketahuinya selama ini. Ya, selama ini! Kerana dia memang sudah lama mengenali lelaki di hadapannya ini.
Faqih mengerutkan dahi. “Mana awak tahu semua tu?”
“Haha… ustaz ni luculah! Kan saya dah kata tadi, kalau nak ‘menyamar’ ustaz kena pandai-pandai. Saya kenal ustaz dari TV-lah. Macamlah saya tak kenal ada ustaz tu kadang-kadang bagi ceramah kat Soallah Ustaz pagi-pagi tu. Ingat saya seksi macam ni saya tak tengok rancangan tu? Itulah rancangan wajib yang saya tengok setiap pagi tau!” Panjang lebar dakwaan Adriana. Merungkai kebingungan lelaki yang sebenarnya ustaz di hadapannya ini. Tapi wanita itu hairan juga… kenapa Ustaz Faqih ini masih mahu menyembunyikan identitinya kepada orang-orang tertentu sedangkan identitinya memang sudah disiarkan secara meluas pun sebelum ini? Tidak terfikirkah ustaz muda ini jika golongan yang diharapkannya agar tidak mengetahui identitinya itu bakal mengetahui juga suatu hari nanti?
“Hmmm…” Faqih hendak bersuara, tetapi tidak mampu. Ternyata percaturan yang dibuatnya selama ini silap!
“Patutlah saya dah lama tak nampak ustaz bagi ceramah kat Soallah Ustaz. Rupa-rupanya, ustaz bekerja dengan bapa saudara saya. Jadi pemandu pulak tu. Hishhh, saya memang tak faham kenapa ustaz sanggup buat semua tu!” Adriana terus mengomel. Hatinya memang puas kini! Puas kerana ‘misinya’ sudah berjaya! Walau sebenarnya, masih banyak persoalan lain yang mengasak mindanya tentang Ustaz Muhammad Faqih itu.
“Jangan bagitahu tan sri. Itu saja yang saya minta tolong dari awak.” Faqih terus mengulangi permintaannya.

Tuesday, February 12, 2013

Announcement :)

Assalamualaikum sahabat-sahabat dan pembaca-pembaca novel Imam Mudaku Romantik. Semoga sihat-sihat selalu ye..
Saya just nak inform yang manuskrip penuh Imam Mudaku Romantik sudah dihantar ke penerbit. Penerbit bagitahu saya yang proses penilaian mungkin mengambil masa tiga-empat bulan. *lama ouhhh...
Tapi jangan risau yee sahabat2 semua... saya akan tetap update entri Imam Mudaku Romantik sehinggalah bila novel tu disahkan utk terbit. :)))
Buat masa sekarang saya cuma nak sahabat2 semua tolong doakan agar Imam Mudaku Romantik melepasi proses penilaian dgn lancar dan diluluskan untuk penerbitan... kalau boleh, doakan sekali agar proses penilaian tu tak ambil masa lama sangat. Tara 1 bulan jadilah nahhh?
Okeylah.. saya stop sini dulu. Teruskan mengikuti perkembangan novel Imam Mudaku Romantik. Insya-ALLAH, ada sesuatu yang akan anda dapat daripada novel ni... 

TERIMA KASIH READERS :))) Sayang awak!!!

Tuesday, February 5, 2013

Imam Mudaku Romantik! 12


BAB 12
MASA senggang pada petang itu betul-betul dinikmati oleh jejaka-jejaka tersebut. Kafe Pandan Jaya menjadi destinasi pilihan mereka untuk melepak dan membuang masa. Di atas meja, beberapa cawan kopi berlonggokan. Mana tidaknya, habis secawan, pesan lagi dua cawan!
Faqih menghirup teh o panas yang mana menjadi pesanannya yang kelima pada petang itu. Setelah puas menghirup kopi, sekarang dia mahu menikmati kesedapan air teh pula.
“Hmmm… petang ni kenapa aku rasa relaks aje eh? Biasanya waktu-waktu macam nilah kepala aku lagi berserabut!” Taufiq meluahkan rasa aneh yang mewarnai perasaannya ketika ini. Matanya mengecil memandang ke arah jalan raya yang bersusun dengan kereta. Maklumlah, sudah namanya pun Kuala Lumpur. Mana pernah sunyi!
Faqih meletakkan cawan berisi teh yang sudah hampir separuh dihirupnya ke atas meja. Tawa kecilnya meletus. “Sebab kau cuti hari ni. Sebab tu kau rasa relaks.”
“Bukan, Faqih. Selama ni aku happy dengan kerja aku. Hmmm… mungkin sebab hari ni aku tak dikelilingi perempuan kut. Yalah, kadang-kadang aku rasa diorang tu bukan lagi buat aku bahagia, lagi serabutkan kepala otak aku adalah.” Taufiq menjawab soalan yang membelenggu mindanya sendiri akhirnya. Bukan dia tidak tahu pun…
“Perempuan-perempuan? Dahsyatnya kau!” Faqih bernada sinis. Faham benar dia dengan tabiat rakan serumahnya itu. Perempuan memang ‘barang’ mainannya. Cakaplah sesiapa pun. Yang tinggi, pendek, kurus, gemuk, comel, kaya? Semuanya ada!
Taufiq mengerling ke arah Faqih. “Kau perli aku, ya? Hmmm… entahlah, Faqih. Dah diorang sendiri rela jadi ‘mainan’, aku sebagai lelaki apa lagi? Jalankanlah tanggungjawab aku! Hehe…” Ada ketawa nakal menyusul di penghujung ayatnya.
Faqih menggeleng perlahan dengan dahi yang berkerut. “Taufiq, Taufiq, dah tahu perempuan-perempuan tu rela kena ‘main’, sepatutnya tanggungjawab kau bimbing diorang, nasihat diorang. Bukan lagi kau join ‘kejahilan’ diorang! Humhum…”
Taufiq hanya diam selepas itu. Tidak tahulah sama ada dia menerima atau masuk telinga kanan, keluar telinga kiri saja terhadap kata-kata rakan serumahnya itu.
“Kau tak balik kampung, Taufiq?” Tanya Faqih, menyedari kesepian semakin tercetus.
Wajah Taufiq berubah sebaik mendengar pertanyaan lelaki itu. Tampak jelas riak kegusaran dan kegelisahan merona di wajahnya. “Balik kampung? Humhum… buat apa, Faqih? Siapa nak terima aku kat kampung tu?”
“Bapak kau kan ada? Dialah yang terima kau nanti.”
Taufiq menggeleng. Kini riak kesal pula jelas di mukanya. “Dia mana pernah terima aku lagi lepas kahwin dengan perempuan tak guna tu! Entahlah… biarlah dia. Aku pun boleh buktikan yang aku bahagia walaupun dia tak ada. Aku tak perlukan dia pun. Hmmm… lainlah kalau mak aku hidup lagi.” Sayu nada itu kedengaran pada akhirnya.
Faqih tergamam. Bicara Taufiq yang mana lebih kepada luahan hatinya sebagai seorang anak yang ‘dibuang’ oleh bapanya sendiri itu sedikit sebanyak menimbulkan simpatinya. Tidak tahulah di mana silapnya, bapa Taufiq tiba-tiba saja tidak mengakuinya sebagai anak selepas beberapa bulan berkahwin dengan perempuan yang entah dari mana datangnya setelah kematian arwah isterinya.
Kebetulan, Taufiq sedang menyambung pengajian di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur ketika itu, maka tamat sahaja pengajian, dia tidak pulang-pulang langsung ke kampung.
Sehinggalah hari ini.
“Hmmm… aku minta maaf. Tapi, satu hari nanti kau kena jugak mengalah, Taufiq. Walau apa pun yang dia buat, dia tetap bapak kau,” ulas Faqih sebagai penutup kepada topik perbincangan mereka… yang mana agak mengganggu seketika ‘ketenteraman’ yang sedang asyik dinikmati.
Taufiq mengangkat bahu. “Alright.” Lalu menghirup semula kopinya yang masih bersisa. Apa lagi yang boleh dia katakan?
Faqih juga diam selepas itu. Malas hendak membuka ‘isu’ baru lagi. Silap-silap ketenangan yang sedang dinikmati ini akan hancur musnah begitu saja. Walhal, dia baru hendak merehatkan jiwa dan minda yang entah kenapa… agak bercelaru semenjak dua menjak ini. Tidak pasti pula kenapa jiwanya bercelaru.
Namun, seandainya dia rebah… ALLAH itu masih ada!

HARI ini sekali lagi dia menjadi ‘perisik’ tidak berbayar untuk mengintip lelaki yang kini diragui ‘statusnya’ itu. Adriana setia menunggu di luar Kafe Pandan Jaya… memerhati gerak-geri lelaki bernama Faqih itu dari tadi.
Hampir sejam juga dia menunggu. Walaupun sudah beberapa kali dia menguap di dalam keretanya itu, namun istilah berputus asa tidak muncul dalam kamus hidupnya.
Memang, selagi teka-teki tentang siapa sebenarnya lelaki bernama Faqih itu belum berjawab, dia akan bertungkus-lumus mencari jawapan sendiri!
Tetapi… kenapa pula dia perlu bersusah-payah hendak mengetahui perihal sebenar lelaki itu? Apa tujuannya pula?
Adriana menegakkan badannya serta-merta sebaik melihat kelibat lelaki yang diyakininya sebagai Faqih itu keluar dari kafe tersebut. Lelaki itu tidak keseorangan… ada  seorang lelaki lain turut bersama-samanya.
‘Kawan dia agaknya,’ getus Adriana dalam hati. Matanya terus mengekori langkah lelaki itu dan…
‘Aih, hari ni pakai motosikal buruk pulak?’ Adriana menggaru-garu kepala melihat lelaki yang diintipnya itu sedang menghidupkan enjin sebuah motosikal Honda petak. Dan kali ini, Adriana tidak silap. Memang itulah motosikal yang ditunggangi oleh Faqih ketika di rumah Khalisah tempoh hari.
Lalu, siapa pula lelaki seiras Faqih yang menunggangi motosikal Ducati itu semalam?
Adriana tidak mahu ketinggalan jejak. Lantas, selepas motosikal Faqih mula meredah jalan, wanita itu pula menurunkan brek. Walau apapun, ‘penyiasatan’ perlu diteruskan!

KALI ini, hasil mengikut jejak motosikal Honda petak itu telah membawa Mini Cooper Adriana masuk ke kawasan perumahan rumah teres dua tingkat biasa. Rumah orang yang berada di kelas sederhana berbanding semalam.
Adriana terus mengekor. Jaraknya dengan motosikal lelaki itu tetap dijaga agar lelaki itu tidak perasan yang dia sedang diekori. Rakan lelaki itu yang turut menaiki sebuah motosikal lain entah ke mana-mana menghilang semenjak dari Kafe Pandan Jaya tadi. Biarlah… Adriana hanya mahu mengintip jejaka bernama Faqih itu seorang.
Motosikal Faqih akhirnya selamat terparkir di perkarangan sebuah rumah teres dua tingkat yang kedua dari hujung. Masih tidak perasan yang gerak-gerinya sedang diperhatikan oleh wanita itu.
‘Hari ni dia bawak motosikal buruk, balik rumah biasa…. semuanya biasa-biasa. Tapi siapa pulak yang aku nampak semalam?’ Adriana terus bermain dengan teka-teki. Kemungkinan bahawa dia telah tersalah lihat semalam semakin meninggi. Namun, mengapa dia begitu yakin bahawa lelaki yang menunggang Ducati itu memang benar-benar Faqih, jejaka tampan yang berjaya mencairkan hatinya tatkala pertama kali berjumpa?
Adriana menurunkan brek untuk memastikan lagi apa yang dilihatnya. Keretanya terus bergerak perlahan sehinggalah ruang udara bergema dengan bunyi dentuman kecil bertingkah dengan bunyi hon yang agak kuat dari arah belakang!
Wanita itu tersentak. Darah merah terasa seperti berhenti mengalir. Sungguh dia terlalu terkejut dengan ‘sergahan’ itu!
Adriana mengerling ke arah cermin pandang belakang yang tergantung, seorang lelaki keluar dari Proton Preve yang berada di belakang keretanya.
Kaget! Peluh mula membasahi dahinya. Oh TUHAN, apa yang telah dia lakukan???
Adriana tiada pilihan lain. Dia terpaksa juga keluar dari keretanya.
“Kau ni reti bawak kereta ke tak? Kau tengok apa yang kau dah buat pada kereta aku?” Marah lelaki, pemilik Proton Preve yang telah berlanggaran dengan belakang Mini Cooper Adriana itu. Tiada langsung riak ceria atau bahagia merona di wajahnya yang sedang merah padam menanggung kemarahan. Mana tidaknya, kereta yang baru saja dibelinya dua bulan lepas sudah kemik di depan!
Adriana terketar-ketar. Dia tidak sengaja… dan dia tidak sedar yang dia telah tertekan brek secara mengejut ketika leka memerhatikan gerak-geri Faqih di perkarangan rumah teres itu.
“Aku tahulah kau bawak kereta mahal! Tapi bukan kau boleh suka-suka hati bila nak jalan, bila nak berhenti! Jalan ni bukan kau punya! Sekarang siapa nak tanggung Preve aku  yang dah kemik tu?” Lelaki itu nampaknya naik angin benar atas ‘kecacatan’ yang telah berlaku pada kereta baharunya. Tempikan demi tempikan terus dihamburkan.
Sementara Adriana, terus kelu. Beserta tangan yang sudah sejuk menggigil. Arghhh, kenapa boleh jadi macam ni???
Dan kekalutan itu bertambah sebaik menyedari lelaki yang diintipnya, iaitu Faqih sedang keluar dari rumah, menuju ke arah mereka. Ah, nampaknya lelaki itu sudah mengetahui kekecohan yang sedang melanda betul-betul di hadapan rumahnya!
Adriana makin kalut. Semakin tidak tahu perkataan apa yang perlu diucapkan!
“Woi, kau bisu ke pekak ke? Aku cakap dengan kaulah, perempuan!!!” Pemilik Preve itu tidak mampu lagi menanggung amarahnya yang membara. Menengking juga dia akhirnya setelah tempikan demi tempikannya hanya dibalas dengan kebisuan wanita yang telah melanggar keretanya itu!
“Astaghfirullahalazim, Hakimi! Kenapa ni?” Faqih terpaksa ikut masuk campur setelah melihat amarah rakannya, juga pemilik Preve itu mencapai tahap maksimum. Bahu lelaki itu ditepuk-tepuknya separuh kasar.
“Ssaya… saya minta maaf. Sayaa… nanti saya tanggung kos baiki Preve awak.” Adriana bersuara juga akhirnya walaupun tersekat-sekat. Tanpa disedari, ada manik jernih mula bertitisan dari pelupuk matanya. Ya, dia sedang menangis.
“Heiii, aku…” Hakimi menaikkan telapak tangannya. Hampir-hampir saja dilayangkan ke pipi perempuan itu.
Adriana tersentak. Telapak tangan sudah ditekupkan ke mukanya.
“Nauzubillah… sabar, Kimi! Sabar!” Faqih pantas menghalang tangan yang sudah dihayun tinggi itu. Suaranya juga terpaksa ditinggikan. Dalam keadaan begini, cara lembut tidak boleh digunakan lagi. Hakimi memang sudah hilang ‘kewarasan’.
“Kereta aku, Faqih! Macam mana aku nak sabar???” Tidak pasal-pasal, si Faqih pula menjadi mangsa herdikannya.
“Ya, ya… aku tahu tu kereta kau. Tapi kau sabarlah. Kan dia dah cakap nak tanggung kos baiki kereta kau?” Faqih separuh menjerit.
Adriana menurunkan telapak tangan yang menutupi wajahnya perlahan-lahan. Jelas sepasang mata bundarnya sudah merah… menunjukkan tangisannya mengalir agak deras bercampur hati yang kini patah seribu. Selepas satu, satu masalah lain pula menimpa… kenapa hidupnya asyik dirundung malang semenjak dua menjak ini?
“Ya… saya janji. Saya akan bayar ganti rugi…” Sayup-sayup wanita itu bersuara, diselangi dengan esakan yang tidak dapat diselindungi.
Faqih terkesima sebentar melihat wajah yang sembab dengan air mata itu. Serasanya dia mengenali wanita di hadapannya ini.
“Ha, bagus! Pakai kereta mahal takkanlah nak lari macam tu aje kan?” Hakimi yang masih panas hati belum puas mengherdik. Butang atas baju kemejanya dibuka… memberi ruang kepada udara luar untuk menyejukkan dada yang masih hangat membakar.
“Ya, saya tahu salah saya. Awak bagi nombor telefon. Dah siap nanti call aje saya. Saya tak lari mana,” tegas Adriana. Tidak tahan asyik terus diherdik. Macamlah dia tidak punya maruah!
Hakimi merengus. Pegangan Faqih pada bahunya ditepis kasar. Seketika kemudian, dengan suara yang masih kedengaran macam mahu cari gaduh, dia memberitahukan nombor telefonnya kepada wanita itu.
Faqih hanya mampu menggeleng kepala melihat kelakuan rakan serumahnya itu. Tidak habis-habis dengan barannya!
Namun, seketika kemudian, mata Faqih kembali tertumpu pada wanita yang sedang rancak menaip nombor telefon Hakimi pada telefon pintarnya itu. Ya, dia mengenali wanita ini. Wanita inilah yang dijumpainya ketika berada di rumah Tan Sri Kamarul, majikannya tempoh hari. Dan wanita ini jugalah yang telah memandangnya seperti hendak menerkam dirinya saja, hingga dia merasakan yang dia telah ‘dibogelkan’ oleh pandangan tajam wanita itu!
Lalu, kenapa wanita ini boleh pula tiba-tiba muncul di hadapan rumahnya? Siap berlanggaran lagi dengan kereta Hakimi! 
“Okey. Aku percayakan kau. Nanti lepas aku dah betulkan kereta aku, aku cari kau! Kalau kau menipu, aku cari kau sampai lubang biawak!” Hakimi sempat menghamburkan lagi sisa-sisa amarahnya yang tidak berkesudahan.
Adriana membuat muka pelik. Namun seketika kemudian, wajahnya mula menunjukkan riak orang menyampah. Sepertinya kesedihan hatinya sudah berakhir… namun berganti pula dengan rasa meluat!
‘Hei, lelaki ni tak layak jadi boyfriend aku!’ Sempat hatinya berdesis.
“Errr… cik… ni cik yang saya jumpa kat rumah Tan Sri Kamarul ke?” Barulah kini Faqih berpeluang mengutarakan pertanyaannya.
Adriana membulatkan matanya. Ah, baru kini dia sedar akan tujuan asal mengapa dia berada di sini!
“Errr… ya. Saya Adriana.” Adriana memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan lelaki itu.
Faqih pantas menggeleng. “Saya minta maaf. Kita tak boleh bersentuhan sebab kita bukan mahram,” jelas lelaki itu. Tenang saja suaranya.
“Owh, tak apa. Errmmm… saya pergi dulu!” Adriana terus saja menuju ke keretanya tanpa sebarang ucapan selamat tinggal. Terpinga-pinga jugalah Faqih di situ… serasanya dia tidak salah cakap tadi.
Seketika kemudian, Mini Cooper wanita yang bernama Adriana itu hilang dari pandangan.
“Kau kenal minah sengal tu?” Tegur Hakimi. Eh, tidak sedar pula yang dia masih berada di situ!
Faqih mengerutkan dahi. “Hmmm… aku masuk dalam dulu.” Soalan itu dibiarkan tergantung begitu saja.

Imam Mudaku Romantik! 11


BAB 11
“IZHAM!”
Lelaki yang baru saja hendak meloloskan tubuh tinggi lampainya itu ke dalam kereta membantutkan niatnya sebaik mendengar namanya dilaung agak kuat.
Wanita yang berambut panjang beralun itu membuka langkahnya kembali melihat lelaki yang dipanggilnya itu tidak jadi masuk ke dalam kereta.
“Adriana! Kenapa ni?” Izham meriak wajah tidak senang.
Adriana mengambil nafas dalam sebelum mengumpul semula kekuatan untuk membuka bicaranya. “Izham… ermmm… you sibuk?”
“Errr… I sibuklah jugak. Ada meeting lepas ni,” beritahu Izham sambil melihat jam tangannya.
Adriana mengeluh. Dia sudah muak mendengar alasan yang bermacam-macam diberikan oleh lelaki itu setiap kali berhadapan dengannya. Tiada perasaan langsungkah lelaki itu terhadapnya yang sudah menunggu empat tahun ini?
“You nak cakap, cakap ajelah kat sini.” Izham berpeluk tubuh, acuh tidak acuh saja dia melayan wanita yang juga rakannya semasa di universiti dahulu itu.
“Izham, I harap you faham apa yang I rasa. I… I sukakan you.” Entah kenapa, setelah empat tahun, hari ini Adriana berani berterus-terang kepada lelaki itu.
Namun, Izham tidak terkejut dengan luahan itu. Sudah lama dia mengetahui yang Adriana menyimpan perasaan terhadapnya. Lalu, apa yang boleh dilakukannya? Dia tidak menginginkan wanita itu pun!
“Izham, you dengar  tak?” Adriana meninggikan sedikit suaranya melihat lelaki itu tidak bereaksi.
Izham memeluk tubuh. Wajah Adriana dipandangnya redup. “I minta maaf, Adriana. I tak boleh terima you.”
“Kenapa?” Adriana tidak mahu mengalah. Dia mahukan alasan!
“Sebab… I cuma anggap you sebagai kawan biasa.” Izham teragak-agak menyebutkan hal itu. Walau sebenarnya, dia punya alasan yang lebih kukuh. Ya, kerana hatinya sudah diisi dengan insan lain.
Adriana memegang lengan lelaki itu tiba-tiba. Pandangannya dihalakan betul-betul ke dalam anak mata lelaki itu.
Izham tersentak. Tidak sempat dia hendak menghalang perlakuan itu. Segalanya berlaku di luar jangkaan.
“I betul-betul cintakan you, Izham. Empat tahun I pendamkan rasa ni. Please, Izham. Takkan you tak ada rasa langsung untuk terima cinta I?” Adriana sudah seperti orang yang terdesak. Merayu kepada lelaki itu mungkin jalan terakhir yang belum dicubanya. Mungkin juga nasib baiknya ada di situ?
Namun, Izham tetap bereaksi sama. Menggeleng menunjukkan yang dia memang benar-benar tidak mahu!
“Izham…” Adriana hilang kata-kata.
“Sudahlah, Adriana. Lupakanlah semua ni. I doakan you jumpa dengan orang yang lebih baik daripada I.” Izham menurunkan pegangan Adriana pada lengannya. Sememangnya dia muktamad dengan keputusannya.
“Sampai hati you, Izham.” Adriana tidak mampu menahan cecair jernih mengalir ke pipinya. Kolam matanya sudah pecah diiringi kekecewaan yang sukar hendak ditafsirkan.
“I minta maaf. Tapi I tak boleh nak tipu diri I. I…”
“I tahu you sukakan Khalisah. I tahu you memang ada hati pada dia. Itu sebabnya you tak boleh terima I. I tahu, Izham.” Adriana memintas percakapan Izham yang teragak-agak… meluahkan lagi satu hal yang terbuku di dasar hati.
Izham kelu. Kali ini, dia pula yang hilang kata-kata. Adriana sudah mengetahui. Jadi, apa lagi? Sepatutnya Adriana perlu lebih memahami bukan lagi mendesak dirinya!
“Ya, memang I cintakan Khalisah. I harap you faham,” akui Izham akhirnya.
Adriana tunduk. Kini dia tidak nampak di mana ruang untuknya lagi. Semuanya sudah jelas…
Dari jauh, Khalisah hanya memerhati perbualan antara lelaki dan wanita itu. Namun, sayangnya Khalisah tidak dapat mendengar walau sebutir pun bicara mereka. Tetapi yang pasti, perbualan itu bukanlah sesuatu yang indah. Kerana wajah kedua-dua mereka tidak menampakkan langsung riak bahagia.

ADRIANA tidak mampu meneruskan perjalanannya lagi. Air mata yang tidak berhenti-henti mengalir bagai meruntuhkan segala kekuatan dirinya. Terasa sendi-sendinya lemah semenjak peristiwa tadi.
Brek diangkat. Di tepi jalan raya yang agak lengang dengan kenderaan itu, Adriana memarkir keretanya. Duduk termenung memikirkan nasibnya sambil mencari-cari sisa ketenangan...
Penantiannya selama empat tahun ini terasa sia-sia saja. Izham langsung tidak menunjukkan minat untuk menerima cintanya. Lebih melukakan lagi, lelaki itu telah pun mengakui akan cintanya terhadap Khalisah…
“Arghhhh!!!”
Adriana menampar-nampar setereng keretanya. Kali ini emosinya tidak dapat dikawal lagi. Dia perlu menjerit bagi meredakan segala kekusutan jiwa!
Setelah puas melayan air mata, barulah Adriana merasakan ada sedikit kekuatan untuknya meneruskan perjalanan. Cecair jernih yang mengalir diseka-seka dengan telapak tangannya. Sudahlah air mata!
Namun, ketika Adriana baru saja hendak menghidupkan enjin keretanya semula, matanya tertancap pada sebuah motosikal mewah Ducati 848 Evo berhenti di hadapan keretanya yang berdekatan dengan gerai menjual burger.
Adriana terus memerhatikan penunggang motosikal itu membuka helmetnya.
Lalu terbeliak biji mata wanita itu serta-merta!
Faqih!
Penunggang motosikal itu kemudiannya menghampiri gerai menjual burger bersebelahan dengan tempatnya memarkir motosikal Ducatinya.
Sementara Adriana masih melongo. Matanya yang masih sembab dengan sisa air mata digosok-gosok. Betulkah apa yang dilihatnya sekarang ini? Betulkah ini mamat hensem yang ditemuinya di rumah sepupunya tempoh hari? Tapi… tidak silapnya mamat hensem itu hanya bekerja sebagai pemandu dan memakai motosikal buruk!
Takkanlah… Macam mana pula tiba-tiba boleh pakai Ducati ni???
Adriana hampir sesak nafas. Hendak kata yang dia salah tengok, tetapi memang betul lelaki yang sedang membeli burger itulah mamat hensem yang pernah dijumpainya! Dia yakin dia tidak salah orang. Dia masih ingat wajah tampan itu sehingga kini…
Penunggang motosikal yang seiras Faqih itu kembali mendapatkan motosikalnya semula. Selepas menyarung helmet HJC di kepalanya, enjin Ducati itu dihidupkan. Seperti tidak menyedari langsung yang gerak-gerinya diperhatikan oleh pemandu Mini Cooper yang berada di belakang motosikalnya itu semenjak tadi.
Adriana mengherotkan bibir. Tidak… dia tidak akan membiarkan sebarang tanda tanya tergantung tanpa jawapan! Dia akan mencari jawapannya sendiri!
Seketika selepas Ducati mewah itu meluncur laju di atas jalan, Adriana menurunkan breknya, turut meredah jalan raya dengan kelajuan yang setara untuk mengejar Ducati itu!

TANDA tanya yang menghantui mindanya semenjak tadi semakin bertimbun pula nampak gayanya. Adriana tidak culas mengekori motosikal Ducati yang penunggangnya mempunyai wajah mirip Faqih, pemandu bapa saudaranya itu dengan Mini Coopernya.
Sehinggalah, motosikal itu memasuki sebuah kawasan perumahan mewah… dan, sekali lagi Adriana kecelaruan. Dia tidak hairan kalau penunggang Ducati itu tinggal di kawasan mewah, tetapi masalahnya… kawasan mewah ini adalah kawasan perumahan Khalisah, sepupunya dan juga rumahnya sendiri!
Tidak mengapa… dia akan terus mengekor senyap-senyap.
Sehinggalah tiba di hadapan sebuah rumah banglo mewah tiga tingkat, motosikal Ducati itu berhenti seketika, menunggu pagar besar automatik di hadapannya terbuka. Selepas kelibat motosikal mewah itu hilang masuk ke dalam perkarangan rumah mewah itu, pagar automatik tersebut tertutup kembali.
Adriana terus memerhati dari jauh… dengan kebingungan yang amat. Puas dia cuba menyedapkan hatinya bahawa dia telah tersalah lihat kerana lelaki itu tidak menuju ke rumah Khalisah pun. Tetapi, susah juga kerana dia memang mengecamkan wajah lelaki itu! Mungkinkah dia sudah tersilap orang?
Namun, kalau betullah lelaki itu memang Faqih, kenapa pula dia hanya bekerja sebagai pemandu? Dan kenapa pula dia cuma memakai motosikal buruk selama ini?
Adriana menggaru-garu kepala. Tanda tanya yang menghantui mindanya masih tidak terjawab, malah semakin bertimbun-timbun pula!

KETIKA Khalisah sibuk menguruskan pekerja-pekerjanya yang sedang membungkus barang pesanan pelanggan, wanita itu perasan yang sepupunya masih duduk termenung di penjuru kedai butiknya itu. Entah apa sebabnya, Khalisah masih tidak mengetahui. Tetapi, dia yakin yang perubahan emosi Adriana ada kena-mengena dengan perbualan wanita itu dengan Izham di tepi jalan tempoh hari.
“Akak, pembekal kain tu telefon tadi. Dia kata esok kain-kain yang kita tempah tu sampai.” Anita memberitahu bosnya yang sedang bercekak pinggang memerhati pekerja-pekerjanya itu.
“Esok? Hmmm… okey,” balas Khalisah ringkas. Sesekali dia menyuarakan arahan kepada pekerja-pekerjanya yang masih bertungkus-lumus itu.
“Errr… akak. Kenapa dengan Kak Yana tu?” Anita mengambil peluang bertanyakan hal wanita yang dari tadi duduk termenung di penjuru kedai itu. Putus cinta, kah?
Khalisah ikut mengerling ke arah penjuru kedai. Keluhan yang agak panjang dilepaskan. “Entahlah, Nita. Akak pun tak tahu. Biarlah dia. Tengah tensionlah agaknya tu.” Hanya itulah jawapan yang mampu diberikannya.
Anita hanya mengherotkan bibir lalu pergi menghampiri pekerja-pekerja lain untuk membantu.
Setelah puas memerhati para pekerjanya, Khalisah tergerak hati pula hendak menegur sepupunya yang masih termenung itu. Inilah masa yang sesuai agaknya untuk dia mengorek cerita daripada Adriana.
“Adriana, kau okey tak?” Khalisah menepuk lembut bahu Adriana.
Adriana yang seperti kehilangan daya kekuatannya itu hanya membalas dengan senyuman tawar. Wajah Khalisah hanya dijelingnya sekilas.
“Jom, masuk dalam. Kau ceritalah pada aku. Aku nak tau jugak kenapa kau jadi pelik semacam aje ni,” pelawa Khalisah. Lembut suaranya seakan memujuk. Dia tahu, dalam keadaan begini desakan bukanlah suatu langkah yang bijak.
Sepertinya, Adriana termakan juga dengan pujukan sepupunya itu. Setelah agak lama dia berada di penjuru itu, duduk temenung seorang diri, barulah kini dia mengangkat punggung dari kerusinya. Mungkin sudah bersedia untuk bercerita tentang kisah hatinya kepada sepupunya itu.
Khalisah menuntun Adriana ke dalam biliknya, sudah seperti orang sakit pula kelihatannya. Namun, tidak mengapalah. Emosi sepupunya itu masih tidak stabil dan semestinya dia perlu melayan wanita itu dengan baik.
“Okey, Yana. Ceritalah,” pinta Khalisah seusai mengambil tempat duduknya yang berhadapan dengan Adriana itu.
Adriana tunduk. Permintaan itu tidak mampu dijawabnya spontan. Fikirannya yang berkecamuk itu perlu ditenangkan dahulu.
“Hmmm… Izham cakap apa dengan kau semalam?” Khalisah pula sepertinya sudah tidak sabar-sabar mendesak sepupunya itu membuka mulut. Hai, Khalisah… kau memang tiada bakat jadi kaunselor!
Adriana mengelatkan wajah. Seketika kemudian, jelas kelihatan bahunya terinjut-injut. Air mata kembali membasahi pipi gebunya.
Khalisah mengerutkan dahi. Alahai, macam mana pulalah ni? Belum cerita apa-apa sudah menangis! “Yana, aku minta maaf.” Jalan mudah Khalisah untuk menutup rasa gabranya melihat reaksi Adriana.
Adriana menggeleng. Tisu di tangannya ditekap-tekapkan pada kelopak matanya yang sembap. “Izham… Izham tak cintakan aku.” Serak-serak suaranya beralun.
Khalisah mengetap bibir. Tapak tangan sepupunya itu digenggam erat. “Yana, sabar ya? Mungkin ada lelaki yang lebih baik daripada Izham untuk kau.” Dia cuba memberikan nasihat yang terbaik. Tapi, terbaikkah nasihat itu? Entahlah, dia memang tiada bakat menjadi kaunselor!
Adriana tiba-tiba ketawa dalam tangisannya pula. Aih, boleh pula macam tu?
“Izham cintakan kau, Lisa. Dia cuma nakkan kau. Dia tak nak orang lain!” Agak menekan suara Adriana memberitahukan perkara itu. Marahkah dia?
Khalisah kelu. Kini, rasa bersalahnya semakin menggila. Baru dia sedar kekecewaan yang dialami oleh Adriana berpunca daripadanya sendiri!
Namun, pernahkah dia meminta Izham agar mencintai dirinya? Tidak! Jadi, mengapa pula dia yang patut rasa bersalah?
“Untung kau, Lisa. Aku yang tunggu dia empat tahun langsung tak dapat apa!” Adriana kini seperti lebih meluahkan ‘amarahnya’ yang terpendam atau mungkin juga meluahkan ‘kecemburuannya’ terhadap apa yang dimiliki oleh Khalisah. Sungguh beruntung sepupunya itu!
Khalisah pula menundukkan wajah. Rasa bersalah menghempap kembali bahunya.
“Aku tak pernah mintak semua ni, Adriana…” Suara Khalisah kedengaran sayup di telinga Adriana.