Assalamualaikum readers. Tengkiuu ye sbb masih setia mengikuti perkembangan cerita ni even selalu lambat hapdet. Terharu dgn sokongan semua. Kali ni saya kasi special 2 bab sekali gus sbb kesiankan readers smua yg dh tertunggu lama. Apapun, mohon doakan IMR melepasi penilaian penerbit. :)
BAB
20
ENJIN
motosikalnya
dimatikan sebaik motosikalnya itu selamat memasuki banglo Tan Sri Kamarul. Topi
keledar ditanggalkan. Seketika kemudian, dia bergerak menuju ke pintu utama
rumah mewah itu.
Tidak perlu menunggu
lama, pintu rumah itu terbuka sebaik saja dia memberikan salam yang pertama.
Wajah Tan Sri Kamarul yang nampak berseri-seri terjengul di depan matanya.
“Waalaikumussalam,
Faqih. Masuklah,” sahut Tan Sri Kamarul lalu mempelawa jejaka itu. Ramah.
Faqih mengangguk.
Senyumannya turut menghiasi bibir. Melihat wajah ceria lelaki berada itu,
serta-merta dia pun agak bersemangat hendak memenuhi janjinya pada hari itu.
“Lama kamu tak datang
sini, Faqih,” getus Tan Sri Kamarul ketika sedang beriringan dengan Faqih
menuju ke ruang tamu.
“Humhum… tan sri kan
dah dapat kekuatan nak memandu? Rasanya khidmat saya memang dah tak diperlukan
lagi,” ujar Faqih, merendah diri. Memang, dia sudah pun berhenti menjadi
pemandu kepada Tan Sri Kamarul bermula pada ketika lelaki berada itu sudah pun
mendapat keberaniannya semula untuk memandu.
“Tak, Faqih. Saya
perlukan kamu. Saya perlukan sangat-sangat bantuan kamu untuk bawak saya
kembali pada jalan ALLAH. Saya memang dah jauh, Faqih.” Tan Sri Kamarul
membidas kata-kata bekas pekerjanya itu.
“Saya cuma menolong apa
yang termampu saja, tan sri. Taufik dan hidayah, tetap milik ALLAH. Berdoalah
selalu pada ALLAH supaya nikmat taufik dan hidayah yang diberikan ni takkan
ditarik balik.” Faqih mengambil nafas dalam. Cuba untuk terus menanamkan
keyakinan yang utuh dalam hatinya bahawa hanya ALLAH yang berhak mengubah nasib
seseorang.
“Ya, betul cakap kamu.
Ha, duduklah dulu, Faqih. Saya buatkan air.”
“Eh, tak usah, tan sri!
Saya dah minum tadi. Dah naik kembung perut ni.” Lekas Faqih menghalang diikuti
dengan sengihan kecil. Dia datang ke sini hanya untuk memenuhi janji, bukannya
untuk minum-minum. Lagipun sebenarnya dia baru saja pulang dari kafe di tengah kota, melepak-lepak dengan si
Hakimi tadi. Biasalah… kalau mereka yang minum, tidak cukup secawan.
Sekurang-kurangnya empat cawan setiap seorang!
Tan Sri Kamarul kembali
semula ke sofa ruang tamu lalu duduk di situ. “Tak sedaplah pulak rasanya tak buatkan
kamu air.”
“Tak apa, tan sri. Tadi
saya dah minum banyak. Humhum… macam mana? Tan sri dah boleh hafal
bacaan-bacaan dalam solat dalam buku yang saya bagi tu?” Faqih terus kepada
perbincangan utama.
“Errmmm… boleh
jugaklah. Tapi bukanlah semua. Maklumlah, dah tua-tua ni kepala otak memang dah
berkarat,” akui Tan Sri Kamarul.
“Tak apa, tan sri.
Pelan-pelan. Insya-ALLAH, boleh. Kita takkan pernah lambat untuk bertaubat
selagi mana ajal belum sampai.”
“Tapi kalau tak sempat
macam mana?” Persoal Tan Sri Kamarul. Wajahnya nampak takut dan gelisah. Takut
kalau-kalau ajalnya tiba ketika taubatnya belum sempurna!
Faqih tersenyum tenang.
“ALLAH itu Maha Pengampun, tan sri. DIA tak melihat kita sampai ke tidak pada
sesuatu tujuan, tapi DIA melihat pada usaha yang kita lakukan untuk sampai pada
tujuan tu.”
Tan Sri Kamarul
mengangguk-angguk. Faham.
“Haritu saya mintak tan
sri cuba hafalkan bacaan-bacaan dalam solat, apa kata hari ni kita buat
praktikal sikit? Boleh, tan sri?”
“Boleh, boleh… kita
buat dalam bilik tetamulah ya? Tenang sikit, tak ada orang ganggu,” cadang Tan
Sri Kamarul lalu tidak menyempat-nyempat mengangkat punggung.
Faqih ketawa perlahan
melihat gelagat bekas majikannya itu yang begitu bersemangat tika ini. Tidak
banyak kata, dia mengekor saja lelaki berada itu naik ke tingkat atas.
Tiba di sebuah bilik
yang dilengkapi dengan set bilik tidur mewah, ‘perjalanan’ singkat mereka
ternoktah.
“Masuklah, Faqih” Tan
Sri Kamarul mempelawa, melihat lelaki muda itu seakan-akan tercengang sebaik
tiba di dalam bilik itu.
“Kenapa, Faqih?”
Lamunan Faqih terhenti.
Terkebil-kebil dia seketika sebelum sebuah senyuman mula mengulum di ulas
bibir. “Tan sri memang bentangkan sejadah siap-siap untuk tetamu, ya?”
“Humhum… tak jugak.
Saya baru bentang tadi. Kan hari ni Ustaz Faqih kata nak buat praktikal?” Tan
Sri Kamarul menepuk-nepuk bahu jejaka itu.
Faqih terkesima
sebentar. Pelan-pelan dia mengalihkan muka, memandang wajah majikannya itu. Ya,
ada sesuatu pada kata-kata lelaki berada itu yang agak ‘mengejutkannya’.
Serta-merta, tawa Tan
Sri Kamarul meletus. “Ustaz Muhammad Faqih. Ya ALLAH… kenapalah selama ni saya
boleh tak kenal kamu? Kamu kan yang selalu beri ceramah dalam slot ‘Al-Quran
Skrip Kehidupan’ untuk radio Islamik tu kan?”
“Errkkk… tan sri dengar
radio tu?” Faqih masih terkilan dengan pengakuan Tan Sri Kamarul walau tiada
apa yang mustahilnya.
“Kamu ingat orang macam
saya tak dengar ke radio macam tu? Itulah slot yang wajib saya dengar setiap
pagi jumaat,” lanjut Tan Sri Kamarul.
Faqih hanya tersenyum
selepas itu. Tiada apa yang ingin disorokkan pun sebenarnya. Biarlah Tan Sri
Kamarul mengetahui…
“Saya tahu yang kamu ni
imam satu Masjid As-Salam walaupun kamu tak jadi imam masa saya pertama kali
nak belajar solat hari tu.”
Faqih terus tersenyum
mendengar kenyataan Tan Sri Kamarul itu. Hal itu dia tidak pelik sangat kerana
memang jelas namanya terpapar sebagai imam satu di papan kenyataan Masjid
As-Salam. Adriana pun mengetahui perihal dirinya dari situ jugalah…
“Saya mengharap yang
terbaik dari Ustaz Faqih. Saya minta tolong ustaz, bimbinglah saya.” Kali ini
lelaki berada itu meluahkan pengharapannya.
Faqih mengetap bibir.
Terasa agak janggal pula mendengar gelaran ‘ustaz’ yang keluar dari mulut Tan
Sri Kamarul. Maklumlah, selama ini sudah terbiasa dengan aku-engkau. Entah
kenapa selepas itu, bertukar pula kamu-saya. “Saya cuba, tan sri. Insya-ALLAH.”
“Hmmm… jadi, macam mana
sekarang? Boleh kita mula, ustaz?”
Faqih mengangguk.
“Insya-ALLAH, boleh, tan sri.”
Seketika kemudian,
kedua-dua lelaki tersebut mengambil tempat masing-masing.
Tan Sri Kamarul yang
sudah bersiap sedia dengan kopiah di kepala, berdiri di atas sejadah.
“Bismillahirrahmanirrahim.
Sebelum tu, saya nak imbas sikit tentang rukun-rukun solat. Rukun solat
semuanya ada tiga belas. Pertamanya…”
“Tunggu! Tunggu!”
Jerkahan seseorang dari muka pintu bilik membantutkan segalanya.
Faqih tidak jadi hendak
menyambung sesi pembelajaran. Sementara wajah Tan Sri Kamarul sudah berkerut
seribu memandang wanita yang baru muncul, termengah-mengah di pintu bilik itu.
“Adriana, kenapa ni?”
Tan Sri Kamarul menyoal, agak keras. Mungkin masih terkejut dijerkah oleh anak
saudaranya itu ketika baru hendak khusyuk belajar tadi.
“Saya… saya nak belajar
jugak. Tunggulah!” Adriana menekan-nekan perutnya. Mungkin tadi dia berlari
pecut entah berapa ratus meter.
“Hmmm… masuklah.” Tan
Sri Kamarul tenang sikit berbanding tadi.
Adriana tersengih lalu
masuk, terus saja menghampiri Faqih. “Ustaz, okey tak telekung saya ni?”
Tergesa-gesa dia mengeluarkan satu set telekung yang mungkin baru dibelinya
dari dalam beg tangan yang digalas.
Berpinar mata Faqih
seketika. Telekung pink?
“Okey tak warna pink, ustaz?” Macam anak kecil saja
Adriana menyoal.
“Kamu ni Adriana… orang
solat pakai warna putih! Kenapa beli warna merah jambu pulak?” Tegur Tan Sri
Kamarul.
Faqih menggeleng. Rasa
geli hatinya cuba ditahan. “Tak salah, tan sri. Boleh nak pakai warna apa pun
janji tutup aurat dan tak menampakkan warna kulit. Errr… cantik telekung awak.
Hehe…” Tersengih saja si Faqih. Tidak mengapalah… janji wanita ini mahu
belajar!
Seketika kemudian,
selepas kekalutan tadi sudah reda, barulah sesi pembelajaran mereka berjalan
dengan lancar dan sempurnanya.
“Alhamdulillah… okey
dah. Cuma bacaan-bacaan penting tu kalau boleh dilancarkan sedikit lagi. Macam
Al-Fatihah, tajwid dan bacaan kena betul. Kalau tak, tak sah solat,” ulas Faqih
ketika semuanya sudah selesai.
“Macam mana, ustaz?
Saya baca Al-Quran pun tak pandai. Apa lagi tajwid! Itupun nasib baik buku
bacaan solat yang ustaz bagi tu ada tulisan rumi bawah. Kalau tak, memang tak
boleh hafal langsung,” luah Adriana. Terlalu jujur dan berterus-terang. Tidak
mengapalah… untuk manfaat diri sendiri juga kan?
Faqih tersenyum nipis.
“Jangan risau. Ada masa nanti, saya tolong ajarkan Al-Quran pulak. Kita mula
pelan-pelan, tak apa. Janji ALLAH tahu yang kita ada usaha nak berubah.”
Seketika kemudian,
Adriana bergegas keluar dari bilik tersebut sebaik telefon bimbitnya tiba-tiba
menjerit minta diangkat.
“Tan sri?” Tegur Faqih
melihatkan Tan Sri Kamarul diam saja semenjak sesi pembelajaran mereka selesai
tadi.
Tan Sri Kamarul
mengangkat mukanya, pelan-pelan memandang jejaka itu. “Betul ke kalau kita tak
mandi wajib, ibadat kita tak sah?”
Faqih mengerutkan dahi
lalu mengangguk. “Ya, tan sri. Ada enam sebab yang memerlukan kita mandi wajib
atau mandi janabah. Bersetubuh, keluar air mani, mati, haid, nifas dan
wiladah.”
Tan Sri Kamarul
menggaru-garu kepala. Wajahnya mula menampakkan seperti orang kebuntuan.
“Tolong ajar saya mandi wajib, ustaz. Saya dah lupa.”
Faqih melongo. Agak
lama juga dia merenung wajah lelaki berada yang kini nampak rasa bersalah
teramat itu.
Seketika kemudian,
jejaka itu hanya mampu menepuk dahi.
KHALISAH keluar dari butik tudungnya.
Masa untuk memenuhkan perut yang semakin rancak berjoget sudah tiba! Namun kali
ini, dia tiada selera hendak mengisi perutnya dengan kari Mamak Kerek yang mana
sudah menjadi menu wajibnya setiap kali makan tengah hari. Hari ini dia mahukan
kelainan…
Setelah menunggu enjin
panas, keretanya mula bergerak meninggalkan kawasan itu.
Sepuluh minit kemudian,
dia selamat menjejakkan kaki di salah sebuah pasar raya berdekatan. Ah,
perutnya makin rancak pula berbunyi!
Akhirnya tanpa berfikir
panjang atau membuat sebarang perhitungan bajet, Khalisah memasuki saja sebuah
restoran yang pertama dilihatnya sebaik berada di dalam pasar raya itu. Apa-apa
sajalah, janji dia dapat makan! Sememangnya dia seorang yang tidak tahan lapar.
Khalisah menarik kerusi
di meja tengah lalu duduk di situ. Seketika kemudian, seorang pelayan wanita
datang mengambil pesanannya.
“Okey, terima kasih,”
ucap pelayan itu ramah sebelum pergi membawa pesanannya.
Khalisah melepaskan
keluhan. Hahhh… barulah nafasnya beralun tenang kini. Entah kenapa dia bahagia
saja dalam beberapa hari ini. Bahagia kerana tidak terlalu mahu memikirkan
masalah-masalah yang mendatang menghempap bahunya. Biarlah dia melalui hidup
ini dengan senyuman…
Namun, ketika sedang
termenung, mata Khalisah tertancap pada sepasang kekasih yang sedang duduk di
meja paling hujung dan membelakanginya. Mesra…
Khalisah mengerutkan
dahi. Entah kenapa… dia seperti mengenali saja susuk tubuh si lelaki walaupun
mukanya tidak kelihatan. Dia terus memerhati…
Perlakuan pasangan
kekasih itu memang cukup mesra. Sesekali si jejaka menyuap si dara. Si dara
pula merengek-rengek manja lalu melentokkan kepala ke bahu si jejaka. Nampaknya
mereka betul-betul sedang berada di dunia sendiri!
“Izham!”
Si jejaka tersentak,
samalah juga dengan si dara. Jerkahan itu membawa semula kedua-dua pasangan
kekasih tersebut kembali ke dunia nyata daripada alam fantasi mereka.
Khalisah mengetap
bibir. Matanya tajam memandang ke arah si teruna dan si dara. Nyata, tekaannya
tidak salah…
“Lisa! Errr… I boleh
jelaskan!” Izham bangun dari duduknya. Dia juga tersentak dengan kehadiran tunangnya
itu tiba-tiba. Sungguh tidak disangka!
“Siapa ni, Izham?”
Suara wanita itu mendatar, tapi nadanya sedang menahan gelodak di jiwa. Wajah
Khalisah merah padam sambil jari telunjuknya menghala ke wajah si dara yang
masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.
“Dia… dia… cuma kawan
I!” Tersekat-sekat Izham bersuara. Dia sudah gelabah dan mati akal!
“Kawan sampai
berlentok-lentok kepala? Bersuap-suap? You kejam, Izham! I benci you! I benci
you!” Tempik Khalisah. Kesabarannya sudah habis.
“Hei, perempuan! Apa
masalah kau ha? Kau tak tahu malu ke jerit depan-depan orang sebab sorang
jantan?” Si dara yang tadinya tercengang-cengang kini sudah berani memasuki
‘gelanggang pertarungan’ tersebut.
“Owh… malu? Pandai kau
cakap malu. Yang kau merengek-rengek dengan tunang orang kau tak malu?”
Khalisah memulang paku buah keras. Emosinya sekarang ini hanya tunggu masa
untuk bergelodak!
“Khalisah, cukup!”
Izham turut bertempik.
“Heh, you diam! I tak
mahu dengar apa-apa lagi dari mulut you! You memang tak guna! I benci you!”
Gertak Khalisah.
Kesemua mata yang
berada di dalam restoran itu mula mengalih tumpuan ke arah mereka. Namun,
Khalisah tidak peduli.
“Heh, perempuan
kampung! Kau jangan ingat aku tak tahu yang fikiran kau tu sebenarnya kolot!
Kau jangan ada hati nak paksa orang ikut cara kolot kau tu! Ohhh… mengaku pula
Izham tunang kau ya? Ada hati! Ubahlah fikiran kolot kau tu dulu! Cermin diri
sikit!” Perempuan yang merupakan ‘kekasih’ kepada Izham itu tidak mahu
mengalah. Penghinaan itu dihamburkannya juga tanpa mempedulikan banyak mata
yang sedang memerhati.
Berkaca-kaca mata
Khalisah. Ya, penghinaan itu memang terlalu pedih hingga hatinya terasa sudah
bernanah luka kembali. “Ya, memang aku kolot. Aku kolot depan mata manusia. Tapi
sekurang-kurangnya aku bukan macam kau, kolot depan mata ALLAH, kolot depan
mata agama!”
Tidak menunggu apa-apa
lagi, Khalisah terus membuka langkah laju… membawa hatinya yang sudah
remuk-redam keluar dari tempat tersebut.
Hancur… hatinya hancur!
BAB
21
DIA
tidak
mahu rasa ini terus ‘membunuh’ jiwanya. Dia tidak mahu untuk terus melayan
perasaan yang terlalu bercampur-campur tatkala ini. Cukuplah… dia sudah tidak
larat untuk menangis. Ketenangan… itu saja yang diperlukannya!
Maghrib itu berlangsung
tidak seperti selalunya. Hari ini dia mengambil keputusan untuk tidak terus
terperap di dalam bilik. Masih ada ‘jalan’ lain yang boleh dilakukannya bagi
mengubati luka kekecewaan yang masih berdarah ini.
Akhirnya, Masjid
As-Salam menjadi saksi kehadirannya pada waktu itu. Ketika Khalisah tiba, azan
Maghrib sedang berkumandang nyaring. Memang tepat pada masanya.
Khalisah terus menuju
ke ruang solat wanita. Tidak perlu ke tempat wuduk lagi kerana dia sudah
bersiap-sedia dengan wuduknya dari rumah. Kalau boleh, dia mahu sempat
menunaikan solat sunat qabliyah maghrib setelah selesai azan nanti.
Selesai azan, selesai
bersolat sunat. Kini tiba untuk mengerjakan yang fardhu.
Sepuluh jemaah wanita
yang berada di ruang solat itu membetulkan saf mereka sebaik kedengaran suara
imam memberi arahan. Tidak lama kemudian, kedengaran takbiratul ihram.
Tenang. Suasana sepi
mengiringi kekhusyukan.
Ketika si imam
memulakan saja bacaan Al-Fatihah, hati Khalisah tiba-tiba meruntun. Meruntun
jatuh bukan kerana sedih, tetapi sebak. Tidak tahu apa sebabnya.
Sehinggalah, si imam
menghabiskan beberapa ayat Surah Al-Waqiah untuk rakaat pertama itu, pipi
Khalisah sudah basah dengan air mata.
Solat maghrib pada
malam itu berlangsung agak hiba bagi Khalisah.
Selesai berwirid setelah
salam yang kedua, tangan ditadah untuk memohon doa. Dan kali ini tidak kurang
hebatnya… suara si imam yang membacakan doa sekali lagi membuatkan air matanya
berderai.
Khalisah buntu
bagaimana hendak memberhentikan lagi cecair jernih yang terus mengalir dari
pelupuk matanya. Air mata, sudahlah!
“Adik, adik ada masalah
ke?” Pertanyaan seorang wanita berusia lewat tiga puluh-an mengalihkan
perhatiannya daripada terus melayani air mata.
Khalisah mengangkat
wajah. Air matanya cepat-cepat diseka dengan tisu yang diambil dari beg
tangannya setelah selesai berdoa tadi. “Tak ada apa-apalah, kak.”
“Hummm… adik dari
mana?” Wanita itu melanjutkan keramahan.
“Errr… saya duduk
dekat-dekat sini jugak, kak,” balas Khalisah, tidak berterus-terang. Bukannya
apa, dia rasa kurang selesa dengan keadaan dirinya sendiri.
“Oh, okey. Hmmm… apapun
masalah adik, bawaklah hati pada ALLAH ya? Insya-ALLAH, DIA akan ‘belai’ hati
adik,” ucap wanita itu lalu menepuk-nepuk bahunya sebelum beredar ke penjuru
ruang solat tersebut.
Khalisah termangu
seketika. Namun, ketika tirai yang memisahkan ruang solat lelaki dengan ruang
solat wanita dibuka oleh seorang mak cik untuk sesi kuliah maghrib selepas ini,
Khalisah cepat-cepat bangun lalu beredar ke belakang jemaah-jemaah wanita lain.
Malulah dia hendak duduk di depan dengan mata yang sudah seperti terkena ‘jangkitan’ sebegini.
“Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.” Kedengaran suara si penceramah tidak lama selepas
itu.
Khalisah terkebil-kebil
seketika memandang wajah si penceramah itu. Ah, betulkah apa yang sedang
dilihatnya ini? Faqih???
Si penceramah yang
merangkap imam kepada solat maghrib tadi membaca doa seketika sebelum memulakan
kuliyahnya. Matanya sesekali saja dilarikan kepada jemaah muslimat, selebihnya
dia lebih menumpu kepada jemaah muslimin yang duduk berdekatan.
Khalisah meneguk liur.
Kini matanya membulat. Kenapa Faqih pula yang muncul di depan matanya sebagai
penceramah ketika ini? Kenapa Faqih? ‘Arghhh… kenapa dengan aku ni?’
Tergaru-garu kepala wanita itu. Masih cuba menafikan jejaka yang duduk di
kerusi penceramah itu ialah Faqih. Tidak… dia tidak percaya!
“Sebelum kita mula
topik baru hari ni, saya nak sambung sikit tentang keperibadian Nabi SAW yang
kita dah bincangkan minggu lepas. Abu Hurairah RA ada meriwayatkan dalam satu
hadis yang menyatakan bahawa dia tidak pernah nampak apa-apa pun yang lebih
indah daripada Nabi. Dan dia jugak menyatakan yang indahnya wajah Nabi,
seolah-olah matahari beredar pada wajahnya.
Subhanallah…” Si penceramah yang mirip wajahnya dengan jejaka bernama
Faqih itu berhenti sebentar, merenung setiap jemaah yang berada di situ sebelum
menyambung kembali pengajarannya.
Khalisah tunduk. Tidak
mahu penceramah itu perasankan dirinya. Tapi… kenapa? Betulkah itu Faqih?
Kuliyah maghrib
tersebut terus berlangsung dengan jayanya. Sesekali bila terdapat ruang untuk
si ustaz menyanyi, maka dia menyanyi. Bermacam-macam lagu yang berputar di
bibirnya.
“Laukana bainanal
habib… Ladanal qasi wal qarib… ha, tu salah satu lagulah yang saya tahu. Apa
maksudnya? Andai Rasulullah masih ada…” Si penceramah terus menghuraikan isi
lagu yang dinyanyikannya. Jelas kelihatan semangatnya berkobar ketika
menyampaikan pengajarannya.
“Aku suka dengar ustaz
ni menyanyi bila dia ceramah, Jah. Sedap aje suara dia,” getus seorang mak cik
yang mungkin berusia awal lima puluh-an kepada rakannya di sebelah, sebaya
dengannya juga mungkin.
“Tulah. Untung siapa
dapat jadikan dia menantu. Takkanlah aku tak ada anak perempuan. Kalau tak
memang aku dah ‘sapu’ dah ni…” sahut si rakan sebelah, mengiakan kata-kata mak
cik itu.
Bisikan-bisikan
kedua-dua orang wanita itu kedengaran lalu di telinga Khalisah. Namun, dia
tidak mengendahkan. Fikirannya masih berteka-teki akan hal si penceramah itu.
Faqih? Betulkah dia
Faqih? Kenapa tiba-tiba saja boleh menjadi seorang ustaz daripada hanya seorang
pemandu biasa? Dia ada menyembunyikan sesuatukah selama ini?
Khalisah menekup wajah.
Ceramah tersebut juga bagai angin lalu saja. Dia bingung!
LANGKAHNYA dibuka untuk meninggalkan
ruang solat itu. Alhamdulillah… termakbul juga impiannya untuk berjemaah di
masjid yang sememangnya berdekatan dengan kawasan perumahannya ini.
Khalisah melepaskan
keluhan. Rasa bersalah tiba-tiba mengetuk hatinya. Mana tidaknya, inilah
pertama kali dia menunaikan solat jemaah di sini walaupun masjid ini
sangat-sangatlah berdekatan dengan kawasan perumahannya. ‘Ya ALLAH… khilafnya
aku!’
Ketika melintasi
beranda masjid, Khalisah bagaikan terdorong untuk pergi melihat papan kenyataan
yang mempamerkan struktur organisasi masjid. Dan…
‘Ustaz Muhammad Faqih
bin Farhan. Imam satu Masjid As-Salam,’ desis hati Khalisah, mengikuti susunan
huruf yang tertampal pada papan kenyataan itu.
Sah, dia tidak tersalah
lihat mahupun tersalah orang!
Khalisah terkesima.
Tersandar seketika belakang tubuhnya pada dinding masjid itu. Debaran di
dadanya entah kenapa melaju tiba-tiba sebaik mengetahui semua itu. Ustaz
Muhammad Faqih… kenapa dia tidak tahu selama ini?
“Esok boleh, lusa pun
boleh, ustaz.” Suara seseorang yang amat dikenalinya kedengaran melintas di
telinga.
Khalisah tersentak.
Cepat-cepat dia berselindung di sebalik selekoh dinding… ‘Papa!’
Seketika kemudian,
keluar pula seorang lelaki berjubah putih dan berserban lengkap dari ruang
solat menghampiri lelaki berada itu. “Saya tak kisah bila-bila yang tan sri
nakkan. Insya-ALLAH, saya sentiasa bersedia.”
“Hummm… kalau macam tu,
lepas zohor esok, boleh ustaz?” Tanya lelaki berada itu.
Lelaki muda berjubah
putih itu tersenyum kemudian mengangguk. “Boleh, tan sri. Insya-ALLAH.”
“Saya kalau boleh tak
naklah lambat-lambatkan belajar Al-Quran ni. Umur pun dah banyak,” ujar lelaki
berada yang berusia awal lima puluh-an itu. Ada riak kesal di wajahnya.
Khalisah tergamam.
Perlakuan Tan Sri Kamarul, papanya dan jejaka yang bergelar ustaz itu terus
diperhati dengan mata yang tidak berkelip.
Seketika kemudian,
kedua-dua lelaki itu bergerak meninggalkan beranda masjid, menuju ke kenderaan
masing-masing.
Khalisah menekup mulut.
Kenapa? Kenapa selama ini dia tidak tahu?
Papa… sepertinya
papanya memang sudah mengetahui, tetapi kenapa papanya berdiam diri, tidak
memberitahu apa-apa pun tentang lelaki itu? Kenapa?
Khalisah mengusap
pipinya yang terasa basah. Rasa terkilannya usah diceritakan. Sungguh terkilan.
Namun dalam masa yang sama, entah kenapa
ada sedikit ‘bahagia’ menyelit ke sekeping hatinya yang rawan semenjak tadi.
Ustaz Muhammad Faqih…
senyuman Khalisah tertarik ke sudut bibir.
“SUDAHLAH, Lisa. Kau menangis pun tak
guna jugak. Benda dah jadi, nak buat macam mana?” Getus Adriana sambil mulutnya
rancak mengunyah keropok kentang Mister Potato.
Khalisah terus menekup
wajahnya pada permukaan meja. Lara hatinya tidak semudah yang disangka untuk
dipulihkan.
“Aku peliklah dengan si
Izham tu. Dulu beria-ia nakkan kau, tapi kenapa dia sanggup buat kau macam ni?
Eiii… dasar jantan!” Bebel Adriana, tidak mahu keadaan terus menyepi di dalam
bilik itu melihatkan keengganan Khalisah untuk bercakap.
“Dulu bukan kau ke yang
suka dia?”
Adriana berhenti
mengunyah. Pandangannya yang dihadapkan ke dinding dikalihkan menghadap
sepupunya yang kini sudah mengangkat muka itu. “Aik, aku ingatkan kau
menangis!”
Khalisah menggeleng.
“Aku dah tak ada air mata nak menangis, Yana.” Lemah nada Khalisah. Nada orang
kecewalah katakan.
“Hmmm… kau sabarlah
ek?” Nasihat Adriana, ringkas. Malas hendak mengulas panjang hal yang menimpa
sepupunya itu. Keropok kentang Mister Potato itu terus dikunyahnya.
“Entahlah, Adriana. Aku
rasa tertipu sangat. Sanggup dia buat aku macam tu!” Khalisah masih tidak puas
hendak meluahkan rasa yang terbuku di hatinya.
“Errrmmm… Lisa, kau sure ke perempuan tu makwe dia?”
“Yalah. Kalau dah
sampai bersuap-suap, melentok-lentok kepala, peluk-peluk pinggang tu apa
benda?”
Terkedu Adriana
mendengar kenyataan sepupunya itu. Tidak sangka Izham yang selama ini
dianggapnya sebagai seorang lelaki yang baik dan setia akan sanggup melakukan
hal sebegitu.
“Aku nak putus tunang
dengan dialah, Yana. Lagipun selama ni, aku bukan suka dia pun,” lanjut
Khalisah, menyuarakan keinginan yang dipendam di dalam hati selama ini.
“Hmmm… mama kau dah
tahu ke pasal ni?”
Khalisah menggeleng.
Mama? Entahlah. Dia sendiri bingung bagaimana hendak memberitahukan mamanya
tentang hal itu. Tidak tahulah mamanya akan percaya atau sebaliknya jika dia
menceritakan hal itu. Ah, mamanya memang terlalu ‘sayangkan’ Izham sehingga
apa-apa yang dilakukan oleh lelaki itu nampak betul saja!
“Habis, macam mana?”
Adriana mengangkat kening. Bekas silinder keropok kentang Mister Potato yang
kini kosong itu diletakkan saja di atas meja kerja Khalisah. Selamba.
Khalisah
mengetuk-ngetuk mejanya dengan jari-jemarinya. Fikirannya ligat memutar
sesuatu. “Aku tak peduli, Yana. Aku tak rela terima dia jadi suami aku.”
“Hai, Izham, Izham…
nasib baik aku tak terjerat dengan cinta kau! Alhamdulillah…” Adriana ketawa
sendiri. Terasa sangat beruntung kerana dia ‘diselamatkan’ daripada terus
‘mabuk’ dengan cinta terhadap lelaki itu. Semuanya semenjak Izham menolak untuk
menerima cintanya. Pada mulanya, memang dia kecewa. Tapi lama-kelamaan, dia
sudah dapat menstabilkan perasaannya balik.
Dan kini, dia terasa
lebih beruntung sebaik mendengar cerita sepupunya itu. Tambah-tambah pula,
hatinya juga telah ‘dicuri’ oleh seseorang.
“Dulu bukan kau nak dia
sangat ke?” Khalisah mengulang lagi pertanyaannya tadi yang belum berjawab.
“Memanglah. Tapi dah
dia suka kau, takkan aku nak paksa dia suka aku pulak. Aku redha ajelah.
Lagipun sekarang, aku dah ada orang lain,” beritahu Adriana. Namun seketika
kemudian, wajahnya berubah. Alamak, terlepas cakap!
Khalisah ketawa…
setelah sekian lama kemuraman merona di wajahnya. “Hah? Kau dah ada yang baru?
Siapa? Ceritalah sikit!”
“Errr… adalah. Mana
boleh bagitahu!” Adriana mencebir. Kali ini soal hatinya biarlah menjadi
rahsia. Dia tidak mahu menceritakan pada sesiapa pun!
“Elehhh…dengan aku pun
nak berahsia!” Khalisah turut menjuih bibir. Semenjak bilalah sepupunya ini
pandai berahsia?
“Tak boleh. Nanti kau
kebas.”
“Hum… tak ada maknanya
aku nak kebas pakwe kau. Bersepah lagi lelaki kat luar tu. Lagipun, aku cuma
nak imam muda aje yang jadi suami aku. Hehe…” Sepertinya Khalisah sudah boleh
mengawal emosinya. Senyuman semakin rancak terukir di ulas bibirnya.
Biarlah… biarlah dia
melupakan seketika kekecewaan yang melanda.
Adriana tersengih
mendengar kata-kata sepupunya itu. Lantas, bayangan seseorang menerjah
benaknya. Ah… dia sudah jatuh cinta dengan lelaki itu! Sungguh!
“Errmmm… Yana, aku nak
keluar pergi kedai runcit kejap. Nak beli roti-roti sikit. Laparlah pulak.”
Khalisah bangun dari kerusinya. Perutnya kelaparan tiba-tiba dek asyik melayan
perasaan.
“Okey. Aku pun nak
pergi ni. Balik office balik.”
Adriana turut bangun.
“Eh, kau sesuka hati
aje keluar masuk office tu?”
“Memanglah. Dah office tu bapak aku punya. So… suka hati akulah!” Adriana tergelak
kejam. Pandai-pandai saja!
Geleng kepala Khalisah
mendengar alasan sepupunya itu. “Teruklah kau ni, Yana! Tak pasal-pasal kena
pecat nanti padan muka!”
“Haha… tak ada punya.
Bapak aku sayang aku. Humhum… sebenarnya hari ni ramai staf tak ada,
termasuklah bapak aku. Diorang pergi majlis perasmian projek terbaru syarikat
kat Temerloh. Aku malas nak ikut.” Berterus-terang juga Adriana.
“Hmmm… apa-apa ajelah.
Dah, jom!”
Seketika kemudian,
kedua-dua wanita tersebut keluar dari bilik Khalisah. Sesekali bila berpapasan
dengan pelanggan yang sedang berada di butiknya itu, Khalisah menguntum
senyuman. Tidak mengapalah… para pekerjanya ada. Dia mahu membeli roti dulu.
Mini Cooper Adriana
yang semakin hilang dari pandangan hanya diperhati dengan pandangan kosong.
Seketika kemudian, Khalisah meneruskan langkah untuk ke kedai runcit yang
berselang enam buah kedai dari butiknya.
Sebuah motosikal Ducati
848 Evo yang berhenti betul-betul di depan kedai aksesori motosikal mewah
bersebelahan dengan kedai runcit tersebut mengalihkan perhatian Khalisah. Entah
kenapa, Khalisah tidak jadi meneruskan langkah.
Si penunggang Ducati
itu menanggalkan helmet yang tersarung di kepalanya. Jaket kulit berwarna hitam
yang dipakai juga dilonggarkan zipnya tanpa membuka sarung tangan kulitnya.
Seketika kemudian, dia masuk ke kedai yang menjual aksesori motosikal mewah itu
bersama-sama helmetnya.
Khalisah yang hanya
memerhati perlakuan si penunggang Ducati itu terpana. Faqih!
Terkedu. Wanita itu
bagai direnjat elektrik bervoltan tinggi seketika.
Kenapa wajah lelaki itu
masih membayanginya? Tetapi kenapa pula dia merasakan yang pandangannya tidak
silap? Dia tidak main-main, lelaki itu memang Faqih!
Faqih menunggang
Ducati? Jadi, Honda petak yang ditunggangi oleh lelaki itu selama ini apa pula?
Khalisah meneguk liur.
Debaran di dadanya tiba-tiba memuncak. Ya ALLAH… kalau mata ini memang silap,
kau perbetulkanlah!
Sepuluh minit berlalu,
Khalisah masih berdiri di situ. Sehinggalah, pintu kedai menjual aksesori
motosikal mewah itu terbuka dari dalam, menampakkan lelaki yang wajahnya mirip
benar dengan Faqih itu keluar lalu menuju ke Ducatinya.
Wanita itu terus
memerhati penunggang Ducati itu sehinggalah motosikal mewah tersebut meluncur
pergi.
Khalisah menekup dada.
Ya ALLAH… Faqih!
19 comments:
Wahhh terujanya baca entry kali ne. best petala ke lapan la kak. suke sangat2. wish u luck kak, smoga d permudahkan segala urusan. insya ALLAH =)
Assalamualaikum,
ada sedikit prtanyaan, solat sunat qabliyah maghrib? qabliyah tu sebelum kan? saya nak brkongsi sesuatu, masa dekat sekolah dulu ustaz saya ada tegur psl solat sunat ni, dia cakap tak digalakkan. klau ad ap2 yg saya salah mohon prbetulkan.
Saya Peminat Novel ni
(^__^)
thanxx yer pmbaca2 saya. :)
waalaikumussalam. ya, solat qabliyah maghrib mmg x seperti solat sunat yg mengiringi solat fardu yg lain, cuma Rasulullah SAW tak pernah melarang para sahabat utk mndirikan solat tersebut. apapun, ikut keadaan. kalau masa tu masih di awal waktu, x da salahnya nak buad :) .
Sayang Awokk semuaaa! <3
Tahniah! mmg best cite nih! x sabar nak tunggu buku novel nih kluar. Mudah2an dgn cerita2 begini dpt menjadi asbab hidayah kepada lebih ramai org...
xsabar nak tunggu penhujung cerita...
harap2 dapat diterbitkan cepat...
urgent....dear...sister..please update this story...or publish it as soon as possible....i really love it..and i dont want to suffer any longer to wait for the next eppisode
best nye
assalamualaikum izzah~
just nk komen cite ni sempoi,jalan cite die menarik dan ada input2 islamik yg remaja skrg patut contohi..seriously saya rasa awak sgt berbakat dlm penulisan..keep it up ok..may Allah bless u..
akak,knapa dah xsmbung? serious talk besttt sngtt crita ni :')))
best ler..apa sambgnnye...
Salam smua. Akk mintak maaf sgt
Skarang akk sibuk sbb baru masuk uitm...
x sbrnye nk tunggu.. ble novel ni keluar..nk bli!!!
can't wait for the next episode..:-) all the best izzah...
bestnyer..x sbr nk tnggu next entry...nk tau smbungan psl faqih tu..so misterious...hahha :)
sgt best...suspens je cite ni..hehe
Nak lagi2... Sgt suka dgn crt ni... Muhammad Faqih!! Dr ilhamkarangkraf sy follow, then p2u n now dkt cne... Nak Faqih!! Kalaulah dia wujud...humm...
menurut aku cukup menarik cerita ini..
Akk..sy bru je habis bce novel akk.. imam mudaku romantik...wahhh..best n sweet gile..sy rse sy dh jtuh cintala kt ustaz faqih tu...bhehehehhe..cayokkk kak
Akk..sy bru je habis bce novel akk.. imam mudaku romantik...wahhh..best n sweet gile..sy rse sy dh jtuh cintala kt ustaz faqih tu...bhehehehhe..cayokkk kak
Post a Comment