Monday, April 29, 2013

Imam Mudaku Romantik! 20 & 21


Assalamualaikum readers. Tengkiuu ye sbb masih setia mengikuti perkembangan cerita ni even selalu lambat hapdet. Terharu dgn sokongan semua. Kali ni saya kasi special 2 bab sekali gus sbb kesiankan readers smua yg dh tertunggu lama. Apapun, mohon doakan IMR melepasi penilaian penerbit. :)

BAB 20
ENJIN motosikalnya dimatikan sebaik motosikalnya itu selamat memasuki banglo Tan Sri Kamarul. Topi keledar ditanggalkan. Seketika kemudian, dia bergerak menuju ke pintu utama rumah mewah itu.
Tidak perlu menunggu lama, pintu rumah itu terbuka sebaik saja dia memberikan salam yang pertama. Wajah Tan Sri Kamarul yang nampak berseri-seri terjengul di depan matanya.
“Waalaikumussalam, Faqih. Masuklah,” sahut Tan Sri Kamarul lalu mempelawa jejaka itu. Ramah.
Faqih mengangguk. Senyumannya turut menghiasi bibir. Melihat wajah ceria lelaki berada itu, serta-merta dia pun agak bersemangat hendak memenuhi janjinya pada hari itu.
“Lama kamu tak datang sini, Faqih,” getus Tan Sri Kamarul ketika sedang beriringan dengan Faqih menuju ke ruang tamu.
“Humhum… tan sri kan dah dapat kekuatan nak memandu? Rasanya khidmat saya memang dah tak diperlukan lagi,” ujar Faqih, merendah diri. Memang, dia sudah pun berhenti menjadi pemandu kepada Tan Sri Kamarul bermula pada ketika lelaki berada itu sudah pun mendapat keberaniannya semula untuk memandu.
“Tak, Faqih. Saya perlukan kamu. Saya perlukan sangat-sangat bantuan kamu untuk bawak saya kembali pada jalan ALLAH. Saya memang dah jauh, Faqih.” Tan Sri Kamarul membidas kata-kata bekas pekerjanya itu.
“Saya cuma menolong apa yang termampu saja, tan sri. Taufik dan hidayah, tetap milik ALLAH. Berdoalah selalu pada ALLAH supaya nikmat taufik dan hidayah yang diberikan ni takkan ditarik balik.” Faqih mengambil nafas dalam. Cuba untuk terus menanamkan keyakinan yang utuh dalam hatinya bahawa hanya ALLAH yang berhak mengubah nasib seseorang.
“Ya, betul cakap kamu. Ha, duduklah dulu, Faqih. Saya buatkan air.”
“Eh, tak usah, tan sri! Saya dah minum tadi. Dah naik kembung perut ni.” Lekas Faqih menghalang diikuti dengan sengihan kecil. Dia datang ke sini hanya untuk memenuhi janji, bukannya untuk minum-minum. Lagipun sebenarnya dia baru saja pulang dari kafe  di tengah kota, melepak-lepak dengan si Hakimi tadi. Biasalah… kalau mereka yang minum, tidak cukup secawan. Sekurang-kurangnya empat cawan setiap seorang!
Tan Sri Kamarul kembali semula ke sofa ruang tamu lalu duduk di situ. “Tak sedaplah pulak rasanya tak buatkan kamu air.”
“Tak apa, tan sri. Tadi saya dah minum banyak. Humhum… macam mana? Tan sri dah boleh hafal bacaan-bacaan dalam solat dalam buku yang saya bagi tu?” Faqih terus kepada perbincangan utama.
“Errmmm… boleh jugaklah. Tapi bukanlah semua. Maklumlah, dah tua-tua ni kepala otak memang dah berkarat,” akui Tan Sri Kamarul.
“Tak apa, tan sri. Pelan-pelan. Insya-ALLAH, boleh. Kita takkan pernah lambat untuk bertaubat selagi mana ajal belum sampai.”
“Tapi kalau tak sempat macam mana?” Persoal Tan Sri Kamarul. Wajahnya nampak takut dan gelisah. Takut kalau-kalau ajalnya tiba ketika taubatnya belum sempurna!
Faqih tersenyum tenang. “ALLAH itu Maha Pengampun, tan sri. DIA tak melihat kita sampai ke tidak pada sesuatu tujuan, tapi DIA melihat pada usaha yang kita lakukan untuk sampai pada tujuan tu.”
Tan Sri Kamarul mengangguk-angguk. Faham.
“Haritu saya mintak tan sri cuba hafalkan bacaan-bacaan dalam solat, apa kata hari ni kita buat praktikal sikit? Boleh, tan sri?”
“Boleh, boleh… kita buat dalam bilik tetamulah ya? Tenang sikit, tak ada orang ganggu,” cadang Tan Sri Kamarul lalu tidak menyempat-nyempat mengangkat punggung.
Faqih ketawa perlahan melihat gelagat bekas majikannya itu yang begitu bersemangat tika ini. Tidak banyak kata, dia mengekor saja lelaki berada itu naik ke tingkat atas.
Tiba di sebuah bilik yang dilengkapi dengan set bilik tidur mewah, ‘perjalanan’ singkat mereka ternoktah.
“Masuklah, Faqih” Tan Sri Kamarul mempelawa, melihat lelaki muda itu seakan-akan tercengang sebaik tiba di dalam bilik itu.
“Kenapa, Faqih?”
Lamunan Faqih terhenti. Terkebil-kebil dia seketika sebelum sebuah senyuman mula mengulum di ulas bibir. “Tan sri memang bentangkan sejadah siap-siap untuk tetamu, ya?”
“Humhum… tak jugak. Saya baru bentang tadi. Kan hari ni Ustaz Faqih kata nak buat praktikal?” Tan Sri Kamarul menepuk-nepuk bahu jejaka itu.
Faqih terkesima sebentar. Pelan-pelan dia mengalihkan muka, memandang wajah majikannya itu. Ya, ada sesuatu pada kata-kata lelaki berada itu yang agak ‘mengejutkannya’.
Serta-merta, tawa Tan Sri Kamarul meletus. “Ustaz Muhammad Faqih. Ya ALLAH… kenapalah selama ni saya boleh tak kenal kamu? Kamu kan yang selalu beri ceramah dalam slot ‘Al-Quran Skrip Kehidupan’ untuk radio Islamik tu kan?”
“Errkkk… tan sri dengar radio tu?” Faqih masih terkilan dengan pengakuan Tan Sri Kamarul walau tiada apa yang mustahilnya.
“Kamu ingat orang macam saya tak dengar ke radio macam tu? Itulah slot yang wajib saya dengar setiap pagi jumaat,” lanjut Tan Sri Kamarul.
Faqih hanya tersenyum selepas itu. Tiada apa yang ingin disorokkan pun sebenarnya. Biarlah Tan Sri Kamarul mengetahui…
“Saya tahu yang kamu ni imam satu Masjid As-Salam walaupun kamu tak jadi imam masa saya pertama kali nak belajar solat hari tu.”
Faqih terus tersenyum mendengar kenyataan Tan Sri Kamarul itu. Hal itu dia tidak pelik sangat kerana memang jelas namanya terpapar sebagai imam satu di papan kenyataan Masjid As-Salam. Adriana pun mengetahui perihal dirinya dari situ jugalah…
“Saya mengharap yang terbaik dari Ustaz Faqih. Saya minta tolong ustaz, bimbinglah saya.” Kali ini lelaki berada itu meluahkan pengharapannya.
Faqih mengetap bibir. Terasa agak janggal pula mendengar gelaran ‘ustaz’ yang keluar dari mulut Tan Sri Kamarul. Maklumlah, selama ini sudah terbiasa dengan aku-engkau. Entah kenapa selepas itu, bertukar pula kamu-saya. “Saya cuba, tan sri. Insya-ALLAH.”
“Hmmm… jadi, macam mana sekarang? Boleh kita mula, ustaz?”
Faqih mengangguk. “Insya-ALLAH, boleh, tan sri.”
Seketika kemudian, kedua-dua lelaki tersebut mengambil tempat masing-masing.
Tan Sri Kamarul yang sudah bersiap sedia dengan kopiah di kepala, berdiri di atas sejadah.
“Bismillahirrahmanirrahim. Sebelum tu, saya nak imbas sikit tentang rukun-rukun solat. Rukun solat semuanya ada tiga belas. Pertamanya…”
“Tunggu! Tunggu!” Jerkahan seseorang dari muka pintu bilik membantutkan segalanya.
Faqih tidak jadi hendak menyambung sesi pembelajaran. Sementara wajah Tan Sri Kamarul sudah berkerut seribu memandang wanita yang baru muncul, termengah-mengah di pintu bilik itu.
“Adriana, kenapa ni?” Tan Sri Kamarul menyoal, agak keras. Mungkin masih terkejut dijerkah oleh anak saudaranya itu ketika baru hendak khusyuk belajar tadi.
“Saya… saya nak belajar jugak. Tunggulah!” Adriana menekan-nekan perutnya. Mungkin tadi dia berlari pecut entah berapa ratus meter.
“Hmmm… masuklah.” Tan Sri Kamarul tenang sikit berbanding tadi.
Adriana tersengih lalu masuk, terus saja menghampiri Faqih. “Ustaz, okey tak telekung saya ni?” Tergesa-gesa dia mengeluarkan satu set telekung yang mungkin baru dibelinya dari dalam beg tangan yang digalas.
Berpinar mata Faqih seketika. Telekung pink?
“Okey tak warna pink, ustaz?” Macam anak kecil saja Adriana menyoal.
“Kamu ni Adriana… orang solat pakai warna putih! Kenapa beli warna merah jambu pulak?” Tegur Tan Sri Kamarul.
Faqih menggeleng. Rasa geli hatinya cuba ditahan. “Tak salah, tan sri. Boleh nak pakai warna apa pun janji tutup aurat dan tak menampakkan warna kulit. Errr… cantik telekung awak. Hehe…” Tersengih saja si Faqih. Tidak mengapalah… janji wanita ini mahu belajar!
Seketika kemudian, selepas kekalutan tadi sudah reda, barulah sesi pembelajaran mereka berjalan dengan lancar dan sempurnanya.
“Alhamdulillah… okey dah. Cuma bacaan-bacaan penting tu kalau boleh dilancarkan sedikit lagi. Macam Al-Fatihah, tajwid dan bacaan kena betul. Kalau tak, tak sah solat,” ulas Faqih ketika semuanya sudah selesai.
“Macam mana, ustaz? Saya baca Al-Quran pun tak pandai. Apa lagi tajwid! Itupun nasib baik buku bacaan solat yang ustaz bagi tu ada tulisan rumi bawah. Kalau tak, memang tak boleh hafal langsung,” luah Adriana. Terlalu jujur dan berterus-terang. Tidak mengapalah… untuk manfaat diri sendiri juga kan?
Faqih tersenyum nipis. “Jangan risau. Ada masa nanti, saya tolong ajarkan Al-Quran pulak. Kita mula pelan-pelan, tak apa. Janji ALLAH tahu yang kita ada usaha nak berubah.”
Seketika kemudian, Adriana bergegas keluar dari bilik tersebut sebaik telefon bimbitnya tiba-tiba menjerit minta diangkat.
“Tan sri?” Tegur Faqih melihatkan Tan Sri Kamarul diam saja semenjak sesi pembelajaran mereka selesai tadi.
Tan Sri Kamarul mengangkat mukanya, pelan-pelan memandang jejaka itu. “Betul ke kalau kita tak mandi wajib, ibadat kita tak sah?”
Faqih mengerutkan dahi lalu mengangguk. “Ya, tan sri. Ada enam sebab yang memerlukan kita mandi wajib atau mandi janabah. Bersetubuh, keluar air mani, mati, haid, nifas dan wiladah.”
Tan Sri Kamarul menggaru-garu kepala. Wajahnya mula menampakkan seperti orang kebuntuan. “Tolong ajar saya mandi wajib, ustaz. Saya dah lupa.”
Faqih melongo. Agak lama juga dia merenung wajah lelaki berada yang kini nampak rasa bersalah teramat itu.
Seketika kemudian, jejaka itu hanya mampu menepuk dahi.

KHALISAH keluar dari butik tudungnya. Masa untuk memenuhkan perut yang semakin rancak berjoget sudah tiba! Namun kali ini, dia tiada selera hendak mengisi perutnya dengan kari Mamak Kerek yang mana sudah menjadi menu wajibnya setiap kali makan tengah hari. Hari ini dia mahukan kelainan…
Setelah menunggu enjin panas, keretanya mula bergerak meninggalkan kawasan itu.
Sepuluh minit kemudian, dia selamat menjejakkan kaki di salah sebuah pasar raya berdekatan. Ah, perutnya makin rancak pula berbunyi!
Akhirnya tanpa berfikir panjang atau membuat sebarang perhitungan bajet, Khalisah memasuki saja sebuah restoran yang pertama dilihatnya sebaik berada di dalam pasar raya itu. Apa-apa sajalah, janji dia dapat makan! Sememangnya dia seorang yang tidak tahan lapar.
Khalisah menarik kerusi di meja tengah lalu duduk di situ. Seketika kemudian, seorang pelayan wanita datang mengambil pesanannya.
“Okey, terima kasih,” ucap pelayan itu ramah sebelum pergi membawa pesanannya.
Khalisah melepaskan keluhan. Hahhh… barulah nafasnya beralun tenang kini. Entah kenapa dia bahagia saja dalam beberapa hari ini. Bahagia kerana tidak terlalu mahu memikirkan masalah-masalah yang mendatang menghempap bahunya. Biarlah dia melalui hidup ini dengan senyuman…
Namun, ketika sedang termenung, mata Khalisah tertancap pada sepasang kekasih yang sedang duduk di meja paling hujung dan membelakanginya. Mesra…
Khalisah mengerutkan dahi. Entah kenapa… dia seperti mengenali saja susuk tubuh si lelaki walaupun mukanya tidak kelihatan. Dia terus memerhati…
Perlakuan pasangan kekasih itu memang cukup mesra. Sesekali si jejaka menyuap si dara. Si dara pula merengek-rengek manja lalu melentokkan kepala ke bahu si jejaka. Nampaknya mereka betul-betul sedang berada di dunia sendiri!
“Izham!”
Si jejaka tersentak, samalah juga dengan si dara. Jerkahan itu membawa semula kedua-dua pasangan kekasih tersebut kembali ke dunia nyata daripada alam fantasi mereka.
Khalisah mengetap bibir. Matanya tajam memandang ke arah si teruna dan si dara. Nyata, tekaannya tidak salah…
“Lisa! Errr… I boleh jelaskan!” Izham bangun dari duduknya. Dia juga tersentak dengan kehadiran tunangnya itu tiba-tiba. Sungguh tidak disangka!
“Siapa ni, Izham?” Suara wanita itu mendatar, tapi nadanya sedang menahan gelodak di jiwa. Wajah Khalisah merah padam sambil jari telunjuknya menghala ke wajah si dara yang masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.
“Dia… dia… cuma kawan I!” Tersekat-sekat Izham bersuara. Dia sudah gelabah dan mati akal!
“Kawan sampai berlentok-lentok kepala? Bersuap-suap? You kejam, Izham! I benci you! I benci you!” Tempik Khalisah. Kesabarannya sudah habis.
“Hei, perempuan! Apa masalah kau ha? Kau tak tahu malu ke jerit depan-depan orang sebab sorang jantan?” Si dara yang tadinya tercengang-cengang kini sudah berani memasuki ‘gelanggang pertarungan’ tersebut.
“Owh… malu? Pandai kau cakap malu. Yang kau merengek-rengek dengan tunang orang kau tak malu?” Khalisah memulang paku buah keras. Emosinya sekarang ini hanya tunggu masa untuk bergelodak!
“Khalisah, cukup!” Izham turut bertempik.
“Heh, you diam! I tak mahu dengar apa-apa lagi dari mulut you! You memang tak guna! I benci you!” Gertak Khalisah.
Kesemua mata yang berada di dalam restoran itu mula mengalih tumpuan ke arah mereka. Namun, Khalisah tidak peduli.
“Heh, perempuan kampung! Kau jangan ingat aku tak tahu yang fikiran kau tu sebenarnya kolot! Kau jangan ada hati nak paksa orang ikut cara kolot kau tu! Ohhh… mengaku pula Izham tunang kau ya? Ada hati! Ubahlah fikiran kolot kau tu dulu! Cermin diri sikit!” Perempuan yang merupakan ‘kekasih’ kepada Izham itu tidak mahu mengalah. Penghinaan itu dihamburkannya juga tanpa mempedulikan banyak mata yang sedang memerhati.
Berkaca-kaca mata Khalisah. Ya, penghinaan itu memang terlalu pedih hingga hatinya terasa sudah bernanah luka kembali. “Ya, memang aku kolot. Aku kolot depan mata manusia. Tapi sekurang-kurangnya aku bukan macam kau, kolot depan mata ALLAH, kolot depan mata agama!”
Tidak menunggu apa-apa lagi, Khalisah terus membuka langkah laju… membawa hatinya yang sudah remuk-redam keluar dari tempat tersebut.
Hancur… hatinya hancur!

BAB 21
DIA tidak mahu rasa ini terus ‘membunuh’ jiwanya. Dia tidak mahu untuk terus melayan perasaan yang terlalu bercampur-campur tatkala ini. Cukuplah… dia sudah tidak larat untuk menangis. Ketenangan… itu saja yang diperlukannya!
Maghrib itu berlangsung tidak seperti selalunya. Hari ini dia mengambil keputusan untuk tidak terus terperap di dalam bilik. Masih ada ‘jalan’ lain yang boleh dilakukannya bagi mengubati luka kekecewaan yang masih berdarah ini.
Akhirnya, Masjid As-Salam menjadi saksi kehadirannya pada waktu itu. Ketika Khalisah tiba, azan Maghrib sedang berkumandang nyaring. Memang tepat pada masanya.
Khalisah terus menuju ke ruang solat wanita. Tidak perlu ke tempat wuduk lagi kerana dia sudah bersiap-sedia dengan wuduknya dari rumah. Kalau boleh, dia mahu sempat menunaikan solat sunat qabliyah maghrib setelah selesai azan nanti.
Selesai azan, selesai bersolat sunat. Kini tiba untuk mengerjakan yang fardhu.
Sepuluh jemaah wanita yang berada di ruang solat itu membetulkan saf mereka sebaik kedengaran suara imam memberi arahan. Tidak lama kemudian, kedengaran takbiratul ihram.
Tenang. Suasana sepi mengiringi kekhusyukan.
Ketika si imam memulakan saja bacaan Al-Fatihah, hati Khalisah tiba-tiba meruntun. Meruntun jatuh bukan kerana sedih, tetapi sebak. Tidak tahu apa sebabnya.
Sehinggalah, si imam menghabiskan beberapa ayat Surah Al-Waqiah untuk rakaat pertama itu, pipi Khalisah sudah basah dengan air mata.
Solat maghrib pada malam itu berlangsung agak hiba bagi Khalisah.
Selesai berwirid setelah salam yang kedua, tangan ditadah untuk memohon doa. Dan kali ini tidak kurang hebatnya… suara si imam yang membacakan doa sekali lagi membuatkan air matanya berderai.
Khalisah buntu bagaimana hendak memberhentikan lagi cecair jernih yang terus mengalir dari pelupuk matanya. Air mata, sudahlah!
“Adik, adik ada masalah ke?” Pertanyaan seorang wanita berusia lewat tiga puluh-an mengalihkan perhatiannya daripada terus melayani air mata.
Khalisah mengangkat wajah. Air matanya cepat-cepat diseka dengan tisu yang diambil dari beg tangannya setelah selesai berdoa tadi. “Tak ada apa-apalah, kak.”
“Hummm… adik dari mana?” Wanita itu melanjutkan keramahan.
“Errr… saya duduk dekat-dekat sini jugak, kak,” balas Khalisah, tidak berterus-terang. Bukannya apa, dia rasa kurang selesa dengan keadaan dirinya sendiri.
“Oh, okey. Hmmm… apapun masalah adik, bawaklah hati pada ALLAH ya? Insya-ALLAH, DIA akan ‘belai’ hati adik,” ucap wanita itu lalu menepuk-nepuk bahunya sebelum beredar ke penjuru ruang solat tersebut.
Khalisah termangu seketika. Namun, ketika tirai yang memisahkan ruang solat lelaki dengan ruang solat wanita dibuka oleh seorang mak cik untuk sesi kuliah maghrib selepas ini, Khalisah cepat-cepat bangun lalu beredar ke belakang jemaah-jemaah wanita lain. Malulah dia hendak duduk di depan dengan mata yang sudah seperti  terkena ‘jangkitan’ sebegini.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.” Kedengaran suara si penceramah tidak lama selepas itu.
Khalisah terkebil-kebil seketika memandang wajah si penceramah itu. Ah, betulkah apa yang sedang dilihatnya ini? Faqih???
Si penceramah yang merangkap imam kepada solat maghrib tadi membaca doa seketika sebelum memulakan kuliyahnya. Matanya sesekali saja dilarikan kepada jemaah muslimat, selebihnya dia lebih menumpu kepada jemaah muslimin yang duduk berdekatan.
Khalisah meneguk liur. Kini matanya membulat. Kenapa Faqih pula yang muncul di depan matanya sebagai penceramah ketika ini? Kenapa Faqih? ‘Arghhh… kenapa dengan aku ni?’ Tergaru-garu kepala wanita itu. Masih cuba menafikan jejaka yang duduk di kerusi penceramah itu ialah Faqih. Tidak… dia tidak percaya!
“Sebelum kita mula topik baru hari ni, saya nak sambung sikit tentang keperibadian Nabi SAW yang kita dah bincangkan minggu lepas. Abu Hurairah RA ada meriwayatkan dalam satu hadis yang menyatakan bahawa dia tidak pernah nampak apa-apa pun yang lebih indah daripada Nabi. Dan dia jugak menyatakan yang indahnya wajah Nabi, seolah-olah matahari beredar pada wajahnya.  Subhanallah…” Si penceramah yang mirip wajahnya dengan jejaka bernama Faqih itu berhenti sebentar, merenung setiap jemaah yang berada di situ sebelum menyambung kembali pengajarannya.
Khalisah tunduk. Tidak mahu penceramah itu perasankan dirinya. Tapi… kenapa? Betulkah itu Faqih?
Kuliyah maghrib tersebut terus berlangsung dengan jayanya. Sesekali bila terdapat ruang untuk si ustaz menyanyi, maka dia menyanyi. Bermacam-macam lagu yang berputar di bibirnya.
“Laukana bainanal habib… Ladanal qasi wal qarib… ha, tu salah satu lagulah yang saya tahu. Apa maksudnya? Andai Rasulullah masih ada…” Si penceramah terus menghuraikan isi lagu yang dinyanyikannya. Jelas kelihatan semangatnya berkobar ketika menyampaikan pengajarannya.
“Aku suka dengar ustaz ni menyanyi bila dia ceramah, Jah. Sedap aje suara dia,” getus seorang mak cik yang mungkin berusia awal lima puluh-an kepada rakannya di sebelah, sebaya dengannya juga mungkin.
“Tulah. Untung siapa dapat jadikan dia menantu. Takkanlah aku tak ada anak perempuan. Kalau tak memang aku dah ‘sapu’ dah ni…” sahut si rakan sebelah, mengiakan kata-kata mak cik itu.
Bisikan-bisikan kedua-dua orang wanita itu kedengaran lalu di telinga Khalisah. Namun, dia tidak mengendahkan. Fikirannya masih berteka-teki akan hal si penceramah itu.
Faqih? Betulkah dia Faqih? Kenapa tiba-tiba saja boleh menjadi seorang ustaz daripada hanya seorang pemandu biasa? Dia ada menyembunyikan sesuatukah selama ini?
Khalisah menekup wajah. Ceramah tersebut juga bagai angin lalu saja. Dia bingung!

LANGKAHNYA dibuka untuk meninggalkan ruang solat itu. Alhamdulillah… termakbul juga impiannya untuk berjemaah di masjid yang sememangnya berdekatan dengan kawasan perumahannya ini.
Khalisah melepaskan keluhan. Rasa bersalah tiba-tiba mengetuk hatinya. Mana tidaknya, inilah pertama kali dia menunaikan solat jemaah di sini walaupun masjid ini sangat-sangatlah berdekatan dengan kawasan perumahannya. ‘Ya ALLAH… khilafnya aku!’
Ketika melintasi beranda masjid, Khalisah bagaikan terdorong untuk pergi melihat papan kenyataan yang mempamerkan struktur organisasi masjid. Dan…
‘Ustaz Muhammad Faqih bin Farhan. Imam satu Masjid As-Salam,’ desis hati Khalisah, mengikuti susunan huruf yang tertampal pada papan kenyataan itu.
Sah, dia tidak tersalah lihat mahupun tersalah orang!
Khalisah terkesima. Tersandar seketika belakang tubuhnya pada dinding masjid itu. Debaran di dadanya entah kenapa melaju tiba-tiba sebaik mengetahui semua itu. Ustaz Muhammad Faqih… kenapa dia tidak tahu selama ini?
“Esok boleh, lusa pun boleh, ustaz.” Suara seseorang yang amat dikenalinya kedengaran melintas di telinga.
Khalisah tersentak. Cepat-cepat dia berselindung di sebalik selekoh dinding… ‘Papa!’
Seketika kemudian, keluar pula seorang lelaki berjubah putih dan berserban lengkap dari ruang solat menghampiri lelaki berada itu. “Saya tak kisah bila-bila yang tan sri nakkan. Insya-ALLAH, saya sentiasa bersedia.”
“Hummm… kalau macam tu, lepas zohor esok, boleh ustaz?” Tanya lelaki berada itu.
Lelaki muda berjubah putih itu tersenyum kemudian mengangguk. “Boleh, tan sri. Insya-ALLAH.”
“Saya kalau boleh tak naklah lambat-lambatkan belajar Al-Quran ni. Umur pun dah banyak,” ujar lelaki berada yang berusia awal lima puluh-an itu. Ada riak kesal di wajahnya.
Khalisah tergamam. Perlakuan Tan Sri Kamarul, papanya dan jejaka yang bergelar ustaz itu terus diperhati dengan mata yang tidak berkelip.
Seketika kemudian, kedua-dua lelaki itu bergerak meninggalkan beranda masjid, menuju ke kenderaan masing-masing.
Khalisah menekup mulut. Kenapa? Kenapa selama ini dia tidak tahu?
Papa… sepertinya papanya memang sudah mengetahui, tetapi kenapa papanya berdiam diri, tidak memberitahu apa-apa pun tentang lelaki itu? Kenapa?
Khalisah mengusap pipinya yang terasa basah. Rasa terkilannya usah diceritakan. Sungguh terkilan. Namun  dalam masa yang sama, entah kenapa ada sedikit ‘bahagia’ menyelit ke sekeping hatinya yang rawan semenjak tadi.
Ustaz Muhammad Faqih… senyuman Khalisah tertarik ke sudut bibir.

“SUDAHLAH, Lisa. Kau menangis pun tak guna jugak. Benda dah jadi, nak buat macam mana?” Getus Adriana sambil mulutnya rancak mengunyah keropok kentang Mister Potato.
Khalisah terus menekup wajahnya pada permukaan meja. Lara hatinya tidak semudah yang disangka untuk dipulihkan.
“Aku peliklah dengan si Izham tu. Dulu beria-ia nakkan kau, tapi kenapa dia sanggup buat kau macam ni? Eiii… dasar jantan!” Bebel Adriana, tidak mahu keadaan terus menyepi di dalam bilik itu melihatkan keengganan Khalisah untuk bercakap.
“Dulu bukan kau ke yang suka dia?”
Adriana berhenti mengunyah. Pandangannya yang dihadapkan ke dinding dikalihkan menghadap sepupunya yang kini sudah mengangkat muka itu. “Aik, aku ingatkan kau menangis!”
Khalisah menggeleng. “Aku dah tak ada air mata nak menangis, Yana.” Lemah nada Khalisah. Nada orang kecewalah katakan.
“Hmmm… kau sabarlah ek?” Nasihat Adriana, ringkas. Malas hendak mengulas panjang hal yang menimpa sepupunya itu. Keropok kentang Mister Potato itu terus dikunyahnya.
“Entahlah, Adriana. Aku rasa tertipu sangat. Sanggup dia buat aku macam tu!” Khalisah masih tidak puas hendak meluahkan rasa yang terbuku di hatinya.
“Errrmmm… Lisa, kau sure ke perempuan tu makwe dia?”
“Yalah. Kalau dah sampai bersuap-suap, melentok-lentok kepala, peluk-peluk pinggang tu apa benda?”
Terkedu Adriana mendengar kenyataan sepupunya itu. Tidak sangka Izham yang selama ini dianggapnya sebagai seorang lelaki yang baik dan setia akan sanggup melakukan hal sebegitu.
“Aku nak putus tunang dengan dialah, Yana. Lagipun selama ni, aku bukan suka dia pun,” lanjut Khalisah, menyuarakan keinginan yang dipendam di dalam hati selama ini.
“Hmmm… mama kau dah tahu ke pasal ni?”
Khalisah menggeleng. Mama? Entahlah. Dia sendiri bingung bagaimana hendak memberitahukan mamanya tentang hal itu. Tidak tahulah mamanya akan percaya atau sebaliknya jika dia menceritakan hal itu. Ah, mamanya memang terlalu ‘sayangkan’ Izham sehingga apa-apa yang dilakukan oleh lelaki itu nampak betul saja!
“Habis, macam mana?” Adriana mengangkat kening. Bekas silinder keropok kentang Mister Potato yang kini kosong itu diletakkan saja di atas meja kerja Khalisah. Selamba.
Khalisah mengetuk-ngetuk mejanya dengan jari-jemarinya. Fikirannya ligat memutar sesuatu. “Aku tak peduli, Yana. Aku tak rela terima dia jadi suami aku.”
“Hai, Izham, Izham… nasib baik aku tak terjerat dengan cinta kau! Alhamdulillah…” Adriana ketawa sendiri. Terasa sangat beruntung kerana dia ‘diselamatkan’ daripada terus ‘mabuk’ dengan cinta terhadap lelaki itu. Semuanya semenjak Izham menolak untuk menerima cintanya. Pada mulanya, memang dia kecewa. Tapi lama-kelamaan, dia sudah dapat menstabilkan perasaannya balik.
Dan kini, dia terasa lebih beruntung sebaik mendengar cerita sepupunya itu. Tambah-tambah pula, hatinya juga telah ‘dicuri’ oleh seseorang.
“Dulu bukan kau nak dia sangat ke?” Khalisah mengulang lagi pertanyaannya tadi yang belum berjawab.
“Memanglah. Tapi dah dia suka kau, takkan aku nak paksa dia suka aku pulak. Aku redha ajelah. Lagipun sekarang, aku dah ada orang lain,” beritahu Adriana. Namun seketika kemudian, wajahnya berubah. Alamak, terlepas cakap!
Khalisah ketawa… setelah sekian lama kemuraman merona di wajahnya. “Hah? Kau dah ada yang baru? Siapa? Ceritalah sikit!”
“Errr… adalah. Mana boleh bagitahu!” Adriana mencebir. Kali ini soal hatinya biarlah menjadi rahsia. Dia tidak mahu menceritakan pada sesiapa pun!
“Elehhh…dengan aku pun nak berahsia!” Khalisah turut menjuih bibir. Semenjak bilalah sepupunya ini pandai berahsia?
“Tak boleh. Nanti kau kebas.”
“Hum… tak ada maknanya aku nak kebas pakwe kau. Bersepah lagi lelaki kat luar tu. Lagipun, aku cuma nak imam muda aje yang jadi suami aku. Hehe…” Sepertinya Khalisah sudah boleh mengawal emosinya. Senyuman semakin rancak terukir di ulas bibirnya.
Biarlah… biarlah dia melupakan seketika kekecewaan yang melanda.
Adriana tersengih mendengar kata-kata sepupunya itu. Lantas, bayangan seseorang menerjah benaknya. Ah… dia sudah jatuh cinta dengan lelaki itu! Sungguh!
“Errmmm… Yana, aku nak keluar pergi kedai runcit kejap. Nak beli roti-roti sikit. Laparlah pulak.” Khalisah bangun dari kerusinya. Perutnya kelaparan tiba-tiba dek asyik melayan perasaan.
“Okey. Aku pun nak pergi ni. Balik office balik.” Adriana turut bangun.
“Eh, kau sesuka hati aje keluar masuk office tu?”
“Memanglah. Dah office tu bapak aku punya. So… suka hati akulah!” Adriana tergelak kejam. Pandai-pandai saja!
Geleng kepala Khalisah mendengar alasan sepupunya itu. “Teruklah kau ni, Yana! Tak pasal-pasal kena pecat nanti padan muka!”
“Haha… tak ada punya. Bapak aku sayang aku. Humhum… sebenarnya hari ni ramai staf tak ada, termasuklah bapak aku. Diorang pergi majlis perasmian projek terbaru syarikat kat Temerloh. Aku malas nak ikut.” Berterus-terang juga Adriana.
“Hmmm… apa-apa ajelah. Dah, jom!”
Seketika kemudian, kedua-dua wanita tersebut keluar dari bilik Khalisah. Sesekali bila berpapasan dengan pelanggan yang sedang berada di butiknya itu, Khalisah menguntum senyuman. Tidak mengapalah… para pekerjanya ada. Dia mahu membeli roti dulu.
Mini Cooper Adriana yang semakin hilang dari pandangan hanya diperhati dengan pandangan kosong. Seketika kemudian, Khalisah meneruskan langkah untuk ke kedai runcit yang berselang enam buah kedai dari butiknya.
Sebuah motosikal Ducati 848 Evo yang berhenti betul-betul di depan kedai aksesori motosikal mewah bersebelahan dengan kedai runcit tersebut mengalihkan perhatian Khalisah. Entah kenapa, Khalisah tidak jadi meneruskan langkah.
Si penunggang Ducati itu menanggalkan helmet yang tersarung di kepalanya. Jaket kulit berwarna hitam yang dipakai juga dilonggarkan zipnya tanpa membuka sarung tangan kulitnya. Seketika kemudian, dia masuk ke kedai yang menjual aksesori motosikal mewah itu bersama-sama helmetnya.
Khalisah yang hanya memerhati perlakuan si penunggang Ducati itu terpana. Faqih!
Terkedu. Wanita itu bagai direnjat elektrik bervoltan tinggi seketika.
Kenapa wajah lelaki itu masih membayanginya? Tetapi kenapa pula dia merasakan yang pandangannya tidak silap? Dia tidak main-main, lelaki itu memang Faqih!
Faqih menunggang Ducati? Jadi, Honda petak yang ditunggangi oleh lelaki itu selama ini apa pula?
Khalisah meneguk liur. Debaran di dadanya tiba-tiba memuncak. Ya ALLAH… kalau mata ini memang silap, kau perbetulkanlah!
Sepuluh minit berlalu, Khalisah masih berdiri di situ. Sehinggalah, pintu kedai menjual aksesori motosikal mewah itu terbuka dari dalam, menampakkan lelaki yang wajahnya mirip benar dengan Faqih itu keluar lalu menuju ke Ducatinya.
Wanita itu terus memerhati penunggang Ducati itu sehinggalah motosikal mewah tersebut meluncur pergi.
Khalisah menekup dada. Ya ALLAH… Faqih!






19 comments:

Anonymous said...

Wahhh terujanya baca entry kali ne. best petala ke lapan la kak. suke sangat2. wish u luck kak, smoga d permudahkan segala urusan. insya ALLAH =)

Anonymous said...

Assalamualaikum,
ada sedikit prtanyaan, solat sunat qabliyah maghrib? qabliyah tu sebelum kan? saya nak brkongsi sesuatu, masa dekat sekolah dulu ustaz saya ada tegur psl solat sunat ni, dia cakap tak digalakkan. klau ad ap2 yg saya salah mohon prbetulkan.
Saya Peminat Novel ni
(^__^)

Izzah Haneefa said...

thanxx yer pmbaca2 saya. :)

waalaikumussalam. ya, solat qabliyah maghrib mmg x seperti solat sunat yg mengiringi solat fardu yg lain, cuma Rasulullah SAW tak pernah melarang para sahabat utk mndirikan solat tersebut. apapun, ikut keadaan. kalau masa tu masih di awal waktu, x da salahnya nak buad :) .

Sayang Awokk semuaaa! <3

Anonymous said...

Tahniah! mmg best cite nih! x sabar nak tunggu buku novel nih kluar. Mudah2an dgn cerita2 begini dpt menjadi asbab hidayah kepada lebih ramai org...

Anonymous said...

xsabar nak tunggu penhujung cerita...
harap2 dapat diterbitkan cepat...

Anonymous said...

urgent....dear...sister..please update this story...or publish it as soon as possible....i really love it..and i dont want to suffer any longer to wait for the next eppisode

Anonymous said...

best nye

Anonymous said...

assalamualaikum izzah~

just nk komen cite ni sempoi,jalan cite die menarik dan ada input2 islamik yg remaja skrg patut contohi..seriously saya rasa awak sgt berbakat dlm penulisan..keep it up ok..may Allah bless u..

Anonymous said...

akak,knapa dah xsmbung? serious talk besttt sngtt crita ni :')))

Anonymous said...

best ler..apa sambgnnye...

izzahaneefa said...

Salam smua. Akk mintak maaf sgt
Skarang akk sibuk sbb baru masuk uitm...

bella said...

x sbrnye nk tunggu.. ble novel ni keluar..nk bli!!!

Anonymous said...

can't wait for the next episode..:-) all the best izzah...

Anonymous said...

bestnyer..x sbr nk tnggu next entry...nk tau smbungan psl faqih tu..so misterious...hahha :)

asma said...

sgt best...suspens je cite ni..hehe

Vampire3kidz said...

Nak lagi2... Sgt suka dgn crt ni... Muhammad Faqih!! Dr ilhamkarangkraf sy follow, then p2u n now dkt cne... Nak Faqih!! Kalaulah dia wujud...humm...

obat penyakit jantung said...

menurut aku cukup menarik cerita ini..

Unknown said...

Akk..sy bru je habis bce novel akk.. imam mudaku romantik...wahhh..best n sweet gile..sy rse sy dh jtuh cintala kt ustaz faqih tu...bhehehehhe..cayokkk kak

Unknown said...

Akk..sy bru je habis bce novel akk.. imam mudaku romantik...wahhh..best n sweet gile..sy rse sy dh jtuh cintala kt ustaz faqih tu...bhehehehhe..cayokkk kak