BAB
18
FAQIH
menyelesaikan
bacaannya dengan lafaz sadaqallahul
‘azim. Mushaf Al-Quran ditutupnya lalu diangkat dan dikucup penuh tertib.
Alhamdulillah, ketenangan itu hadir juga membelai sekeping hatinya.
Setelah menyimpan
semula mushaf Al-Quran di atas rak, Faqih kembali semula memijak permukaan
sejadah. Dengan iringan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas, takbiratul ihram
kedengaran tidak lama selepas itu.
Daun pintu yang dikuak
sedikit kembali ditutup, perlahan agar tidak mengganggu khusyuk lelaki yang
sedang beribadah itu.
“Abang tengah solat,
pak.” Syuhada kembali ke ruang tamu rumah kampung itu. Lalu terus saja dia
duduk di sebelah Pak Itam yang sedang menelaah buku agama.
Pak Itam menurunkan
sedikit kaca mata tebal yang dipakainya. “Tengah solat apa tu? Istikharah?” Ada
tawa kecil menyusul.
“Hmmm… agaknyalah.
Kesian Syu tengok abang tu,” getus Syuhada.
“Kesian? Kenapa?” Pak
Itam menginginkan penerangan yang jelas.
“Entahlah. Syu kesian
dengan abang sebab… dia tu aneh. Tak macam orang lain. Susahlah nak cakap dia
tu. Bapak sendiri tahu kan yang kelakuan abang tu kadang-kadang kita tak dapat
nak baca apa tujuan dia.” Agak susah juga Syuhada hendak menerangkan kepada
bapanya itu. Sangkanya, Pak Itam akan faham sendiri.
Pak Itam
terangguk-angguk. “Abang kamu tu takdalah sampai tahap aneh. Cuma, dia tu suka
buat kerja yang dia tak patut buat. Bapak faham, setiap kerja yang dia buat tu
bukan sengaja-sengaja. Dia sebenarnya sedang mencari erti ‘sesuatu’.”
Syuhada terdiam. Betul
juga kata bapanya. Abangnya memang tidak aneh. Abangnya normal, seperti orang
lain juga. Kalau tidak normal, masakan boleh jadi ustaz, siap berceramah dalam
televisyen lagi kadang-kadang! Cuma, tindakannya itu yang kadang-kadang
mengundang tanda tanya orang…
“Biarlah dia nak buat
apa, Syu. Dia dah besar. Dah boleh fikir.” Pak Itam mengulas begitu saja.
Yalah, apa lagi yang hendak dikatakan?
Syuhada masih tidak
berpuas hati. Dia berdiam, tetapi fikirannya ligat memutarkan sesuatu. “Pak…
bapak kenal tak dengan pak cik tua buta yang Abang Faqih selalu bagi makan
depan masjid tu?”
“Hah? Pak cik tua buta
mana pulaklah ni, Syu?” Pak Itam nampaknya kepelikan benar mendengar soalan anaknya.
Syuhada mengherotkan
bibir. “Oh, bapak tak tahulah ya? Hmmm… abanglah ni, setiap petang dia bagi
makan kat pak cik tua tu! Tak tahulah… nak kata pak cik tu pengemis, baju dia
tak nampak macam pengemis pun. Lepastu, waktu petang-petang aje pak cik tu
muncul kat depan masjid tu. Hmmm… ingatkan bapak tahu.” Wanita itu berpeluk
tubuh pula. Otaknya terus ligat berkefikiran.
“Jap, jap. Masjid mana
ni?”
“Lah… masjid mana
pulak, pak? Masjid As-Salam lah! Masjid tempat abang jadi imam tu!” Syuhada
menggeleng kepala. Bapak, bapak… penat-penat dia berbicara panjang tadi,
rupanya Pak Itam masih ‘tertinggal’ jauh di belakang!
“Owh… abang kamu bagi
makan? Hmmm… dia nak buat pahala agaknya. Biarlah dia.” Pak Itam seperti biasa…
malas hendak mengulas panjang.
Syuhada merengus.
Bapanya relaks saja, tapi entah kenapa dia beria-ia benar hendak memikirkan hal
abangnya itu!
Setelah suasana sepi
berlangsung agak lama, kedengaran bunyi kuakan daun pintu dari salah satu bilik
tidur rumah kampung itu, menandakan ada seseorang yang sudah keluar.
“Bapak, Syu…” Faqih
yang mungkin sudah selesai beribadah itu menegur kedua-dua mereka yang sedang
membuat hal sendiri di ruang tamu.
Perhatian Pak Itam dan
Syuhada lekas beralih kepada anak muda yang kini sudah duduk di salah satu sofa
ruang tamu itu.
“Ha, Faqih… buat apa
kat dalam bilik tadi?” Sengaja Pak Itam bertanya walaupun dia memang sudah
tahu.
Faqih membulatkan mata.
Tidak sangka pula Pak Itam akan bertanyakan soalan itu! “Errr… Faqih buat solat
sunat sikit.”
Pak Itam
terangguk-angguk lagi. Matanya masih tidak lari daripada pembacaannya. Nampaknya
dia betul-betul menghayati apa yang sedang dibacanya.
“Syu, termenung apa tu?
Tembus pandangan nampak!” Faqih menegur sinis adiknya yang dari tadi tidak
bersuara itu. Walhal bukannya sedang melakukan apa-apa kerja pun. Mengelamun di
sebelah Pak Itam dengan mata yang tidak berkelip.
Syuhada
tercengang-cengang. Namun cepat saja dia tersenyum selepas itu. “Syu tengah
bayangkan makan Durian Crepe. Hummm… sedapnya!” Tertutup-tutup mata wanita itu,
menggambarkan betapa sedapnya Durian Crepe yang sedang bermain di mindanya.
Terangkat sebelah
kening Faqih. Erkkk? Mengelamun tentang Durian Crepe?
“Abang, abang tahu tak
buat Durian Crepe? Syu mengidamlah. Nampak macam sedap!” Syuhada sudah ‘pandai’
membuat permintaan pula!
“Hmmm… Durian Crepe
ya?” Faqih menyapu-nyapu dahinya. Macam-macamlah adiknya ini!
“Alahhh… kalau ketupat
boleh buat, takkanlah Durian Crepe abang tak reti kan? Durian Crepe lagi senang
rasanya. Main balut-balut aje. Hehe…” Tersengih-sengih macam kerang busuk si
Syuhada. Membodek si abanglah tu!
“Oh… hoho… senang ya?
Main balut-balut aje? Ha, meh sini, abang balut Syu pulak! Hmmm… Syu, Syu.
Abang memang tak tahulah. Tapi kalau Syu bagi resepi, insya-ALLAH abang boleh
buat kut. Kenapa tak beli aje?” Meletus juga tawa Faqih melayan ragam adiknya
itu.
“Alaa… memanglah boleh
beli. Tapi buat sendiri lagi sedap kan? Lagi-lagi kalau abang yang buat. Abang
dengan bapak kan ‘chef’ dalam rumah ni!” Syuhada terus merayu. Beria-ia dia
mahukan Durian Crepe. Ah, air liurnya kecur tiba-tiba!
“Yalah, nanti abang
Google resepi. Lepastu abang buatkan untuk Syu.” Faqih mengiakan juga
permintaan si adik. Walau yang sebenarnya, dia juga teringin hendak makan
Durian Crepe. Semuanya semenjak beberapa hari lepas, Taufiq membawa pulang enam
keping Durian Crepe ke rumah mereka. Kata Taufiq, teman wanitanya yang belanja.
Dan yang paling sadis… lelaki itu tidak mahu berkongsi langsung Durian Crepenya
dengan si Faqih dan Hakimi. Telan liur sajalah kedua-dua jejaka tersebut
akhirnya.
Faqih sempat mengelamun
tentang kisah yang berlaku antaranya dengan Durian Crepe.
“Abang termenungkan
siapa?” Sergah Syuhada. Perasan saja yang abangnya itu termenung!
Lekas Faqih menggeleng.
Hai, penangan Durian Crepe…
“Tak ada apa-apalah,
Syu. Errrmmm… abang sebenarnya nak bagitahu keputusan abang tentang hal Nana.”
Terus Faqih menyuarakan hal yang ingin diperkatakannya semenjak tadi.
Pak Itam yang dari tadi
diam membatu terus menutup buku yang dibacanya. Nah, berjaya juga perhatiannya
dialihkan! “Ha, kamu dah ada keputusan, Faqih?”
Faqih diam seketika…
lalu mengangguk. “Ya, pak. Faqih dah ada keputusan.”
“Errr… macam mana?”
Syuhada sudah tidak sabar-sabar hendak mengetahui. Entah kenapa dia pula yang
terlebih berdebar!
“Sebelum tu, kamu
memang dah fikir masak-masak, Faqih?” Pak Itam masih menginginkan kepastian.
Nafas yang agak dalam
dihela. Faqih tunduk seketika sebelum memandang wajah Pak Itam dan Syuhada
bersilih ganti. “Insya-ALLAH, Faqih dah fikir masak-masak.”
SEPERTI biasa, petang itu Faqih dan
Syuhada mengisi masa dengan beriadah di sebuah taman tasik yang terdapat di ibu
kota. Dua pusingan mengelilingi tasik tersebut sudah cukup membuatkan mereka
termengah-mengah.
“Hummm… okey, Syu dah
penat. Jom duduk!” Syuhada yang sudah berpeluh-peluh tidak sanggup hendak
membuat pusingan mengelilingi tasik itu lagi.
Faqih yang sedang
berlari-lari setempat berhenti serta-merta. “Aik, baru dua pusingan dah penat
ke?” Sinisnya.
Syuhada merengus. Peluh
yang semakin merembes di dahi dilap-lapnya dengan tuala yang tersangkut di
batang leher. “Dua pusingan tu dah cukup jauhlah, bang. Tasik ni bukannya
kecik. Dahlah, bang. Jom duduk!” Keluhnya.
“Hmmm… yalah.”
Seketika kemudian,
Faqih dan Syuhada mengambil tempat duduk di bangku kosong yang berdekatan.
Sementara itu, sempat mereka membuang pandang ke arah tasik yang terbentang di
depan mata. Sesekali pandangan mereka diganggu oleh lintasan manusia yang turut
berjoging di taman tasik itu. Walau apapun, suasananya tetap nyaman…
“Mana dia, Syu?” Soal
Faqih setelah agak lama menenangkan diri.
Syuhada tidak terus
menjawab soalan itu. Sebaliknya dia tertinjau-tinjau seketika memandang
sekeliling. “Lepas ni sampailah agaknya. Hmmm… abang memang dah buat
keputusanlah ni?”
Faqih mengangguk saja.
“Hai… kesian dia.
Mengharap bertahun-tahun, satu habuk pun tak dapat!” Syuhada menggeleng-geleng
kepala. Nampak macam kesal.
“Humhum… kenapa? Syu
nak ke dia jadi kakak Syu?” Faqih menangkap nada kesal pada getusan adiknya
itu.
Syuhada mengangkat
kening. “Kalau abang nakkan dia, Syu tak ada masalah. Dia okey apa. Cantik,
pandai. Syu pernah rasa dia masak, sedap!”
Faqih menundukkan
kepala. Jawapan adiknya itu tidak langsung mengundang keceriaan pada mimik
mukanya. “Abang belum bersedia lagilah, Syu.”
“Laaa… kenapa tak
bersedia pulak? Abang kan dah ada semuanya. Umur abang pun bukannya muda
sangat. Dah masuk dua puluh tujuh pun.
Sesuai sangat kalau nak kahwin. Bapak pun asyik sebut benda yang sama aje!”
Omel Syuhada, membidas alasan abangnya itu yang memang dipakai semenjak azali
lagi setiap kali ditanyakan soal kahwin.
Tawa Faqih tiba-tiba
meletus. “Amboi, pandai dah mengata abang ya? Eh, untuk lelaki macam abang,
umur dua puluh tujuh tu kalau belum kahwin biasalah. Lainlah kalau Syu, memang
dah jadi anak dara tua.”
Syuhada membulatkan
mata. Ah, abangnya ini memang sengaja mencari peluang untuk memain-mainkannya!
“Abang ni… Syu tengah cakap pasal abang. Abang sengaja lari topik kan? Eiii…
geramlah dengan abang ni!” Wanita itu berpeluk tubuh sambil membuat bibir
muncung itik.
“Eleh, nak merajuk
pulak! Patutlah abang tengok muka adik abang ni makin hari makin banyak kedut,
rupanya asyik nak marah aje. Hihi…”
Syuhada menjeling
abangnya itu. Amboi, main kasar nampak!
“Dahlah, Syu. Abang
minta maaf. Abang gurau aje. Syu memang cantik, nanti Syu menyesal tiada guna…”
Mengekek-ngekek lelaki itu ketawa ketika menyanyi di penghujung ayatnya.
Syuhada melopong
seketika mendengar lagu yang abangnya nyanyikan itu. Macam pernah dengar… Oh,
Aku Anak Kampung dari Jimmy Palikat!
“Bukannya kutidak suka
sama kamu, tapi aku takut hidup kau kan sengsara. Kerna aku cinta aku lepaskan
kau sama orang lain.” Nyanyian Faqih makin menjadi-jadi pula. Hai, tunjuk bakat
ke, bang?
“Haishh, kenapa dengan
abang ni? Melarat pulak gilanya!” Syuhada naik pelik dengan ragam abangnya yang
tiba-tiba saja berperangai sebegitu. Lengan Faqih ditamparnya agak kasar. Nasib
baik ketika itu tiada orang yang lalu-lalang untuk melihat ‘kegilaan’ abangnya.
“Nyanyi sekali-sekala
tak salahkan, Syu?” Faqih menggosok-gosok lengannya yang ditampar agak kuat
oleh si adik. Namun dia tetap cool.
“Hei ustaz ni… dia pun
sibuk nak menyanyi rupanya!”
“Lah, takkan ustaz tak
boleh nyanyi kut? Ramai aje ustaz-ustaz menyanyi masa ceramah! Abanglah salah
sorangnya tu. Hehe…” Akui Faqih diikuti dengan sengihan. Memang hakikatnya pun
yang dia suka menyanyi. Dari sekolah rendah lagi, selain tilawah Al-Quran yang
menjadi acara wajibnya untuk mewakili sekolah setiap tahun, dia juga aktif
dalam menyertai kumpulan nasyid dan kumpulan qasidah. Pokoknya dia memang suka
menyanyi!
“Hmmm… apa-apa ajelah,
bang. Eh, tu Nana!” Syuhada terbangun terus dari duduknya sambil jari telunjuk
menghala ke suatu arah.
Debaran mula terasa di
hati Faqih. ‘Ya ALLAH, kuatkanlah aku!’
Perlahan, Faqih bangun
dari duduknya selepas itu melihat kelibat wanita itu semakin menghampiri ke
arah mereka.
“Assalamualaikum Syu,
errr… Abang Faqih.” Suara wanita itu sayup saja menyapa mereka dengan salam.”
“Waalaikumussalam.”
Serentak suara Syuhada dan Faqih bertingkah menyahut salam itu.
“Errrmmm… Kak Nana apa
khabar?” Syuhada sengaja mencari ruang untuk menutup kecanggungan
masing-masing. Nak harapkan abangnya? Memanglah tidak boleh harap!
“Alhamdulillah, akak
sihat aje. Errr…” Nana masih tidak mampu membendung kecanggungannya. Semuanya
gara-gara lelaki itu! Yang mana, telah membuatkan hatinya tawar semenjak
beberapa hari ini…
Syuhada tidak membalas.
Memberi peluang untuk abangnya dan wanita itu bersuara pula.
“Kenapa abang tak boleh
terima Nana?” Jerkah Nana, terus saja tanpa sebarang pembayang. Sungguh, sakit
hatinya ketika emaknya memberitahukan yang lelaki itu telah menolak risikannya
masih berbekas dengan luka.
Oleh sebab itu, Nana
mengatur pertemuan pada petang ini. Dia tidak peduli, dia mahukan juga
penjelasan daripada lelaki itu. Bertahun-tahun dia menunggu lelaki itu, kenapa
pada akhirnya dia perlu kecewa juga?
Faqih tergamam. Terasa
berpasir air liurnya untuk ditelan mendengar soalan wanita itu. “Errr… saya, saya
belum sedia.”
Nana mengeluh. “Lama
Nana tunggu abang. Sampai hati abang
buat Nana macam ni!”
“Saya tak pernah paksa
awak tunggu saya.” Kali ini, Faqih agak bertegas. Dia sudah letih sebenarnya
berhadapan dengan wanita yang tidak pernah ‘memahami’ alasan yang selalu
diutarakannya selama ini.
Syuhada hanya mampu
menjadi pemerhati. Tidak mahu menyampuk di mana-mana bahagian. Biarlah mereka
menyelesaikan masalah mereka sendiri…
“Nana, fahamlah saya.
Saya tak mintak awak tunggu saya. Awak carilah orang lain yang lebih baik dari
saya,” lanjut Faqih melihatkan Nana hanya diam membatu.
Nana masih tidak
membalas. Cuma, bening matanya yang nampak berkaca-kaca.
Dari jauh, wanita itu
terus memerhati…
Khalisah tersenyum
sendiri. Hari ini dia ke sini lagi. Kenapa? Kerana sengaja…
Khalisah tahu di mana
jejaka bernama Faqih itu akan berada pada setiap petang minggu. Oleh sebab itu,
dia ke sini. Walaupun dia tahu ada wanita lain yang turut bersama-sama Faqih,
tetapi dia tidak kisah. Lagipun, dia kan sudah bertunang? Sememangnya segala
harapannya telah musnah…
Sudah dikatakan yang
dia memang sengaja… bermakna dia memang sengaja hendak melihat lelaki itu pada
petang-petang begini. Walau tanda tanya tentang dua orang wanita yang sedang
berbual dengan jejaka itu masih menghantui…
‘Siapa mereka?’ Soalan
itu terus berlegar-legar di mindanya.
11 comments:
mesti khalisha cmbru nanti..
jeng3x....cinta dah berputik...huhu....xsabar nak bc episod seterusnye huhuhu
yup..x sbar nak tau sambungannya..
Waaaa!!! citer semakin menarik.. harp next n3 cepat yer akak.. ^_^v
Peminat durian crepe ye?? asyik sebut sebut je dari tadi...ehehehe (kalau dapat makan durian beshh gak nih!!) :D
smakin lame smakin syok la crite ni... Smbung lg ye kak crite ni ...hehe
best cite ni, bla novel ni nk kua?
terima kasihh semua. editor beritahu saya haritu masih dlm penilaian. huhu.. kalau diikutkan hati memang nak terbitkan awal. tapi keputusan smua pd editor... buad masa ni kita berdoalah sama2 ye :)
best citer ni, saya lebih tertarik dengan Adriana dan Hakimi.Agak2 ada tak citer pasal 2 watak ni dengan Izham...??
saya rasa bab ni pendek . boleh panjangkan ckit?
menarik sekali cerita ini...sukses saja...
Post a Comment