Saturday, April 13, 2013

Imam Mudaku Romantik! 18


BAB 18
FAQIH menyelesaikan bacaannya dengan lafaz sadaqallahul ‘azim. Mushaf Al-Quran ditutupnya lalu diangkat dan dikucup penuh tertib. Alhamdulillah, ketenangan itu hadir juga membelai sekeping hatinya.
Setelah menyimpan semula mushaf Al-Quran di atas rak, Faqih kembali semula memijak permukaan sejadah. Dengan iringan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas, takbiratul ihram kedengaran tidak lama selepas itu.
Daun pintu yang dikuak sedikit kembali ditutup, perlahan agar tidak mengganggu khusyuk lelaki yang sedang beribadah itu.
“Abang tengah solat, pak.” Syuhada kembali ke ruang tamu rumah kampung itu. Lalu terus saja dia duduk di sebelah Pak Itam yang sedang menelaah buku agama.
Pak Itam menurunkan sedikit kaca mata tebal yang dipakainya. “Tengah solat apa tu? Istikharah?” Ada tawa kecil menyusul.
“Hmmm… agaknyalah. Kesian Syu tengok abang tu,” getus Syuhada.
“Kesian? Kenapa?” Pak Itam menginginkan penerangan yang jelas.
“Entahlah. Syu kesian dengan abang sebab… dia tu aneh. Tak macam orang lain. Susahlah nak cakap dia tu. Bapak sendiri tahu kan yang kelakuan abang tu kadang-kadang kita tak dapat nak baca apa tujuan dia.” Agak susah juga Syuhada hendak menerangkan kepada bapanya itu. Sangkanya, Pak Itam akan faham sendiri.
Pak Itam terangguk-angguk. “Abang kamu tu takdalah sampai tahap aneh. Cuma, dia tu suka buat kerja yang dia tak patut buat. Bapak faham, setiap kerja yang dia buat tu bukan sengaja-sengaja. Dia sebenarnya sedang mencari erti ‘sesuatu’.”
Syuhada terdiam. Betul juga kata bapanya. Abangnya memang tidak aneh. Abangnya normal, seperti orang lain juga. Kalau tidak normal, masakan boleh jadi ustaz, siap berceramah dalam televisyen lagi kadang-kadang! Cuma, tindakannya itu yang kadang-kadang mengundang tanda tanya orang…
“Biarlah dia nak buat apa, Syu. Dia dah besar. Dah boleh fikir.” Pak Itam mengulas begitu saja. Yalah, apa lagi yang hendak dikatakan?
Syuhada masih tidak berpuas hati. Dia berdiam, tetapi fikirannya ligat memutarkan sesuatu. “Pak… bapak kenal tak dengan pak cik tua buta yang Abang Faqih selalu bagi makan depan masjid tu?”
“Hah? Pak cik tua buta mana pulaklah ni, Syu?” Pak Itam nampaknya kepelikan  benar mendengar soalan anaknya.
Syuhada mengherotkan bibir. “Oh, bapak tak tahulah ya? Hmmm… abanglah ni, setiap petang dia bagi makan kat pak cik tua tu! Tak tahulah… nak kata pak cik tu pengemis, baju dia tak nampak macam pengemis pun. Lepastu, waktu petang-petang aje pak cik tu muncul kat depan masjid tu. Hmmm… ingatkan bapak tahu.” Wanita itu berpeluk tubuh pula. Otaknya terus ligat berkefikiran.
“Jap, jap. Masjid mana ni?”
“Lah… masjid mana pulak, pak? Masjid As-Salam lah! Masjid tempat abang jadi imam tu!” Syuhada menggeleng kepala. Bapak, bapak… penat-penat dia berbicara panjang tadi, rupanya Pak Itam masih ‘tertinggal’ jauh di belakang!
“Owh… abang kamu bagi makan? Hmmm… dia nak buat pahala agaknya. Biarlah dia.” Pak Itam seperti biasa… malas hendak mengulas panjang.
Syuhada merengus. Bapanya relaks saja, tapi entah kenapa dia beria-ia benar hendak memikirkan hal abangnya itu!
Setelah suasana sepi berlangsung agak lama, kedengaran bunyi kuakan daun pintu dari salah satu bilik tidur rumah kampung itu, menandakan ada seseorang yang sudah keluar.
“Bapak, Syu…” Faqih yang mungkin sudah selesai beribadah itu menegur kedua-dua mereka yang sedang membuat hal sendiri di ruang tamu.
Perhatian Pak Itam dan Syuhada lekas beralih kepada anak muda yang kini sudah duduk di salah satu sofa ruang tamu itu.
“Ha, Faqih… buat apa kat dalam bilik tadi?” Sengaja Pak Itam bertanya walaupun dia memang sudah tahu.
Faqih membulatkan mata. Tidak sangka pula Pak Itam akan bertanyakan soalan itu! “Errr… Faqih buat solat sunat sikit.”
Pak Itam terangguk-angguk lagi. Matanya masih tidak lari daripada pembacaannya. Nampaknya dia betul-betul menghayati apa yang sedang dibacanya.
“Syu, termenung apa tu? Tembus pandangan nampak!” Faqih menegur sinis adiknya yang dari tadi tidak bersuara itu. Walhal bukannya sedang melakukan apa-apa kerja pun. Mengelamun di sebelah Pak Itam dengan mata yang tidak berkelip.
Syuhada tercengang-cengang. Namun cepat saja dia tersenyum selepas itu. “Syu tengah bayangkan makan Durian Crepe. Hummm… sedapnya!” Tertutup-tutup mata wanita itu, menggambarkan betapa sedapnya Durian Crepe yang sedang bermain di mindanya.
Terangkat sebelah kening Faqih. Erkkk? Mengelamun tentang Durian Crepe?
“Abang, abang tahu tak buat Durian Crepe? Syu mengidamlah. Nampak macam sedap!” Syuhada sudah ‘pandai’ membuat permintaan pula!
“Hmmm… Durian Crepe ya?” Faqih menyapu-nyapu dahinya. Macam-macamlah adiknya ini!
“Alahhh… kalau ketupat boleh buat, takkanlah Durian Crepe abang tak reti kan? Durian Crepe lagi senang rasanya. Main balut-balut aje. Hehe…” Tersengih-sengih macam kerang busuk si Syuhada. Membodek si abanglah tu!
“Oh… hoho… senang ya? Main balut-balut aje? Ha, meh sini, abang balut Syu pulak! Hmmm… Syu, Syu. Abang memang tak tahulah. Tapi kalau Syu bagi resepi, insya-ALLAH abang boleh buat kut. Kenapa tak beli aje?” Meletus juga tawa Faqih melayan ragam adiknya itu.
“Alaa… memanglah boleh beli. Tapi buat sendiri lagi sedap kan? Lagi-lagi kalau abang yang buat. Abang dengan bapak kan ‘chef’ dalam rumah ni!” Syuhada terus merayu. Beria-ia dia mahukan Durian Crepe. Ah, air liurnya kecur tiba-tiba!
“Yalah, nanti abang Google resepi. Lepastu abang buatkan untuk Syu.” Faqih mengiakan juga permintaan si adik. Walau yang sebenarnya, dia juga teringin hendak makan Durian Crepe. Semuanya semenjak beberapa hari lepas, Taufiq membawa pulang enam keping Durian Crepe ke rumah mereka. Kata Taufiq, teman wanitanya yang belanja. Dan yang paling sadis… lelaki itu tidak mahu berkongsi langsung Durian Crepenya dengan si Faqih dan Hakimi. Telan liur sajalah kedua-dua jejaka tersebut akhirnya.
Faqih sempat mengelamun tentang kisah yang berlaku antaranya dengan Durian Crepe.
“Abang termenungkan siapa?” Sergah Syuhada. Perasan saja yang abangnya itu termenung!
Lekas Faqih menggeleng. Hai, penangan Durian Crepe…
“Tak ada apa-apalah, Syu. Errrmmm… abang sebenarnya nak bagitahu keputusan abang tentang hal Nana.” Terus Faqih menyuarakan hal yang ingin diperkatakannya semenjak tadi.
Pak Itam yang dari tadi diam membatu terus menutup buku yang dibacanya. Nah, berjaya juga perhatiannya dialihkan! “Ha, kamu dah ada keputusan, Faqih?”
Faqih diam seketika… lalu mengangguk. “Ya, pak. Faqih dah ada keputusan.”
“Errr… macam mana?” Syuhada sudah tidak sabar-sabar hendak mengetahui. Entah kenapa dia pula yang terlebih berdebar!
“Sebelum tu, kamu memang dah fikir masak-masak, Faqih?” Pak Itam masih menginginkan kepastian.
Nafas yang agak dalam dihela. Faqih tunduk seketika sebelum memandang wajah Pak Itam dan Syuhada bersilih ganti. “Insya-ALLAH, Faqih dah fikir masak-masak.”

SEPERTI biasa, petang itu Faqih dan Syuhada mengisi masa dengan beriadah di sebuah taman tasik yang terdapat di ibu kota. Dua pusingan mengelilingi tasik tersebut sudah cukup membuatkan mereka termengah-mengah.
“Hummm… okey, Syu dah penat. Jom duduk!” Syuhada yang sudah berpeluh-peluh tidak sanggup hendak membuat pusingan mengelilingi tasik itu lagi.
Faqih yang sedang berlari-lari setempat berhenti serta-merta. “Aik, baru dua pusingan dah penat ke?” Sinisnya.
Syuhada merengus. Peluh yang semakin merembes di dahi dilap-lapnya dengan tuala yang tersangkut di batang leher. “Dua pusingan tu dah cukup jauhlah, bang. Tasik ni bukannya kecik. Dahlah, bang. Jom duduk!” Keluhnya.
“Hmmm… yalah.”
Seketika kemudian, Faqih dan Syuhada mengambil tempat duduk di bangku kosong yang berdekatan. Sementara itu, sempat mereka membuang pandang ke arah tasik yang terbentang di depan mata. Sesekali pandangan mereka diganggu oleh lintasan manusia yang turut berjoging di taman tasik itu. Walau apapun, suasananya tetap nyaman…
“Mana dia, Syu?” Soal Faqih setelah agak lama menenangkan diri.
Syuhada tidak terus menjawab soalan itu. Sebaliknya dia tertinjau-tinjau seketika memandang sekeliling. “Lepas ni sampailah agaknya. Hmmm… abang memang dah buat keputusanlah ni?”
Faqih mengangguk saja.
“Hai… kesian dia. Mengharap bertahun-tahun, satu habuk pun tak dapat!” Syuhada menggeleng-geleng kepala. Nampak macam kesal.
“Humhum… kenapa? Syu nak ke dia jadi kakak Syu?” Faqih menangkap nada kesal pada getusan adiknya itu.
Syuhada mengangkat kening. “Kalau abang nakkan dia, Syu tak ada masalah. Dia okey apa. Cantik, pandai. Syu pernah rasa dia masak, sedap!”
Faqih menundukkan kepala. Jawapan adiknya itu tidak langsung mengundang keceriaan pada mimik mukanya. “Abang belum bersedia lagilah, Syu.”
“Laaa… kenapa tak bersedia pulak? Abang kan dah ada semuanya. Umur abang pun bukannya muda sangat.  Dah masuk dua puluh tujuh pun. Sesuai sangat kalau nak kahwin. Bapak pun asyik sebut benda yang sama aje!” Omel Syuhada, membidas alasan abangnya itu yang memang dipakai semenjak azali lagi setiap kali ditanyakan soal kahwin.
Tawa Faqih tiba-tiba meletus. “Amboi, pandai dah mengata abang ya? Eh, untuk lelaki macam abang, umur dua puluh tujuh tu kalau belum kahwin biasalah. Lainlah kalau Syu, memang dah jadi anak dara tua.”
Syuhada membulatkan mata. Ah, abangnya ini memang sengaja mencari peluang untuk memain-mainkannya! “Abang ni… Syu tengah cakap pasal abang. Abang sengaja lari topik kan? Eiii… geramlah dengan abang ni!” Wanita itu berpeluk tubuh sambil membuat bibir muncung itik.
“Eleh, nak merajuk pulak! Patutlah abang tengok muka adik abang ni makin hari makin banyak kedut, rupanya asyik nak marah aje. Hihi…”
Syuhada menjeling abangnya itu. Amboi, main kasar nampak!
“Dahlah, Syu. Abang minta maaf. Abang gurau aje. Syu memang cantik, nanti Syu menyesal tiada guna…” Mengekek-ngekek lelaki itu ketawa ketika menyanyi di penghujung ayatnya.
Syuhada melopong seketika mendengar lagu yang abangnya nyanyikan itu. Macam pernah dengar… Oh, Aku Anak Kampung dari Jimmy Palikat!
“Bukannya kutidak suka sama kamu, tapi aku takut hidup kau kan sengsara. Kerna aku cinta aku lepaskan kau sama orang lain.” Nyanyian Faqih makin menjadi-jadi pula. Hai, tunjuk bakat ke, bang?
“Haishh, kenapa dengan abang ni? Melarat pulak gilanya!” Syuhada naik pelik dengan ragam abangnya yang tiba-tiba saja berperangai sebegitu. Lengan Faqih ditamparnya agak kasar. Nasib baik ketika itu tiada orang yang lalu-lalang untuk melihat ‘kegilaan’ abangnya.
“Nyanyi sekali-sekala tak salahkan, Syu?” Faqih menggosok-gosok lengannya yang ditampar agak kuat oleh si adik. Namun dia tetap cool.
“Hei ustaz ni… dia pun sibuk nak menyanyi rupanya!”
“Lah, takkan ustaz tak boleh nyanyi kut? Ramai aje ustaz-ustaz menyanyi masa ceramah! Abanglah salah sorangnya tu. Hehe…” Akui Faqih diikuti dengan sengihan. Memang hakikatnya pun yang dia suka menyanyi. Dari sekolah rendah lagi, selain tilawah Al-Quran yang menjadi acara wajibnya untuk mewakili sekolah setiap tahun, dia juga aktif dalam menyertai kumpulan nasyid dan kumpulan qasidah. Pokoknya dia memang suka menyanyi!
“Hmmm… apa-apa ajelah, bang. Eh, tu Nana!” Syuhada terbangun terus dari duduknya sambil jari telunjuk menghala ke suatu arah.
Debaran mula terasa di hati Faqih. ‘Ya ALLAH, kuatkanlah aku!’
Perlahan, Faqih bangun dari duduknya selepas itu melihat kelibat wanita itu semakin menghampiri ke arah mereka.
“Assalamualaikum Syu, errr… Abang Faqih.” Suara wanita itu sayup saja menyapa mereka dengan salam.”
“Waalaikumussalam.” Serentak suara Syuhada dan Faqih bertingkah menyahut salam itu.
“Errrmmm… Kak Nana apa khabar?” Syuhada sengaja mencari ruang untuk menutup kecanggungan masing-masing. Nak harapkan abangnya? Memanglah tidak boleh harap!
“Alhamdulillah, akak sihat aje. Errr…” Nana masih tidak mampu membendung kecanggungannya. Semuanya gara-gara lelaki itu! Yang mana, telah membuatkan hatinya tawar semenjak beberapa hari ini…
Syuhada tidak membalas. Memberi peluang untuk abangnya dan wanita itu bersuara pula.
“Kenapa abang tak boleh terima Nana?” Jerkah Nana, terus saja tanpa sebarang pembayang. Sungguh, sakit hatinya ketika emaknya memberitahukan yang lelaki itu telah menolak risikannya masih berbekas dengan luka.
Oleh sebab itu, Nana mengatur pertemuan pada petang ini. Dia tidak peduli, dia mahukan juga penjelasan daripada lelaki itu. Bertahun-tahun dia menunggu lelaki itu, kenapa pada akhirnya dia perlu kecewa juga?
Faqih tergamam. Terasa berpasir air liurnya untuk ditelan mendengar soalan wanita itu. “Errr… saya, saya belum sedia.”
Nana mengeluh. “Lama Nana  tunggu abang. Sampai hati abang buat Nana macam ni!”
“Saya tak pernah paksa awak tunggu saya.” Kali ini, Faqih agak bertegas. Dia sudah letih sebenarnya berhadapan dengan wanita yang tidak pernah ‘memahami’ alasan yang selalu diutarakannya selama ini.
Syuhada hanya mampu menjadi pemerhati. Tidak mahu menyampuk di mana-mana bahagian. Biarlah mereka menyelesaikan masalah mereka sendiri…
“Nana, fahamlah saya. Saya tak mintak awak tunggu saya. Awak carilah orang lain yang lebih baik dari saya,” lanjut Faqih melihatkan Nana hanya diam membatu.
Nana masih tidak membalas. Cuma, bening matanya yang nampak berkaca-kaca.
Dari jauh, wanita itu terus memerhati…
Khalisah tersenyum sendiri. Hari ini dia ke sini lagi. Kenapa? Kerana sengaja…
Khalisah tahu di mana jejaka bernama Faqih itu akan berada pada setiap petang minggu. Oleh sebab itu, dia ke sini. Walaupun dia tahu ada wanita lain yang turut bersama-sama Faqih, tetapi dia tidak kisah. Lagipun, dia kan sudah bertunang? Sememangnya segala harapannya telah musnah…
Sudah dikatakan yang dia memang sengaja… bermakna dia memang sengaja hendak melihat lelaki itu pada petang-petang begini. Walau tanda tanya tentang dua orang wanita yang sedang berbual dengan jejaka itu masih menghantui…
‘Siapa mereka?’ Soalan itu terus berlegar-legar di mindanya.




11 comments:

Anonymous said...

mesti khalisha cmbru nanti..

Anonymous said...

jeng3x....cinta dah berputik...huhu....xsabar nak bc episod seterusnye huhuhu

Anonymous said...

yup..x sbar nak tau sambungannya..

Anonymous said...

Waaaa!!! citer semakin menarik.. harp next n3 cepat yer akak.. ^_^v

Anonymous said...

Peminat durian crepe ye?? asyik sebut sebut je dari tadi...ehehehe (kalau dapat makan durian beshh gak nih!!) :D

Anonymous said...

smakin lame smakin syok la crite ni... Smbung lg ye kak crite ni ...hehe

Anonymous said...

best cite ni, bla novel ni nk kua?

Izzah Haneefa said...

terima kasihh semua. editor beritahu saya haritu masih dlm penilaian. huhu.. kalau diikutkan hati memang nak terbitkan awal. tapi keputusan smua pd editor... buad masa ni kita berdoalah sama2 ye :)

Anonymous said...

best citer ni, saya lebih tertarik dengan Adriana dan Hakimi.Agak2 ada tak citer pasal 2 watak ni dengan Izham...??

Anonymous said...

saya rasa bab ni pendek . boleh panjangkan ckit?

obat penyakit jantung said...

menarik sekali cerita ini...sukses saja...