BAB
7
TERASA
ada
ketenangan yang mengalir sebaik tiba di halaman rumah itu. Di situlah di mana
dia banyak belajar. Di situlah dia banyak mengenal erti kehidupan. Di situlah
‘pusat tarbiah’ yang paling istimewa dan bermakna baginya.
Faqih menongkat motosikal
buruknya. Buruk? Tidaklah buruk sangat. Motosikalnya masih mampu berjasa
membawanya ke sana ke sini. Sesuka hati saja kata motosikalnya buruk!
“Assalamualaikum, pak.”
Salamnya disebarkan dengan nada suara yang cukup tenang. Beserta senyuman ikhlas
buat lelaki tua yang sedang leka menganyam ketupat di pangkin rumah kampung
itu.
Lelaki tua yang asyik
dengan kerja menganyamnya sehingga tidak sedar ada motosikal sudah masuk ke
kawasan rumahnya itu mengangkat muka. Kaca matanya dibetul-betulkan memandang
anak muda di hadapannya itu. “Waalaikumussalam, Faqih! Ya ALLAH, kenapa tak
bagitahu kau nak balik, nak?”
Faqih mendepangkan
tangan, menyambut huluran dakapan Pak Itam, bapanya itu. Agak lama. Mungkin
sedang melepaskan rindu. Walhal tempat tinggal mereka bukannya jauh mana pun.
“Saja tak nak bagitahu.
Biar bapak terkejut! Hehe… kan hari tu bapak cakap hari sabtu ni ada program
‘sembelih’? Mestilah Faqih kena datang… Faqih kan nak warisi ilmu bapak nanti,”
balas Faqih.
Pak Itam ketawa
terbahak-bahak mendengar celoteh anak jantannya itu. “Yalah, Faqih. Kamu
ambillah ilmu bapak. Biar benda ni jadi tradisi, jangan sampai orang dah tak
kenal apa peranan kita.” Bahu Faqih ditepuk-tepuknya lembut, isyarat supaya
bergerak masuk ke dalam rumah.
Anak-beranak itu kemudiannya
terus rancak berbual sesama mereka. Macam sudah berkurun lamanya tidak
berjumpa. Insya-ALLAH, jalinan kasih ini akan terus terpelihara di bawah
rahmat-NYA.
“Abang Faqih!” Sapa
satu suara lembut dari belakang, lantas mematikan perbualan rancak antara
kedua-dua beranak itu.
“Syuhada?” Melintas
nama itu di bibir Faqih sebaik saja dia memusing tubuh ke belakang.
“Ya, bang. Ni Syuhada,
adik abang.” Wanita yang manis berbaju kurung Kedah dan berkain batik itu
segera mendapatkan tangan abangnya lalu dikucup penuh hormat.
“Bila Syu balik?” Tanya
Faqih. Kali ini perhatiannya beralih kepada wanita yang bergelar adiknya itu.
Rasanya selepas ini mesti banyak cerita antara mereka. Maklumlah, kali terakhir
berjumpa semasa hari raya aidilfitri tahun lepas.
“Semalam. Hehe… Syu
balik pun senyap-senyap. Saja buat surprise
untuk bapak,” kata Syuhada sambil mengenyit mata kepada Pak Itam. Seronok
melihat Pak Itam, bapanya terduduk tanpa sebarang suara melihat kemunculannya
di depan pintu rumah tiba-tiba semalam. Tapi kesian juga… terjelopok orang tua
itu ke lantai gara-gara terkejut sangat.
“Bertuah punya anak!
Telefon tidak, surat tidak, Twitter pun tidak… tahu-tahu dah ada depan rumah!”
Omel Pak Itam sambil mengusap-usap pinggangnya. Mungkin menunjukkan betapa
sakitnya dia ketika terjelopok ke lantai semalam.
Jeda.
Seketika kemudian,
Faqih dan Syuhada berpandangan sesama sendiri. Wajah mereka penuh kerutan yang
menampakkan garis-garis keanehan. Ada sesuatu yang telah membuatkan mereka
berasa pelik.
“Kenapa kau orang pandang
bapak macam tu?” Pak Itam turut merasa pelik apabila melihat kedua-dua orang
permata hatinya itu memandangnya pula dengan mata yang tidak berkelip.
“Bapak cakap apa tadi?
Twitter?” Syuhada inginkan kepastian. Manalah tahu dia salah dengar agaknya.
“Haaa… kenapa? Apa
masalahnya?” Persoal Pak Itam. Hai… aneh-aneh betul budak-budak ni!
“Bapak main Twitter???”
Menekan suara Faqih, mendesak Pak Itam untuk memperakui lagi perkataan
‘Twitter’ yang disebutnya tadi. Entah kenapa susah benar dia hendak percaya
dengan kata-kata bapaknya itu.
“Laaahhh… apa yang kamu
pelik sangat ni? Ya, bapak main Twitter. Bukan Twitter je, Facebook, Instagram,
Blogger pun sama. Senang cerita, binatang yang kamu semua ada tu bapak adalah!”
Pak Itam menjelaskan dengan terperinci akhirnya. Merungkaikan kepelikan
anak-anaknya.
Pak Itam ada Instagram?
‘Fuyooo… dahsyatlah bapak!’ Faqih terpegun
seketika.
Sementara Syuhada sudah
menggaru-garu kepala.
“Janganlah buat muka
pelik sangat. Bapak bukannya tinggal dalam gua di Zimbabwe pun sampai kamu nak
terkejut beruk mak yeh dengar bapak ada Twitter,” ujar Pak Itam, cuba
meneutralkan balik emosi anak-anaknya yang masih dalam mood… ‘Oh, aku tak
percaya!’ itu.
Faqih menjongket
kening. Gua di Zimbabwe pula? Hmmm… macam-macamlah, bapak! Tapi, rasanya macam
pernah dengar ayat itu. Tetapi di mana ya?
Seketika kemudian,
ketiga-tiga mereka tertawa serentak. Sungguh asyik mereka menikmati momen
tersebut. Begitulah manisnya sebuah ukhuwah kekeluargaan yang terjalin atas
dasar yang bernama kasih-sayang.
SELESAI solat Isyak yang diimamkan oleh
jejaka bernama Faqih, alunan wirid puji-pujian kepada ALLAH yang Maha Esa
menggemakan suasana malam di dalam rumah kampung itu. Bacaan doa yang turut
diketuai oleh Faqih berlangsung dalam suasana yang agak sayu… hingga menitis
air mata tua Pak Itam. Manakala Syuhada di belakang turut mengesat cecair
jernih yang mengalir dengan hujung telekungnya.
“Allahumma amin. Amin ya Rabbal ‘Alamin.” Faqih menyelesaikan doanya.
Serentak itu, kesemua mereka menekupkan telapak tangan ke wajah. Moga-moga
ALLAH kabulkan doa mereka…
“Sedap doa yang kamu
baca tadi, nak. Dah lama tak dengar kamu baca doa.” Pak Itam masih belum mampu
membendung rasa tersentuh hatinya ketika bersalaman dengan anak lelakinya itu.
Masih kedengaran serak suaranya.
Faqih tersenyum nipis.
“Faqih pun rindu nak berjemaah dengan bapak, dengan Syu,” ucapnya sambil
berpaling ke arah Syuhada yang menanti giliran untuk bersalaman dengan abangnya
itu pula.
Setelah selesai sesi
yang penuh dengan keharuan itu, kesemua mereka menuju ke dapur, menikmati makan
malam yang dimasak spesial oleh Syuhada, satu-satunya ‘bunga’ yang tinggal di
dalam rumah itu. Hiruk-pikuk meja makan tersebut dengan gelak-tawa mereka.
Maklumlah, jarang berjumpa.
“Faqih, siang tadi Mak
Senah bagitahu bapak, dia kata Nana jumpa kamu hari tu. Hmmm… betul kamu jadi
pemandu, Faqih?” Soalan Pak Itam entah bagaimana terus mematikan keceriaan yang
telah berlangsung lama di dalam ruang udara rumah kampung itu.
Faqih memberhentikan
suapan. Kunyahannya semakin perlahan. “Ya, pak. Sekarang Faqih bekerja sebagai
pemandu Tan Sri Kamarul.” Ada rasa bersalah mengiringi kata-katanya. Namun,
kenapa patut rasa bersalah? Bukannya dia melakukan pekerjaan haram pun.
Pak Itam seperti tiada
perasaan mendengar jawapan itu. Senyum tidak, masam pun tidak. Neutral. “Kamu
memang dah fikir masak-masak dengan apa yang kamu buat, Faqih?”
Diam. Faqih merenung
pinggannya yang masih berbaki sisa-sisa nasi. Agak lama juga kesepian itu memenuhi
ruang udara.
Nafas dalam dihembus
lembat. Faqih terangguk-angguk. “Insya-ALLAH, pak. Cuma… Faqih mintak bapak
doakan supaya Faqih jumpa dengan apa yang Faqih nak cari.”
Pak Itam menjongket
sebelah kening. Seketika kemudian, lelaki tua itu mengangguk kecil. Tiada
apa-apa lagi yang boleh dikatakannya.
“Faqih,” panggil Pak
Itam.
“Ya, pak?”
Pak Itam tersenyum.
“Lepas ni tolong sambungkan kerja anyam ketupat bapak, boleh? Bapak nak
sediakan alat-alat ‘sembelih’ esok. Nak pastikan semuanya tajam… biar kawww!”
Tiba-tiba lelaki tua itu bersemangat lain macam.
Faqih terkujat sekejap.
Tadi eloklah punya berdrama, sekarang sudah tukar babak?
Syuhada yang hanya
menjadi pemerhati ragam kedua-dua lelaki yang mendapat tempat pertama di
hatinya itu pelan-pelan meleretkan senyuman setelah agak lama bermuram durja.
“BAPAK pergilah buat kerja bapak. Biar
Faqih sambung buat ketupat,” kata Faqih lalu menepuk-nepuk bahu Pak Itam.
Pak Itam mengangguk.
“Yalah. Bapak nak online dulu. Lepas
ni baru bapak buat kerja bapak. Kamu siapkan ketupat ya? Esok Mak Timah dah nak
ambik tempahan dia.”
Faqih mengherotkan
bibir. Bapak nak online? Apa-apa
ajelah, pak!
Seketika kemudian,
bayangan Pak Itam menghilang ke dalam rumah. Mungkin dia mendapatkan komputer
ribanya dan online seperti yang
diperkatakannya.
Tinggallah Faqih yang
masih kebingungan di pangkin rumah kampung itu. Namun dia hanya mengangkat bahu
selepas itu. Biarlah bapak… dia pun mahu mengikut arus pemodenan. Ceh!
Diiringi lafaz
basmalah, Faqih bersila di pangkin rumah itu. Sebilah pisau diambil beserta
sehelai daun kelapa. Tugas Pak Itam yang mungkin kini sedang ber-Twitter
disambungnya semula.
“Abang.” Ada suara
lembut mengiringi usikan pada bahunya.
Faqih menoleh sedikit.
“Syu? Tak tidur lagi?”
Syuhada mengetap bibir.
Tiada sebarang jawapan… wanita itu terus duduk di sebelah Faqih, memerhati
lagak Faqih yang ligat menganyam daun kelapa untuk dijadikan sarung ketupat
itu. Ya, dia akui. Faqih memang hebat menganyam ketupat. Cakaplah apa jenis
ketupat pun. Ketupat sate, ketupat bawang… segalanya. Semuanya diwarisi
daripada kepakaran Pak Itam.
“Aik, kenapa termenung
kat pangkin ni Syu? Syu pergilah tidur. Penat baru balik dari Istanbul mesti
tak hilang lagi kan?” Tegur Faqih, memandangkan suasana hanya sepi tanpa
sebarang bunyi.
Syuhada menarik nafas
dalam. Bukan tidak mahu bersuara… cuma mindanya sedang ligat mencari sesuatu
untuk diutarakan. Ya, ada sesuatu sebenarnya yang mendesak-desak fikirannya
dari tadi. “Errrmmm, Abang Faqih…”
“Cakaplah, Syu. Tak
payah nak malu-malu. Abang dengar.” Faqih menekankan sikit suaranya. Cuba
memberi keyakinan kepada Syuhada untuk berterus-terang. Daripada tadi suara
gadis itu asyik tersangkut saja.
“Abang… kenapa abang
jadi diri abang yang sekarang?” Persoal Syuhada akhirnya.
Namun, persoalan itu
belum cukup untuk memberi gambaran yang jelas kepada Faqih untuk memahami
maksudnya.
“Abang tak faham.”
Faqih memberhentikan tangannya yang ligat menganyam. Wajah Syuhada yang tetap
biasa-biasa itu dipandangnya dengan pandangan orang yang tidak mengerti.
“Maksud Syu… kenapa
jadi pemandu? Syu tak faham kenapa abang…”
“Syu… abang tahu apa
yang abang buat.” Faqih pantas memintas percakapan Syuhada yang semakin
bertalu-talu. Dia sudah menjangkakan apa yang bakal diperkatakan oleh Syuhada
dan… dia sudah awal-awal menegaskan pendiriannya kepada wanita itu.
Syuhada mengerutkan
dahi. Kepalanya menggeleng perlahan. “Abang… hmmm… memang selama ni abang tak
pernah rasa ke macam mana rasanya bersyukur tu? Habis… hmmm… Syu tak faham
macam mana pemikiran abang sebenarnya.” Susah wanita itu hendak melanjutkan
bicaranya. Dia bingung memikirkan hal abangnya yang… agak sukar dijangkakan
itu.
Faqih tersenyum. “Abang
cuma nak lebih merasai bagaimana rasanya bersyukur tu, Syu. Memang orang takkan
faham. Tapi… inilah cara abang. Syu jangan risau ya? Lagipun setakat ni apa
yang abang buat semuanya kerja halal.”
Syuhada
menggaru-garukan kepalanya yang ditutupi tudung berwarna biru itu. Tiada apa
yang hendak diperkatakan lagi…
“Syu tak nak tolong
abang anyam ketupat ke?”
“Hah? Anyam ketupat?
Manalah Syu reti, bang. Lainlah abang! Bapak bagi ilmu secara eksklusif!”
Syuhada mengelat.
“Eiii… tak malulah Syu
ni! Abang yang lelaki pun tahu anyam ketupat tau! Patutnya Syu kena tahu buat
ketupat ni. Ni warisan turun-temurun. Rugi kalau Syu tak belajar,” usik Faqih,
lebih hendak lari daripada tajuk asal perbincangan mereka sebenarnya.
Syuhada mencebik lalu
memeluk lutut. “Meluatlah abang ni! Abang, abang tak malu ke anyam ketupat ni?
Abang tak takut ke ‘kemachoan’ abang hilang bila buat kerja ni? Macam mana
kalau… Nana nampak? Hehehehe…”
Faqih mengangkat
sebelah kening. “Nana? Haha… Syu ni apalah! Dia dah lama tahu abang pandai
anyam ketupat. Sebab ketupat abang nilah dia gila bayang kat abang. Hmmm…
macam-macam.” Nafas panjang dilepaskan. Segala gelagat Nana, anak Mak Senah
yang cuba mencuri hatinya selama ini terimbas kembali di benak.
“Errrmmm… abang tak nak
kasi peluang pada Nana ke? Syu tengok dia tu beria-ia nak kat abang. Lama dia
tunggu abang daripada belum habis sekolah, sampai dah grad pun sekarang. Takkan abang tak nak buka ruang pada dia
langsung?” Sepertinya Syuhada lebih bijak menggunakan peluang itu untuk masuk
ke topik lain yang mana… lebih membuatkan fikiran Faqih sesak.
“Abang tak pernah minta
pun semua tu. Siapa suruh dia tunggu abang? Hmmm… jujur, abang tak nakkan dia.
Puas dah abang nasihat dia supaya cari orang lain. Tapi… entahlah,” ujar Faqih.
Tangannya terus ligat menganyam. Malas hendak terlalu memikirkan hal wanita
yang bernama Nana itu.
“Abang takkan tak rasa
kesian langsung kat dia?” Soal Syuhada, masih tidak berpuas hati.
“Habis, siapa pulak nak
kesiankan hati abang ni? Abang memang betul-betul tak nakkan dia. Hmmm… Syuhada
pulak macam mana? Nak pekena abang konon! Istanbul tu banyak lelaki hensem-hensem,
takkan sorang pun tak ada yang sangkut dengan Syu?” Faqih cuba memulang paku
buah keras.
Syuhada nampaknya tidak
terkesan dengan ‘serangan balas’ abangnya itu. Wajahnya tampak jujur. “Syu
pergi Istanbul tu belajar, bang. Bukannya nak menggatal cari lelaki. Syu pergi
sana pun kena taja, takkanlah Syu nak hangat-hangat tahi ayam aje?” Syuhada
membalas geram.
AWAL-AWAL pagi setelah selesai solat
subuh lagi Khalisah sudah menyiapkan dirinya. Kebiasaannya pada waktu-waktu
cuti begini, dia akan menghenyakkan semula badannya ke tilam selepas bersolat
subuh. Tetapi hari ini dia punya temu janji.
“Lisa nak pergi mana
pagi-pagi ni?” Tegur Puan Sri Lydia yang kebetulan bertembung dengan anak
gadisnya itu ketika keluar dari bilik.
“Lisa nak teman Zurina.
Dia nak bawak anak dia ‘sembelih’ kat Langat sana. Cara tradisional. Hehe… tu
yang Lisa nak ikut. Nak ambil gambar banyak-banyak,” jawab Khalisah sambil
mengangkat sedikit kamera Eos 650d yang tergantung di lehernya.
Puan Sri Lydia Lydia
mengerutkan dahi. “Sembelih? Dia nak sembelih anak dia ke???” Polos benar
wanita berada itu bertanya.
“Hah? Bukan macam
tulah, ma. Maksudnya, Zurina nak bawak anak dia berkhatan. Berkhatan, bersunat
tulah, mama. Cara tradisional,” terang Khalisah. Tidak sangka pula mamanya
tidak dapat pick up maksud ‘sembelih’
yang dikatakannya itu.
Puan Sri Lydia hanya
terangguk-angguk selepas itu.
“Ma, papa dah bangun?” Khalisah
berbasa-basi. Memang dia sengaja mengambil peluang itu untuk beramah sebentar
dengan mamanya. Kerana selama ini mamanya itu memang sibuk betul dengan
aktiviti-aktiviti luarnya… Oleh sebab itu peluang ini tidak akan disia-siakan. Datang
kerinduan Khalisah untuk bermanja-manja dengan mamanya.
“Ada kat dalam. Tidur
lagi. Lepas ni dia ada appointment dengan
siapa entah… tahulah dia bangun sendiri,” balas Puan Sri Lydia sambil
memuncungkan bibir ke arah pintu biliknya yang terkatup rapat.
“Owh… Ermmm… Mama dah
solat?” Khalisah memberanikan diri mengisi ‘ruang kekosongan’ itu.
Puan Sri Lydia tidak
bereaksi. Wajahnya biasa-biasa saja menerima soalan yang agak ‘mengujinya’ itu.
“Nanti mama solatlah ya? Hmmm… Lisa tak nak sarapan dulu ke sebelum pergi ni?
Suruhlah Mak Yah buatkan apa-apa dulu. Nanti perut kosong, sakit pulak.”
Khalisah menggeleng
perlahan. Dia sudah agak… mamanya akan berusaha mengubah topik lain. Namun, dia
tidak akan berputus asa. Dia tahu, suatu hari nanti pasti doanya akan
dikabulkan. “Tak apalah, ma. Nanti Lisa makanlah dengan Zurina kat mana-mana.
Tapi… tiba-tiba terasa pulak nak makan Thosai Mamak Kerek tu. Makan kat situlah
kut. Hehe…” Sengihnya. Daripada tadi asyik tersengih saja anak dara itu. Sudah
macam kerang tengik pula!
“Hmmm… Lisa ni suka
sangat dengan masakan mamak! Entah-entah menantu mama nanti pun mamak agaknya,”
sinis nada Puan Sri Lydia.
Terkebil-kebil Khalisah
mendengar usikan mamanya. “Ma! Janganlah cakap macam tu. Lisa suka pergi kedai
mamak sebab servis dia cepat. Punggung ni belum kena kerusi lagi, pelayan dia
dah datang mintak order. Tapi tak
adalah sampai Lisa nak cari laki mamak jugak. Mama ni tak baiklah. Huhu… mama
nak ke muka cucu mama nanti macam Abishek Bachchan?”
Berderai juga tawa Puan
Sri Lydia mendengar keletah anak gadisnya yang tidak pernah berubah mulutnya
itu. Bila sudah bercakap, memang tiada brek. Main gear lima saja!
“Lisa, mama doakan
supaya Lisa dapat lelaki baik, yang mampu jaga anak mama yang comel-comel gitu
ni macam mana mama yang jaga daripada kecik dulu, sampai dah besar mengembang
ni. Okeylah, mama doakan dia bukan mamak. Mintak-mintak dia orang Jawalah!” Puan
Sri Lydia ketawa lagi. Tidak puas-puas
mengenakan si anak.
“Mama! Kenapa orang
Jawa pulak ni? Huaaa… tak maulah.” Kelat muka Khalisah mendengar doa mamanya.
Nanti betul-betul jadi macam mana? Tak pasal-pasal ada Pak Joko kedua dalam
rumah ni nanti!
“Yalah, yalah. Mama
doakan Lisa dapat suami yang macam Lisa nak. Mama tak kisah sebenarnya.
Asalkan, Lisa bahagia,” ucap Puan Sri Lydia.
Khalisah membulatkan
kelopak matanya. Suami yang macam dia mahukan? Dia mahukan imam muda… oh,
harap-harap termakbullah doa mamanya!
“Sayang mama!” Pantas
Khalisah memeluk erat tubuh Puan Sri Lydia yang tercanguk-canguk dengan
perlakuan spontan anak daranya itu.
SELESAI menikmati sarapan pagi di
Restoran Mamak Kerek, Khalisah dan Zurina, rakan juga sahabat sehidup semati Khalisah
bergerak menuju ke kereta. Langkah mereka pantas kerana program berkhatan yang
disertai oleh anak lelaki Zurina akan dimulakan pada jam sembilan pagi.
“Haikal dah sedia?”
Tanya Khalisah. Kanak-kanak lelaki yang duduk di seat belakang Polo Sedannya itu dikerling melalui cermin pandang
belakang yang tergantung.
“Haikal dah sedia,
auntie. Tapi Haikal takut!” Jujur si Haikal yang leka bermain dengan kereta
mainannya seorang diri itu berkata.
Zurina tersenyum nipis.
“Haikal jangan takutlah ya, sayang? Alaahhh… bersunat macam kena gigit semut
api aje,” pujuk si ibu.
Khalisah mengerutkan
dahi. Dijelingnya pula Zurina yang duduk di sebelahnya. Kena gigit semut api
bukan sakit ke?
“Hmmm… Kalaulah Haziq
ada lagi…” Sayup-sayup suara Zurina yang agak lirih. Ada sesuatu yang mengetuk
kotak memorinya sebaik menyebut nama itu.
Khalisah terkesima.
Lagi sekali rakan baiknya itu dikerling. “Zue, ALLAH lebih sayangkan dia.
Redhalah Zue.” Itu sahajalah yang mampu dikatakannya.
Zurina mengangkat muka.
Sepasang matanya mula berkaca namun bibirnya sedaya upaya mempertahankan
sebaris senyuman. Dia tidak mahu luka itu menjadi lebih dalam. “Tapi kalau
Haziq ada sekarang… boleh dia temankan anak dia, Haikal lepas ni.”
Khalisah tidak mampu
bersuara untuk membalas. Dia takut kalau kata-katanya akan menambah keperitan
kepada perasaan rakan baiknya itu. Sungguh dia tahu betapa hebatnya penderitaan
yang dihadapi oleh Zurina. Kehilangan Haziq, arwah suaminya gara-gara ditikam
oleh perompak ketika rumah mereka di pecah masuk enam tahun lepas cukup memberi
luka yang cukup bernanah buat Zurina. Tambah-tambah pula ketika itu, Zurina
baru saja melahirkan Haikal yang hanya berusia beberapa hari. ALLAH… sungguh
berat ujian yang perlu ditempuhnya!
Ruang udara di dalam
kereta itu kembali sepi. Masing-masing melayani fikiran sendiri. Sesekali
kedengaran suara keletah Haikal membunyi-bunyikan kereta mainannya.
MERIAH suasana di dewan orang ramai itu
dengan hiruk-pikuk budak-budak lelaki yang akan ‘masuk jawi’ selepas ini.
Bermacam-macam riak dan ekspresi terpancar pada wajah comel mereka. Ada yang
belum apa-apa lagi sudah menangis. Ada yang diam membatu, takutlah agaknya tu.
Ada yang control macho, boleh
gelak-gelak lagi dengan kawan-kawan lain. Elehhh… dalam hati sebenarnya takut
tu!
“Faqih, kamu tolong
bagikan ubat ni pada budak-budak tu,” arah Pak Itam sambil menghulurkan plastik
yang berisi ubat tahan sakit untuk kanak-kanak yang akan masuk jawi nanti.
Faqih menerima huluran
tersebut. Lantas dia menuju ke arah kumpulan kanak-kanak yang sedang asyik
dimandikan oleh pegawai bomba yang dipanggil khas oleh jawatankuasa kampung
itu. Telatah mereka cukup menghiburkan hingga dia tertawa sendiri.
Selesai upacara mandi
‘berjemaah’, kanak-kanak tersebut mula ditanggalkan pakaian oleh ibu bapa masing-masing. Tinggallah hanya kain
pelekat yang membaluti pinggang mereka.
“Abang bagi anak abang
makan ubat ni ya? Ni untuk tahan sakit,” beritahu Faqih kepada salah seorang
bapa yang asyik memujuk anak lelakinya yang tidak mahu berhenti menangis itu.
Takut sangat agaknya.
“Haaa, yalah. Terima
kasih. Umar, makan ubat ya, nak?” Pujuk si bapa sambil mengusap-usap kepala
anaknya.
“Adik, adik makan ubat
ni, insya-ALLAH lepas ni tak sakit. Lelaki tak boleh takut sakit, dik.” Faqih
cuba mengambil peluang memujuk. Kesian melihat si bapa memujuk tidak menjadi.
“Nanti Umar punya tak
ada, Umar nak kencing pakai apa???” Jerit kanak-kanak yang mungkin berusia tujuh
tahun itu. Agak kuat juga sehingga menyebabkan ‘jangkitan’ kepada budak-budak
lelaki lain untuk turut sama menangis. Tangisan demi tangisan mula menggemakan
ruang di dalam dewan itu.
Si bapa tepuk dahi.
Macam mana nak terangkan ni?
Faqih menjongket
sebelah kening. Namun, seketika kemudian ketawanya meletus perlahan. Lucu
sebenarnya!
“Adik,” Faqih
mencangkung, mengadap wajah kanak-kanak yang masih berendam air mata itu.
Kepala itu diusap-usapnya.
Si kecil itu
menggosok-gosok mata, namun pelan-pelan Faqih menurunkan tangannya.
“Adik, nanti tok mudim
tak potong adik punya semua. Sikit aje, dik. Nanti, bila adik kencing, tak
adalah kotor bila dah potong sikit tu. Lepastu boleh dah jadi imam. Adik tak
nak jadi imam? Hmmm… nama adik Umar ya? Sepatutnya Umar kena berani, Umar kena
kuat, Umar kena garang, garang macam Saidina Umar, sahabat nabi. Baru boleh
tolong orang Islam,” pujuk Faqih lembut. Tidak ubah seperti seorang ayah
memujuk si anak.
Umar memperlahankan
tangisannya. “Umar boleh jadi imam?”
“Ya. Umar boleh jadi
imam bila dah sunat. Jadi, jangan takutlah ya?” Faqih mengiakan. Seketika
selepas tangisan kanak-kanak itu semakin reda, Faqih berdiri semula lalu
mendapatkan kanak-kanak yang ke seterusnya untuk diberikan ubat.
Sehinggalah…
“Eh, Faqih?” Suara itu
menegur agak kuat. Mungkin dia terkejut.
Faqih
mengkebil-kebilkan biji mata. “Errr… Khalisah? Bbbuat apa kat sini?” Tergugup-gagap
dia bersuara. Tidak jadi dia hendak menghulurkan pil penahan sakit di
tangannya. Kanak-kanak lelaki yang hanya diam di sebelah Khalisah itu
dijelingnya.
‘Khalisah sudah ada
anak? Bila pula dia kahwin? Kenapa aku tak tahu?’ Berdesis-desis hati Faqih.
Bercampur debaran.
“Lisa, kau nak pergi
ambik gambar, pergilah. Aku jaga Haikal.” Datang seorang wanita menghampiri
mereka.
“Mama… Haikal takut!”
Barulah budak kecil yang diam itu bersuara melihat wanita yang baru muncul itu.
Faqih tersenyum. Lega
mengetahui yang Khalisah belum berkahwin. Aik, kenapa pula dia yang rasa lega
ya?
“Kak, ni ubat tahan
sakit. Bagi anak akak makan.” Faqih tidak teragak-agak lagi memberikan ubat di
tangannya kepada wanita yang baru muncul itu.
“Okey. Terima kasih,”
balas wanita itu.
Sementara Khalisah
masih terpempan. Kenapa boleh terjumpa pula dengan si Faqih ini di sini? Lagi
dia hendak cuba melupakan lelaki itu, lagi muncul pula dia!
Faqih mengetap bibir.
Tanpa sebarang suara, dia meninggalkan saja wanita itu. Ya ALLAH… hatinya diuji
lagi!
SEORANG demi seorang kanak-kanak berjaya
melepasi ujian ‘pertama’ mereka untuk menjadi ‘lelaki sejati’. Pak Itam memang
handal. Dalam masa setengah jam, dia sudah berjaya mengkhatankan semua
kanak-kanak yang terlibat dalam program khatan beramai-ramai itu.
Khalisah pula sibuk
menghalakan lensa kamera DSLRnya. Kejap ke kiri, kejap ke kanan. Tidak betah
dia bergerak. Sememangnya dia amat berminat dengan apa yang dilakukannya ini.
Kamera sudah diibaratkan sebagai ‘suaminya’ yang nombor dua!
Jadi, siapa suami
pertamanya? Biarlah misteri…
Riuh kanak-kanak masih
belum reda. Ada yang dari awal memang senyap, tidak kurang juga yang masih
menangis. Maklumlah, berkhatan secara tradisional.
Khalisah mengeluh
perlahan. Barulah dia terasa penat mengangkut kameranya ke sana ke mari. Dari
jauh dia hanya memerhati Zurina memujuk anak lelakinya yang masih menangis
setelah beberapa minit dikhatankan. Biarlah… dia malas mahu kacau.
Khalisah keluar dari
dewan tersebut. Skrin kameranya diperhatikan. Sambil berjalan, gambar-gambar
yang diambilnya tadi dilihat satu per satu.
Bappp!!!
Hampir-hampir saja
Khalisah terduduk ke tanah sebaik tubuhnya bertembung dengan tubuh lain yang
lebih ‘sasa’ daripadanya. Kameranya juga terlepas dari tangannya, namun nasib
baik kamera itu tergantung di lehernya… kalau tidak memang sudah berderai ke
tanah!
“Euuuwwww…. Arghhhh…
Apa awak buat ni???” Khalisah separuh menjerit bercampur geli-geleman sebaik
menyedari baju mahalnya tercalit kesan darah!
Arghhhh!!!
Faqih terlongo. Pisau
yang digunakan oleh Pak Itam untuk mengkhatankan budak-budak di tangannya itu
terlepas ke tanah. Ya ALLAH… dia tidak sengaja!
“Awak ni kenapa, Faqih?
Awak tengok baju saya? Huaaaaa… boleh gilalah saya dengan awak ni!” Rungut
Khalisah. Mukanya kelat-kelat masam menangungg geli-geleman yang melanda urat
saraf. ‘Arhhhh… baju aku!’
Faqih menepuk dahinya.
Lafaz istighfar melantun-lantun di bibir. Dadanya berombak kencang… jelas
kelihatan. “SSssaya… ssaya… mmminta… maaf!” Menggigil-gigil jejaka itu
bersuara.
“Arghhhh! Awak tak
habis-habis dengan maaf awak! Heh, baju saya ni mahal tau! Awak tengok apa yang
awak dah buat? Huaaa… geli, tahu? Geli! Awak ni… Arghhhh!!!” Khalisah sudah
hilang kata-kata bagaimana hendak melepaskan geramnya. Geram! Marah! Geli!
Semuanya! Sudah banyak mata memandang adegan itu… namun, rasa sakit hati
Khalisah yang terlalu menebal tidak mampu menghalangnya untuk berhenti
menjerit.
‘Kenapalah mamat ni
suka buat hidup aku merana?’ Khalisah mengherot-herotkan bibir memandang Faqih.
Keningnya jatuh. Matanya tajam.
Faqih menggaru-garu
kepala. Dia sudah meminta maaf, namun… “Awak, saya minta maaf!”
“Ah! Maaf-maaf! Aku
sunatkan kau baru kau tahu! Huarghhhh!” Khalisah bertempik, menghamburkan
amarahnya. Sudah beraku-kau pula kini. Kata-katanya sudah tidak dijaga lagi.
Faqih terloncat sedikit
ke belakang. Terkejut dia mendengar kata-kata anak majikannya itu. ‘Ewah-ewah
perempuan ni! Berani dia nak sunatkan aku???’
Khalisah merengus.
Setelah menjerit buat kali yang terakhir khas untuk si jejaka, wanita itu
berlari entah ke mana-mana. Mungkin hendak mencuci kesan darah pada baju mahal
katanya itu.
Faqih meraup wajah. ‘Ya
ALLAH… kenapa dengan aku?’
Lelaki itu hanya
tersengih-sengih lalu mengangkat tangan sebaik terperasan ada beberapa orang
sedang memerhatikannya dengan mata yang tidak berkelip.
0 comments:
Post a Comment