Tuesday, January 8, 2013

CERPEN : SEBELUM BERSAMAMU


ADA seiras senyuman menukil di bibirnya. Pelan-pelan, lafaz tahmid diucap. Alhamdulillah… ketenangan serta-merta mengalir dalam sekeping hatinya.
“Macam mana dengan keadaan dia, doktor?” Hanan Insyirah bertanya, lebih tenang kini. Wajah lelaki yang jelas kelihatan ada lingkaran di bawah matanya itu dipandang penuh mengharap.
“Keadaan dia stabil. Cuma dia perlu banyak minum air. Errr… awak isteri dia ke?” Jelas doktor lelaki itu. Sekali gus menduga Hanan Insyirah dengan pertanyaan ‘cepu emas’ itu. Drastik Hanan Insyirah mengangkat wajah yang menunduk ke lantai. Laju dia menggeleng.
“Bukan! Saya bukan isteri dia.” Gelabah puyuh Hanan Insyirah menjawab. Isteri? Isteri kepada Muhammad Amar Hafiz? Siapa dia hendak memasang impian terhadap teruna itu?
Doktor itu tersenyum sumbing. Perlahan-lahan dia mengangguk. “Tak apalah. Apapun, nasihatkan dia supaya banyak minum air. Bahaya kalau tekanan darah terlalu rendah.”
Hanan Insyirah menahan nafas. “Baiklah, doktor. Terima kasih.”
Doktor lelaki itu mengangguk. Beberapa ketika kemudian, lelaki berkot putih itu hilang dari pandangan.
“Kak,” bahu Hanan Insyirah dicuit lembut dari belakang. Perlahan dia memusing tubuh.
“Hakim, mana kau pergi tadi?” Berkerut dahi Hanan Insyirah melihat adik bujangnya yang tiba-tiba muncul itu.
“Hakim pergi tandaslah, kak. Tak tahan. Ha, doktor dah kata apa-apa ke?” Sengih Hakim.
“Dah. Doktor kata dia okey. Kim, akak pergi dulu tau. Pesan kat dia yang doktor suruh minum air banyak-banyak. Tekanan darah dia rendah. Ha, satu lagi… jangan beritahu dia yang akak ada sekali kat sini.” Panjang berjela ‘amanat’ Hanan Insyirah.
Garu kepala si Hakim. Bertaut keningnya. “Kenapa kak?”
“Jangan tanya kenapa. Akak pergi dulu. Assalamualaikum,”
Hakim sudah tersenyum kambing. “Waalaikumussalam,”
Hanan Insyirah membuka langkah, meninggalkan Hakim  yang masih berdiri di ruang menunggu itu. Dia hanya mahu ‘melarikan diri’ dahulu sebelum Muhammad Amar Hafiz keluar dari bilik rawatan. Dia tidak mahu pun kewujudannya disedari oleh teruna itu. Dia tidak mahu…
Hanan Insyirah menghela nafas dalam.

HANAN Insyirah  menutup pintu kereta. Keluhan kecil dilepaskan. Matanya tertancap pada Mini Cooper yang terparkir di sebelah Proton Personanya itu. Perlahan-lahan dia tersenyum.
“Assalamualaikum, Julia!” Sergah Hanan Insyirah. Terduduk wanita yang sedang berbaring-baring di hadapan televisyen itu. Cemberut mukanya memandang Hanan Insyirah yang sudah tertawa perlahan.
“Waalaikumussalam, Hanan! Kau ni, bagilah salam dulu!” Sungut Julia. Jelas dia terkejut beruk disergah oleh housematenya itu.
“Eh, yang aku ucap assalamualaikum tadi tu apa?” Hanan Insyirah masih tertawa. Tiba-tiba saja dia jadi ceria lain macam. Berkerut-kerut dahi Julia.
“Kenapa kau happy sangat ni? Ha, mana kau pergi? Yana dari tadi nak jumpa kau. Tapi dia dah pergi dulu sebab kau lambat sangat. Mana kau pergi ha?” Bertalu-talu Julia melemparkan soalannya. Siaran di televisyen tidak menarik minatnya lagi. Lantas remote control dicapai lalu volume suara diperlahankan.
Hanan Insyirah melepaskan keluhan lagi. Soalan Julia dibiarkan tidak berjawab dulu. Punggungnya dilabuhkan ke sofa. Renungan  panjang dilemparkan ke luar tingkap.
“Muhammad Amar Hafiz…” nama itu meluncur perlahan di bibir Hanan Insyirah.
Serta-merta biji mata Julia membulat. Bibirnya pun ikut melebar ke tepi. Tergesa-gesa dia bangun lalu menghempukkan punggungnya di sebelah Hanan Insyirah. Teruja benar lagaknya. “Amar Hafiz? Ha, kenapa dengan dia? Kenapa? Cepat beritahu aku!”
Bahu Hanan Insyirah digoncang-goncangnya bagai nak gugur bumi dibuatnya! Hanan Insyirah tersentak. Urut dada wanita itu. “Ya Allah, Julia! Kenapa dengan kau ni?”
“Ceritalah cepat.” Julia sudah merayu-rayu lalu tersengih sendiri.
“Hmmm… masa nak balik dari kuliah, dia… dia pengsan dekat kereta dia. Kebetulan cuma aku yang ada kat situ. Tapi Jue, aku takkan langgar batas-batas agama selagi aku mampu. Aku telefon si Hakim suruh bawak dia pergi hospital. Doktor cakap dia kena hipotensi.” Perjelas Hanan Insyirah akhirnya. Lagi sekali nafas dalam dihela. Saat yang terjadi tadi masih terimbau-imbau di ingatannya. Sungguh dia memang risau benar waktu itu jika ada yang buruk-buruk menimpa Muhammad Amar Hafiz…
Julia menggeleng perlahan. Lama dia membisu sebelum bersuara. Mungkin sedang memikir apa yang sesuai untuk diucapkan. “Hanan… Hanan… patutlah happy semacam aje ya? Huhu… tapi ada ‘kureng’ sikitlah.”
“Apa yang kurangnya?”
“Patutnya kau kena bijak ambil peluang. Masa tulah kau boleh tonjolkan keprihatinan kau pada dia. Patutnya kau sendiri yang bawa dia ke hospital. Tak payah telefon si Hakim tu.  Kau tak nak ke dia perasan kewujudan kau?” Duga Julia. Sedikit sebanyak cuba membawa ‘pengaruh’ kepada rakan serumahnya itu.
Hanan Insyirah tetap tersenyum. Perlahan dia menggeleng. “Tak, Jue. Amar Hafiz dengan aku adalah ajnabi. Sehabis boleh aku cuba untuk jaga batasan dalam agama. Asalkan kau tahu, dalam hidup ni aku cuma cari redha Allah. Sekalipun dia takkan pernah tahu apa perasaan aku pada dia buat selamanya, aku tak kisah kalau itu yang Allah takdirkan untuk aku, sebab aku tahu, perancangan Allah itulah sebaik-baik rancangan.”
Julia terkedu. Walaupun sebenarnya dia sudah agak naik rimas dengan pendirian teman serumahnya itu, namun… dia tidak mampu berkata apa-apa. Hanan Insyirah tetap dengan ‘agamanya’. Sikit-sikit haram… itu tak boleh, ini tak boleh… rimas! Gerutu Julia dalam hati.
“Lantak kaulah, Hanan. Yang pastinya, kau jugak yang rugi nanti.” Omel Julia lalu bangun dari sofa yang diduduki, lantas menghilang dari pandangan Hanan Insyirah, menuju ke tingkat atas.
Hanan Insyirah tetap tersenyum. Ya, mardhatillah adalah segalanya!
“SIAPA yang jadi imam tadi?” Tiba-tiba Yana bersuara. Pertanyaan itu hanya dibalas dengan senyuman kecil Hanan Insyirah yang masih belum selesai melipat kain telekung.
“Elehh… buah hati si Hanan tulah! Amar Hafiz…” ada satu suara lain menyampuk. Drastik Hanan Insyirah menoleh mendengar suara itu. Adlina, teman serumahnya juga itu sudah mengenyit-ngenyit matanya.
“Apa yang kau orang cakap ni? Serius… aku tak suka. Aku dengan dia tak ada apa-apa pun.” Balas Hanan Insyirah. Jelas nadanya kurang senang dengan kata-kata Adlina tadi.
“Kesian kau, Hanan. Kau tak rasa seksa ke simpan perasaan macam ni? Hanan, kalau kau tak buat apa-apa tindakan, sampai bila-bila pun Amar Hafiz tak tahu perasaan kau.” Tokok Adlina lagi.
“Lina, aku tak pernah kisah dengan semua tu. Biarlah takdir Allah menentukan segalanya. Sebenarnya aku ada impian lain lepas kita graduate nanti.” Beritahu Hanan Insyirah, redup bunyinya.
“Impian apa lagi? Kahwin dengan Amar Hafizlah kan?” Teka Yana berbaur sindiran. Hanan Insyirah menghela nafas dalam.
“Kau orang… tolonglah. Jangan kaitkan aku dengan dia lagi. Hmmm… sebenarnya aku nak masuk maahad tahfiz lepas graduate nanti. Itulah impian aku dari dulu lagi, nak tiga puluh juzuk Al-Quran ada dalam ingatan aku ni sentiasa sebelum impian-impian lain menyusul.” Luah Hanan Insyirah. Tertutup-tutup matanya. Yana dan Adlina terlongo.
“Apa? Eh… kau nak hafal Quran? Eh kau sedar tak umur kau berapa?” Terjah Yana. Terkejut benar dia mendengar pengakuan Hanan Insyirah.
“Ya. Aku dah dua puluh tiga tahun. Salah?”
Adlina dan Yana berpandangan.

AMAR Hafiz menghela nafas dalam. Wajah pasangan lelaki dan perempuan yang menunduk ke bawah itu dipandang dengan kening yang berkerut seribu. “Adik percaya pada Allah?”
Pasangan kekasih itu berpandangan sebelum bersuara. “Abang tak nampak ke perkataan ‘Islam’  dalam IC tu?” Balas si lelaki dengan pertanyaannya yang agak kurang ajar.
Namun Amar Hafiz tetap bersabar. “Ya. Abang faham sekarang. Adik hanya Islam dalam IC.”
“Kurang ajar!” Bentak si lelaki tiba-tiba. Namun, lekas-lekas ditenangkan oleh Hakim turut berada di situ.
Setelah semuanya reda, Amar Hafiz menyambung lagi apa yang hendak disampaikannya. “Marah? Kenapa adik marah?”
“Abang jangan nak pertikai apa agama saya! Mak bapak saya Islam! Saya lahir dalam keluarga Islam! Saya bukan kafir laknat! Abang jangan nak perlelekehkan pegangan saya!” Lagi sekali si lelaki nak hantu. Berapi-api amarahnya. Sementara si gadis di sebelah sudah mengogoi kesedihan.
“Hum… hum… itulah masalah kita sekarang. Bila orang kata kita kafir, marah. Bila orang perlekeh agama kita, marah. Tapi kita tak sedar, sebenarnya diri kita sendiri yang perlekeh agama kita. Umat Islam sekarang hanya sensitif bila orang lain perlekeh perkataan ‘Islam’. Tapi langsung tak terkesan bila suruhan Islam diperlekeh.” Ucap Amar Hafiz panjang lebar.
Bagai termalu sendiri, si lelaki tunduk kembali dengan wajah yang merona merah.
“Adik tahu tak, berdua-duaan dalam tempat sunyi antara lelaki perempuan yang tak ada apa-apa ikatan, sama saja dengan perlekehkan hukum Allah? Adik ada rasa marah tak pada diri adik sendiri bila adik buat semua tu? Padahal jelas, adik dah perlekeh suruhan Islam.” Tokok Amar Hafiz lagi. Jelas nadanya tegas yang bukan dibuat-buat. Sehingga menggamit pasangan lelaki dan perempuan itu lebih tertunduk ke bawah. Bisu… mereka terus menikus. Mungkin masing-masing sudah disembur darah merah pada wajah mereka.
“Bila nafsu dah menguasai, iman jatuh di tangga yang akhir sekali.” Sampuk Hakim tiba-tiba. Baru kedengaran suaranya. Dari tadi dia hanya diam memerhati.
Amar Hafiz tersenyum. “Ya, sebagai manusia biasa, kita memang takkan terlepas dari buat dosa kerana kita tak maksum macam Rasulullah. Tapi ingatlah pesan Nabi kita yang satu ni, jika kamu berpegang teguh pada kedua-dua ini, nescaya kamu takkan sesat selamanya, iaitu Al-Quran dan Sunnahku… abang percaya, kalau kita betul-betul jadikan Al-Quran dan sunnah Rasulullah betul-betul sebagai cara hidup kita, kita takkan mudah terbabas. Dalam Al-Quran dah sebut, jangan hampiri zina… dan kalau adik betul-betul hayati suruhan Al-Quran tu, abang yakin adik akan fikir banyak kali sebelum buat apa yang adik dah lakukan ni.” Nafas panjang dihela setelah ucapan itu disempurnakan dari bibirnya. Amar Hafiz mengetap bibir seketika. Wajah pasangan itu ditatap penuh rasa terkilan, bimbang dan gusar… bercampur-aduk semuanya!
“Tapi kami tak berzina! Kami duduk-duduk aje!” Si perempuan yang diam dari tadi tiba-tiba menjerkah.
“Adik, faham tak maksud ‘jangan hampiri zina’? Allah tak sebut pun jangan berzina… sebab apa? Sebab Allah  tak mahu kita mula walaupun pada bibit-bibit awal perkara tu. Lihat, kasih-sayang Allah kepada kita… Dia tak mahu langsung hamba-Nya terpalit walau secebis noda. Tapi sayang, kita tak pernah nak faham ‘kasih-sayang’ Allah tu. Adik, abang cuma nak pesan, tak ada satu perhubungan yang halal antara lelaki dan perempuan dalam Islam melainkan perkahwinan. Selagi adik tak punya ikatan pernikahan, adik masih belum bebas untuk berdampingan dengan pasangan adik walaupun hanya sekadar duduk-duduk sama-sama. Ingatlah, di tengah tu sentiasa ada yang ketiga, iaitu syaitan.” Amar Hafiz terus menambah tazkirahnya dengan semangat yang tidak pernah luntur. Kerana hatinya kuat merasakan bahawa ini juga adalah tanggungjawabnya.
Tiba-tiba si perempuan teresak-esak lebih kuat dari tadi. Air mata yang mengalir lekas-lekas diseka agar tidak turun menghujani seluruh wajah. “Tapi… saya tak mampu nak tahan. Saya remaja, bang. Macam remaja lain yang ada keinginan untuk belajar apa itu cinta. Saya tak mampu nak kawal hati saya. Saya memang nak sangat ada seorang kekasih macam kawan-kawan yang lain dan nikmat bercinta tu saya dah rasa, bang. Saya tak mampu nak elak lagi.”
“Sebab itulah dalam Islam tak ada perhubungan halal yang lain selain perkahwinan. Allah tak mahu kita hidup dalam cinta fantasi, dik. Apa yang adik rasa tu cuma keinginan sementara saja, mungkin sudah bercampur dengan nafsu. Ingat dik, Allah pun dah sediakan alternatif lain untuk kita kawal hati kita. Apa alternatif tu? Tundukkan pandangan… dari situ, taklah timbul dari mata turun ke hati dan insya-ALLAH, hati kita akan sentiasa terpelihara.” Amar Hafiz terus berhujah. Pasangan itu kembali menikus. Mudah-mudahan pesanan panjang lebar tadi mampu membuka ruang minda remaja mereka yang masih keliru akan ke mana destinasi terakhir kita sebagai hamba kepada Dia yang Maha Esa… Ya, antara syurga dan neraka!
Beberapa minit berlalu, dan akhirnya pasangan lelaki dan perempuan yang masih belasan tahun itu dilepaskan pulang setelah ‘dibasuh’ dengan tazkirah Amar Hafiz tadi.
Bahu Amar Hafiz dipegang erat. “Amar, tahniah atas hujah tadi.” Ucap Hakim.
Amar Hafiz menggeleng perlahan. “Itu memang dah tanggungjawab kita, Kim. Aku tak sanggup tengok remaja sekarang dah tak kenal Tuhan sendiri…”
“Yalah, Amar. Nak salahkan dia orang seratus peratus, dia orang tu mentah lagi, masih tercari-cari arah dalam hidup ni. Sayangnya, arah yang dia orang pilih tu tak betul pulak.” Keluh Hakim perlahan.
“Arah kita hanya betul bila berpandukan ‘kompas’ Al-Quran dan Sunnah aje, Kim. Itulah masalah umat Islam sekarang. Ambil Islam sebahagian-sebahagian saja.” Amar Hafiz pula melepaskan keluhan. Berkerut-kerut dahinya memikirkan masalah umat zaman ini… yang takut-takut untuk mengamalkan Islam sepenuhnya.
“Hmmm… ha, Amar, kau tu asyik dengan kempen antimaksiat kau je, kesihatan diri kena jaga jugak. Doktor pesan suruh minum air banyak-banyak. Tekanan darah kau rendah, tahu!” Omel Hakim yang sudah masuk ke topik lain.
Amar Hafiz ketawa pula. Macam lucu benar dengan apa yang didengarinya. “Yalah, cik abang. Kau membebel, buat aku teringat kat seseorang…”
“Siapa???” Terbeliak mata Hakim.
“Mak aku,” Amar Hafiz terus tertawa perlahan.

SELESAI kuliah, Hanan Insyirah bergegas ke kafeteria untuk memenuhkan perut yang sudah ‘berdondang-sayang’. Pagi tadi pula dia tidak sempat bersarapan kerana agak terlewat bertolak dari rumah sewanya. Semuanya gara-gara lepas solat subuh tadi dia terlena sebentar. Sedar-sedar, suasana dah terang!
Dari jauh, kelihatan Julia sudah menunggu di salah sebuah meja di situ. Lantas meja itu dihampiri setelah pesanan dibuat. Tanpa dipelawa, terus Hanan Insyirah melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan Julia yang masih enak menikmati Jus Oren.
“Assalamualaikum, Jue.”
“Waalaikumussalam. Hai… lapar ke ni?” Soal Julia sambil mengangkat sebelah kening memandang makanan yang dipesan oleh Hanan Insyirah.
“Agaklah. Aku tak jamah langsung makanan hari ni.”
“Kau tidur lepas subuh buat apa? Puas aku kejut kau.”
“Mengantuklah. Aku tak tahan.” Hanan Insyirah memulakan suapan pertama setelah membaca basmalah.
Julia mengherotkan sebelah bibir. Matanya melilau sekeliling sebelum bersuara, “kau tengok sekeliling kau,”
Hanan Insyirah berhenti menyuapkan makanan ke mulutnya. Lantas dituruti saja telunjuk Julia itu. Melilau matanya memandang ke segenap inci kafeteria itu. “Kenapa?”
“Kau tak nampak orang sekeliling kau tengah syok memadu kasih? Kau tak teringin ke?” Soal Julia berterus-terang akhirnya.
Hanan Insyirah menyambung lagi suapannya. Lama dibiarkan soalan itu tidak berjawab. “Biarlah dia orang. Aku tahu, satu hari nanti Allah akan bagi yang terbaik untuk aku.”
Julia merengus. “Itu ajelah modal kau. Eh, kau tak payah hipokritlah, Hanan. Hati kau sama jugak macam hati orang lain. Tak ada sorang pun dalam dunia ni yang kebal dengan cinta.”
Hanan Insyirah tersentak. Kata-kata Julia boleh dikatakan bagai pedang yang tiba-tiba menikam kalbunya. Namun, Hanan Insyirah tetap tersenyum. “Memang. Mana ada manusia yang kebal dengan cinta! Cinta tu anugerah Allah pada semua orang. Adolf Hitler tu pun simpan gambar mak dia dalam dompet dia… kerana apa? Kerana cintalah! Cinta pada mak dia! Aku nak pesan satu pada kau, Jue. Pandanglah cinta tu dengan skop yang lebih luas. Cinta tak semestinya dikaitkan dengan kisah tautan dua hati antara lelaki dan perempuan. Yang lebih penting, sebelum kau pandang cinta yang lain, kau kena pandang cinta yang paling agung dulu. Cinta Allah dan Rasul-Nya…”
Julia merengus lebih kasar kini. Hatinya mula panas dengan kata-kata Hanan Insyirah yang baginya agak ‘kealiman’ dan ‘hipokrit’ itu. Inilah yang membuatkan dia sering bertegang urat dengan Hanan Insyirah… baginya, Hanan Insyirah terlalu hipokrit!
“Kolotlah kau ni!” Terpacul ayat itu tiba-tiba dari bibir Julia.
Hanan Insyirah terkedu.
“Betul kata Julia tu, Hanan. Okeylah, aku tahu kenapa kau boleh bercakap macam tu sekali… sebab kau tak pernah ‘merasa’. Apa kata sekali kau rasa? Aku percaya, tak ada satu pun alasan kat dunia ni lagi bila kau dah rasa macam mana nikmatnya.” Tiba-tiba datang suara asing mencelah. Hanan Insyirah menoleh sekilas. Adlina sudah tercegat di situ.
Hanan Insyirah tunduk. Kolot? Kolotnya dia kerana tidak berhubungan dengan insan yang bernama lelaki atas dasar kekasih? Walaupun itu jelas akan mendatangkan murka Allah? Begitukah?

AMAR Hafiz mengangkat brek keretanya. Keluhan panjang dilepaskan. Lekas dia menuruni keretanya. Ketika hendak menutup pintu pagar, muncul seorang kanak-kanak perempuan berbaju kurung datang menghampirinya.
“Assalamualaikum, Abang Amar,” keletah suara kanak-kanak itu memberi salam.
“Waalaikumussalam, adik ni siapa?”  Balas Amar Hafiz yang masih kepelikan melihat kanak-kanak tersebut.
“Saya Atirah. Panggil Tira je. Hehe… saya nak kasi surat pada abang.”
“Surat?” Terangkat sebelah kening Amar Hafiz.
Kanak-kanak bernama Atirah itu mengangguk. “Ni. Ada orang kasi pada abang. Saya pergi dulu, assalamualaikum!!!” Setelah diserahkan sampul surat berwarna putih itu kepada Amar Hafiz, bagai tidak cukup tanah Atirah berlari menghilangkan diri, belum sempat Amar Hafiz hendak bersuara. Terpinga-pinga lelaki itu.
“Tira, tunggu!!!” Jerit Amar Hafiz yang masih kebingungan. Namun, Atirah lebih laju membuka langkah.
Amar Hafiz melapiskan kening. Surat di tangannya itu dibelek-belek penuh tanda tanya. Dadanya berombak semacam. Kenapa ya?
Lantas sampul surat itu dikoyakkan, tidak mahu menunggu lagi. Debaran dalam hatinya sudah menggila benar. Satu per satu isi surat itu diperhati…
Assalamualaikum,
Buat Muhammad Amar Hafiz, di atas lembaran ini saya hendak coretkan segalanya untuk pengetahuan awak. Kerana, hanya ini yang termampu saya lakukan untuk memberitahu awak akan apa yang ingin benar saya mahu awak ketahui. Tiada cara lain dek rasa malu yang menebal dalam diri ini. Saya minta maaf kalau ini mungkin membuatkan awak merasakan yang saya tidak bersungguh-sungguh untuk menyampaikan hal ini kepada awak. Namun jujur, hanya ini yang saya termampu.
Sekian lama saya perhati awak dari jauh, saya mula merasakan ada rasa ‘lain’ tiap kali mata ini terperasankan kewujudan awak. Dan ya, saya tidak perlu menerangkan lagi apa perasaan itu… saya yakin awak sudah boleh mengerti sendiri.
Ketahuilah, sekarang saya tidak teragak-agak lagi untuk mengakui bahawa hati ini sudah mula terpaut pada Muhammad Amar Hafiz.
Ikhlas dari Hanan Insyirah.
Mata Amar Hafiz terus membulat meneliti setiap bait isi surat berwarna putih, bertulisan tangan itu. Kali ini dia tidak boleh menahan lagi debaran kencang di dadanya. Darah rasa macam tidak mengalir ke seluruh urat nadi.
Namun, beberapa ketika kemudian, ada senyuman perlahan-lahan terukir di bibir Amar Hafiz.

DADA Hanan Insyirah berdebar semacam. Sungguh, dia memang tidak senang duduk kini! Terkumat-kamit  dia mengatur bait zikrullah di bibir. Sesekali matanya terpejam-celik bagai menahan ‘sesuatu’ yang amat berat!
Ketukan pintu bilik menyentak perasaannya. Hanan Insyirah mengurut dada. Lemah suaranya menyuruh orang di luar memasuki saja ke biliknya itu.
“Kak,” sapa Hakim yang kini sudah duduk di sebelah Hanan Insyirah tanpa dipelawa.
“Akak takut, Kim.” Sayup suara Hanan Insyirah.
“Apa yang nak ditakutkan, kak? Patutnya akak bersyukurlah… ada jugak orang berkenan kat akak!” Sempat Hakim mengusik. Tertawa kecil lelaki itu.
Hanan Insyirah mencubit ketam lengan Hakim. Boleh pula dia ketawa pada saat-saat getir ini! “Tak baiklah kau ni, Kim! Akak takutlah… siapalah agaknya dia kan?”
Hakim menjuih bibir tak semena-mena. “Buat-buat tak tahu pulak!”
“Hanan, dia orang dah sampai!” Laung Puan Hazimah yang sudah terpacul di muka pintu.
Hanan Insyirah menahan sesak dada. Hakim sudah tersenyum-senyum sendiri. Entah apa yang menggembirakan lelaki itu saat ini? Kakaknya itu pula sudah pucat tak berdarah. Mana tidaknya… hendak jumpa bakal mertua!
Puan Hazimah menghampiri Hanan Insyirah. Lengan anak gadisnya itu dipegang erat. “Lekas, Hanan. Dia orang dah tunggu. Apapun, buatlah keputusan yang Hanan rasa terbaik buat diri Hanan.” Ucap Puan Hazimah penuh hemah seorang ibu.
Hanan Insyirah meneguk liur. Kepalanya terus dihujani tanda tanya. Siapa pula yang tiba-tiba sudi mahu menyuntingnya ini? Siapa gerangan itu?
Hanan Insyirah tiba di ruang tamu diiringi oleh Puan Hazimah. Air liurnya terasa pahit untuk ditelan. Namun… tiba-tiba dia terpana sendiri.
Amar Hafiz!!! Apa lelaki itu buat di sini?
Lutut Hanan Insyirah terasa longlai. Longlai bagai tidak bertempurung lagi. Jejaka yang bernama Amar Hafiz inikah yang telah membuka hatinya untuk memberi ruang kepada seorang gadis yang bernama Hanan Insyirah? Jejaka inikah yang memperlihatkan kesudiannya untuk menyunting Hanan Insyirah? Teruna inikah???
“Amar Hafiz, sungguh jika Allah mentakdirkan awak untuk diri saya, saya redha dengan hati yang lapang. Saya terima dengan hati yang terbuka. Lebih membahagiakan saya ialah kalau awak memang benar-benar nekad dengan keputusan awak ini dengan hati yang ikhlas. Dalam hidup ni saya tak cari yang lain, awak. Hanya redha Allah cita-cita tertinggi saya. Jadi saya bertawakal atas segala yang Dia kurniakan untuk saya kerana saya tahu, kurniaan Dia kepada saya sentiasa yang terbaik. Tapi sebelum itu Amar Hafiz… saya minta izin daripada awak, saya mahu tiga puluh juzuk Al-Quran terpasak di ingatan saya sebelum kita mengatur soal hati kita ke arah yang lebih jauh lagi.” Tenang kata-kata itu terlafaz dari bibir Hanan Insyirah. Ya, dia merasakan lagi ketenangan itu. Sungguh syukurnya saat ini tidak terucap!
Amar Hafiz menahan nafas seketika. Bersaksikan orang tuanya dan ibu bapa Hanan Insyirah, dia menutur kata… “Hanan Insyirah, jujur, saya mula rasakan perasaan ‘asing’ datang setiap kali terperasankan kewujudan awak. Lama-kelamaan saya sendiri tak mampu berselindung dengan perasaan ni… ya, saya mengimpikan untuk membawa awak bersama-sama saya melalui hidup ini. Saya mahu melangsaikan ‘hutang’ membawa awak ke syurga-Nya yang hakiki dengan iman yang ada.  Saya mahu membawa tautan hati ini ke arah mardhatillah yang agung. Dan jujurnya, saya juga ingin meminta izin… yang saya juga mahu meletakkan tiga puluh juzuk Al-Quran dalam ingatan saya sebelum kita membawa hubungan kita ke destinasi yang sebenarnya. Saya mengimpikan Al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk rumah tangga yang bakal kita bina. Sebab itu saya mahu memahami dahulu sebelum saya boleh membawa awak juga mengikuti dua pusaka Rasulullah itu. Dan juga… saya amat mengimpikan Al-Quran dan Sunnah sebagai lambang tautan hati kita, supaya cinta kita tak sesat selama-lamanya…”
Suasana hening serta-merta, sekali datang dengan kedamaian yang masuk menerpa-nerpa melalui celahan hatinya. Hanan Insyirah menghela nafas… dalam. Kali ini dia tidak teragak-agak untuk tersenyum lagi.
Jika inilah yang ditakdirkan Allah Taala…
EMPAT TAHUN KEMUDIAN…
SAKINAH jelas terasa mengiringi suasana di majlis penyatuan dua hati itu. Akhirnya, Hanan Insyirah selamat bergelar isteri kepada seorang jejaka bernama Muhammad Amar Hafiz… ya, setelah segala impian tercapai.
Pasangan pengantin baru itu berpandangan. Jelas pipi mereka merona marah… mungkin masih malu-malu.
Hanan Insyirah menahan debar di dada. Dia tidak pasti apa rasanya kini. Cuma satu yang pasti kini, dia begitu bersyukur kerana Dia telah mengabulkan doanya selama ini untuk menjadi seorang al-hafizah. Alhamdulillah… moga-moga dengan Al-Quran yang sudah tersemat di dada ini mampu menjadi petunjuk kepada rumah tangga yang baru dibina ini agar tidak sesat selama-lamanya…
Ketika tetamu semua beransur pulang, Amar Hafiz mengambil peluang mendekati Hanan Insyirah yang sedang leka mengemas-ngemaskan periuk belanga di dapur. “Assalamualaikum…”
Hanan Insyirah kaku sebentar. Lama-lama baru dia membalas salam itu. “Waalaikumussalam…”
Kali ini, Amar Hafiz pula diam. Tiba-tiba canggung pula. “Hanan… errr… terima kasih.”
“Terima kasih?” Hanan Insyirah tidak mengerti.
Amar Hafiz menarik nafas dalam. “Terima kasih sebab terus setia untuk membawa tautan hati kita sampai ke tahap ni.”
Hanan Insyirah tersenyum. “Semuanya takdir Allah Taala… abang.”
Lekas Amar Hafiz mengangkat muka yang menunduk. Abang? Dia tidak silap dengarkah? Hanan Insyirah pula sudah tersipu-sipu melihat reaksi suaminya itu.
“Terima kasih juga sebab Hanan sudi mulakan langkah pertama dalam tautan hati kita ni. Kalau tak, sampai bila-bilalah abang tanggung perasaan ni sorang diri.” Ucap Amar Hafiz, ada nafas lega pada penghujungnya.
Bertaut kening Hanan Insyirah. Terpinga-pinga seketika. “Errr… Hanan yang mulakan? Maaf, bang… Hanan tak faham.”
Amar Hafiz pun ikut mengerutkan kening. Lama-lama dia tersenyum sendiri. “Wah, Hanan mesti dah lupa ni! Macam mana ni, yang? Baru empat tahun dah lupa kisah cinta sendiri…” Amar Hafiz tertawa pula seperti kelucuan. Garu kepala Hanan Insyirah yang makinlah tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh suaminya itu.
Amar Hafiz menyeluk poket seluarnya. Lalu perlahan-lahan ditarik keluar sehelai kertas berwarna putih yang sudah berlipat empat. Lantas diserahkan kepada isterinya itu. “Surat nilah yang dah buat abang tak tidur semalaman tau… sebab, excited tengok nama pengirimnya.”
Hanan Insyirah makin tidak faham dengan situasi. Lantas dibuka lipatan surat itu dan meneliti setiap bait kandungan yang tercatit… Hanan Insyirah terlongo tidak berkutik.
“Abang, tapi…”
“Betul. Bukan Hanan Insyirah yang kirim surat tu. Sayalah pengarang surat tu.”
Serentak itu, Hanan Insyirah dan Amar Hafiz berpaling ke belakang. Mata mereka membundar tidak percaya. Bagai sudah direnjat elektrik bervoltan tinggi.
“Julia…” terluncur nama itu di bibir Hanan Insyirah. Dan serentak itu dia merasakan… ada air hangat yang sudah bertakung di pelupuk matanya.
Amar Hafiz membisu. Memori empat tahun lepas berputar kembali… membawa wajahnya terasa panas dengan perasaan malu yang kembali bercantuman. Betulkah apa yang didengarinya ini?
“Hanan, maafkan aku. Aku buat semua ni untuk kebaikan kau. Aku tak nak kau terus simpan harapan pada yang tak pasti. Sebab itu aku cuba tolong kau untuk pastikan hal ni… dan tak sangka pulak sampai membawa kau orang ke tahap ini. Apapun, niat aku baik Hanan.” Perjelas Julia akhirnya. Dan… air mata Hanan Insyirah mengalir juga.
“Hanan Insyirah, isteri abang… jangan menangis, sayang. Percayalah, bukan kerana surat tu kita bertautan hati pada hari ni. Tapi kerana qada’ dan qadar Allah, Hanan. Apapun Julia, walaupun surat tu bukan datang daripada Hanan, saya tetap berterima kasih pada awak. Surat tulah salah satu sebab kenapa saya tak teragak-agak nak menyunting Hanan Insyirah yang sebenarnya selama ni dah mengambil hati saya. Cuma sebab rasa malu yang menebal, saya pendam perasaan tu.” Luah Amar Hafiz, lantas menghampiri Hanan Insyirah. Tidak semena-mena disekanya air mata wanita itu yang tidak boleh dikawal lagi dengan hujung jarinya.
Hanan Insyirah terkedu. Hanya esakannya yang masih kedengaran. Mungkin masih terkejut…
“Aku pergi dulu, Hanan. Aku harap kau maafkan apa yang aku dah buat ni. Sekali lagi aku cakap, niat aku baik, Hanan. Selamat pengantin baru. Assalamualaikum,” lirih suara Julia. Dan beberapa ketika kemudian, bayangnya hilang dari pandangan.
“Awak redha dengan semua ni, Hanan?”  Amar Hafiz kembali tertumpu pada isterinya.
Hanan Insyirah mengambil nafas sedalam yang boleh. Dia membatu sebentar sebelum bersuara… “jika memang ini takdir Allah Taala, Hanan tetap terima dengan hati yang lapang dan ikhlas. Sebab rancangan Allah itulah sebaik-baik perancangan dan sentiasa yang terbaik. Abang, Hanan bersyukur pada Allah kerana akhirnya Dia kurniakan Muhammad Amar Hafiz dalam hidup Hanan… Muhammad Amar Hafiz yang sebenarnya dah lama bertaut dalam hati Hanan ni.” Terlafaz kata-kata itu, mengiringi lagi sebuah ketenangan yang baru tercipta. Hanan Insyirah mengambil kedua-dua belah tapak tangan suaminya, lalu digenggam erat.
“Alhamdulillah, lega abang dengar. Errr… Hanan, boleh abang minta satu benda?” Amar Hafiz mengangkat kening.
“Ya?”
“Sambung esoklah kerja mengemas ni ya? Abang nak… abang nak dengar Hanan lagukan ayat Al-Quran depan abang, tanpa lihat kitab tau! Hanan dah jadi hafizah kan?” Jelas Amar Hafiz. Betul membuatkan Hanan Insyirah saspen tadi!
Hanan Insyirah tersenyum sumbing. “Okey. Hanan pun teringin nak dengar abang baca, pun tanpa lihat kitab tau! Hanan ingat lagi masa di U dulu, abang selalu jadi imam. Sedap sangat abang baca… errr, abang pun hafizkan?”
“Hum… hum… abang memang hafiz pun semenjak lahir lagi. Nama abang kan Muhammad Amar Hafiz.” Tertawa kecil lelaki itu. Tidak semena-mena, tangannya boleh jadi ‘nakal’ pula, mencuit hidung si isteri. Beberapa ketika kemudian, si isteri juga turut merasa hatinya digeletek. Bertingkah juga tawa mesra pasangan pengantin baru itu…
Semoga mardhatillah melayari saat sakinah ini…

“UMI, abi!!!”
Jeritan yang penuh keletah itu membuatkan pasangan itu tersentak. Lantas si isteri yang sedang bertasmik bacaan Al-Quran dengan si suami memberhentikan bacaannya. Pandangan mereka dikalihkan ke muka pintu serentak.
“Eh… Ain, sayang. Tak tidur lagi?” Si isteri menyoal lembut si anak kecil yang sedang tercegat di muka pintu bilik itu. Lebar senyumannya memandang buah hati pinjaman Allah buatnya dan si suami itu…
“Ain, mari dekat abi.” Kedengaran pula suara si suami, memujuk lembut anak kecil yang entah kenapa tersengih-sengih pula itu.
Kanak-kanak bernama Ain Hafizah itu tidak banyak kata, terus dia menerjah abinya lalu duduk di pangkuan lelaki itu. “Abi… abi nak… dengar tak Ain baca… Fatihah?” Suara comel Ain Hafizah yang berusia dua tahun itu riang kedengaran.
Hanan Insyirah dan Amar Hafiz berpandangan. Senyuman mereka bertaut. Sekali membawa panahan cinta yang kini tiada salahnya lagi untuk dizahirkan…
Lantas pandangan pasangan suami isteri itu beralih pula kepada Ain Hafizah, cahaya mata sulung kurniaan Allah buat mereka.
“Okey, sayang. Abi dengan umi nak dengar.” Kata Amar Hafiz. Sesekali dia mengusap-usab ubun-ubun cahaya matanya itu. Hanan Insyirah hanya memerhati dengan senyuman kesyukuran yang meleret ke tepi.
Ain Hafizah menyeringai menampakkan batang giginya yang tersusun rapi. Beberapa saat kemudian, suara comelnya mula melafazkan surah Al-Fatihah sepenuhnya bermula dengan basmalah hinggalah ayat yang ketujuh…
Amar Hafiz dan Hanan Insyirah terpaku sebentar. Tidak tergambar perasaan mereka tatkala ini. Ain Hafizah sudah bertepuk-tepuk tangan sendiri. Mengekek-ngekek dia ketawa kerana gembira membuatkan umi dan abinya terpana seketika…
Air mata Hanan Insyirah mengalir penuh kesyukuran. Ain Hafizah lantas ditarik ke dalam pelukan. Bertalu-talu pipi gebu itu dihadiahkan ciuman penuh kasih-sayang. Menyeringai Ain Hafizah… suka betul dia.
“Kalau Al-Quran dan Sunnah itu lambang tautan hati kita, insya-Allah cinta kita takkan sesat selama-lamanya…” sayup-sayup dia mendengar lafaz itu terucap kembali di bibir Amar Hafiz. Sakinahnya saat itu…
Alhamdulillah, ya Allah!
Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.).

9 comments:

Ruunna Qizbal said...


uat lagi cerpen yg sweet2, bahagia, klau nk ada konflik tu.. sikit2 boleh lah.. haha

Izzah Haneefa said...

thanx... in shaa ALLAH :)
doakan saya..

kim ra ra said...

assalamualaikum..citer2 akak best sgt..:)..tmbah best lagi bila smua citer akak ada unsur islamik..

ciknie said...

best..hrap suatu hari nti sy pn dpat mnjdi hafizah gak..

obat penyakit jantung said...

baik cerita nya ,kita dapat menarik kesimpulan dari cerita ini,sukses....

cahaya kerinduan said...

Nice,,semoga kita selalu brpgang dgn 2 prkara yg rasulullah s.a.w tinggalkan kpd kita smua...

cahaya kerinduan said...

Ini lah cerpen yg pling best yg prnah sye bce,,...tahniah,,penulis truskan brkarya,,

BAIN said...

The best n_n

BAIN said...

The best n_n