BAB
10
ADRIANA
terus
saja memandu masuk keretanya ke perkarangan rumah mewah itu sebaik pagar utama
terkuak seluas-luasnya. Selepas mematikan enjin, dia akan membelek-belek dulu
wajahnya di cermin. Setelah berpuas hati yang wajahnya tetap cun-cun gitu,
barulah keyakinannya mencapai tahap maksimum untuk berhadapan dengan dunia
luar.
Pintu Mini Coopernya
ditolak sederhana. Rambut hadapannya yang jatuh menutupi dahi dikuis-kuis ke
belakang dengan jari-jemari halusnya. Gayanya memang jelas menampakkan yang dia
bukan wanita biasa-biasa… Helo, perempuan mestilah kena pandai bergaya, okey?
“Wahhh! Siapa pulak
mamat hensem ni???” Hilang terus keayuan yang ‘dibangga-banggakannya’ gara-gara
suaranya tertinggi sedikit sebaik melihat… seorang lelaki sedang berjalan
sederhana menuju ke halaman depan rumah, menghampiri tempat di mana dia berada
sekarang!
Biji mata Adriana
terjegil. Menganga mulutnya dengan mata yang tidak langsung berkelip memandang
jejaka tampan itu. Tutup mulut tu, cik adik. Nanti langau masuk!
‘Oh my god! Oh my god! Siapa mamat ni?’ Hati Adriana terkinja-kinja
kesukaan menyedari lelaki tampan yang telah ‘menggoda’ matanya itu semakin
menghampiri… Ah, seperti cerita novel pula!
Faqih memberhentikan
langkah sebaik menyedari ada wanita lain… wanita yang tidak dikenalinya sedang
berdiri di depannya, dengan mata yang tidak berkelip langsung memandang ke
arahnya.
Seram-sejuk Faqih
dibuatnya. ‘Siapa pulak perempuan ni?’
Adriana mengetap bibir.
Terpukau... Wajah tampan itu terus ditenungnya seperti hendak diterkam saja!
Amboi cik adik, bawa bersabar ya?
Naik bulu roma Faqih
tidak semena-mena. Kenapa pula dia yang terasa seperti sedang ‘dibogelkan’ oleh
renungan tajam wanita ini? Oh, tidak!
“Errr… Cik, minta maaf.
Saya nak ambik motosikal saya.” Faqih bersuara akhirnya, menamatkan babak
‘saling terkejut antara satu sama lain bak kisah novel’ yang berlangsung agak
lama juga itu.
Adriana menggeleng
laju. Baru kini matanya terasa pedih kerana tidak berkelip langsung memandang
jejaka itu. Dia memang betul-betul terpesona tadi! Sungguh, memang tak tipu!
“Owh, maaf.” Badannya dikalihkan sedikit… barulah dia perasan ada motosikal kos
rendah terparkir di belakangnya.
‘Aih, muka hensem pakai
Honda buruk aje?’ Boleh pula Adriana mengata dalam hati.
Faqih yang hanya
menundukkan pandangan berjalan menghampiri motosikalnya lalu duduk di situ.
Enjin pun dihidupkan. Namun, sekali lagi dia berasa tidak enak menyedari mata
wanita itu masih ‘menembusi’ tubuh-badannya. ‘Haih, apa kenalah perempuan ni?’
Adriana terus
memerhati. Seketika kemudian, motosikal jejaka tampan itu mula bergerak
perlahan, keluar dari perkarangan rumah mewah itu dan menghilang…
“Hmmmm… huh!” Adriana
menarik nafas dalam lalu menghembus agak kuat. Tadi hatinya bergetar sungguh.
Sekarang, dia kena relaks. Oh, semacam tidak percaya saja dengan apa yang
dilihatnya tadi! Siapa jejaka tampan yang menunggang motosikal buruk itu?
‘Hishhh, aku ni jatuh
cinta kali kedua ke?’ Adriana mengherot-herotkan bibir pula. Ketika asyik
melayan perasaannya itulah, pintu rumah mewah yang bertutup dari tadi itu
terbuka dari dalam.
“Khalisah…” Sahut
Adriana, manja betul suaranya menyebut nama sepupunya yang hanya kepalanya
terjengul di muka pintu itu.
“Eh, bila kau sampai
Yana?” Tanya Khalisah. Tuala yang menutupi kepalanya dibetul-betulkan sambil
matanya tertinjau-tinjau memandang ke sekeliling rumah.
Adriana berubah wajah.
Pelik dengan kelakuan Khalisah yang macam orang sudah membuat salah besar itu.
“Apahal kau ni, Lisa? Kau cari apa?”
Khalisah menegakkan
badannya. Barulah kini dia berani keluar dari belakang pintu rumahnya. Nafas
lega dilepaskan perlahan. “Mamat kerek tu dah balik eh?”
“What? Who? Mamat kerek? Ohh, ohhh, mamat yang hensem gila tu eh?”
Terloncat-loncat Adriana sebaik ingatannya kembali lagi kepada lelaki tampan
yang menaiki motosikal kos rendah itu. Tidak mengapalah, motosikal kos rendah
itu tolak tepi. Dia tidak mahu ingat lagi.
Khalisah pula membuat
muka pelik. Agak tinggi sebelah keningnya terjongket. “Hensem? Kau cakap
pemandu papa aku tu hensem?”
Adriana tidak seceria
tadi. Hilang terus keterujaannya mendengar perkataan ‘pemandu’ yang disebut
oleh sepupunya.
“Hahaha… kau ni mesti
dah tangkap cintan dengan dia kan? Huhu… kalau kau nak tahu, dia dah jadi driver papa aku nak dekat sebulan dah,”
beritahu Khalisah. Kali ini dia mahu ketawa pula melihat reaksi Adriana yang
mungkin agak ‘kecewa’ mendengar kenyataannya tentang lelaki hensem yang mungkin
telah berjaya mencuri hati sepupunya itu.
Adriana memuncungkan
bibir. Takkanlah lelaki tadi yang punyalah hot
begitu kerja sebagai pemandu saja?
“Sudahlah, Adriana. Aku
tahu dia memang hensem. Tapi otak aku ni waras lagi. Takkanlah aku nakkan
lelaki kerja pemandu aje kan? Tapi kalau kau nak aku tak kisah. Kau ambiklah.”
Sengih Khalisah, masih rancak ‘mengusik’ sepupunya yang sudah seperti tidak
ketahuan itu. Bahu Adriana ditepuk-tepuknya kasar.
Walau yang sebenarnya…
Khalisah hanya mahu menyedapkan hati. Cukuplah dia berendam air mata semenjak
beberapa hari ini. Cukuplah kekecewaan itu hanya sampai di sini. Dia tidak mahu
membebankan jiwanya lagi. Cukuplah!
Adriana masih
kebingungan. Khalisah memeluk bahu sepupunya itu lalu membawa wanita itu masuk
ke dalam rumah.
KETIKA pekerja-pekerjanya sedang sibuk
membungkus barang-barang tempahan pelanggan, Khalisah mengambil peluang untuk
berehat sebentar di biliknya yang terletak di bahagian belakang. Duduk
termenung… memikirkan masa depan syarikatnya.
Setakat ini, alhamdulillah…
bisnes tudung labuhnya cukup mendapat sambutan. Kini, setiap negeri di dalam
Malaysia telah ada pengedar masing-masing di bawah jenama syarikatnya. Jualan pula
semakin meningkat hari demi hari.
Pada mulanya Khalisah
kurang keyakinan juga untuk meneruskan niatnya membuka bisnes tudung labuh ini,
maklumlah… pada zaman ini tudung-tudung yang pelbagai gaya dan juga pendek
lebih menjadi pilihan wanita Islam. Namun hasil istikharah telah mendesaknya
untuk terus menanam keyakinan. Dan akhirnya, dengan bantuan ALLAH SWT serta
niat ikhlasnya untuk melihat wanita Islam menutup aurat dengan sempurna, maka
tertubuhlah PINKWEARS.
Dan, jangkaannya
membuat persediaan untuk ‘jatuh’ ketika mula-mula berniaga meleset. Tidak
sangka yang bisnes tudung labuhnya mendapat sambutan di luar jangkaan. Satu kesimpulan…
walaupun dunia telah ‘diwarnai’ dengan pelbagai mehnah, masih ada sebahagian
umat Islam yang tahu kewajipan mereka terhadap agama. Syukur, ya ALLAH!
Tok… tok…
Bunyi ketukan pada daun
pintu meleburkan segala untaian memori yang bermain di mindanya. Khalisah
tersedar. Istighfar lantas meluncur di bibirnya.
“Masuk,” arahnya.
Duduknya di atas kerusi itu dibetul-betulkan.
Seorang wanita muda
yang kecil molek sahaja tubuhnya masuk ke dalam selepas itu. Senyuman sudah
bersiap-sedia diukir di bibirnya. “Tadi akak mesti tengah termenung kan? Hehe…
ingatkan siapa ha?”
“Haishh! Mana ada akak
ingatkan siapa-siapa! Akak duduk bertapalah… cari ilham!” Dalih Khalisah.
Memandai saja pekerjanya yang bernama Anita ini membuat andaian! Tapi, memang
betul pun dia termenung kan?
Anita menggeleng
perlahan. Senyumannya diikuti dengan tawa kecilnya pula. Bukan dia tidak kenal
dengan bosnya yang sudah dianggap seperti kakak sendiri itu. Kalau ada apa-apa
yang mengganggu fikiran wanita itu, termenung merupakan tabiat semula jadinya.
“Diorang dah siap packing ke, Nita?” Tanya Khalisah.
“Belum, kak. Ada sikit
lagi. Lepas ni baru si Badrul tu hantarkan semua ke pejabat pos. Errr…” Anita
sepertinya ingin menyambung bicara tetapi terhenti pula.
“Kenapa Nita?”
Anita menggumam bibir.
Wajahnya tidak seceria tadi. “Ada orang nak jumpa dengan akak sebenarnya.”
Khalisah ikut meraut
wajah serius. “Siapa? Mana dia?”
“Izham, kak.” Ringkas
Anita membalas.
Khalisah terdiam. Tiada
respon. Sepertinya tiada apa-apa yang membawa bahagia kepada hati wanitanya
sebaik mendengar nama lelaki itu.
Anita yang juga
mengetahui kisah hanya membiarkan majikannya itu berdiam sebentar. Dia tahu,
Khalisah sedang membuat keputusan sukar.
“Hmmm… dia dah ada kat
luarlah ni?” Akhirnya Khalisah bersuara juga.
Anita menggeleng. “Tadi
dia ada. Dia cakap dia nak jumpa akak, tapi saya beritahu dia yang akak tengah
sibuk. Apapun, dia ada tinggalkan pesan. Kata dia, bila-bila akak free dia nak jumpa dengan akak,”
ujarnya.
Khalisah membatu
kembali. Selepas Anita keluar dari biliknya, wanita itu kembali kepada tabiat
semula jadinya… termenung. Namun kali ini, menungannya itu tiada kena-mengena
dengan soal syarikatnya. Hanya apa yang diperkatakan oleh Puan Sri Lydia,
mamanya tentang persetujuan wanita itu dengan Datin Izreen untuk menyatukannya
dengan Izham mengambil tempat di mindanya.
Entahlah… dia memang
tidak mahu. Tetapi, dia kalah setiap kali hendak menyuarakan itu semua kepada
Puan Sri Lydia.
Khalisah ‘tewas’ lagi.
Kekecewaan yang diharapkannya telah berakhir kembali membawa luka. Pelupuk
matanya mula bersinar kaca… lalu pelan-pelan berderai ke pipi.
TENGAH hari itu Khalisah membawa
perutnya yang sudah berdikir barat minta diisi ke sebuah restoran mamak yang berdekatan
dengan butiknya. Kepalanya sekarang hanya terbayang-bayangkan keenakan nasi
putih yang dilimpahi dengan kuah kari mamak. Ah, tidak sabarnya! Perut pun
semakin rancak bergendang-gendang.
‘Diamlah, perut! Aku
nak bagi kau makanlah ni!’ Sempat pula Khalisah memberikan arahan kepada
perutnya yang semakin meragam itu. Mungkin kerana pagi tadi dia tidak menjamah
sarapan langsung, sebab itulah perutnya sudah ‘mengamuk’ pada waktu-waktu
begini.
Sebaik saja mamak yang
menjaga kaunter lauk di dalam restoran itu melihat Khalisah masuk ke dalam
kedainya, cepat-cepat dia bersedia dengan sepinggan nasi putih yang agak
banyak. Bukan dia tidak kenal pelanggan setianya itu.
“Helo, kakak. Muka ada
banyak manis hari ni! Mau apa lauk?” Soal pelayan mamak itu ramah.
Khalisah menjuihkan
bibir. “Kau hari-hari nampak muka aku manis. Tak kira aku sedih ke, apa ke, itu
ajelah ayat kau. Aku nak kari kepala ikan. Kasi bertakung punya! Tapi, kari aje
tau. Aku tak nak kepala ikan tu.”
“Ayoyo… mau kari saja
ka? Kasi makan lain pulaklah, kakak. Takkan hari-hari mau makan sama saja,”
bebel pelayan mamak itu. Walaupun dia sudah faham benar akan selera pelanggan
setianya itu, tetapi kadang-kadang timbul juga rasa anehnya terhadap selera
wanita itu. Hanya nasi dengan limpahan kuah kari kepala ikan yang tiada kepala
ikan!
“Hishhh, kau ni banyak
mulut pulak. Aku nak itu aje. Dah, cepatlah. Aku dah lapar ni.” Berkerut wajah
Khalisah menahan lapar yang semakin menggila. Mamak ni pun satu, sesedap mulut
saja membebel kepadanya. Suka hati dialah mahu makan apa! Pelanggan sentiasa
betul.
Akhirnya pelayan mamak
itu hanya mampu menggeleng kepala lalu menghulurkan saja pinggan berisi nasi
putih yang ditakungi kuah kari kepala ikan itu. Tidak mengapalah, walaupun kuah
kari saja, janji wanita itu setia menjadi pelanggannya sampai bila-bila!
Setelah mengambil
tempat duduk di penjuru kedai dan membuat pesanan minuman, tangannya ditadah
untuk memanjatkan doa. Dengan lafaz basmalah dia memulakan suapan pertama.
“Hai, you. Boleh I
teman?” Suara garau yang beralun mesra itu serta-merta mematikan keasyikan
Khalisah yang sedang menikmati kuah kari mamak kegemarannya sepanjang masa.
Khalisah mengangkat
wajah. Matanya terbundar seketika memandang lelaki yang berkemeja biru yang
lengannya dilipat sehingga ke siku itu. Kunyahannya semakin perlahan.
“Izham…” Sayup-sayup
nama itu meniti di bibir Khalisah. Ah, kenapa lelaki ini muncul ketika dia
sedang menikmati kari mamaknya? Tidak boleh tunggu dia habis makan ke? Nah,
hilang separuh seleranya!
Izham meleretkan senyumannya
yang merupakan senjata ampuhnya untuk mencairkan hati wanita. Wajah Khalisah
yang kini memenuhi ruang hatinya itu dipandang dengan mata yang sedikit sepet.
“Boleh I duduk, Cik Khalisah?” Pertanyaannya diulangi.
Khalisah mengelap
bibirnya dengan tisu. “Hmmm… duduklah.”
Izham menarik kerusi di
hadapan Khalisah lalu duduk di situ. Setelah membuat pesanan kepada pelayan
yang datang menghampiri, matanya beralih pula ke arah pinggan berisi makanan
yang sudah tinggal separuh dimakan oleh Khalisah. “You makan nasi dengan kuah
kari aje ke?”
“Yalah. Kenapa?”
Khalisah meneruskan suapannya semula. Lantaklah apa yang berlaku pun, yang
penting nasinya perlu dihabiskan.
Izham menggeleng lalu
ketawa kecil. Diperhatinya saja gelagat wanita itu menikmati makanannya. Sungguh…
comel!
“Hei, apa
pandang-pandang? Tak pernah tengok orang makan nasi ke?” Agak keras Khalisah
membentak, menyedari pandangan lelaki itu yang tidak beralih langsung
daripadanya.
Izham sepertinya tidak
terkesan dengan gertakan itu. Malah, dia boleh pula ketawa lagi. “You ni
comellah, Khalisah. Untung siapa yang dapat you.”
Khalisah meneguk liur.
Aih mamat ni, sengaja ubah topik pula! “Dahlah, Izham. Jangan ganggu I lagi.”
Sempat Khalisah melemparkan jelingan tajam kepada lelaki itu.
“Hmmm… Khalisah, macam
mana dengan… keputusan you?” Izham mula meraut wajah serius. Letak duduknya
dibetulkan.
Khalisah pula masih
buat muka selambanya. “Keputusan apa?”
“Mama you tak cakap
apa-apa?” Berkerut dahi Izham.
Senyap.
Khalisah menyelesaikan
suapan terakhirnya lalu menyedut jus limau yang dipesan. Sengaja dia membiarkan
soalan lelaki itu tergantung dahulu.
“Ya, mama I dah cakap.
Hmmm… Izham, dah banyak kali I cakap dengan you, I tak nak you. You carilah
orang lain. Tolonglah jangan buat I rasa bersalah.” Kali ini, Khalisah terpaksa
merayu kepada lelaki itu. Dia sudah tidak tahan ‘dikejar’ sebegini.
Izham hanya diam
selepas itu. Wajah Khalisah diperhatinya dengan pandangan kosong.