Friday, January 25, 2013

Imam Mudaku Romantik! 7


BAB 7
TERASA ada ketenangan yang mengalir sebaik tiba di halaman rumah itu. Di situlah di mana dia banyak belajar. Di situlah dia banyak mengenal erti kehidupan. Di situlah ‘pusat tarbiah’ yang paling istimewa dan bermakna baginya.
Faqih menongkat motosikal buruknya. Buruk? Tidaklah buruk sangat. Motosikalnya masih mampu berjasa membawanya ke sana ke sini. Sesuka hati saja kata motosikalnya buruk!
“Assalamualaikum, pak.” Salamnya disebarkan dengan nada suara yang cukup tenang. Beserta senyuman ikhlas buat lelaki tua yang sedang leka menganyam ketupat di pangkin rumah kampung itu.
Lelaki tua yang asyik dengan kerja menganyamnya sehingga tidak sedar ada motosikal sudah masuk ke kawasan rumahnya itu mengangkat muka. Kaca matanya dibetul-betulkan memandang anak muda di hadapannya itu. “Waalaikumussalam, Faqih! Ya ALLAH, kenapa tak bagitahu kau nak balik, nak?”
Faqih mendepangkan tangan, menyambut huluran dakapan Pak Itam, bapanya itu. Agak lama. Mungkin sedang melepaskan rindu. Walhal tempat tinggal mereka bukannya jauh mana pun.
“Saja tak nak bagitahu. Biar bapak terkejut! Hehe… kan hari tu bapak cakap hari sabtu ni ada program ‘sembelih’? Mestilah Faqih kena datang… Faqih kan nak warisi ilmu bapak nanti,” balas Faqih.
Pak Itam ketawa terbahak-bahak mendengar celoteh anak jantannya itu. “Yalah, Faqih. Kamu ambillah ilmu bapak. Biar benda ni jadi tradisi, jangan sampai orang dah tak kenal apa peranan kita.” Bahu Faqih ditepuk-tepuknya lembut, isyarat supaya bergerak masuk ke dalam rumah.
Anak-beranak itu kemudiannya terus rancak berbual sesama mereka. Macam sudah berkurun lamanya tidak berjumpa. Insya-ALLAH, jalinan kasih ini akan terus terpelihara di bawah rahmat-NYA.
“Abang Faqih!” Sapa satu suara lembut dari belakang, lantas mematikan perbualan rancak antara kedua-dua beranak itu.
“Syuhada?” Melintas nama itu di bibir Faqih sebaik saja dia memusing tubuh ke belakang.
“Ya, bang. Ni Syuhada, adik abang.” Wanita yang manis berbaju kurung Kedah dan berkain batik itu segera mendapatkan tangan abangnya lalu dikucup penuh hormat.
“Bila Syu balik?” Tanya Faqih. Kali ini perhatiannya beralih kepada wanita yang bergelar adiknya itu. Rasanya selepas ini mesti banyak cerita antara mereka. Maklumlah, kali terakhir berjumpa semasa hari raya aidilfitri tahun lepas.
“Semalam. Hehe… Syu balik pun senyap-senyap. Saja buat surprise untuk bapak,” kata Syuhada sambil mengenyit mata kepada Pak Itam. Seronok melihat Pak Itam, bapanya terduduk tanpa sebarang suara melihat kemunculannya di depan pintu rumah tiba-tiba semalam. Tapi kesian juga… terjelopok orang tua itu ke lantai gara-gara terkejut sangat.
“Bertuah punya anak! Telefon tidak, surat tidak, Twitter pun tidak… tahu-tahu dah ada depan rumah!” Omel Pak Itam sambil mengusap-usap pinggangnya. Mungkin menunjukkan betapa sakitnya dia ketika terjelopok ke lantai semalam.
Jeda.
Seketika kemudian, Faqih dan Syuhada berpandangan sesama sendiri. Wajah mereka penuh kerutan yang menampakkan garis-garis keanehan. Ada sesuatu yang telah membuatkan mereka berasa pelik.
“Kenapa kau orang pandang bapak macam tu?” Pak Itam turut merasa pelik apabila melihat kedua-dua orang permata hatinya itu memandangnya pula dengan mata yang tidak berkelip.
“Bapak cakap apa tadi? Twitter?” Syuhada inginkan kepastian. Manalah tahu dia salah dengar agaknya.
“Haaa… kenapa? Apa masalahnya?” Persoal Pak Itam. Hai… aneh-aneh betul budak-budak ni!
“Bapak main Twitter???” Menekan suara Faqih, mendesak Pak Itam untuk memperakui lagi perkataan ‘Twitter’ yang disebutnya tadi. Entah kenapa susah benar dia hendak percaya dengan kata-kata bapaknya itu.
“Laaahhh… apa yang kamu pelik sangat ni? Ya, bapak main Twitter. Bukan Twitter je, Facebook, Instagram, Blogger pun sama. Senang cerita, binatang yang kamu semua ada tu bapak adalah!” Pak Itam menjelaskan dengan terperinci akhirnya. Merungkaikan kepelikan anak-anaknya.
Pak Itam ada Instagram?
 ‘Fuyooo… dahsyatlah bapak!’ Faqih terpegun seketika.
Sementara Syuhada sudah menggaru-garu kepala.
“Janganlah buat muka pelik sangat. Bapak bukannya tinggal dalam gua di Zimbabwe pun sampai kamu nak terkejut beruk mak yeh dengar bapak ada Twitter,” ujar Pak Itam, cuba meneutralkan balik emosi anak-anaknya yang masih dalam mood… ‘Oh, aku tak percaya!’ itu.
Faqih menjongket kening. Gua di Zimbabwe pula? Hmmm… macam-macamlah, bapak! Tapi, rasanya macam pernah dengar ayat itu. Tetapi di mana ya?
Seketika kemudian, ketiga-tiga mereka tertawa serentak. Sungguh asyik mereka menikmati momen tersebut. Begitulah manisnya sebuah ukhuwah kekeluargaan yang terjalin atas dasar yang bernama kasih-sayang.

SELESAI solat Isyak yang diimamkan oleh jejaka bernama Faqih, alunan wirid puji-pujian kepada ALLAH yang Maha Esa menggemakan suasana malam di dalam rumah kampung itu. Bacaan doa yang turut diketuai oleh Faqih berlangsung dalam suasana yang agak sayu… hingga menitis air mata tua Pak Itam. Manakala Syuhada di belakang turut mengesat cecair jernih yang mengalir dengan hujung telekungnya.
“Allahumma amin. Amin ya Rabbal ‘Alamin.” Faqih menyelesaikan doanya. Serentak itu, kesemua mereka menekupkan telapak tangan ke wajah. Moga-moga ALLAH kabulkan doa mereka…
“Sedap doa yang kamu baca tadi, nak. Dah lama tak dengar kamu baca doa.” Pak Itam masih belum mampu membendung rasa tersentuh hatinya ketika bersalaman dengan anak lelakinya itu. Masih kedengaran serak suaranya.
Faqih tersenyum nipis. “Faqih pun rindu nak berjemaah dengan bapak, dengan Syu,” ucapnya sambil berpaling ke arah Syuhada yang menanti giliran untuk bersalaman dengan abangnya itu pula.
Setelah selesai sesi yang penuh dengan keharuan itu, kesemua mereka menuju ke dapur, menikmati makan malam yang dimasak spesial oleh Syuhada, satu-satunya ‘bunga’ yang tinggal di dalam rumah itu. Hiruk-pikuk meja makan tersebut dengan gelak-tawa mereka. Maklumlah, jarang berjumpa.
“Faqih, siang tadi Mak Senah bagitahu bapak, dia kata Nana jumpa kamu hari tu. Hmmm… betul kamu jadi pemandu, Faqih?” Soalan Pak Itam entah bagaimana terus mematikan keceriaan yang telah berlangsung lama di dalam ruang udara rumah kampung itu.
Faqih memberhentikan suapan. Kunyahannya semakin perlahan. “Ya, pak. Sekarang Faqih bekerja sebagai pemandu Tan Sri Kamarul.” Ada rasa bersalah mengiringi kata-katanya. Namun, kenapa patut rasa bersalah? Bukannya dia melakukan pekerjaan haram pun.
Pak Itam seperti tiada perasaan mendengar jawapan itu. Senyum tidak, masam pun tidak. Neutral. “Kamu memang dah fikir masak-masak dengan apa yang kamu buat, Faqih?”
Diam. Faqih merenung pinggannya yang masih berbaki sisa-sisa nasi. Agak lama juga kesepian itu memenuhi ruang udara.
Nafas dalam dihembus lembat. Faqih terangguk-angguk. “Insya-ALLAH, pak. Cuma… Faqih mintak bapak doakan supaya Faqih jumpa dengan apa yang Faqih nak cari.”
Pak Itam menjongket sebelah kening. Seketika kemudian, lelaki tua itu mengangguk kecil. Tiada apa-apa lagi yang boleh dikatakannya.
“Faqih,” panggil Pak Itam.
“Ya, pak?”
Pak Itam tersenyum. “Lepas ni tolong sambungkan kerja anyam ketupat bapak, boleh? Bapak nak sediakan alat-alat ‘sembelih’ esok. Nak pastikan semuanya tajam… biar kawww!” Tiba-tiba lelaki tua itu bersemangat lain macam.
Faqih terkujat sekejap. Tadi eloklah punya berdrama, sekarang sudah tukar babak?
Syuhada yang hanya menjadi pemerhati ragam kedua-dua lelaki yang mendapat tempat pertama di hatinya itu pelan-pelan meleretkan senyuman setelah agak lama bermuram durja.

“BAPAK pergilah buat kerja bapak. Biar Faqih sambung buat ketupat,” kata Faqih lalu menepuk-nepuk bahu Pak Itam.
Pak Itam mengangguk. “Yalah. Bapak nak online dulu. Lepas ni baru bapak buat kerja bapak. Kamu siapkan ketupat ya? Esok Mak Timah dah nak ambik tempahan dia.”
Faqih mengherotkan bibir. Bapak nak online? Apa-apa ajelah, pak!
Seketika kemudian, bayangan Pak Itam menghilang ke dalam rumah. Mungkin dia mendapatkan komputer ribanya dan online seperti yang diperkatakannya.
Tinggallah Faqih yang masih kebingungan di pangkin rumah kampung itu. Namun dia hanya mengangkat bahu selepas itu. Biarlah bapak… dia pun mahu mengikut arus pemodenan. Ceh!
Diiringi lafaz basmalah, Faqih bersila di pangkin rumah itu. Sebilah pisau diambil beserta sehelai daun kelapa. Tugas Pak Itam yang mungkin kini sedang ber-Twitter disambungnya semula.
“Abang.” Ada suara lembut mengiringi usikan pada bahunya.
Faqih menoleh sedikit. “Syu? Tak tidur lagi?”
Syuhada mengetap bibir. Tiada sebarang jawapan… wanita itu terus duduk di sebelah Faqih, memerhati lagak Faqih yang ligat menganyam daun kelapa untuk dijadikan sarung ketupat itu. Ya, dia akui. Faqih memang hebat menganyam ketupat. Cakaplah apa jenis ketupat pun. Ketupat sate, ketupat bawang… segalanya. Semuanya diwarisi daripada kepakaran Pak Itam.
“Aik, kenapa termenung kat pangkin ni Syu? Syu pergilah tidur. Penat baru balik dari Istanbul mesti tak hilang lagi kan?” Tegur Faqih, memandangkan suasana hanya sepi tanpa sebarang bunyi.
Syuhada menarik nafas dalam. Bukan tidak mahu bersuara… cuma mindanya sedang ligat mencari sesuatu untuk diutarakan. Ya, ada sesuatu sebenarnya yang mendesak-desak fikirannya dari tadi. “Errrmmm, Abang Faqih…”
“Cakaplah, Syu. Tak payah nak malu-malu. Abang dengar.” Faqih menekankan sikit suaranya. Cuba memberi keyakinan kepada Syuhada untuk berterus-terang. Daripada tadi suara gadis itu asyik tersangkut saja.
“Abang… kenapa abang jadi diri abang yang sekarang?” Persoal Syuhada akhirnya.
Namun, persoalan itu belum cukup untuk memberi gambaran yang jelas kepada Faqih untuk memahami maksudnya.
“Abang tak faham.” Faqih memberhentikan tangannya yang ligat menganyam. Wajah Syuhada yang tetap biasa-biasa itu dipandangnya dengan pandangan orang yang tidak mengerti.
“Maksud Syu… kenapa jadi pemandu? Syu tak faham kenapa abang…”
“Syu… abang tahu apa yang abang buat.” Faqih pantas memintas percakapan Syuhada yang semakin bertalu-talu. Dia sudah menjangkakan apa yang bakal diperkatakan oleh Syuhada dan… dia sudah awal-awal menegaskan pendiriannya kepada wanita itu.
Syuhada mengerutkan dahi. Kepalanya menggeleng perlahan. “Abang… hmmm… memang selama ni abang tak pernah rasa ke macam mana rasanya bersyukur tu? Habis… hmmm… Syu tak faham macam mana pemikiran abang sebenarnya.” Susah wanita itu hendak melanjutkan bicaranya. Dia bingung memikirkan hal abangnya yang… agak sukar dijangkakan itu.
Faqih tersenyum. “Abang cuma nak lebih merasai bagaimana rasanya bersyukur tu, Syu. Memang orang takkan faham. Tapi… inilah cara abang. Syu jangan risau ya? Lagipun setakat ni apa yang abang buat semuanya kerja halal.”
Syuhada menggaru-garukan kepalanya yang ditutupi tudung berwarna biru itu. Tiada apa yang hendak diperkatakan lagi…
“Syu tak nak tolong abang anyam ketupat ke?”
“Hah? Anyam ketupat? Manalah Syu reti, bang. Lainlah abang! Bapak bagi ilmu secara eksklusif!” Syuhada mengelat.
“Eiii… tak malulah Syu ni! Abang yang lelaki pun tahu anyam ketupat tau! Patutnya Syu kena tahu buat ketupat ni. Ni warisan turun-temurun. Rugi kalau Syu tak belajar,” usik Faqih, lebih hendak lari daripada tajuk asal perbincangan mereka sebenarnya.
Syuhada mencebik lalu memeluk lutut. “Meluatlah abang ni! Abang, abang tak malu ke anyam ketupat ni? Abang tak takut ke ‘kemachoan’ abang hilang bila buat kerja ni? Macam mana kalau… Nana nampak? Hehehehe…”
Faqih mengangkat sebelah kening. “Nana? Haha… Syu ni apalah! Dia dah lama tahu abang pandai anyam ketupat. Sebab ketupat abang nilah dia gila bayang kat abang. Hmmm… macam-macam.” Nafas panjang dilepaskan. Segala gelagat Nana, anak Mak Senah yang cuba mencuri hatinya selama ini terimbas kembali di benak.
“Errrmmm… abang tak nak kasi peluang pada Nana ke? Syu tengok dia tu beria-ia nak kat abang. Lama dia tunggu abang daripada belum habis sekolah, sampai dah grad pun sekarang. Takkan abang tak nak buka ruang pada dia langsung?” Sepertinya Syuhada lebih bijak menggunakan peluang itu untuk masuk ke topik lain yang mana… lebih membuatkan fikiran Faqih sesak.
“Abang tak pernah minta pun semua tu. Siapa suruh dia tunggu abang? Hmmm… jujur, abang tak nakkan dia. Puas dah abang nasihat dia supaya cari orang lain. Tapi… entahlah,” ujar Faqih. Tangannya terus ligat menganyam. Malas hendak terlalu memikirkan hal wanita yang bernama Nana itu.
“Abang takkan tak rasa kesian langsung kat dia?” Soal Syuhada, masih tidak berpuas hati.
“Habis, siapa pulak nak kesiankan hati abang ni? Abang memang betul-betul tak nakkan dia. Hmmm… Syuhada pulak macam mana? Nak pekena abang konon! Istanbul tu banyak lelaki hensem-hensem, takkan sorang pun tak ada yang sangkut dengan Syu?” Faqih cuba memulang paku buah keras.
Syuhada nampaknya tidak terkesan dengan ‘serangan balas’ abangnya itu. Wajahnya tampak jujur. “Syu pergi Istanbul tu belajar, bang. Bukannya nak menggatal cari lelaki. Syu pergi sana pun kena taja, takkanlah Syu nak hangat-hangat tahi ayam aje?” Syuhada membalas geram.

AWAL-AWAL pagi setelah selesai solat subuh lagi Khalisah sudah menyiapkan dirinya. Kebiasaannya pada waktu-waktu cuti begini, dia akan menghenyakkan semula badannya ke tilam selepas bersolat subuh. Tetapi hari ini dia punya temu janji.
“Lisa nak pergi mana pagi-pagi ni?” Tegur Puan Sri Lydia yang kebetulan bertembung dengan anak gadisnya itu ketika keluar dari bilik.
“Lisa nak teman Zurina. Dia nak bawak anak dia ‘sembelih’ kat Langat sana. Cara tradisional. Hehe… tu yang Lisa nak ikut. Nak ambil gambar banyak-banyak,” jawab Khalisah sambil mengangkat sedikit kamera Eos 650d yang tergantung di lehernya.
Puan Sri Lydia Lydia mengerutkan dahi. “Sembelih? Dia nak sembelih anak dia ke???” Polos benar wanita berada itu bertanya.
“Hah? Bukan macam tulah, ma. Maksudnya, Zurina nak bawak anak dia berkhatan. Berkhatan, bersunat tulah, mama. Cara tradisional,” terang Khalisah. Tidak sangka pula mamanya tidak dapat pick up maksud ‘sembelih’ yang dikatakannya itu.
Puan Sri Lydia hanya terangguk-angguk selepas itu.
“Ma, papa dah bangun?” Khalisah berbasa-basi. Memang dia sengaja mengambil peluang itu untuk beramah sebentar dengan mamanya. Kerana selama ini mamanya itu memang sibuk betul dengan aktiviti-aktiviti luarnya… Oleh sebab itu peluang ini tidak akan disia-siakan. Datang kerinduan Khalisah untuk bermanja-manja dengan mamanya.
“Ada kat dalam. Tidur lagi. Lepas ni dia ada appointment dengan siapa entah… tahulah dia bangun sendiri,” balas Puan Sri Lydia sambil memuncungkan bibir ke arah pintu biliknya yang terkatup rapat.
“Owh… Ermmm… Mama dah solat?” Khalisah memberanikan diri mengisi ‘ruang kekosongan’ itu.
Puan Sri Lydia tidak bereaksi. Wajahnya biasa-biasa saja menerima soalan yang agak ‘mengujinya’ itu. “Nanti mama solatlah ya? Hmmm… Lisa tak nak sarapan dulu ke sebelum pergi ni? Suruhlah Mak Yah buatkan apa-apa dulu. Nanti perut kosong, sakit pulak.”
Khalisah menggeleng perlahan. Dia sudah agak… mamanya akan berusaha mengubah topik lain. Namun, dia tidak akan berputus asa. Dia tahu, suatu hari nanti pasti doanya akan dikabulkan. “Tak apalah, ma. Nanti Lisa makanlah dengan Zurina kat mana-mana. Tapi… tiba-tiba terasa pulak nak makan Thosai Mamak Kerek tu. Makan kat situlah kut. Hehe…” Sengihnya. Daripada tadi asyik tersengih saja anak dara itu. Sudah macam kerang tengik pula!
“Hmmm… Lisa ni suka sangat dengan masakan mamak! Entah-entah menantu mama nanti pun mamak agaknya,” sinis nada Puan Sri Lydia.
Terkebil-kebil Khalisah mendengar usikan mamanya. “Ma! Janganlah cakap macam tu. Lisa suka pergi kedai mamak sebab servis dia cepat. Punggung ni belum kena kerusi lagi, pelayan dia dah datang mintak order. Tapi tak adalah sampai Lisa nak cari laki mamak jugak. Mama ni tak baiklah. Huhu… mama nak ke muka cucu mama nanti macam Abishek Bachchan?”
Berderai juga tawa Puan Sri Lydia mendengar keletah anak gadisnya yang tidak pernah berubah mulutnya itu. Bila sudah bercakap, memang tiada brek. Main gear lima saja!
“Lisa, mama doakan supaya Lisa dapat lelaki baik, yang mampu jaga anak mama yang comel-comel gitu ni macam mana mama yang jaga daripada kecik dulu, sampai dah besar mengembang ni. Okeylah, mama doakan dia bukan mamak. Mintak-mintak dia orang Jawalah!” Puan  Sri Lydia ketawa lagi. Tidak puas-puas mengenakan si anak.
“Mama! Kenapa orang Jawa pulak ni? Huaaa… tak maulah.” Kelat muka Khalisah mendengar doa mamanya. Nanti betul-betul jadi macam mana? Tak pasal-pasal ada Pak Joko kedua dalam rumah ni nanti!
“Yalah, yalah. Mama doakan Lisa dapat suami yang macam Lisa nak. Mama tak kisah sebenarnya. Asalkan, Lisa bahagia,” ucap Puan Sri Lydia.
Khalisah membulatkan kelopak matanya. Suami yang macam dia mahukan? Dia mahukan imam muda… oh, harap-harap termakbullah doa mamanya!
“Sayang mama!” Pantas Khalisah memeluk erat tubuh Puan Sri Lydia yang tercanguk-canguk dengan perlakuan spontan anak daranya itu.

SELESAI menikmati sarapan pagi di Restoran Mamak Kerek, Khalisah dan Zurina, rakan juga sahabat sehidup semati Khalisah bergerak menuju ke kereta. Langkah mereka pantas kerana program berkhatan yang disertai oleh anak lelaki Zurina akan dimulakan pada jam sembilan pagi.
“Haikal dah sedia?” Tanya Khalisah. Kanak-kanak lelaki yang duduk di seat belakang Polo Sedannya itu dikerling melalui cermin pandang belakang yang tergantung.
“Haikal dah sedia, auntie. Tapi Haikal takut!” Jujur si Haikal yang leka bermain dengan kereta mainannya seorang diri itu berkata.
Zurina tersenyum nipis. “Haikal jangan takutlah ya, sayang? Alaahhh… bersunat macam kena gigit semut api aje,” pujuk si ibu.
Khalisah mengerutkan dahi. Dijelingnya pula Zurina yang duduk di sebelahnya. Kena gigit semut api bukan sakit ke?
“Hmmm… Kalaulah Haziq ada lagi…” Sayup-sayup suara Zurina yang agak lirih. Ada sesuatu yang mengetuk kotak memorinya sebaik menyebut nama itu.
Khalisah terkesima. Lagi sekali rakan baiknya itu dikerling. “Zue, ALLAH lebih sayangkan dia. Redhalah Zue.” Itu sahajalah yang mampu dikatakannya.
Zurina mengangkat muka. Sepasang matanya mula berkaca namun bibirnya sedaya upaya mempertahankan sebaris senyuman. Dia tidak mahu luka itu menjadi lebih dalam. “Tapi kalau Haziq ada sekarang… boleh dia temankan anak dia, Haikal lepas ni.”
Khalisah tidak mampu bersuara untuk membalas. Dia takut kalau kata-katanya akan menambah keperitan kepada perasaan rakan baiknya itu. Sungguh dia tahu betapa hebatnya penderitaan yang dihadapi oleh Zurina. Kehilangan Haziq, arwah suaminya gara-gara ditikam oleh perompak ketika rumah mereka di pecah masuk enam tahun lepas cukup memberi luka yang cukup bernanah buat Zurina. Tambah-tambah pula ketika itu, Zurina baru saja melahirkan Haikal yang hanya berusia beberapa hari. ALLAH… sungguh berat ujian yang perlu ditempuhnya!
Ruang udara di dalam kereta itu kembali sepi. Masing-masing melayani fikiran sendiri. Sesekali kedengaran suara keletah Haikal membunyi-bunyikan kereta mainannya.

MERIAH suasana di dewan orang ramai itu dengan hiruk-pikuk budak-budak lelaki yang akan ‘masuk jawi’ selepas ini. Bermacam-macam riak dan ekspresi terpancar pada wajah comel mereka. Ada yang belum apa-apa lagi sudah menangis. Ada yang diam membatu, takutlah agaknya tu. Ada yang control macho, boleh gelak-gelak lagi dengan kawan-kawan lain. Elehhh… dalam hati sebenarnya takut tu!
“Faqih, kamu tolong bagikan ubat ni pada budak-budak tu,” arah Pak Itam sambil menghulurkan plastik yang berisi ubat tahan sakit untuk kanak-kanak yang akan masuk jawi nanti.
Faqih menerima huluran tersebut. Lantas dia menuju ke arah kumpulan kanak-kanak yang sedang asyik dimandikan oleh pegawai bomba yang dipanggil khas oleh jawatankuasa kampung itu. Telatah mereka cukup menghiburkan hingga dia tertawa sendiri.
Selesai upacara mandi ‘berjemaah’, kanak-kanak tersebut mula ditanggalkan pakaian oleh ibu  bapa masing-masing. Tinggallah hanya kain pelekat yang membaluti pinggang mereka.
“Abang bagi anak abang makan ubat ni ya? Ni untuk tahan sakit,” beritahu Faqih kepada salah seorang bapa yang asyik memujuk anak lelakinya yang tidak mahu berhenti menangis itu. Takut sangat agaknya.
“Haaa, yalah. Terima kasih. Umar, makan ubat ya, nak?” Pujuk si bapa sambil mengusap-usap kepala anaknya.
“Adik, adik makan ubat ni, insya-ALLAH lepas ni tak sakit. Lelaki tak boleh takut sakit, dik.” Faqih cuba mengambil peluang memujuk. Kesian melihat si bapa memujuk tidak menjadi.
“Nanti Umar punya tak ada, Umar nak kencing pakai apa???” Jerit kanak-kanak yang mungkin berusia tujuh tahun itu. Agak kuat juga sehingga menyebabkan ‘jangkitan’ kepada budak-budak lelaki lain untuk turut sama menangis. Tangisan demi tangisan mula menggemakan ruang di dalam dewan itu.
Si bapa tepuk dahi. Macam mana nak terangkan ni?
Faqih menjongket sebelah kening. Namun, seketika kemudian ketawanya meletus perlahan. Lucu sebenarnya!
“Adik,” Faqih mencangkung, mengadap wajah kanak-kanak yang masih berendam air mata itu. Kepala itu diusap-usapnya.
Si kecil itu menggosok-gosok mata, namun pelan-pelan Faqih menurunkan tangannya.
“Adik, nanti tok mudim tak potong adik punya semua. Sikit aje, dik. Nanti, bila adik kencing, tak adalah kotor bila dah potong sikit tu. Lepastu boleh dah jadi imam. Adik tak nak jadi imam? Hmmm… nama adik Umar ya? Sepatutnya Umar kena berani, Umar kena kuat, Umar kena garang, garang macam Saidina Umar, sahabat nabi. Baru boleh tolong orang Islam,” pujuk Faqih lembut. Tidak ubah seperti seorang ayah memujuk si anak.
Umar memperlahankan tangisannya. “Umar boleh jadi imam?”
“Ya. Umar boleh jadi imam bila dah sunat. Jadi, jangan takutlah ya?” Faqih mengiakan. Seketika selepas tangisan kanak-kanak itu semakin reda, Faqih berdiri semula lalu mendapatkan kanak-kanak yang ke seterusnya untuk diberikan ubat.
Sehinggalah…
“Eh, Faqih?” Suara itu menegur agak kuat. Mungkin dia terkejut.
Faqih mengkebil-kebilkan biji mata. “Errr… Khalisah? Bbbuat apa kat sini?” Tergugup-gagap dia bersuara. Tidak jadi dia hendak menghulurkan pil penahan sakit di tangannya. Kanak-kanak lelaki yang hanya diam di sebelah Khalisah itu dijelingnya.
‘Khalisah sudah ada anak? Bila pula dia kahwin? Kenapa aku tak tahu?’ Berdesis-desis hati Faqih. Bercampur debaran.
“Lisa, kau nak pergi ambik gambar, pergilah. Aku jaga Haikal.” Datang seorang wanita menghampiri mereka.
“Mama… Haikal takut!” Barulah budak kecil yang diam itu bersuara melihat wanita yang baru muncul itu.
Faqih tersenyum. Lega mengetahui yang Khalisah belum berkahwin. Aik, kenapa pula dia yang rasa lega ya?
“Kak, ni ubat tahan sakit. Bagi anak akak makan.” Faqih tidak teragak-agak lagi memberikan ubat di tangannya kepada wanita yang baru muncul itu.
“Okey. Terima kasih,” balas wanita itu.
Sementara Khalisah masih terpempan. Kenapa boleh terjumpa pula dengan si Faqih ini di sini? Lagi dia hendak cuba melupakan lelaki itu, lagi muncul pula dia!
Faqih mengetap bibir. Tanpa sebarang suara, dia meninggalkan saja wanita itu. Ya ALLAH… hatinya diuji lagi!

SEORANG demi seorang kanak-kanak berjaya melepasi ujian ‘pertama’ mereka untuk menjadi ‘lelaki sejati’. Pak Itam memang handal. Dalam masa setengah jam, dia sudah berjaya mengkhatankan semua kanak-kanak yang terlibat dalam program khatan beramai-ramai itu.
Khalisah pula sibuk menghalakan lensa kamera DSLRnya. Kejap ke kiri, kejap ke kanan. Tidak betah dia bergerak. Sememangnya dia amat berminat dengan apa yang dilakukannya ini. Kamera sudah diibaratkan sebagai ‘suaminya’ yang nombor dua!
Jadi, siapa suami pertamanya? Biarlah misteri…
Riuh kanak-kanak masih belum reda. Ada yang dari awal memang senyap, tidak kurang juga yang masih menangis. Maklumlah, berkhatan secara tradisional.
Khalisah mengeluh perlahan. Barulah dia terasa penat mengangkut kameranya ke sana ke mari. Dari jauh dia hanya memerhati Zurina memujuk anak lelakinya yang masih menangis setelah beberapa minit dikhatankan. Biarlah… dia malas mahu kacau.
Khalisah keluar dari dewan tersebut. Skrin kameranya diperhatikan. Sambil berjalan, gambar-gambar yang diambilnya tadi dilihat satu per satu.
Bappp!!!
Hampir-hampir saja Khalisah terduduk ke tanah sebaik tubuhnya bertembung dengan tubuh lain yang lebih ‘sasa’ daripadanya. Kameranya juga terlepas dari tangannya, namun nasib baik kamera itu tergantung di lehernya… kalau tidak memang sudah berderai ke tanah!
“Euuuwwww…. Arghhhh… Apa awak buat ni???” Khalisah separuh menjerit bercampur geli-geleman sebaik menyedari baju mahalnya tercalit kesan darah!
Arghhhh!!!
Faqih terlongo. Pisau yang digunakan oleh Pak Itam untuk mengkhatankan budak-budak di tangannya itu terlepas ke tanah. Ya ALLAH… dia tidak sengaja!
“Awak ni kenapa, Faqih? Awak tengok baju saya? Huaaaaa… boleh gilalah saya dengan awak ni!” Rungut Khalisah. Mukanya kelat-kelat masam menangungg geli-geleman yang melanda urat saraf. ‘Arhhhh… baju aku!’
Faqih menepuk dahinya. Lafaz istighfar melantun-lantun di bibir. Dadanya berombak kencang… jelas kelihatan. “SSssaya… ssaya… mmminta… maaf!” Menggigil-gigil jejaka itu bersuara.
“Arghhhh! Awak tak habis-habis dengan maaf awak! Heh, baju saya ni mahal tau! Awak tengok apa yang awak dah buat? Huaaa… geli, tahu? Geli! Awak ni… Arghhhh!!!” Khalisah sudah hilang kata-kata bagaimana hendak melepaskan geramnya. Geram! Marah! Geli! Semuanya! Sudah banyak mata memandang adegan itu… namun, rasa sakit hati Khalisah yang terlalu menebal tidak mampu menghalangnya untuk berhenti menjerit.
‘Kenapalah mamat ni suka buat hidup aku merana?’ Khalisah mengherot-herotkan bibir memandang Faqih. Keningnya jatuh. Matanya tajam.
Faqih menggaru-garu kepala. Dia sudah meminta maaf, namun… “Awak, saya minta maaf!”
“Ah! Maaf-maaf! Aku sunatkan kau baru kau tahu! Huarghhhh!” Khalisah bertempik, menghamburkan amarahnya. Sudah beraku-kau pula kini. Kata-katanya sudah tidak dijaga lagi.
Faqih terloncat sedikit ke belakang. Terkejut dia mendengar kata-kata anak majikannya itu. ‘Ewah-ewah perempuan ni! Berani dia nak sunatkan aku???’
Khalisah merengus. Setelah menjerit buat kali yang terakhir khas untuk si jejaka, wanita itu berlari entah ke mana-mana. Mungkin hendak mencuci kesan darah pada baju mahal katanya itu.
Faqih meraup wajah. ‘Ya ALLAH… kenapa dengan aku?’
Lelaki itu hanya tersengih-sengih lalu mengangkat tangan sebaik terperasan ada beberapa orang sedang memerhatikannya dengan mata yang tidak berkelip.



Tuesday, January 8, 2013

CERPEN : SEBELUM BERSAMAMU


ADA seiras senyuman menukil di bibirnya. Pelan-pelan, lafaz tahmid diucap. Alhamdulillah… ketenangan serta-merta mengalir dalam sekeping hatinya.
“Macam mana dengan keadaan dia, doktor?” Hanan Insyirah bertanya, lebih tenang kini. Wajah lelaki yang jelas kelihatan ada lingkaran di bawah matanya itu dipandang penuh mengharap.
“Keadaan dia stabil. Cuma dia perlu banyak minum air. Errr… awak isteri dia ke?” Jelas doktor lelaki itu. Sekali gus menduga Hanan Insyirah dengan pertanyaan ‘cepu emas’ itu. Drastik Hanan Insyirah mengangkat wajah yang menunduk ke lantai. Laju dia menggeleng.
“Bukan! Saya bukan isteri dia.” Gelabah puyuh Hanan Insyirah menjawab. Isteri? Isteri kepada Muhammad Amar Hafiz? Siapa dia hendak memasang impian terhadap teruna itu?
Doktor itu tersenyum sumbing. Perlahan-lahan dia mengangguk. “Tak apalah. Apapun, nasihatkan dia supaya banyak minum air. Bahaya kalau tekanan darah terlalu rendah.”
Hanan Insyirah menahan nafas. “Baiklah, doktor. Terima kasih.”
Doktor lelaki itu mengangguk. Beberapa ketika kemudian, lelaki berkot putih itu hilang dari pandangan.
“Kak,” bahu Hanan Insyirah dicuit lembut dari belakang. Perlahan dia memusing tubuh.
“Hakim, mana kau pergi tadi?” Berkerut dahi Hanan Insyirah melihat adik bujangnya yang tiba-tiba muncul itu.
“Hakim pergi tandaslah, kak. Tak tahan. Ha, doktor dah kata apa-apa ke?” Sengih Hakim.
“Dah. Doktor kata dia okey. Kim, akak pergi dulu tau. Pesan kat dia yang doktor suruh minum air banyak-banyak. Tekanan darah dia rendah. Ha, satu lagi… jangan beritahu dia yang akak ada sekali kat sini.” Panjang berjela ‘amanat’ Hanan Insyirah.
Garu kepala si Hakim. Bertaut keningnya. “Kenapa kak?”
“Jangan tanya kenapa. Akak pergi dulu. Assalamualaikum,”
Hakim sudah tersenyum kambing. “Waalaikumussalam,”
Hanan Insyirah membuka langkah, meninggalkan Hakim  yang masih berdiri di ruang menunggu itu. Dia hanya mahu ‘melarikan diri’ dahulu sebelum Muhammad Amar Hafiz keluar dari bilik rawatan. Dia tidak mahu pun kewujudannya disedari oleh teruna itu. Dia tidak mahu…
Hanan Insyirah menghela nafas dalam.

HANAN Insyirah  menutup pintu kereta. Keluhan kecil dilepaskan. Matanya tertancap pada Mini Cooper yang terparkir di sebelah Proton Personanya itu. Perlahan-lahan dia tersenyum.
“Assalamualaikum, Julia!” Sergah Hanan Insyirah. Terduduk wanita yang sedang berbaring-baring di hadapan televisyen itu. Cemberut mukanya memandang Hanan Insyirah yang sudah tertawa perlahan.
“Waalaikumussalam, Hanan! Kau ni, bagilah salam dulu!” Sungut Julia. Jelas dia terkejut beruk disergah oleh housematenya itu.
“Eh, yang aku ucap assalamualaikum tadi tu apa?” Hanan Insyirah masih tertawa. Tiba-tiba saja dia jadi ceria lain macam. Berkerut-kerut dahi Julia.
“Kenapa kau happy sangat ni? Ha, mana kau pergi? Yana dari tadi nak jumpa kau. Tapi dia dah pergi dulu sebab kau lambat sangat. Mana kau pergi ha?” Bertalu-talu Julia melemparkan soalannya. Siaran di televisyen tidak menarik minatnya lagi. Lantas remote control dicapai lalu volume suara diperlahankan.
Hanan Insyirah melepaskan keluhan lagi. Soalan Julia dibiarkan tidak berjawab dulu. Punggungnya dilabuhkan ke sofa. Renungan  panjang dilemparkan ke luar tingkap.
“Muhammad Amar Hafiz…” nama itu meluncur perlahan di bibir Hanan Insyirah.
Serta-merta biji mata Julia membulat. Bibirnya pun ikut melebar ke tepi. Tergesa-gesa dia bangun lalu menghempukkan punggungnya di sebelah Hanan Insyirah. Teruja benar lagaknya. “Amar Hafiz? Ha, kenapa dengan dia? Kenapa? Cepat beritahu aku!”
Bahu Hanan Insyirah digoncang-goncangnya bagai nak gugur bumi dibuatnya! Hanan Insyirah tersentak. Urut dada wanita itu. “Ya Allah, Julia! Kenapa dengan kau ni?”
“Ceritalah cepat.” Julia sudah merayu-rayu lalu tersengih sendiri.
“Hmmm… masa nak balik dari kuliah, dia… dia pengsan dekat kereta dia. Kebetulan cuma aku yang ada kat situ. Tapi Jue, aku takkan langgar batas-batas agama selagi aku mampu. Aku telefon si Hakim suruh bawak dia pergi hospital. Doktor cakap dia kena hipotensi.” Perjelas Hanan Insyirah akhirnya. Lagi sekali nafas dalam dihela. Saat yang terjadi tadi masih terimbau-imbau di ingatannya. Sungguh dia memang risau benar waktu itu jika ada yang buruk-buruk menimpa Muhammad Amar Hafiz…
Julia menggeleng perlahan. Lama dia membisu sebelum bersuara. Mungkin sedang memikir apa yang sesuai untuk diucapkan. “Hanan… Hanan… patutlah happy semacam aje ya? Huhu… tapi ada ‘kureng’ sikitlah.”
“Apa yang kurangnya?”
“Patutnya kau kena bijak ambil peluang. Masa tulah kau boleh tonjolkan keprihatinan kau pada dia. Patutnya kau sendiri yang bawa dia ke hospital. Tak payah telefon si Hakim tu.  Kau tak nak ke dia perasan kewujudan kau?” Duga Julia. Sedikit sebanyak cuba membawa ‘pengaruh’ kepada rakan serumahnya itu.
Hanan Insyirah tetap tersenyum. Perlahan dia menggeleng. “Tak, Jue. Amar Hafiz dengan aku adalah ajnabi. Sehabis boleh aku cuba untuk jaga batasan dalam agama. Asalkan kau tahu, dalam hidup ni aku cuma cari redha Allah. Sekalipun dia takkan pernah tahu apa perasaan aku pada dia buat selamanya, aku tak kisah kalau itu yang Allah takdirkan untuk aku, sebab aku tahu, perancangan Allah itulah sebaik-baik rancangan.”
Julia terkedu. Walaupun sebenarnya dia sudah agak naik rimas dengan pendirian teman serumahnya itu, namun… dia tidak mampu berkata apa-apa. Hanan Insyirah tetap dengan ‘agamanya’. Sikit-sikit haram… itu tak boleh, ini tak boleh… rimas! Gerutu Julia dalam hati.
“Lantak kaulah, Hanan. Yang pastinya, kau jugak yang rugi nanti.” Omel Julia lalu bangun dari sofa yang diduduki, lantas menghilang dari pandangan Hanan Insyirah, menuju ke tingkat atas.
Hanan Insyirah tetap tersenyum. Ya, mardhatillah adalah segalanya!
“SIAPA yang jadi imam tadi?” Tiba-tiba Yana bersuara. Pertanyaan itu hanya dibalas dengan senyuman kecil Hanan Insyirah yang masih belum selesai melipat kain telekung.
“Elehh… buah hati si Hanan tulah! Amar Hafiz…” ada satu suara lain menyampuk. Drastik Hanan Insyirah menoleh mendengar suara itu. Adlina, teman serumahnya juga itu sudah mengenyit-ngenyit matanya.
“Apa yang kau orang cakap ni? Serius… aku tak suka. Aku dengan dia tak ada apa-apa pun.” Balas Hanan Insyirah. Jelas nadanya kurang senang dengan kata-kata Adlina tadi.
“Kesian kau, Hanan. Kau tak rasa seksa ke simpan perasaan macam ni? Hanan, kalau kau tak buat apa-apa tindakan, sampai bila-bila pun Amar Hafiz tak tahu perasaan kau.” Tokok Adlina lagi.
“Lina, aku tak pernah kisah dengan semua tu. Biarlah takdir Allah menentukan segalanya. Sebenarnya aku ada impian lain lepas kita graduate nanti.” Beritahu Hanan Insyirah, redup bunyinya.
“Impian apa lagi? Kahwin dengan Amar Hafizlah kan?” Teka Yana berbaur sindiran. Hanan Insyirah menghela nafas dalam.
“Kau orang… tolonglah. Jangan kaitkan aku dengan dia lagi. Hmmm… sebenarnya aku nak masuk maahad tahfiz lepas graduate nanti. Itulah impian aku dari dulu lagi, nak tiga puluh juzuk Al-Quran ada dalam ingatan aku ni sentiasa sebelum impian-impian lain menyusul.” Luah Hanan Insyirah. Tertutup-tutup matanya. Yana dan Adlina terlongo.
“Apa? Eh… kau nak hafal Quran? Eh kau sedar tak umur kau berapa?” Terjah Yana. Terkejut benar dia mendengar pengakuan Hanan Insyirah.
“Ya. Aku dah dua puluh tiga tahun. Salah?”
Adlina dan Yana berpandangan.

AMAR Hafiz menghela nafas dalam. Wajah pasangan lelaki dan perempuan yang menunduk ke bawah itu dipandang dengan kening yang berkerut seribu. “Adik percaya pada Allah?”
Pasangan kekasih itu berpandangan sebelum bersuara. “Abang tak nampak ke perkataan ‘Islam’  dalam IC tu?” Balas si lelaki dengan pertanyaannya yang agak kurang ajar.
Namun Amar Hafiz tetap bersabar. “Ya. Abang faham sekarang. Adik hanya Islam dalam IC.”
“Kurang ajar!” Bentak si lelaki tiba-tiba. Namun, lekas-lekas ditenangkan oleh Hakim turut berada di situ.
Setelah semuanya reda, Amar Hafiz menyambung lagi apa yang hendak disampaikannya. “Marah? Kenapa adik marah?”
“Abang jangan nak pertikai apa agama saya! Mak bapak saya Islam! Saya lahir dalam keluarga Islam! Saya bukan kafir laknat! Abang jangan nak perlelekehkan pegangan saya!” Lagi sekali si lelaki nak hantu. Berapi-api amarahnya. Sementara si gadis di sebelah sudah mengogoi kesedihan.
“Hum… hum… itulah masalah kita sekarang. Bila orang kata kita kafir, marah. Bila orang perlekeh agama kita, marah. Tapi kita tak sedar, sebenarnya diri kita sendiri yang perlekeh agama kita. Umat Islam sekarang hanya sensitif bila orang lain perlekeh perkataan ‘Islam’. Tapi langsung tak terkesan bila suruhan Islam diperlekeh.” Ucap Amar Hafiz panjang lebar.
Bagai termalu sendiri, si lelaki tunduk kembali dengan wajah yang merona merah.
“Adik tahu tak, berdua-duaan dalam tempat sunyi antara lelaki perempuan yang tak ada apa-apa ikatan, sama saja dengan perlekehkan hukum Allah? Adik ada rasa marah tak pada diri adik sendiri bila adik buat semua tu? Padahal jelas, adik dah perlekeh suruhan Islam.” Tokok Amar Hafiz lagi. Jelas nadanya tegas yang bukan dibuat-buat. Sehingga menggamit pasangan lelaki dan perempuan itu lebih tertunduk ke bawah. Bisu… mereka terus menikus. Mungkin masing-masing sudah disembur darah merah pada wajah mereka.
“Bila nafsu dah menguasai, iman jatuh di tangga yang akhir sekali.” Sampuk Hakim tiba-tiba. Baru kedengaran suaranya. Dari tadi dia hanya diam memerhati.
Amar Hafiz tersenyum. “Ya, sebagai manusia biasa, kita memang takkan terlepas dari buat dosa kerana kita tak maksum macam Rasulullah. Tapi ingatlah pesan Nabi kita yang satu ni, jika kamu berpegang teguh pada kedua-dua ini, nescaya kamu takkan sesat selamanya, iaitu Al-Quran dan Sunnahku… abang percaya, kalau kita betul-betul jadikan Al-Quran dan sunnah Rasulullah betul-betul sebagai cara hidup kita, kita takkan mudah terbabas. Dalam Al-Quran dah sebut, jangan hampiri zina… dan kalau adik betul-betul hayati suruhan Al-Quran tu, abang yakin adik akan fikir banyak kali sebelum buat apa yang adik dah lakukan ni.” Nafas panjang dihela setelah ucapan itu disempurnakan dari bibirnya. Amar Hafiz mengetap bibir seketika. Wajah pasangan itu ditatap penuh rasa terkilan, bimbang dan gusar… bercampur-aduk semuanya!
“Tapi kami tak berzina! Kami duduk-duduk aje!” Si perempuan yang diam dari tadi tiba-tiba menjerkah.
“Adik, faham tak maksud ‘jangan hampiri zina’? Allah tak sebut pun jangan berzina… sebab apa? Sebab Allah  tak mahu kita mula walaupun pada bibit-bibit awal perkara tu. Lihat, kasih-sayang Allah kepada kita… Dia tak mahu langsung hamba-Nya terpalit walau secebis noda. Tapi sayang, kita tak pernah nak faham ‘kasih-sayang’ Allah tu. Adik, abang cuma nak pesan, tak ada satu perhubungan yang halal antara lelaki dan perempuan dalam Islam melainkan perkahwinan. Selagi adik tak punya ikatan pernikahan, adik masih belum bebas untuk berdampingan dengan pasangan adik walaupun hanya sekadar duduk-duduk sama-sama. Ingatlah, di tengah tu sentiasa ada yang ketiga, iaitu syaitan.” Amar Hafiz terus menambah tazkirahnya dengan semangat yang tidak pernah luntur. Kerana hatinya kuat merasakan bahawa ini juga adalah tanggungjawabnya.
Tiba-tiba si perempuan teresak-esak lebih kuat dari tadi. Air mata yang mengalir lekas-lekas diseka agar tidak turun menghujani seluruh wajah. “Tapi… saya tak mampu nak tahan. Saya remaja, bang. Macam remaja lain yang ada keinginan untuk belajar apa itu cinta. Saya tak mampu nak kawal hati saya. Saya memang nak sangat ada seorang kekasih macam kawan-kawan yang lain dan nikmat bercinta tu saya dah rasa, bang. Saya tak mampu nak elak lagi.”
“Sebab itulah dalam Islam tak ada perhubungan halal yang lain selain perkahwinan. Allah tak mahu kita hidup dalam cinta fantasi, dik. Apa yang adik rasa tu cuma keinginan sementara saja, mungkin sudah bercampur dengan nafsu. Ingat dik, Allah pun dah sediakan alternatif lain untuk kita kawal hati kita. Apa alternatif tu? Tundukkan pandangan… dari situ, taklah timbul dari mata turun ke hati dan insya-ALLAH, hati kita akan sentiasa terpelihara.” Amar Hafiz terus berhujah. Pasangan itu kembali menikus. Mudah-mudahan pesanan panjang lebar tadi mampu membuka ruang minda remaja mereka yang masih keliru akan ke mana destinasi terakhir kita sebagai hamba kepada Dia yang Maha Esa… Ya, antara syurga dan neraka!
Beberapa minit berlalu, dan akhirnya pasangan lelaki dan perempuan yang masih belasan tahun itu dilepaskan pulang setelah ‘dibasuh’ dengan tazkirah Amar Hafiz tadi.
Bahu Amar Hafiz dipegang erat. “Amar, tahniah atas hujah tadi.” Ucap Hakim.
Amar Hafiz menggeleng perlahan. “Itu memang dah tanggungjawab kita, Kim. Aku tak sanggup tengok remaja sekarang dah tak kenal Tuhan sendiri…”
“Yalah, Amar. Nak salahkan dia orang seratus peratus, dia orang tu mentah lagi, masih tercari-cari arah dalam hidup ni. Sayangnya, arah yang dia orang pilih tu tak betul pulak.” Keluh Hakim perlahan.
“Arah kita hanya betul bila berpandukan ‘kompas’ Al-Quran dan Sunnah aje, Kim. Itulah masalah umat Islam sekarang. Ambil Islam sebahagian-sebahagian saja.” Amar Hafiz pula melepaskan keluhan. Berkerut-kerut dahinya memikirkan masalah umat zaman ini… yang takut-takut untuk mengamalkan Islam sepenuhnya.
“Hmmm… ha, Amar, kau tu asyik dengan kempen antimaksiat kau je, kesihatan diri kena jaga jugak. Doktor pesan suruh minum air banyak-banyak. Tekanan darah kau rendah, tahu!” Omel Hakim yang sudah masuk ke topik lain.
Amar Hafiz ketawa pula. Macam lucu benar dengan apa yang didengarinya. “Yalah, cik abang. Kau membebel, buat aku teringat kat seseorang…”
“Siapa???” Terbeliak mata Hakim.
“Mak aku,” Amar Hafiz terus tertawa perlahan.

SELESAI kuliah, Hanan Insyirah bergegas ke kafeteria untuk memenuhkan perut yang sudah ‘berdondang-sayang’. Pagi tadi pula dia tidak sempat bersarapan kerana agak terlewat bertolak dari rumah sewanya. Semuanya gara-gara lepas solat subuh tadi dia terlena sebentar. Sedar-sedar, suasana dah terang!
Dari jauh, kelihatan Julia sudah menunggu di salah sebuah meja di situ. Lantas meja itu dihampiri setelah pesanan dibuat. Tanpa dipelawa, terus Hanan Insyirah melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan Julia yang masih enak menikmati Jus Oren.
“Assalamualaikum, Jue.”
“Waalaikumussalam. Hai… lapar ke ni?” Soal Julia sambil mengangkat sebelah kening memandang makanan yang dipesan oleh Hanan Insyirah.
“Agaklah. Aku tak jamah langsung makanan hari ni.”
“Kau tidur lepas subuh buat apa? Puas aku kejut kau.”
“Mengantuklah. Aku tak tahan.” Hanan Insyirah memulakan suapan pertama setelah membaca basmalah.
Julia mengherotkan sebelah bibir. Matanya melilau sekeliling sebelum bersuara, “kau tengok sekeliling kau,”
Hanan Insyirah berhenti menyuapkan makanan ke mulutnya. Lantas dituruti saja telunjuk Julia itu. Melilau matanya memandang ke segenap inci kafeteria itu. “Kenapa?”
“Kau tak nampak orang sekeliling kau tengah syok memadu kasih? Kau tak teringin ke?” Soal Julia berterus-terang akhirnya.
Hanan Insyirah menyambung lagi suapannya. Lama dibiarkan soalan itu tidak berjawab. “Biarlah dia orang. Aku tahu, satu hari nanti Allah akan bagi yang terbaik untuk aku.”
Julia merengus. “Itu ajelah modal kau. Eh, kau tak payah hipokritlah, Hanan. Hati kau sama jugak macam hati orang lain. Tak ada sorang pun dalam dunia ni yang kebal dengan cinta.”
Hanan Insyirah tersentak. Kata-kata Julia boleh dikatakan bagai pedang yang tiba-tiba menikam kalbunya. Namun, Hanan Insyirah tetap tersenyum. “Memang. Mana ada manusia yang kebal dengan cinta! Cinta tu anugerah Allah pada semua orang. Adolf Hitler tu pun simpan gambar mak dia dalam dompet dia… kerana apa? Kerana cintalah! Cinta pada mak dia! Aku nak pesan satu pada kau, Jue. Pandanglah cinta tu dengan skop yang lebih luas. Cinta tak semestinya dikaitkan dengan kisah tautan dua hati antara lelaki dan perempuan. Yang lebih penting, sebelum kau pandang cinta yang lain, kau kena pandang cinta yang paling agung dulu. Cinta Allah dan Rasul-Nya…”
Julia merengus lebih kasar kini. Hatinya mula panas dengan kata-kata Hanan Insyirah yang baginya agak ‘kealiman’ dan ‘hipokrit’ itu. Inilah yang membuatkan dia sering bertegang urat dengan Hanan Insyirah… baginya, Hanan Insyirah terlalu hipokrit!
“Kolotlah kau ni!” Terpacul ayat itu tiba-tiba dari bibir Julia.
Hanan Insyirah terkedu.
“Betul kata Julia tu, Hanan. Okeylah, aku tahu kenapa kau boleh bercakap macam tu sekali… sebab kau tak pernah ‘merasa’. Apa kata sekali kau rasa? Aku percaya, tak ada satu pun alasan kat dunia ni lagi bila kau dah rasa macam mana nikmatnya.” Tiba-tiba datang suara asing mencelah. Hanan Insyirah menoleh sekilas. Adlina sudah tercegat di situ.
Hanan Insyirah tunduk. Kolot? Kolotnya dia kerana tidak berhubungan dengan insan yang bernama lelaki atas dasar kekasih? Walaupun itu jelas akan mendatangkan murka Allah? Begitukah?

AMAR Hafiz mengangkat brek keretanya. Keluhan panjang dilepaskan. Lekas dia menuruni keretanya. Ketika hendak menutup pintu pagar, muncul seorang kanak-kanak perempuan berbaju kurung datang menghampirinya.
“Assalamualaikum, Abang Amar,” keletah suara kanak-kanak itu memberi salam.
“Waalaikumussalam, adik ni siapa?”  Balas Amar Hafiz yang masih kepelikan melihat kanak-kanak tersebut.
“Saya Atirah. Panggil Tira je. Hehe… saya nak kasi surat pada abang.”
“Surat?” Terangkat sebelah kening Amar Hafiz.
Kanak-kanak bernama Atirah itu mengangguk. “Ni. Ada orang kasi pada abang. Saya pergi dulu, assalamualaikum!!!” Setelah diserahkan sampul surat berwarna putih itu kepada Amar Hafiz, bagai tidak cukup tanah Atirah berlari menghilangkan diri, belum sempat Amar Hafiz hendak bersuara. Terpinga-pinga lelaki itu.
“Tira, tunggu!!!” Jerit Amar Hafiz yang masih kebingungan. Namun, Atirah lebih laju membuka langkah.
Amar Hafiz melapiskan kening. Surat di tangannya itu dibelek-belek penuh tanda tanya. Dadanya berombak semacam. Kenapa ya?
Lantas sampul surat itu dikoyakkan, tidak mahu menunggu lagi. Debaran dalam hatinya sudah menggila benar. Satu per satu isi surat itu diperhati…
Assalamualaikum,
Buat Muhammad Amar Hafiz, di atas lembaran ini saya hendak coretkan segalanya untuk pengetahuan awak. Kerana, hanya ini yang termampu saya lakukan untuk memberitahu awak akan apa yang ingin benar saya mahu awak ketahui. Tiada cara lain dek rasa malu yang menebal dalam diri ini. Saya minta maaf kalau ini mungkin membuatkan awak merasakan yang saya tidak bersungguh-sungguh untuk menyampaikan hal ini kepada awak. Namun jujur, hanya ini yang saya termampu.
Sekian lama saya perhati awak dari jauh, saya mula merasakan ada rasa ‘lain’ tiap kali mata ini terperasankan kewujudan awak. Dan ya, saya tidak perlu menerangkan lagi apa perasaan itu… saya yakin awak sudah boleh mengerti sendiri.
Ketahuilah, sekarang saya tidak teragak-agak lagi untuk mengakui bahawa hati ini sudah mula terpaut pada Muhammad Amar Hafiz.
Ikhlas dari Hanan Insyirah.
Mata Amar Hafiz terus membulat meneliti setiap bait isi surat berwarna putih, bertulisan tangan itu. Kali ini dia tidak boleh menahan lagi debaran kencang di dadanya. Darah rasa macam tidak mengalir ke seluruh urat nadi.
Namun, beberapa ketika kemudian, ada senyuman perlahan-lahan terukir di bibir Amar Hafiz.

DADA Hanan Insyirah berdebar semacam. Sungguh, dia memang tidak senang duduk kini! Terkumat-kamit  dia mengatur bait zikrullah di bibir. Sesekali matanya terpejam-celik bagai menahan ‘sesuatu’ yang amat berat!
Ketukan pintu bilik menyentak perasaannya. Hanan Insyirah mengurut dada. Lemah suaranya menyuruh orang di luar memasuki saja ke biliknya itu.
“Kak,” sapa Hakim yang kini sudah duduk di sebelah Hanan Insyirah tanpa dipelawa.
“Akak takut, Kim.” Sayup suara Hanan Insyirah.
“Apa yang nak ditakutkan, kak? Patutnya akak bersyukurlah… ada jugak orang berkenan kat akak!” Sempat Hakim mengusik. Tertawa kecil lelaki itu.
Hanan Insyirah mencubit ketam lengan Hakim. Boleh pula dia ketawa pada saat-saat getir ini! “Tak baiklah kau ni, Kim! Akak takutlah… siapalah agaknya dia kan?”
Hakim menjuih bibir tak semena-mena. “Buat-buat tak tahu pulak!”
“Hanan, dia orang dah sampai!” Laung Puan Hazimah yang sudah terpacul di muka pintu.
Hanan Insyirah menahan sesak dada. Hakim sudah tersenyum-senyum sendiri. Entah apa yang menggembirakan lelaki itu saat ini? Kakaknya itu pula sudah pucat tak berdarah. Mana tidaknya… hendak jumpa bakal mertua!
Puan Hazimah menghampiri Hanan Insyirah. Lengan anak gadisnya itu dipegang erat. “Lekas, Hanan. Dia orang dah tunggu. Apapun, buatlah keputusan yang Hanan rasa terbaik buat diri Hanan.” Ucap Puan Hazimah penuh hemah seorang ibu.
Hanan Insyirah meneguk liur. Kepalanya terus dihujani tanda tanya. Siapa pula yang tiba-tiba sudi mahu menyuntingnya ini? Siapa gerangan itu?
Hanan Insyirah tiba di ruang tamu diiringi oleh Puan Hazimah. Air liurnya terasa pahit untuk ditelan. Namun… tiba-tiba dia terpana sendiri.
Amar Hafiz!!! Apa lelaki itu buat di sini?
Lutut Hanan Insyirah terasa longlai. Longlai bagai tidak bertempurung lagi. Jejaka yang bernama Amar Hafiz inikah yang telah membuka hatinya untuk memberi ruang kepada seorang gadis yang bernama Hanan Insyirah? Jejaka inikah yang memperlihatkan kesudiannya untuk menyunting Hanan Insyirah? Teruna inikah???
“Amar Hafiz, sungguh jika Allah mentakdirkan awak untuk diri saya, saya redha dengan hati yang lapang. Saya terima dengan hati yang terbuka. Lebih membahagiakan saya ialah kalau awak memang benar-benar nekad dengan keputusan awak ini dengan hati yang ikhlas. Dalam hidup ni saya tak cari yang lain, awak. Hanya redha Allah cita-cita tertinggi saya. Jadi saya bertawakal atas segala yang Dia kurniakan untuk saya kerana saya tahu, kurniaan Dia kepada saya sentiasa yang terbaik. Tapi sebelum itu Amar Hafiz… saya minta izin daripada awak, saya mahu tiga puluh juzuk Al-Quran terpasak di ingatan saya sebelum kita mengatur soal hati kita ke arah yang lebih jauh lagi.” Tenang kata-kata itu terlafaz dari bibir Hanan Insyirah. Ya, dia merasakan lagi ketenangan itu. Sungguh syukurnya saat ini tidak terucap!
Amar Hafiz menahan nafas seketika. Bersaksikan orang tuanya dan ibu bapa Hanan Insyirah, dia menutur kata… “Hanan Insyirah, jujur, saya mula rasakan perasaan ‘asing’ datang setiap kali terperasankan kewujudan awak. Lama-kelamaan saya sendiri tak mampu berselindung dengan perasaan ni… ya, saya mengimpikan untuk membawa awak bersama-sama saya melalui hidup ini. Saya mahu melangsaikan ‘hutang’ membawa awak ke syurga-Nya yang hakiki dengan iman yang ada.  Saya mahu membawa tautan hati ini ke arah mardhatillah yang agung. Dan jujurnya, saya juga ingin meminta izin… yang saya juga mahu meletakkan tiga puluh juzuk Al-Quran dalam ingatan saya sebelum kita membawa hubungan kita ke destinasi yang sebenarnya. Saya mengimpikan Al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk rumah tangga yang bakal kita bina. Sebab itu saya mahu memahami dahulu sebelum saya boleh membawa awak juga mengikuti dua pusaka Rasulullah itu. Dan juga… saya amat mengimpikan Al-Quran dan Sunnah sebagai lambang tautan hati kita, supaya cinta kita tak sesat selama-lamanya…”
Suasana hening serta-merta, sekali datang dengan kedamaian yang masuk menerpa-nerpa melalui celahan hatinya. Hanan Insyirah menghela nafas… dalam. Kali ini dia tidak teragak-agak untuk tersenyum lagi.
Jika inilah yang ditakdirkan Allah Taala…
EMPAT TAHUN KEMUDIAN…
SAKINAH jelas terasa mengiringi suasana di majlis penyatuan dua hati itu. Akhirnya, Hanan Insyirah selamat bergelar isteri kepada seorang jejaka bernama Muhammad Amar Hafiz… ya, setelah segala impian tercapai.
Pasangan pengantin baru itu berpandangan. Jelas pipi mereka merona marah… mungkin masih malu-malu.
Hanan Insyirah menahan debar di dada. Dia tidak pasti apa rasanya kini. Cuma satu yang pasti kini, dia begitu bersyukur kerana Dia telah mengabulkan doanya selama ini untuk menjadi seorang al-hafizah. Alhamdulillah… moga-moga dengan Al-Quran yang sudah tersemat di dada ini mampu menjadi petunjuk kepada rumah tangga yang baru dibina ini agar tidak sesat selama-lamanya…
Ketika tetamu semua beransur pulang, Amar Hafiz mengambil peluang mendekati Hanan Insyirah yang sedang leka mengemas-ngemaskan periuk belanga di dapur. “Assalamualaikum…”
Hanan Insyirah kaku sebentar. Lama-lama baru dia membalas salam itu. “Waalaikumussalam…”
Kali ini, Amar Hafiz pula diam. Tiba-tiba canggung pula. “Hanan… errr… terima kasih.”
“Terima kasih?” Hanan Insyirah tidak mengerti.
Amar Hafiz menarik nafas dalam. “Terima kasih sebab terus setia untuk membawa tautan hati kita sampai ke tahap ni.”
Hanan Insyirah tersenyum. “Semuanya takdir Allah Taala… abang.”
Lekas Amar Hafiz mengangkat muka yang menunduk. Abang? Dia tidak silap dengarkah? Hanan Insyirah pula sudah tersipu-sipu melihat reaksi suaminya itu.
“Terima kasih juga sebab Hanan sudi mulakan langkah pertama dalam tautan hati kita ni. Kalau tak, sampai bila-bilalah abang tanggung perasaan ni sorang diri.” Ucap Amar Hafiz, ada nafas lega pada penghujungnya.
Bertaut kening Hanan Insyirah. Terpinga-pinga seketika. “Errr… Hanan yang mulakan? Maaf, bang… Hanan tak faham.”
Amar Hafiz pun ikut mengerutkan kening. Lama-lama dia tersenyum sendiri. “Wah, Hanan mesti dah lupa ni! Macam mana ni, yang? Baru empat tahun dah lupa kisah cinta sendiri…” Amar Hafiz tertawa pula seperti kelucuan. Garu kepala Hanan Insyirah yang makinlah tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh suaminya itu.
Amar Hafiz menyeluk poket seluarnya. Lalu perlahan-lahan ditarik keluar sehelai kertas berwarna putih yang sudah berlipat empat. Lantas diserahkan kepada isterinya itu. “Surat nilah yang dah buat abang tak tidur semalaman tau… sebab, excited tengok nama pengirimnya.”
Hanan Insyirah makin tidak faham dengan situasi. Lantas dibuka lipatan surat itu dan meneliti setiap bait kandungan yang tercatit… Hanan Insyirah terlongo tidak berkutik.
“Abang, tapi…”
“Betul. Bukan Hanan Insyirah yang kirim surat tu. Sayalah pengarang surat tu.”
Serentak itu, Hanan Insyirah dan Amar Hafiz berpaling ke belakang. Mata mereka membundar tidak percaya. Bagai sudah direnjat elektrik bervoltan tinggi.
“Julia…” terluncur nama itu di bibir Hanan Insyirah. Dan serentak itu dia merasakan… ada air hangat yang sudah bertakung di pelupuk matanya.
Amar Hafiz membisu. Memori empat tahun lepas berputar kembali… membawa wajahnya terasa panas dengan perasaan malu yang kembali bercantuman. Betulkah apa yang didengarinya ini?
“Hanan, maafkan aku. Aku buat semua ni untuk kebaikan kau. Aku tak nak kau terus simpan harapan pada yang tak pasti. Sebab itu aku cuba tolong kau untuk pastikan hal ni… dan tak sangka pulak sampai membawa kau orang ke tahap ini. Apapun, niat aku baik Hanan.” Perjelas Julia akhirnya. Dan… air mata Hanan Insyirah mengalir juga.
“Hanan Insyirah, isteri abang… jangan menangis, sayang. Percayalah, bukan kerana surat tu kita bertautan hati pada hari ni. Tapi kerana qada’ dan qadar Allah, Hanan. Apapun Julia, walaupun surat tu bukan datang daripada Hanan, saya tetap berterima kasih pada awak. Surat tulah salah satu sebab kenapa saya tak teragak-agak nak menyunting Hanan Insyirah yang sebenarnya selama ni dah mengambil hati saya. Cuma sebab rasa malu yang menebal, saya pendam perasaan tu.” Luah Amar Hafiz, lantas menghampiri Hanan Insyirah. Tidak semena-mena disekanya air mata wanita itu yang tidak boleh dikawal lagi dengan hujung jarinya.
Hanan Insyirah terkedu. Hanya esakannya yang masih kedengaran. Mungkin masih terkejut…
“Aku pergi dulu, Hanan. Aku harap kau maafkan apa yang aku dah buat ni. Sekali lagi aku cakap, niat aku baik, Hanan. Selamat pengantin baru. Assalamualaikum,” lirih suara Julia. Dan beberapa ketika kemudian, bayangnya hilang dari pandangan.
“Awak redha dengan semua ni, Hanan?”  Amar Hafiz kembali tertumpu pada isterinya.
Hanan Insyirah mengambil nafas sedalam yang boleh. Dia membatu sebentar sebelum bersuara… “jika memang ini takdir Allah Taala, Hanan tetap terima dengan hati yang lapang dan ikhlas. Sebab rancangan Allah itulah sebaik-baik perancangan dan sentiasa yang terbaik. Abang, Hanan bersyukur pada Allah kerana akhirnya Dia kurniakan Muhammad Amar Hafiz dalam hidup Hanan… Muhammad Amar Hafiz yang sebenarnya dah lama bertaut dalam hati Hanan ni.” Terlafaz kata-kata itu, mengiringi lagi sebuah ketenangan yang baru tercipta. Hanan Insyirah mengambil kedua-dua belah tapak tangan suaminya, lalu digenggam erat.
“Alhamdulillah, lega abang dengar. Errr… Hanan, boleh abang minta satu benda?” Amar Hafiz mengangkat kening.
“Ya?”
“Sambung esoklah kerja mengemas ni ya? Abang nak… abang nak dengar Hanan lagukan ayat Al-Quran depan abang, tanpa lihat kitab tau! Hanan dah jadi hafizah kan?” Jelas Amar Hafiz. Betul membuatkan Hanan Insyirah saspen tadi!
Hanan Insyirah tersenyum sumbing. “Okey. Hanan pun teringin nak dengar abang baca, pun tanpa lihat kitab tau! Hanan ingat lagi masa di U dulu, abang selalu jadi imam. Sedap sangat abang baca… errr, abang pun hafizkan?”
“Hum… hum… abang memang hafiz pun semenjak lahir lagi. Nama abang kan Muhammad Amar Hafiz.” Tertawa kecil lelaki itu. Tidak semena-mena, tangannya boleh jadi ‘nakal’ pula, mencuit hidung si isteri. Beberapa ketika kemudian, si isteri juga turut merasa hatinya digeletek. Bertingkah juga tawa mesra pasangan pengantin baru itu…
Semoga mardhatillah melayari saat sakinah ini…

“UMI, abi!!!”
Jeritan yang penuh keletah itu membuatkan pasangan itu tersentak. Lantas si isteri yang sedang bertasmik bacaan Al-Quran dengan si suami memberhentikan bacaannya. Pandangan mereka dikalihkan ke muka pintu serentak.
“Eh… Ain, sayang. Tak tidur lagi?” Si isteri menyoal lembut si anak kecil yang sedang tercegat di muka pintu bilik itu. Lebar senyumannya memandang buah hati pinjaman Allah buatnya dan si suami itu…
“Ain, mari dekat abi.” Kedengaran pula suara si suami, memujuk lembut anak kecil yang entah kenapa tersengih-sengih pula itu.
Kanak-kanak bernama Ain Hafizah itu tidak banyak kata, terus dia menerjah abinya lalu duduk di pangkuan lelaki itu. “Abi… abi nak… dengar tak Ain baca… Fatihah?” Suara comel Ain Hafizah yang berusia dua tahun itu riang kedengaran.
Hanan Insyirah dan Amar Hafiz berpandangan. Senyuman mereka bertaut. Sekali membawa panahan cinta yang kini tiada salahnya lagi untuk dizahirkan…
Lantas pandangan pasangan suami isteri itu beralih pula kepada Ain Hafizah, cahaya mata sulung kurniaan Allah buat mereka.
“Okey, sayang. Abi dengan umi nak dengar.” Kata Amar Hafiz. Sesekali dia mengusap-usab ubun-ubun cahaya matanya itu. Hanan Insyirah hanya memerhati dengan senyuman kesyukuran yang meleret ke tepi.
Ain Hafizah menyeringai menampakkan batang giginya yang tersusun rapi. Beberapa saat kemudian, suara comelnya mula melafazkan surah Al-Fatihah sepenuhnya bermula dengan basmalah hinggalah ayat yang ketujuh…
Amar Hafiz dan Hanan Insyirah terpaku sebentar. Tidak tergambar perasaan mereka tatkala ini. Ain Hafizah sudah bertepuk-tepuk tangan sendiri. Mengekek-ngekek dia ketawa kerana gembira membuatkan umi dan abinya terpana seketika…
Air mata Hanan Insyirah mengalir penuh kesyukuran. Ain Hafizah lantas ditarik ke dalam pelukan. Bertalu-talu pipi gebu itu dihadiahkan ciuman penuh kasih-sayang. Menyeringai Ain Hafizah… suka betul dia.
“Kalau Al-Quran dan Sunnah itu lambang tautan hati kita, insya-Allah cinta kita takkan sesat selama-lamanya…” sayup-sayup dia mendengar lafaz itu terucap kembali di bibir Amar Hafiz. Sakinahnya saat itu…
Alhamdulillah, ya Allah!
Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.).