Nah, memandangkan IMR dah lulus utk penerbitan, saya hadiahkan dua bab terakhir yg akan saya post di blog ini sebelum IMR terbit dlm bentuk fizikal. Apapun , saya berterimaaaaa kasihhhh pada awak semuaa ! Sayang awak !
Selamat menghayati !
BAB
22
TAN
SRI Kamarul
masih leka menelaah buku tentang panduan bersolat di sofa ruang tamu rumahnya.
Sesekali kelihatan kepalanya terangguk-angguk, mungkin sebagai isyarat memahami
apa yang sedang dibaca. Walau apapun, dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Cukuplah dia sudah terlalu banyak menghabiskan sisa-sisa hidupnya dalam ruang
lingkup kejahilan selama ini!
“Abang ni, asyik baca
buku tu aje beberapa hari ni! Saya tengok tak adalah tebal mana pun. Sehari pun
boleh habis.” Kemunculan Puan Sri Lydia bersama-sama dengan bebelannya sedikit
sebanyak menggugah kekhusyukan lelaki berada itu.
Tan Sri Kamarul
menurunkan sedikit kaca matanya. “Saya bukan baca kosong, Lydia. Saya baca
sambil menghafal dan memahami.”
“Hmmm… siapa suruh
hafal? Menyusahkan diri aje!” Puan Sri Lydia mencebir lalu menyambar senaskhah
majalah berbahasa Inggeris dari atas meja kopi di depannya.
Tan Sri Kamarul
menggeleng. Lalu menumpukan semula perhatian pada pembacaannya. Malas hendak
bertekak dengan si isteri yang tidak pernah membukakan hati untuk menerima
nasihatnya selama ini.
“Ini semua sebab budak
tulah kan?” Getus Puan Sri Lydia, menyedari Tan Sri Kamarul tidak mengendahkan
omelannya tadi.
“Budak mana pulak awak
ni?”
“Hei, buat-buat tak
tahu pulak! Tu, bekas driver abang
tulah!” Puan Sri Lydia tidak jadi meneruskan pembacaannya. Dicampak kembali
majalah Inggeris itu ke meja.
Tan Sri Kamarul
mengerutkan dahi. “Itulah yang awak tak tahu selama ni. Budak Faqih yang awak
cakapkan tu bukan sembarangan budak, Lydia. Dia ustaz, dah hafal Al-Quran, imam
masjid depan kawasan rumah kita ni.”
Puan Sri Lydia melongo
seketika. “Habis, yang dia jadi driver tu
kenapa?”
“Entah. Abang malas nak
tanya tujuan dia buat semua tu. Biarlah… yang penting sekarang, dia guru abang.
Dia yang ajar abang kembali balik pada
agama,” ujar Tan Sri Kamarul.
“Hmmm… pelik betul! Dah
namanya ustaz, jadi ustazlah. Sibuk-sibuk pulak nak jadi driver. Agaknya terdesak nak cari kerja kut. Maklumlah, dengan
kelulusan dia tu bukannya boleh buat kerja apa pun! Duduk masjid ajelah.”
Wanita berada itu masih belum puas ‘merendah-rendahkan’ anak muda yang pernah
berkhidmat sebentar dengan suaminya itu. Ada saja yang keluar dari mulutnya.
Tan Sri Kamarul
beristighfar panjang. “Tak baik awak cakap macam tu, Lydia. Awak pandang rendah
pada dia, entah-entah dia lagi ‘mulia’ dari kita ni. Ingat sikit, dunia ni
bukannya kekal. Dah mati nanti, habis macam tu ajelah. Ilmu agama yang dia ada
dan yang awak pandang rendah sangat tulah yang boleh tolong dia kat akhirat
nanti. Kita ada apa? Ni, nasib baik saya ada kesedaran nak belajar pasal agama.
Kalau tak, hmmm… entah apalah yang saya bawak bila mati nanti? Alat-alat kain
kapan aje agaknya.” Panjang-lebar lelaki itu membidas ‘tohmahan’ daripada
isterinya yang terlalu memandang rendah pada jejaka tersebut.
“Yalah, awaklah yang
betul. Belajarlah elok-elok ya, sampai jadi ustaz macam dia jugak!” Perli Puan
Sri Lydia. Nampak meluat benar dia dengan kata-kata suaminya itu.
“Saya bukanlah belajar
sampai nak jadi ustaz, Lydia. Tapi saya belajar sebab nak penuhi tanggungjawab
saya untuk agama. Hmmm… saya tak fahamlah dengan awak ni. Salah ke saya belajar
agama?” Persoal Tan Sri Kamarul. Ingin mengetahui apa pemikiran isterinya itu
yang sebenar.
Puan Sri Lydia memeluk
tubuh. “Taklah salah. Tapi, saya pelik kenapa semenjak budak tu datang kat
rumah ni, baru awak nak berubah?”
Tan Sri Kamarul
tersenyum nipis. “Hidayah ALLAH boleh datang bila-bila masa dan pada sesiapa
pun, Puan Sri Lydia. Ia boleh datang secepat kilat dan boleh jugak pergi
sepantas cahaya. Tak ada apa-apa yang nak dipelikkan.”
Wanita berada itu tidak
terkata apa lagi. Bercakap dengan suaminya itu hanya menambah sakit hatinya.
Ada saja jawapannya!
“Awak, awak ingat lagi
tak cara mandi wajib? Kalau dah tak ingat, baik awak belajar cepat-cepat. Takut
amal ibadat yang awak buat selama ni tak sah pulak kan?” Tan Sri Kamarul
mengingatkan isterinya akan hal itu. Sungguh, itulah hal yang paling
menghantuinya sehingga kini… kerap meninggalkan mandi wajib dengan sengaja bila
tiba keadaan yang memerlukannya untuk berbuat begitu sehingga terlupa bagaimana
caranya!
Puan Sri Lydia
mengherotkan bibir. “Sudahlah. Malas nak layan awak!”
Tan Sri Kamarul memicit
dahi. Tiada apa yang mampu dilakukannya selain berdoa agar isterinya itu
dibukakan pintu hati untuk menerima hidayah!
“Khalis,” panggil Puan
Sri Lydia sebaik menyedari anak lelakinya itu muncul di anak tangga untuk turun
ke bawah.
“Ya, ma?” Sahut Khalis
yang sedang mengusap-usap kepala Aaron Aziz, iguana kesayangannya itu.
“Adik kamu buat apa kat
atas?”
“Khalisah? Entah!”
Senang Khalis menjawab sebelum terus bergerak menuju ke pintu rumah.
“Eh, kamu nak pergi
mana?” Soal Puan Sri Lydia.
“Khalis nak keluar
kejap. Jumpa kawan,” beritahu lelaki itu sebelum keluar saja dari pintu rumah.
Tidak menunggu apa-apa respon daripada mamanya itu.
Puan Sri Lydia
merengus. Acuh tidak acuh saja si anak melayan pertanyaannya!
“Tulah. Kalau kita
didik dia betul-betul dengan agama dari kecik dulu, agaknya dia tahulah hormat
kita ni sikit.” Tiba-tiba saja Tan Sri Kamarul bersuara setelah agak lama juga
senyap tadi.
Puan Sri Lydia tidak
membalas. Ada-ada saja suaminya itu semenjak sudah menjadi ‘baik’ sekarang ini!
Semuanya hendak dikaitkan dengan agama!
“Lepas ni Faqih datang
nak ajar saya solat. Awak tak nak join sekali
ke?” Agak sinis nada Tan Sri Kamarul. Walau jauh dari sudut hatinya, dia
terlalu mengharapkan suatu jawapan yang akan menyenangkan hatinya daripada si
isteri.
Namun… harapan itu
sepertinya hanya angan-angan. Puan Sri Lydia langsung tidak menunjukkan riak
senang pada wajahnya. Malah, rasa meluatnya menjadi-jadi pula!
“KAU datang sini kenapa? Bukan kau dah
tak kerja dengan bapak aku ke?” Terus saja si Khalis membuat ‘serangan’ sebaik motosikal
kapcai itu memasuki perkarangan rumahnya.
Faqih menanggalkan topi
keledarnya. Wajah anak bekas majikannya itu dipandang kosong. “Tan Sri Kamarul
yang suruh saya datang sini.”
“Hmmm… apa lagi yang
bapak aku nak?” Khalis terus menunjukkan riak tidak senangnya akan kehadiran
lelaki itu.
“Saya ada janji dengan
dia. Nak join?” Faqih tergelak.
Sinis.
Khalis mengerutkan
dahi. Janji? “Hmmm… sudah-sudahlah kau ‘kencing’ bapak aku. Aku tahulah kau tu
bukannya jujur sangat pun. Orang bawahan macam kau ni memanglah terhegeh-hegeh
nak dapatkan perhatian orang macam bapak aku tu! Heiii… menyirap aku!”
Faqih menggeleng
perlahan. Nafas kecil dilepaskan. “Sudah-sudahlah tu. Jangan takbur sangat.
Saya tak hairan pun dengan semua kemewahan ni. Saya cuma jalankan tanggungjawab
saya pada orang yang memerlukan pertolongan saya.”
“Perlukan pertolongan
kau? Eh, apa yang orang bawahan macam kau ni boleh buat eh? Bodek bapak aku
tahulah kut!” Khalis meninggikan suara. Jari telunjuknya betul-betul menghala
ke wajah Faqih.
“Terpulanglah pada awak
nak anggap saya macam mana pun. Janji saya tahu apa yang saya buat.” Faqih
turun dari motosikalnya. Malas hendak melayan orang yang sebegini. Kerana dia
tahu, orang seperti ini bukannya ‘sengaja’ dengan kata-kata mereka, cuma…
mereka belum diberi petunjuk.
“Tunjuk baik konon!
Pandailah kau nak racun otak bapak aku!” Ejek Khalis.
“Terima kasih sebab
tuduh saya macam-macam. Apapun, saya minta diri dulu ya? Assalamualaikum.” Faqih
terus saja berlalu ke pintu rumah, meninggalkan lelaki yang terlalu sombong
dengan kata-katanya itu.
Khalis merengus kasar.
Keningnya jatuh… mengiringi rasa panas yang membakar hatinya. Kurang ajar!
“Abang, kenapa cakap
dengan dia macam tu?” Jerkah satu suara, kedengaran seperti tidak berpuas hati
setelah kelibat Faqih menghilang ke dalam rumah mewah tersebut.
Khalis tidak menjawab
mahu pun memusing tubuh. Amarah mengatasi segala-galanya.
Khalisah mengeluh.
Lantas dia bergerak ke hadapan, menghadap abangnya itu. “Abang ni, tak
habis-habis dengan sombong abang tu! Berubahlah, bang. Jangan terlalu pandang
rendah pada orang!”
“Heh, kau diam boleh
tak? Jangan masuk campur!” Khalis bertempik, betul-betul ke muka adiknya itu.
Khalisah tersentak.
Namun, bukan dia tidak biasa dengan sikap panas baran abangnya itu! “Macam mana
Lisa tak nak masuk campur? Abang hina orang sesuka hati abang aje! Abang, siapa
kita nak hina orang macam tu?”
“Ah, diamlah!” Khalis
menolak kasar tubuh adiknya itu sebelum menghidupkan enjin motosikal mewahnya
dan berlalu pergi meninggalkan rumah banglo itu.
Khalisah yang sudah
terduduk ke lantai akibat tolakan kasar abangnya tadi, tidak terus bangun.
Sebaliknya, dia melutut di situ, melayan pedih hati yang kembali meracuni
jiwanya.
‘Ya ALLAH… berikanlah mereka petunjuk!’
Pelan-pelan hatinya berdoa.
IZHAM melangkah masuk ke dalam rumah itu
sebaik dipelawa oleh Puan Sri Lydia. Seperti biasa, matanya melilau ke segenap
ruang rumah itu. Mencari wanita yang bernama Khalisah semestinya.
“Auntie percaya ke apa
yang Lisa cakap?” Soal Izham dengan muka yang boleh tahan suci sebaik
melabuhkan punggung di sofa itu.
Puan Sri Lydia menggeleng
lemah. “Auntie tak tahulah macam mana nak cakap dengan Khalisah tu. Kesian
kamu.”
Izham tertawa kecil.
Ya, kesian dia! “Tak apalah, auntie. Dah orang tak suka saya. Saya tak boleh
paksa.”
“Hmmm… mana boleh macam
tu. Tak lama lagi kau orang nak kahwin! Walau macam mana pun, Khalisah kena
jugak terima kamu,” ujar Puan Sri Lydia, gusar. Gusar memikirkan hal anak
perempuannya, Khalisah. Lebih-lebih lagi memikirkan cerita yang telah
disampaikan oleh anak perempuannya itu tempoh hari!
“Saya sayang sangat
pada Khalisah, auntie. Dia dah jadi tunang saya. Tak mungkin saya nak menduakan
dia senang-senang,” ucap Izham. Penuh perasaan… walau dalam hatinya, hanya
TUHAN yang mengetahui apa yang di sebaliknya.
“Auntie faham, Izham.
Ya, auntie percaya kamu. Cuma… yalah, auntie harap kamu boleh bersabar dengan
Khalisah. Auntie tetap akan pujuk dia nanti,” lanjut Puan Sri Lydia. Sungguh,
cerita anaknya tentang Izham yang dikatakan telah curang di belakangnya itu
amat sukar hendak dipercayai! Tambahan pula, Khalisah memang tidak sukakan
Izham.
“Ambiklah masa, auntie.
Saya sanggup tunggu.” Izham memicit-micit telapak tangannya. Lakonannya
sangat-sangat menjadi hingga terpancar riak bersalah pada wajah wanita berada
itu.
Seketika kemudian,
bunyi lagu Inggeris dari telefon bimbit Puan Sri Lydia kedengaran rancak, minta
diangkat. Terkocoh-kocoh wanita itu menyambar telefon bimbitnya dari atas meja
kopi di depan lalu menjawab panggilan tersebut.
“Oh, ya? Okey-okey. I
datang ambik sekarang.” Puan Sri Lydia menamatkan perbualan lalu bangun dari
duduknya. “Auntie ada tertinggal barang dekat salun tadi. Auntie pergi ambik
kejap ya? Kamu duduklah dulu.”
Izham membulatkan mata.
Seketika kemudian, dia hanya mengangguk.
Puan Sri Lydia bergegas
menuju keluar dari rumah. Nampak mustahak benar.
Suasana sepi. Izham
mengangkat bahu. Secawan air yang sudah tersedia di atas meja dari awal
ketibaannya tadi dicapai lalu dihirup perlahan.
Seketika kemudian,
matanya tajam merenung anak tangga... untuk menuju ke tingkat atas.
BADANNYA dihempuk ke permukaan tilam.
Serta-merta keletihan yang ditanggung oleh tulang belakangnya tadi terasa
lenyap serta-merta. Dua jam duduk di kerusi, menghadap komputer ribanya untuk
menyelesaikan sedikit kerja tanpa henti. Aduh… seksa juga!
Sambil berbaring,
Khalisah mengambil peluang menyemak telefon bimbitnya. Manalah tahu ada
mesej-mesej masuk yang dia tidak perasan. Kerana ketika membuat kerja tadi, dia
mengaktifkan mod senyap pada telefon bimbitnya.
Bam!
Pintu biliknya ditolak
kasar dari luar tiba-tiba.
Khalisah terduduk tidak
semena-mena. Tersentak!
Wajah lelaki itu sedang
tersenyum memenuhi ruang matanya. “Marahkan I lagi, sayang?”
Khalisah kaget. “Izham!
Apa yang you buat dalam bilik I? Keluar! Keluar!!!” Tidak tentu hala wanita itu
bertempik. Tubuhnya menggigil-gigil kini. Bagaimana lelaki ini boleh masuk ke
biliknya begitu saja?
Ya ALLAH… tolong!
“Heh, baik you diam! I
kata diam!” Izham tiba-tiba meluru ke arah Khalisah yang masih terduduk di atas
katil. Lalu menekup mulut wanita itu… kasar!
Khalisah sedaya upaya
melepaskan dirinya daripada cengkaman lelaki itu. “Mama! Papa! Tolong!!!
Tolong!!!” Anak tekaknya terus menjerit walau terasa pedih. Dia tidak mahu
semua ini…. Dia tidak mahu!
Pap!!!
Tapak tangan lelaki itu
betul-betul mendarat di pipi Khalisah. Dan… tamparan itu sudah cukup melemahkan
tenaga wanita itu daripada terus menjerit. Hanya kesakitan yang bersilih ganti…
“Selama ni you sakitkan
hati I ingat percuma saja? You salah, Khalisah. I akan tuntut ‘bayaran’ I! I
akan tuntut!”
Khalisah tidak mampu
berbuat apa-apa. Dia mahu menjerit… tetapi suaranya bagai hilang tiba-tiba.
“Izham… jangan buat I macam ni! I merayu! Tolong, Izham!”
“Ah, I kata diam!!!”
Lagi satu tamparan mendarat di pipi Khalisah. Sungguh, lelaki itu bagai sudah
tidak berkelakuan seperti manusia lagi. Syaitan sudah menguasai emosi dan
jiwanya!
“Izham…” Khalisah
semakin tidak berdaya. Dia tidak pasti apa yang telah terjadi pada tubuhnya
ketika ini.
“Mama!!! Papa!!!
Tolong!!!” Namun, entah dari mana kekuatan itu datang, Khalisah menjerit lagi.
Menjerit sekuat-kuat hati walau anak tekak seperti sudah tiada lebihan suara
lagi untuk dikeluarkan.
“Woi! Tak guna!!!”
Suara seorang lelaki asing hadir menjengah pendengaran mereka pada kekalutan
itu.
Izham memusing wajah.
Namun, belum sempat dia berbuat apa-apa, gerangan yang tiba-tiba saja muncul di
dalam bilik itu datang menghampiri lalu melepaskan buku lima ke wajahnya.
Izham terduduk ke
lantai. Namun, dia masih tidak mengalah. Segera dia bangun, turut melepaskan
tumbukannya pada lelaki asing itu.
Lelaki asing itu lebih
pantas membaca pergerakannya lalu mengelak buku lima lelaki itu daripada
terkena wajahnya. Pergelutan itu semakin sengit.
Khalisah kembali
terduduk di katilnya beserta air mata… juga dengan pandangan yang sudah
berpinar-pinar. Matanya tertancap pada kesan koyak di lengan bajunya lalu
segera menutup tubuhnya dengan selimut. Cecair jernih berderai dari bening
matanya… berderai membasahi pipi, beserta esakan yang tidak mampu dikawal lagi.
Ya ALLAH…
“IZHAM! FAQIH! CUKUP!”
Tempikan jantan Tan Sri Kamarul menggegarkan ruang kamar tidur tersebut.
BAB
23
BAYANGAN
peristiwa
semalam terus mengganggu jiwanya. Sesekali bila perasaan itu rasa sudah tidak
tertanggung, bibirnya pantas meluncurkan istighfar. Ya ALLAH… semoga ‘gangguan’
ini tidak menjadikan makhluk bernama syaitan sewenang-wenangnya merajai
emosinya!
Nafas dalam dihirup
lembut lalu dilepaskan perlahan. Khalisah memejam rapat matanya, merasai tiupan
lembut bayu yang menghala ke jendela biliknya itu.
“Khalisah, mama buatkan
hot chocolate. Minum dulu, sayang.”
Suara lembut itu menegur dari belakang.
Khalisah terbebas dari
menungannya. Sentuhan lembut pada bahunya itu membuatkannya berpaling sedikit
ke kanan. “Mama… terima kasih,” ucapnya lalu menyambut huluran dari tangan
mamanya itu.
Puan Sri Lydia
tersenyum. Rambut panjang anak daranya itu diusap-usap, penuh rasa bersalah.
“Mama minta maaf, sayang. Mama dah silap selama ni.”
“Ma, mama tak silap.
Lisa tahu mama cuma nakkan yang terbaik untuk Lisa,” bidas Khalisah. Sungguh,
sekalipun perkara yang terjadi itu sangatlah perit untuk diterima, namun dia
tidak akan sesekali meletakkan kesalahan itu pada mamanya.
Puan Sri Lydia mengetap
bibir. Seketika kemudian, dia mengekor langkah Khalisah menuju ke sofa di dalam kamar itu. Apabila
anaknya itu sudah duduk, barulah dia melabuhkan punggung di sebelah.
Khalisah menghidu
seketika aroma coklat panas di dalam mug itu.
Lalu kemudian, perlahan-lahan bibir cawan itu disua ke bibirnya. Nikmat terasa…
“Mama tak sangka yang
dia tu ada niat tak baik pada Lisa. Bodohnya mama tak percayakan anak sendiri
selama ni.” Puan Sri Lydia berterusan menyalahkan dirinya sendiri. Sememangnya
apa yang telah berlaku kepada anak perempuannya cukup membuatkannya kesal tidak
sudah!
“Ma, sudahlah ya? Lisa
tak salahkan mama. Lagipun, Lisa tak apa-apa kan? Hmmm… kalau boleh, Lisa tak nak
ingat lagi semua tu, ma.” Khalisah memeluk bahu mamanya itu. Nampaknya dia pula
yang ‘memujuk’ mamanya kali ini setelah dia yang puas dipujuk oleh wanita itu
semenjak semalam.
Puan Sri Lydia
tersenyum tawar. “Nasib baik Faqih ada semalam. Kalau tak, memang mama takkan
maafkan diri mama sendiri!” Getusnya, mengimbau kembali apa yang telah berlaku.
Khalisah terdiam.
Namun, kata-kata mamanya itu tetap mengundang senyuman kecil di sudut bibirnya.
Ya, dia bernasib baik kerana jejaka bernama Faqih itu muncul sebagai
‘penyelamat’ ketika Izham sedang rakus hendak meratah tubuhnya. Pergelutan
antara kedua-dua orang lelaki tersebut berlangsung agak dahsyat sehinggalah
papanya muncul, diikuti dengan mamanya.
Ah, dia tidak mahu lagi
mengingatkan semua itu. Sungguh, malunya sangat menebal terhadap Faqih
gara-gara peristiwa itu!
Namun, dia tetap
bersyukur. Alhamdulillah, ALLAH telah mendatangkan pertolongan-NYA… melalui
jejaka itu.
“Khalisah,” panggil
Puan Sri Lydia, menyedari keadaan tiba-tiba menyepi.
“Ya, ma?”
“Lepas ni, mama tak nak
paksa-paksa Lisa lagi. Apa yang Lisa rasa akan buatkan Lisa bahagia, mama
turutkan. Lisa buatlah pilihan sendiri, mama tak kisah. Mama pun tak nak buat
kesilapan lagi,” ujar Puan Sri Lydia, jujur dari hatinya yang paling dalam.
Kini barulah dia menyedari yang Khalisah sudah dewasa, berhak untuk menentukan
keputusan sendiri.
Khalisah menggeleng,
perlahan. “Ma, bukan semua perkara Lisa boleh tentukan sendiri. Ada masanya
Lisa mesti perlukan mama untuk menilai apa yang terbaik buat Lisa. Sebab mama
yang lebih ‘faham’ tentang selok-belok kehidupan ni berbanding Lisa.” Lembut
dia bertutur. Baginya, walau apapun yang telah berlaku, peranan mamanya sebagai
‘penasihat utama’ tetap tidak akan ditolak tepi. Dia tahu, mamanya cuma mahukan
kebahagiaan buat dirinya.
“Hmmm… tapi kalau ada
yang Lisa tak puas hati, Lisa cakap tau!”
Tergelak kecil Khalisah
mendengar ‘amaran’ mamanya. Mungkin, itulah tawanya yang pertama semenjak
semalam. “Baiklah, ma.”
“Errr… Lisa, mama turun
dulu. Kalau Lisa nak apa-apa, panggil aje mama ya?” Puan Sri Lydia sudah mengangkat
punggung dari sofa tersebut.
Khalisah mengangguk.
“Okey, ma. Urmmm… papa mana, ma? Dari tadi tak nampak dia!” Soalnya. Tiba-tiba
terlintas pula wajah papanya dalam kepala.
“Ada. Pagi-pagi tadi
pergi main golf. Lepastu balik, duduk terperap dalam bilik bacaan tu. Tengah
menghafal lagilah agaknya,” beritahu Puan Sri Lydia yang sudah pun menguak daun
pintu.
“Hafal? Papa menghafal
apa pulak, ma?” Kepelikan seketika Khalisah mendengar jawapan mamanya itu.
Puan Sri Lydia
tersenyum. “Dia menghafal cara-cara nak bersolat. Sebab itu kebelakangan ni dia
asyik berkepit aje dengan buku yang si Faqih bagi tu!”
“Faqih bagi buku?”
“Ya, Lisa. Tak cukup
dengan mengajar, dia bagi buku pulak pada papa kamu. Adriana pun sibuk nak
tumpang belajar,” lanjut Puan Sri Lydia.
Khalisah membulatkan
mata. Adriana? Aik, wanita itu pun sama-sama belajar solat dengan jejaka itu
juga, kah? Tetapi, kenapa sepupunya itu tidak menceritakan apa-apa pun
kepadanya selama ini?
Daun pintu ditutup semula
setelah Puan Sri Lydia keluar dari kamar tidurnya. Khalisah terus tercengang di
atas sofa sambil memegang cawan berisi coklat panas yang masih separuh bersisa.
Hanya wapnya saja yang semakin menipis.
SEMANGAT Tan Sri Kamarul dan Adriana
hendak menuntut ilmu agama pada malam itu sungguh berkobar-kobar. Ketika Faqih
tiba di rumah mewah itu setelah berjemaah di masjid, bekas majikannya dan
wanita itu sudah pun bersiap-siap dengan mushaf Al-Quran, pen dan buku latihan
di atas meja. Macam hendak pergi sekolah pula.
“Faqih, minumlah dulu.
Dahaga kamu agaknya baru balik dari masjid,” pelawa Tan Sri Kamarul sebaik
Faqih melabuhkan punggung di meja makan tetamu, merangkap meja belajar mereka
pada malam itu.
Faqih tidak menolak.
Air teh yang sudah terhidang di depan mata dijamahnya dahulu. Kebetulan, dia
memang haus.
“Ustaz, hari ni kita
belajar Al-Quran aje kan?” Soal Adriana, yang duduk bertentangan dengan ‘tok
guru’. Dari tadi, satu perlakuan Faqih pun tidak terlepas daripada
perhatiannya.
“Ya, hari ni kita belajar
Al-Quran pulak. Kita betulkan bacaan-bacaan dalam solat, terutama Al-Fatihah,”
balas Faqih sebaik selesai menghabiskan secawan teh.
Adriana mengangguk,
senyumannya makin lebar memandang wajah tenang itu.
Sementara, Tan Sri
Kamarul mengambil tempat duduk bersebelahan dengan anak saudaranya.
“Hmmm… bagus. Dah ada
Al-Quran sekali,” getus Faqih, melihatkan dua mushaf Al-Quran sudah tersedia di
atas meja. “Tapi sebelum tu saya nak tanya sikit. Errr… huruf hijaiyah kenal
tak?” Tanya Faqih lalu memandang kepada wajah-wajah yang menghadapnya itu,
menanti jawapan.
Tan Sri Kamarul
menyapu-nyapu dahi.
Adriana mengetap bibir.
Seketika kemudian,
kedua-dua mereka berpandangan sebelum berpaling semula ke arah Faqih. “Errr…
apa huruf hijaiyah tu?” Serentak soalan itu meluncur di bibir mereka.
Faqih membulatkan sikit
matanya. Namun dia hanya tersenyum selepas itu. “Huruf hijaiyah tu huruf arab,
huruf yang digunakan dalam Al-Quran.”
“Owh, saya pernah
belajar. Tapi lima puluh tahun lepas masa kecik-kecik. Sekarang dah lupa.”
Jujur pengakuan Tan Sri Kamarul. Malu? Sememangnya. Tapi apa nak buat?
Takkanlah hendak berpura-pura tahu kut!
Adriana mengetap bibir.
Agak lama juga dia hendak menjawab soalan itu. “Errr… saya, saya tak tahu,
ustaz. Saya hafal bacaan dalam solat yang ustaz bagi tu pun guna tulisan rumi
yang ada kat bawah tu.”
Faqih menghela nafas
lalu dilepas perlahan. Matanya kini memandang pada permukaan meja, membuat
lagak berfikir. Berat juga kerjanya…
“Macam nilah, Al-Quran
ni simpan dulu. Saya mulakan dari awal,” putus Faqih lalu mula menyelongkar beg
kerja yang dibawanya.
Tan Sri Kamarul dan
Adriana terus berdebar menanti. Mengenangkan nasib mereka yang agak ‘lewat’
mendapat hidayah. Sungguh, malu usah diceritakan!
“Ha, ni dia. Kebetulan
saya bawak lebih. Kita mulakan dengan qiraati jilid satu.” Faqih mengeluarkan
dua naskhah buku yang tidaklah tebal mana lalu diletakkan di atas meja.
Sebenarnya, dia memang sudah bersedia awal-awal lagi dari rumah untuk membawa
buku panduan asas belajar Al-Quran itu. Nyata, persediaannya tidak ‘sia-sia’.
Tan Sri Kamarul
menjongket kening. “Ini sama macam muqaddam ke?”
“Lebih kurang. Tapi
qiraati ni dah dipermudahkan lagi, kiranya sesiapa yang baru nak kenal asas
dalam Al-Quran senang fahamlah. Cepat lancar pun ya,” terang Faqih.
“Ni bukan budak tadika
ke yang guna?” Soal Adriana. Jelas nampak keningnya senget sebelah.
Faqih meletuskan tawa
kecil. “Sesiapa pun boleh guna, Cik Adriana. Disebabkan awak baru nak belajar
mengenal huruf, terpaksalah kita gunakan dulu qiraati ni. Kita belajar satu per
satu dari awal. Bila dah kuasai yang asas, barulah boleh kita baca Al-Quran
dengan betul. Ingat, Al-Quran ni bukan macam novel, majalah atau surat khabar.
Boleh main belasah aje nak baca macam mana. Ini kata-kata ALLAH, kalamullah,
jadi nak membacanya kena penuh tertib dan tartil.” Panjang lebar jejaka itu
memberikan penerangan, tapak tangannya turut bergerak-gerak semasa bercakap.
Sudah terbiasa begitu.
Adriana hanya
mengangguk. Redha sajalah…
Seketika kemudian, sesi
pengajaran pun bermula. Disebabkan kedua-dua pelajarnya itu baru hendak
mengenal huruf arab, maka bagi senang cerita, sekali-sekala Ustaz Muhammad
Faqih akan menyanyi lagu ‘Alif Ba Ta’. Lagu yang memang popular dalam kalangan
kanak-kanak tadika terutamanya dalam usaha untuk menghafal huruf-huruf
hijaiyah.
Walaupun Tan Sri
Kamarul dan Adriana merasakan mereka betul-betul kembali ke zaman kanak-kanak
riang semula, namun apakan daya? Hendak berubah bukan senang!
Dari balik dinding
dapur, wanita itu terus memerhati. Tidak culas langsung.
Khalisah tersenyum.
Entahlah… jujur, hatinya kini diulit oleh satu rasa yang sukar hendak
dikatakan. Tetapi yang pasti, rasa itu sungguh membahagiakan hatinya.
Gelagat si ustaz yang
sedang mengajar ‘anak-anak muridnya’ itu sekali-sekala mengundang tawa perlahan
Khalisah, yang masih bersembunyi. Dia tidak mahu mereka semua perasan akan
keberadaan dirinya di situ. Dia hanya mahu terus memerhati…
Muhammad Faqih… tenang
sungguh lelaki itu memberikan tunjuk ajarnya.
Satu jam berlalu,
akhirnya tamatlah ‘kelas pengajian’ di rumah Tan Sri Kamarul.
“Ustaz, terima kasih
banyak-banyak tau! Mulai malam ni, saya akan berusaha keras untuk hafal lagu
‘Alif Ba Ta’ tu!” Kata Adriana penuh bersemangat ketika dia sudah bersiap-sedia
bangun untuk pulang ke rumahnya yang berdekatan saja dengan rumah Tan Sri
Kamarul.
“Alhamdulillah.
Latihlah menyanyi lagu tu kalau awak rasa dengan lagu tu lebih membuatkan awak
senang dan cepat hafal huruf-huruf hijaiyah. Bila dah kenal huruf, barulah
senang nak pergi jauh,” balas Faqih, mengiakan saja.
Adriana hanya tersenyum
lebar mendengar bicara jejaka bergelar ustaz itu.
“Ha satu lagi, lain
kali kalau boleh pakai tudung ya masa kita belajar?” Tegur Faqih ketika wanita
itu sudah pun membuka langkah untuk keluar dari pintu rumah tersebut.
Adriana mengetap bibir,
tercengang juga seketika mendengar ‘permintaan’ ustaz itu. “Errr… boleh,
ustaz.”
Faqih tersenyum.
Seketika kemudian, dia hanya memerhati wanita itu menghampiri muka pintu untuk
keluar.
“By the way, ustaz. Suara ustaz sedap sangat! Hihi…” Ucap Adriana,
sebagai penutup bicara sebelum keluar dari rumah tersebut tanpa menunggu reaksi
si ustaz.
Faqih terkedu. Tidak
sangka pula dengan ‘pujian’ yang tiba-tiba saja diterimanya itu.
“Ustaz, lusa macam
mana? Sebab esok saya ada hal,” pertanyaan Tan Sri Kamarul membawa semula Faqih
ke dunia nyata.
Faqih lantas memberikan
perhatian kepada lelaki berada itu. “Insya-ALLAH, boleh. Esok pun saya ada hal
sebenarnya.”
“Tak apalah kalau macam
tu. Hmmm…” Ada keluhan panjang menyusul pada akhir ayat Tan Sri Kamarul.
Wajahnya juga tiba-tiba kendur, tidak seceria tadi.
“Tan sri?” Faqih sedar
akan perubahan pada raut wajah itu.
Tan Sri Kamarul yang
menunduk, lantas mengangkat muka memandang anak muda itu. Bahu Faqih
ditepuk-tepuknya. “Terima kasih sebab semalam.”
“Errr…” Faqih tidak
terlepas kata. Peristiwa semalam terus terbayang di minda. Nauzubillah… hanya
ALLAH saja yang tahu betapa bergelodak ‘amarahnya’ saat melihat wanita itu
hampir-hampir saja dicabuli kehormatan oleh tunangnya sendiri.
Ketika kejadian, Faqih
yang sebenarnya baru selesai sesi pembelajaran dengan bekas majikannya itu
sudah pun berada di atas jalan untuk pulang. Manakala Tan Sri Kamarul hilang
entah ke mana. Menyedari yang barangnya sudah tertinggal, cepat-cepat Faqih
kembali semula ke rumah tersebut setelah mendapat izin dari Tan Sri Kamarul.
Namun, masuk-masuk saja jeritan Khalisah menggegar ke segenap ruang rumah yang
kosong ketika itu. Apa lagi… sebaik melihat adegan tersebut, tanpa berfikir
panjang, terus saja dia melepaskan tumbukannya pada wajah lelaki yang kini
bekas tunang Khalisah itu.
Sungguh, hatinya
terbakar benar melihat kejadian itu. Amarahnya terlalu mendalam terhadap apa
yang lelaki itu telah cuba lakukan kepada Khalisah!
“Kalau tak ada ustaz,
tak tahulah apa jadi pada Khalisah,” luah Tan Sri Kamarul, kecewa.
Kening Faqih bertaut.
“Khalisah macam mana, tan sri? Dia okey?” Tiba-tiba timbul pula kerisauannya
terhadap anak dara bekas majikannya itu, sehingga dia terdorong untuk bertanya.
“Alhamdulillah, dia dah
okey. Tapi muram ajelah memanjang. Trauma lagi agaknya.”
Terangguk-angguk
perlahan Faqih mendengar jawapan tersebut. Memang, dia memang risau akan hal
wanita tersebut. Tetapi… kenapa? Kenapa pula dia perlu risau sangat?
“Saya doakan Khalisah
cepat-cepat pulih, tan sri. Kalau boleh, suruh dia amalkan surah Al-Insyirah,
bagi tenang hati.” Sempat si Faqih menyelitkan ‘nasihatnya’. Serius saja raut
wajahnya. Memang nampaknya lelaki itu tidak main-main.
Tan Sri Kamarul
tiba-tiba tergelak kecil, tidak tahulah di mana yang lucu. “Insya-ALLAH, ustaz.
Saya sampaikan. Errr… apapun, saya nak mintak maaf jugak. Sebab kejadian
semalam, ustaz dapat lebam.” Kekesalan itu ada di penghujung katanya.
Faqih mengherotkan
sedikit bibirnya. Ya, ada kesan lebam di penjuru bibirnya akibat pergelutan
dengan lelaki yang cuba memperkosa Khalisah itu semalam. Walaupun dia banyak
mengelak ketika lelaki itu melepaskan tumbukan, tetapi satu atau dua tetap
terkena juga.
Lebam itu tidak jelas, tetapi
tetap terasa bisanya. Dan disebabkan lebam itu jugalah, ramai yang ‘risau’ akan
dirinya ketika di masjid tadi. Berpusu-pusu soalan menghempapnya. Namun jawapan
yang terlintas di fikirannya hanya satu… ‘Saya mengigau tengah tidur. Tak sedar
tertumbuk bibir saya sampai lebam!’
Huh, sungguh tidak
masuk akal! Berkerut-kerut juga muka pak cik-pak cik yang bertanya itu
mendengar jawapannya.
“Tak apalah, tan sri.
Sikit aje ni. Baiklah nanti.” Faqih menyentuh kesan lebam di bibirnya.
Serta-merta wajahnya berkerut seribu. Aduh, bisanya!
10 comments:
rindunyaaa citer nie... lama dah tunggu.. aperpon.. best n3 nie.. xsabar kat tunggu buku nie nanti..
rindunya kat faqih ni ... :)
agaknya bila buku ni publish ek?
InsyaAllah bulan 2 tahun depan :)
bab 23 ni bukan bab akhir ye?
bukan bukan. ada sambungan dlm novel fizikal
Ahh..camne ni.. Nak teruskn baca tapi takleh nak beli bukunya. Saya takde kat Malaysia.. Kalau teruskn post entri boleh ke? Hihi mesti payah kan. Takpelah, ada rezeki nanti baca lagi. Anyway, very nice and interesting story. Sangat bermanfaat :)
Bestnye dpt one college dgn penulis buku ni ...nk tau spe izzah punye favorite author?
fav author sy Tuan Bahruddin Bekri :)
Beza ye jalan cerita dalam novel ngan drama adaptasi...hurmm....
Post a Comment