Friday, March 29, 2013

Imam Mudaku Romantik! 16


BAB 16
LELAKI itu terpinga-pinga memandang kawasan sekelilingnya. Begitu juga wanita muda yang baru keluar dari Mini Coopernya itu. Bukan mereka tidak biasa dengan tempat di mana mereka berada sekarang ini. Cuma, tertanya-tanya kenapa mereka dibawa ke sini?
“Tan sri, kita solat berjemaah asar dulu ya?” Faqih bersuara, menyedari majikannya dan wanita itu kebingungan di bawa ke kawasan masjid.
Tan Sri Kamarul berubah wajah. Nampak gelisah mendengar jawapan anak muda itu. “Hah? Solat berjemaah? Macam mana saya nak solat berjemaah, sedangkan solat sendiri-sendiri pun tak tahu!”
“Tak apa, tan sri. Buat permulaan ni, tan sri ikut aje setiap pergerakan imam dan makmum lain. Nanti saya cuba bantu yang selebihnya,” ucap Faqih, tenang.
Adriana yang masih meliar matanya memandang bangunan masjid yang berkubah keemasan itu mengeluh tiba-tiba. “Hummm… macam mana saya nak solat? Telekung pun tak ada!”
“Sebenarnya kalau solat tak guna telekung pun tak apa, Cik Adriana. Pakai baju biasa pun asalkan hanya nampak muka dan tapak tangan, dah boleh dibawak solat. Hmmm… tak apalah. Cik Adriana jangan risau. Kat ruang solat muslimah biasanya disediakan telekung.” Panjang-lebar Faqih memberi penerangan kepada wanita yang masih terpinga-pinga itu. Tidak sangka agaknya dibawa ke masjid…
Adriana merengus pula. Matanya dijelingkan tanda tidak berpuas hati. Memang, hatinya sekarang ini sedang meronta-ronta kekesalan. Ini semua gara-gara pak ngahnya! Tidak pasal-pasal tadi dia tersasul, memberitahu Faqih yang kedatangannya menemui lelaki itu adalah kerana hendak belajar solat. Aduh!
“Okey, jom kita ambil wuduk dulu.” Faqih sudah membuka langkah. Sebentar lagi azan akan berkumandang, oleh sebab itu dia perlu cepat-cepat mempersiapkan diri.
Tan Sri Kamarul dan Adriana saling berpandangan. Seketika kemudian, Tan Sri Kamarul mengekor saja langkah lelaki muda merangkap pemandunya itu menuju ke tempat wuduk.
Adriana terkapar-kapar lagi. Aih, macam mana ni? Dia seorang saja perempuan!
Lalu, wanita itu juga ikut serta membuntuti bapa saudaranya.
“Eh, Cik Adriana… ni tempat wuduk lelaki. Tempat wuduk perempuan kat dalam sana,” tegur Faqih melihatkan Adriana yang hanya mengekor gerak Tan Sri Kamarul itu sedang berdiri di belakangnya, dengan muka yang nampak benar tidak ketahuan!
“Owhh… Errr… Ustaz Faqih, nak tanya boleh?” Adriana termalu sendiri. Namun, cepat-cepat rasa malunya itu dibuang melihatkan bapa saudaranya sedang sibuk membuka stokinnya di tangga masjid. Tinggal dia dengan jejaka bernama Faqih itu saja kini!
“Tanya apa, Cik Adriana?” Soal Faqih sambil menyinsing lengan jubah putihnya hingga ke siku untuk mengambil wuduk. Matanya tidak langsung dihalakan ke arah wanita itu.
“Errr… bapak saudara saya tak tahu lagi kan yang ustaz ni ustaz? Errrmmm… macam mana kalau dia tahu lepas ni?” Adriana menjongket sebelah keningnya. Serta-merta dia teringat akan perbualannya dengan lelaki itu seminggu lepas di kawasan masjid ini juga. Lelaki yang bergelar ustaz itu sendiri yang ‘merayu’ kepadanya supaya tidak diberitahukan identitinya kepada Tan Sri Kamarul. Nah, sekarang kenapa dibawanya pula bapa saudaranya itu ke sini?
Faqih diam seketika. Kopiah putih di kepalanya ditanggalkan sebelum senyuman kecilnya tersungging di sudut bibir. “Saya sebenarnya bukan tak nak bagitahu tan sri. Cuma, saya malas nak hebah-hebahkan. Kalau tan sri tahu pun, tak ada salahnya. Kalau tak tahu pun, tak apa.”
Berkedut dahi Adriana mendengar jawapan itu. Ah, pening kepalanya hendak memahami ‘pendirian’ jejaka bernama Faqih ini!
Faqih mula membaca basmalah. Selepas berniat untuk berwuduk, pancuran air yang keluar dari muncung paip mula diratakan ke satu per satu anggota wuduknya. Dingin… dan juga, mendamaikan.
Sementara Adriana yang kini berdiri di sebelah lelaki itu hanya memerhati. Memerhati dengan pandangan yang entah membawa maksud apa. Senyumannya terukir tanpa disedari ketika asyik memerhati lelaki yang sebenarnya… telah sedikit sebanyak mengusik pintu hatinya itu!
Faqih menutup kepala paip. Lantas, kedua-dua telapak tangannya ditadah untuk membaca doa selepas berwuduk pula. Khusyuk gayanya.
Adriana terus memerhati. Namun, kali ini pemerhatiannya itu memang bukan main-main. Matanya tidak berkedip langsung memandang wajah lelaki itu yang kini lembab setelah dibasahi dengan air wuduk. Ah… sungguh, hatinya bergetar!
“Errr… Cik Adriana? Kenapa tak ambil wuduk lagi?” Faqih yang baru hendak bergerak, tidak jadi meneruskan langkah. Terkejut juga melihat wanita itu masih di sebelahnya. Dengan senyuman pulak tu!
Cuak seketika Faqih… jangan dia ‘dibogelkan’ lagi sudahlah!
Adriana menggeleng kepala. Suara garau lelaki yang beralun tenang itu terus mematahkan lamunannya. “Ha? Errr… saya… saya tak tahu macam mana ambil wuduk!”
“Cik tak tahu macam mana ambil wuduk? Hmmm… okeylah. Mula-mula…”
“Faqih, ajar saya ambik wuduk!” Suara Tan Sri Kamarul yang menghilang agak lama juga tadi baru kedengaran, memintas percakapan Faqih.
Adriana mendengus kasar. Haish, pak ngahnya ini boleh pula tiba-tiba muncul! Baru hendak ‘bermesra-mesra’ dengan si Ustaz Muhammad Faqih! Wanita itu berpeluk tubuh. Wajahnya tidak seceria tadi. Geram!
“Baiklah, tan sri. Errrmmm… Cik Adriana, kebetulan nak ambil wuduk kan? Bolehlah tengok sekali macam mana caranya,” getus Faqih. Setelah Tan Sri Kamarul bersedia di hadapan salah satu kepala paip, Faqih mula memberikan tunjuk ajar dengan lisannya.
Adriana juga kelam-kabut selepas itu mengambil tempat di depan kepala paip. Mana boleh jadi… dia juga mahu belajar secara langsung dengan ustaz yang sudah mencuri hatinya itu!
Faqih tidak mampu menghalang. Biarlah… lama-kelamaan nanti wanita itu akan faham sendiri.
Sementara, terdapat beberapa jemaah lain yang turut memerhatikan gelagat ketiga-tiga orang itu hanya menggeleng-geleng kepala.

PELUH keringat mula membasahi dahi. Pancaran matahari duha boleh tahan juga menyengat bahagian kulit mereka yang tidak beralas. Keluhan demi keluhan kepenatan kedengaran bersilih ganti daripada kedua-dua orang lelaki itu.
“Huh, penat jugak ya kemas rumah ni!” Keluh Faqih, tangannya yang rancak menyapu daun-daun kering yang berguguran di halaman rumah kampung itu berhenti seketika.
Pak Itam tertawa. Dia yang asyik membelek pokok bunga yang agak banyak di halaman rumahnya itu nampak masih relaks. Mungkin sudah terbiasa dengan kerja-kerja sebegitu. “Sekali-sekala tak salah kan, Faqih? Masa kecik-kecik dulu kamulah yang paling ‘rajin’ nak buat semua ni. Dah sapu halaman rumah bersih, pergi panjat pulak pokok rambutan tu… lepastu buang kulit kat tanah balik. Humhum.”
Faqih tersenyum mendengar cerita bapanya itu. Pandangannya dihalakan ke arah deretan pokok rambutan yang tertanam di belakang rumah kampung itu. Masih ‘berjasa’ menghasilkan buah sampai sekarang…
“Faqih, kalau dah penat rehatlah, nak,” getus Pak Itam melihat anaknya itu sudah menunjukkan ‘ciri-ciri’ orang keletihan. Wajahnya berkerut beserta dada yang turun naik menahan kepanasan.
Faqih menggeleng. “Tak apalah, pak. Tinggal sikit lagi ni. Lepas ni kita rehatlah sama-sama ya?” Lelaki itu berkeras mahu meneruskan kerjanya. Buat kerja jangan hangat-hangat tahi ayam! Lagipun, bukan selalu dia berpanasan begini di bawah matahari pagi. Matahari pagi pun baik untuk kesihatan!
“Hmmm… suka hati kamulah.” Pak Itam malas hendak membidas apa-apa lagi. Seketika kemudian, dia kembali sibuk mengulit pokok-pokok bunganya.
Beberapa minit berlalu… bahang matahari semakin menyengat.
“Pak, Abang Faqih, marilah minum dulu. Syu dah siapkan minuman!” Suara Syuhada yang menjerkah dari pintu dapur rumah mengalihkan keasyikan kedua-dua lelaki itu daripada kerja masing-masing. Serentak mereka berpaling.
“Yalah, Syu. Bapak datang!” Sahut Pak Itam sebelum berdiri setelah agak lama mencangkung mengadap pokok bunganya. Telapak tangannya berlaga-laga dikibaskan.
Faqih yang mendengar adiknya menjemput minum terus memberhentikan kerja menyapu lamannya. Lantas penyapu tersebut disandarkan ke dinding papan rumah lalu bergerak menuju ke pangkin.
Aroma cekodok jagung yang sudah terhidang di atas pinggan merebak ke ruang pangkin rumah papan itu. Betul-betul membuka selera kedua-dua lelaki yang kepenatan tersebut. Ah, tidak sabar-sabar rasanya hendak mengisi perut yang sudah berjoget minta diisi!
“Mmmm… ya ALLAH, sedapnya!” Faqih betul-betul menghayati aroma cekodok jagung tersebut. Terpejam-pejam matanya memerhatikan timbunan cekodok di atas pinggan itu. Cekodok jagung… sentiasa bertakhta di hatinya. Ecewah!
“Dah Syu yang buat, memanglah…” Syuhada yang sedang menuangkan kopi O ke dalam cawan sempat ‘berbangga’ dengan kebolehannya membuat cekodok jagung.
“Alahai Syu… sengaja nak bapak melingkar macam ular lepas ni. Dah kenyang, satu kerja apa pun tak jalan! Humhum… tapi bagus jugak. Bapak tengah lapar ni!” Omel Pak Itam sebelum menjadi orang pertama yang menyambar sebiji cekodok jagung tersebut. Setelah membaca basmalah, cekodok jagung tersebut selamat dikunyahnya dengan penuh penghayatan.
Faqih tidak mampu berkata apa. Kali ini dia memang kalah dengan nafsunya. Setelah membaca basmalah, terus saja cekodok jagung tersebut dikunyahnya. Habis satu, cekut satu lagi. Memang berselera sungguh!
Syuhada yang masih ‘kawal-kawal ayunya’ itu tetap bersabar, mengunyah dengan perlahan. Namun, terhibur juga hatinya melihat kedua-dua insan yang disayanginya itu berselera menikmati hasil air tangannya.
Udara yang datang berhembus cukup mendamaikan, sebagai penambah keasyikan kepada mereka yang sedang enak menikmati hidangan cekodok jagung di pangkin itu. Ya ALLAH, sungguh nikmat kurniaan-MU!
“Syu,” panggil Pak Itam setelah kesepian berlangsung agak lama.
“Ya, pak?”
Pak Itam mengambil cawan kopinya lalu dicicip perlahan sebelum menyambung kata. “Syu ada cakap apa-apa dengan Mak Senah hari tu?”
Syuhada berhenti mengunyah. Begitu juga Faqih sebaik mendengar nama Mak Senah yang disebut oleh bapanya. Tidak lain tidak bukan, bayangan wajah wanita yang bernama Nana timbul di kepalanya!
Syuhada mengecap bibir seketika. “Dia ada tanya pada Syu. Tapi Syu tak berani nak jawab apa-apa. Syu nak abang yang jawab sendiri.” Ada sedikit kegelisahan terpancar pada wajah gadis berusia dua puluh dua tahun itu.
Pak Itam terangguk-angguk. Kopinya dicicip semula.
Sementara Faqih masih terkebil-kebil memerhati, minta dijelaskan apa sebenarnya yang sedang diceritakan oleh bapak dan adiknya ini!
Pak Itam meletakkan cawan kopinya, lalu menghala pandangannya ke arah Faqih yang sudah terlalu dahagakan penjelasan. “Hmmm… Faqih, haritu Mak Senah dengan Pak Usop datang. Mereka merisik kamu untuk Nana. Bapak tak bagi kata putus apa-apa lagi. Cuma… kadang-kadang bapak kesian pada Nana. Dia beria-ia nakkan kamu, Faqih.” Akhirnya, kemusykilan Faqih dijawab juga oleh Pak Itam.
Faqih tidak membalas mendengar cerita bapanya itu. Wajahnya kendur, menunjukkan ada sesuatu yang tidak berkenan di hatinya sebaik mendengar hal itu. Pandangannya ditundukkan agak lama… mungkin berfikir.
“Bapak takkan paksa kamu, Faqih. Ini hidup kamu, kamu saja yang ada hak tentukan hidup kamu sendiri.” Pak Itam menepuk bahu anak lelakinya itu. Dia tahu, apa yang telah diberitakannya kepada anak muda itu cukup membuatkan lelaki itu tersepit di tengah-tengah. Memang… dari dulu lagi hal si gadis bernama Nana itu tidak pernah berkesudahan!
Faqih mengangkat pandangannya semula. Sebuah senyuman ikhlas kembali terukir di bibirnya. “Biarlah saya fikirkan dulu ya, pak.”
“Hmmm… baguslah, Faqih. Fikirlah semasak-masaknya. Hal nikah-kahwin ni bukannnya boleh dibuat macam main pondok-pondok. Ambiklah masa kamu. Jangan terburu-buru buat keputusan. Yang penting, solat istikharah. Insya-ALLAH, ada petunjuk dari ALLAH nanti,” nasihat Pak Itam. Sebagai orang berpengalaman, dia amat mengerti perasaan anaknya itu.
Syuhada hanya terus memerhati. Tidak tahu hendak mencelah di mana.
Faqih terangguk-angguk. “Insya-ALLAH,” balasnya ringkas sebelum menyambung kembali seleranya terhadap cekodok jagung yang hanya tinggal beberapa biji bersisa di atas pinggan.

7 comments:

Anonymous said...

akak!! jangan bagi adriana fall in love dekat faqih... xmau.. huhuhu..

Anonymous said...

cepat la sambung x sbr niii...:)

ciknie said...

adriana plak suka kt ustaz mmang mkin bsmangat la nk blajar agama ea dia

syaiful said...

terbaik

Anonymous said...

xsbar tunggu sambungannya..

Anonymous said...

nice..:)

obat penyakit jantung said...

menarik cerita ini kita dapat mengmbil inti dari cerita ini...