Tuesday, February 19, 2013

Imam Mudaku Romantik! 15


BAB 15
TAN SRI Kamarul keluar dari bilik air di kamar tidurnya. Sempat dia mengerling ke arah muka jam yang tergantung pada dinding. Kepalanya terangguk-angguk sendiri selepas itu.
Sejadah yang terlipat kemas di dalam almari dikeluarkan lalu dibentang mengikut arah kiblat. Hari ini dia tidak akan berputus-asa! Dia tetap akan mencuba!
Songkok disarung. Seketika kemudian, takbiratul ihram kedengaran. Seminit, dua minit, lelaki berada itu masih tidak kalah. Solat zuhurnya tetap diteruskan.
Pintu bilik dikuak dari luar tiba-tiba. Seketika kemudian, susuk tubuh seorang wanita masuk ke dalam.
Namun, baru saja wanita bernama Puan Sri Lydia itu hendak meneruskan langkah, dia terloncat sedikit ke belakang, terkejut dengan apa yang sedang berlangsung di depan matanya!
“Assalamualaikum warahmatullah.” Salam pertama kedengaran lalu diikuti dengan salam kedua. Tan Sri Kamarul menyapu wajah. Alhamdulillah, selesai juga ‘misinya’! Walaupun dia sebenarnya sudah terlupa banyak tentang cara-cara hendak bersolat, tetapi yang penting, dia perlu memulakan langkah pertama!
Puan Sri Lydia masih melongo di depan daun pintu. Tidak berkedip dia memandang ke arah suaminya yang kini sedang menadah tangan berdoa kepada-NYA itu. Kelopak matanya terpejam. Nampak khusyuk sungguh!
“Amin,” ucap Tan Sri Kamarul lalu menyapu wajah sebagai penutup kepada doanya.
Puan Sri Lydia masih tegak berdiri. Entah apalah yang membuatkannya terpana sangat agaknya?
“Eh, kenapa dengan awak Lydia? Ha, dah solat belum?” Tan Sri Kamarul menegur sebaik terperasankan isterinya yang sudah tercegat di dalam kamar mereka.
Berkerut seribu kening Puan Sri Lydia. “Awak ni kenapa, Tan Sri Kamarul? Tak pernah-pernah tanya soalan macam tu!”
“Sebab saya tak pernah tanyalah, saya tanya sekarang ni. Ha, soalan saya awak tak jawab lagi!” Tan Sri Kamarul tergelak sinis melihat wajah pelik isterinya itu. Sejadahnya dilipat lalu disimpan semula di dalam almari.
Puan Sri Lydia tidak mengendahkan soalan itu. Rengusan kasarnya dilepaskan lalu langkahnya dibuka menuju ke birai katil dan duduk di situ. “Abang saja nak kenakan saya kan?”
“Lahhh… bila masa pulak saya kenakan awak? Saya tanya seriuslah!” Tan Sri Kamarul pula yang mengerutkan dahi. Tidak faham kenapa perlu isterinya menganggap yang dia main-main pula.
“Hmmm… apa-apa ajelah. Awak pun, kenapa dah separuh abad baru nak sembahyang? Kenapa sebelum ni tak sembahyang?” Puan Sri Lydia membalas dengan kenyataan yang benar, tetapi agak pedas juga kedengaran. Balas ‘dendam’ agaknya.
Tan Sri Kamarul tetap tersenyum dengan kerenah si isteri. Nampak gayanya soalan panas daripada isterinya langsung tidak menggugah emosi dan jiwanya. “Sebab baru sekarang pintu hati saya terbukak! Alhamdulillah, walaupun umur saya dah banyak tapi ALLAH masih sudi bukak pintu hati saya. Sebab itu saya solat. Lagipun, sampai bila kita nak jadi macam ni? Entah esok, entah lusa kita kena jemput, siapa tahu?” Panjang lebar dia menjawab pertanyaan Puan Sri Lydia.
“Hmmm… alasan abang aje tuh! Selama ni pun abang mesti tahu kan yang abang orang Islam? Dah tahu orang Islam, memanglah kena solat. Mana ada alasan-alasan bagai!” Puan Sri Lydia tetap tidak mahu kalah ‘berdebat’ dengan suaminya.
“Memang saya Islam. Tapi Islam dalam IC saja! Saya mengaku saya Islam, tapi saya tak buat apa yang Islam suruh. Ya, memang salah saya. Sepatutnya sebagai orang Islam, saya perlu tahu tanggungjawab saya. Saya tahu saya dah berdosa, tapi… ALLAH kan Maha Pengampun?” Bidas Tan Sri Kamarul. Turun naik dadanya menahan rasa yang sukar hendak digambarkan. Sedih, kecewa, kesal mengenangkan kealpaannya sebelum ini sebagai seorang yang hanya bergelar hamba…
“Tan Sri Kamarul, rasanya kita ni taklah melampau lagi. Kita tak buat apa yang Islam larang. Kita tak minum arak, kita tak makan benda haram, kita tak main judi! Kita selalu bersedekah lagi adalah! Zakat pun kita bayar! Sekali kita berzakat bukan sikit-sikit, tan sri. Orang yang banyak sembahyang pun agaknya tak berzakat banyak macam kita berzakat! Lagipun, ramai lagi orang Islam yang tak sembahyang, bukan kita aje. Tak kisah pun. Janji kita buat baik sudah.” Ada saja hujah Puan Sri Lydia hendak mematahkan kenyataan suaminya. Walau sebenarnya… hujahnya itu menyerlahkan lagi betapa jahilnya dia dalam agama.
Tan Sri Kamarul memicit dahi. Sesak dadanya mendengar jawapan dari si isteri. “Lydia, awak tahu tak solat tu rukun Islam yang kedua lepas syahadah? Awak tak terfikir ke, apa jadi pada amalan baik kita selama ni sedangkan kita tak solat? Memang kita ada buat baik, tapi perkara baik yang utama dan yang diwajibkan kita tak buat! Jadi, awak tak rasa ke amalan baik kita selama ni sia-sia aje?”
“Huh, sudahlah, bang! Susahlah cakap dengan abang ni. Dulu abang tak macam ni. Kenapa sekarang baru nak cakap pasal solatlah, pasal rukun Islamlah? Hmmm… dahlah. Penat cakap dengan abang ni. Saya turun dulu. Tengok TV lagi bagus!” Puan Sri Lydia mengangkat punggung dari birai katil. Malas hendak terus bertegang urat. Buat pening kepala saja melayan suaminya yang mungkin buang tebiat itu!
“Saya memang ikhlas nak berubah, Lydia. Saya tak nak tengok masa silam lagi. Cukuplah! Lagipun, tak lama lagi kan anak kita, Khalisah nak kahwin. Siapa lagi yang akan jadi wali kalau bukan saya? Selagi saya tak solat, selagi tu saya ni fasiq. Saya tak mahu Khalisah berwalikan orang fasiq macam saya. Sebab itu saya kena berubah dari sekarang sebab pernikahan tak sah dengan berwalikan wali fasiq.” Kata-kata akhir Tan Sri Kamarul membuatkan Puan Sri Lydia yang sudah pun membuka pintu untuk keluar berhenti seketika di situ.
Namun, akhirnya Puan Sri Lydia melangkah keluar juga dari bilik itu dengan wajah yang kelat.

KERETA mewah Tan Sri Kamarul terus meredah jalan dengan kelajuan sederhana. Adakalanya perlahan pula. Bergantung pada pemahamannya terhadap alamat di dalam kertas yang berada di tangannya itu.
Tiba di satu persimpangan, Tan Sri Kamarul memberhentikan seketika keretanya di tepi jalan. Kertas alamat yang diperolehnya daripada seorang hamba ALLAH di Masjid As-Salam itu diteliti satu per satu butirannya.
Sah, dia tidak silap jalan! Alhamdulillah… ALLAH telah mempermudahkan urusannya.
Brek kereta diturunkannya. Namun ketika keretanya hampir saja tiba di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat, matanya tertancap pada sebuah Mini Cooper yang amat-amat dikenalinya, tidak jauh daripada rumah teres itu!
BMW Tan Sri Kamarul berhenti lagi. Tidak boleh jadi…
“Adriana! Kamu buat apa kat sini?” Tan Sri Kamarul menyergah wanita yang sedang duduk termenung di dalam kereta itu.
Wanita yang sedang mengelamun itu terperanjat serta-merta. Dadanya bergelombang laju dijerkah tiba-tiba tanpa sebarang isyarat! “Hah! Errrr… pak ngah! Pak ngah buat apa kat sini???” Tidak berkelip matanya memandang lelaki yang entah macam mana boleh muncul di tepi keretanya itu tiba-tiba!
“Humhum… pak ngah tanya kamu, kamu tanya pak ngah balik!” Tan Sri Kamarul menggeleng perlahan. Kemusykilannya terhadap keberadaan anak saudaranya itu di tempat ini masih belum berjawab oleh wanita itu.
“Errrr… saya… saya…” Adriana kecelaruan. Apa yang harus dijawabnya? Memang, dia sedang mengintip lelaki bernama Faqih itu. Tapi… takkanlah dia hendak memberitahu pak ngahnya begitu pula?
“Kamu nak jumpa Faqih ya?” Tan Sri Kamarul menjawab dulu.
Adriana terangguk-angguk pula. “Ha! Ya. Saya nak jumpa Faqih. Hehe…” Ada sengihan yang tidak diketahui maksudnya kelihatan di bibir wanita itu. Macam orang bersalah pun ada…
“Kamu kenal Faqih?” Tan Sri Kamarul masih tidak mahu menamatkan sesi soal jawab.
“Ya, pak ngah. Saya kenal Faqih. Haritu kan saya datang rumah pak ngah?”
“Owh, tak perasan pun.” Tan Sri Kamarul meramas-ramas tengkuknya.
Adriana menjatuhkan kening. Teruk betul pak ngahnya ini! Boleh pak ngahnya mengatakan tidak perasan yang dia datang ke rumah lelaki itu? Walhal pak ngahnya itulah yang rancak berborak dengannya ketika dia datang ke rumah bapa saudaranya itu tempoh hari! Nama saja ahli perniagaan, tapi pelupa!
Sempat Adriana mengutuk-ngutuk bapa saudaranya itu dalam hati.
Tan Sri Kamarul mengeluh kecil. Jam tangannya dilihat. “Jom!”
“Jom apa?” Adriana kepelikan lagi.
“Jomlah jumpa Faqih!”
“Hah, pak ngah pun nak jumpa Faqih?”
“Yalah, habis buat apa aku datang sini?”
Adriana menelan liur. Terasa berpasir pula. Namun, ah… dia sudah terperangkap! Dia bukannya hendak berjumpa dengan ‘Ustaz Driver’ itu pun. Dia cuma mahu mengintip lelaki itu!
“Hmmm…” Akhirnya, dengan keluhan yang agak panjang Adriana keluar dari kereta. Fikirannya buntu sekarang ini. Apa alasan yang akan diberitahunya kepada Faqih kerana hendak berjumpa dengan lelaki itu?
‘Alah… kau cakap ajelah yang kau teman pak ngah kau!’ Kepala otaknya tiba-tiba memberi idea.
Adriana tersenyum-senyum sendiri. ‘Betul juga. Habis cerita!’
“Kamu senyum pada siapa, Adriana?” Tan Sri Kamarul yang sudah membuka langkah berpusing tubuh balik ke belakang.
Adriana tersentak. ‘Aduh, aku senyum ke tadi?’
“Errr… saya… saya senyum kat Faqih! Tu Faqih!” Adriana terloncat-loncat kecil dengan jari telunjuk menghala ke muka pintu rumah teres itu. Eh, Faqih memang sudah berada di situ rupanya!
‘Fuhhh… nasib baik! Aku main cakap saja tadi!’ Adriana mengurur-urut dada, lega!
“Ha, jomlah!” Tan Sri Kamarul meneruskan langkahnya lagi. Menghampiri pagar rumah teres dua tingkat itu.
Melihatkan kedatangan bosnya itu, Faqih jadi tertanya-tanya seketika. Namun, lekas dia menghampiri pintu pagar dan membukanya. “Tan sri? Tan sri buat apa kat sini?”
“Faqih, saya ada hal nak bincang dengan kamu,” ucap Tan Sri Kamarul sebaik huluran salamnya dengan pemandunya itu bertaut.
“Errr… hai, ustaz! Eh, hai, Faqih!” Muncul tiba-tiba seorang wanita berambut panjang beralun di sebelah Tan Sri Kamarul. Siap boleh tersasul lagi!
Berkerut dahi Faqih memandang wanita itu pula. “Adriana! Awak pun ada kat sini?”
Adriana tidak menjawab, sebaliknya dia hanya menyeringai menampakkan barisan giginya yang tersusun. Sebiji muka orang bersalah!
“Kamu sibuk ke, Faqih?” Tanya Tan Sri Kamarul.
Faqih menggeleng. Wajahnya kembali tenang. “Tak, saya tengah free sekarang ni. Errrmmm…” Kata lelaki itu sambil kepalanya tertinjau-tinjau memandang ke arah jalan. Ada lagi perkara yang membuatkannya kepelikan.
“Kenapa, Faqih?” Tan Sri Kamarul turut ikut memandang ke seberang jalan yang tidaklah lebar mana itu.
“Tan sri memandu sendiri ke?” Soal Faqih, itulah yang mengganggu fikirannya sebenarnya. Setahunya, Tan Sri Kamarul tidak tahu memandu!
Tan Sri Kamarul tergelak. “Ya, saya memandu sendiri. Kenapa? Tak percaya?”
“Errr…” Faqih menggaru-garu lehernya. Bertambah pelik!
“Humhum… untuk pengetahuan kamu, Faqih, saya sebenarnya boleh memandu. Cuma semenjak terlibat dengan kemalangan yang boleh dikatakan agak ngeri jugak tujuh tahun lepas, saya tak berani dah nak memandu. Saya trauma nak memandu. Sebab itu saya pakai driver.
Faqih terlongo seketika. Lah, begitu rupanya! Mati-matilah selama ini dia fikir yang Tan Sri Kamarul tidak ada lesen memandu! Itulah yang membuatkan dia pelik ketika pertama kali berjumpa dengan majikannya itu. Pelik kerana seorang tan sri yang sudah semestinya banyak duit, tidak mempunyai lesen memandu!
“Habis, macam mana tan sri boleh memandu sampai ke sini pulak? Macam mana tan sri boleh tahu rumah saya?” Faqih tidak sabar-sabar mencamurkan kebingungannya yang lain.
“Sebab saya betul-betul nak jumpa kamu, Faqih. Saya gagahkan jugak diri ni bawak kereta. Pasal tempat tinggal kamu, saya tahu dari seseorang. Adalah hamba ALLAH tu,” jelas Tan Sri Kamarul lalu menepuk-nepuk bahu pemandunya yang kebingungan itu.
“Hmmm… masuklah, tan sri,” pelawa Faqih.  Dalam kepalanya, ‘siapalah agaknya Hamba ALLAH itu?’
Seketika kemudian, ketiga-tiga mereka masuk ke dalam rumah. Mata Tan Sri Kamarul dan Adriana meliar seketika di dalam rumah itu. Serta-merta timbul keanehan dalam benak fikiran mereka.
Di atas sofa panjang, seorang lelaki yang tidak berbaju, sedang tidur tidak ingat dunia diiringi dengan dengkuran yang agak kuat. Faqih yang menyedari hal itu terus menjerkah gerangan yang sedang lena benar itu.
“Kimi! Kimi! Bangun! Bos aku datang!” Faqih menggoncang-goncang agak kasar bahu lelaki itu. Dia tahu, bukan mudah hendak membawa rakannya yang sedang tidur itu kembali ke dunia nyata!
“Arghhh… kau nak apa?” Hakimi terduduk setelah agak lama juga Faqih menggoncang bahunya. Terpisat-pisat mata lelaki itu.
Adriana yang hanya memerhati dari tadi mengetap bibir dengan mata yang membulat. Ah, kenapa mamat sewel ni lagi? Oh, tidak!!!
Hakimi menggosok-gosok matanya. Cuba mengecamkan kelibat seorang lelaki dan seorang wanita yang berdiri di hadapannya itu. Hah!
“Kau minah sengal tu kan? Wei, kau buat apa kat dalam rumah aku ha?” Hakimi terberdiri terus sebaik mindanya mengecamkan wanita yang kini tertunduk-tunduk malu itu. Arghhh, macam mana pulalah minah sengal ini boleh muncul tiba-tiba ketika dia membuka mata?
Faqih menepuk bahu rakannya itu. “Kimi, sudah! Ni bos aku dan yang ini anak saudara dia, Adriana. Kau nak tidur pergi masuk dalam! Kami ada hal sikit.” Agak keras Faqih menegur Hakimi. Memang kena begitu kerana dia tahu, Hakimi masih ‘berdendam’ dengan wanita yang digelarnya ‘minah sengal’ itu!
Hakimi menunjukkan jari telunjuknya ke wajah wanita itu, bagai hendak mencari gaduh. Jelas dadanya yang bidang, tidak bertutup apa-apa itu turun naik. Marah lagi ke, cik abang?
Adriana tunduk. Tidak mampu hendak membuat serangan balas. Dia malu! Malu sungguh melihatkan penampilan lelaki itu walaupun hatinya sudah memberontak-rontak untuk membuat serangan balas! ‘Arghhh, mamat sewel gedik! Ingat dada kau six pack aku cair ke? Kirim salamlah!’ membentak-bentak hatinya.
Tan Sri Kamarul yang hanya berdiri di sebelah anak saudaranya itu terus membatu. Dia tidak faham dengan apa yang berlangsung di depan matanya sekarang ini!
“Astaghfirullah, Kimi, sudah! Tolong masuk dalam sekarang, Kimi! Please…” Faqih cuba menahan emosi rakan serumahnya itu daripada terus bergelojak. Semakin keras suaranya dikeluarkan.
Hakimi merengus kasar. Tanpa banyak kata, mungkin sudah termalu sendiri melihat ada lelaki lain di sebelah ‘minah sengal’ itu, terus dia menghilang ke dapur. Seketika kemudian, kedengaran bunyi pintu bilik di dapur ditutup agak kasar. Marah betul dia nampaknya…
“Hmmm… saya minta maaf tan sri, Adriana. Kawan saya memang macam tu. Saya minta maaf sangat-sangat.” Faqih memohon maaf. Sungguh dia agak kesal dengan perlakuan rakan serumahnya yang agak tidak patut itu.
Tan Sri Kamarul menggeleng. Wajahnya nampak keletihan. “Tak apalah, Faqih. Orang bujang memang macam tu. Saya faham. Hmmm… saya ingat kamu tinggal sorang diri.”
“Taklah, tan sri. Saya kongsi dengan dua orang lagi kawan saya. Yang tadi tu dengan sorang lagi, belum balik kerja. Ha, tan sri duduklah dulu. Saya buat air.”
“Eh, tak payah, tak payah! Saya nak cakap dengan kamu sekarang.” Tan Sri Kamarul pantas menepuk bahu anak muda itu, menghalang langkahnya.
Faqih mengangguk. “Duduklah, tan sri.”
Seketika kemudian, ketiga-tiga mereka mengambil tempat duduk di sofa ruang tamu yang agak empuk itu.
“Faqih… saya sebenarnya… nak belajar solat dengan kamu.” Terus Tan Sri Kamarul memberitahukan tujuan asalnya menemui pemandunya itu tanpa kiasan-kiasan.
Faqih tergamam.
Adriana membulatkan mata. Pak ngahnya nak belajar solat?
Nafas dalam diambil. Faqih memandang lantai seketika sebelum tersenyum kembali memandang majikannya itu. “Boleh, tan sri. Insya-ALLAH. Errmmm… Adriana?”
Adriana yang masih melayan rasa peliknya itu terpinga-pinga. “Hah? Errr… saya pun nak belajar solat!” Spontan saja ayat itu keluar dari mulutnya. Oh, tidak!!!
Kali ini Tan Sri Kamarul pula yang membulatkan mata.
Faqih tertawa kecil. Seketika kemudian, dia mengangguk-angguk. “Insya-ALLAH, saya cuba apa yang termampu.” Tenang saja suaranya beralun.










4 comments:

ciknie said...

bgus la akhirnya tan sri da sdar n x mlu utk blajar dgn faqih

Anonymous said...

comel la part ni :)

Vampire3kidz said...

alhamdulillah...

obat penyakit jantung said...

kisah ini cukup menarik buat saya,sukses............