BAB
1
“KAMU
tak
nak kahwin, Faqih?” Orang tua itu memecah kesunyian ketika tangannya sedang
rancak menganyam ketupat sate.
Muhammad Faqih meneguk
liur. Gulp… soalan cepu emas! “Hmmm… kahwin, pak? Belum lagi kut. Siapalah nak
kat Faqih ni?” Pasrah saja bunyinya. Jari-jemarinya yang berhenti seketika tadi
kini menari-nari semula menganyam daun kelapa.
Pak Itam tersengih
sinis. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia sekeh kepala anak muda di hadapannya
ini! “Kenapa cakap macam tu pulak? Meluat bapak dengar. Hmmm… Faqih, Faqih…
perempuan rabun aje yang tak nak kat kamu!”
“Astaghfirullahalazim…
kenapa pulak, pak?” Mengucap panjang si Faqih. Suka-suka hati saja bapak dia ni
mengatakan anak dara orang rabun!
“Yalah. Ada ke patut
orang hensem macam anak bapak ni tak ada perempuan nak? Sebab tu bapak kata
diorang rabun!” Pak Itam begitu tegas menegakkan benang yang tidak basah.
Memang hakikatnya pun anak bujangnya itu hensem!
“Pak… semua orang nak
pasangan yang terbaik dalam hidup. Apa gunanya hensem kalau tak boleh bagi
kebahagiaan pada pasangan? Lagipun, hensem tu bukan boleh bagi makan anak
bini.” Faqih menarik nafas panjang. Nasihat yang mungkin sedikit berguna untuk
membetulkan pemahaman bapaknya iaitu lelaki hensem mesti disukai oleh semua perempuan.
Pak Itam tidak membalas
selepas itu. Entah dengar ke tidak, atau lelaki tua berusia awal lima puluh-an
itu semakin khusyuk membuat kerja menganyam ketupatnya atau pun... sengaja
buat-buat tak dengar.
Faqih menjeling sekilas
bapaknya itu. Aih, diam tiba-tiba? Dia ada salah cakap, kah?
“Faqih, lepas ni tolong
hantarkan sarung-sarung ketupat ni pada Mak Senah,” pinta Pak Itam. Perlahan betul nada suaranya. Merajuk, kah?
Garu kepala seketika
anak muda berusia dua puluh tujuh tahun itu. “Hantar sarung macam ni je, pak?
Tak payah letak beras lepastu rebus sekali ke?”
“Tak payah. Mak Senah
mintak kita buat sarung aje. Masuk beras semua tu dia buat sendiri,” jelas Pak
Itam. Ekor daun yang telah siap dianyamnya ditarik untuk mengemaskan lagi
struktur sarung ketupat sate itu. Lalu dicampak saja sarung ketupat itu ke
dalam bekas plastik di sebelahnya.
Faqih hanya mengangguk
selepas itu. Selesai satu sarung dianyam, lagi sehelai daun dicapainya.
Sesekali bila sendi-sendi terasa letih, dia akan menggeliat kecil diselang-selikan
dengan lafaz tasbih. Moga-moga ada kekuatan untuk dia meneruskan kerjanya ini.
MOTOSIKAL Honda C70 itu berhenti
betul-betul di perkarangan rumah Mak Senah. Enjin serta-merta dimatikan. Tidak
sempat memberi salam, kelibat Mak Senah sudah terjengul di muka pintu.
“Haa... semua dah siap,
Faqih?” Mak Senah menyarung selipar lalu menuju ke arah Faqih yang baru hendak
menanggalkan topi keledar.
“Alhamdulillah, semua
dah siap. Seratus lima puluh biji kan, Mak Senah?”
“A’ah. Cukuplah kut nak
jamu orang makan malam ni,” gumam Mak Senah. Terpancar riak keletihan di
wajahnya. Mungkin penat membuat persiapan untuk majlis doa selamat malam ini.
“Insya-ALLAH, cukup Mak
Senah.” Faqih memberi jaminan. Bakul yang berisi sarung ketupat di tempat
pembonceng diturunkannya. Sebuah buku nota tiga lima dikeluarkan dari kocek
seluarnya. Tiba masa untuk meminta haknya… apalagi kalau bukan bayaran.
Mak Senah memerhatikan
anak muda itu beberapa ketika. Tidak berkelip matanya… Sah! Ada sesuatu yang
berlegar-legar di mindanya.
“Disebabkan Mak Senah
mintak sarung je, so setiap satu cuma
lima puluh sen. Semua ada seratus lima puluh. Jadi… tujuh puluh lima ringgitlah
ya, Mak Senah. Errr… Mak Senah?” Berkerut-kerut dahi Faqih sebaik terperasankan
Mak Senah memandanganya dengan mata yang tidak berkedip. Mak aih… seram-sejuk
dibuatnya! Kalau boleh dikiaskan, pandangan Mak Senah mungkin sudah menembus
tubuhnya.
Faqih mengetap bibir.
“Mak Senah?”
Mak Senah meleretkan
senyuman pula. “Kamu tak nak jadi menantu Mak Senah, Faqih?”
Apa? Apa yang Mak Senah
cakap? Dia tidak salah dengar, kan? Berkelip-kelip kelopak mata Faqih. Ini kali
kedua dalam hari ini orang bertanyakannya soal kahwin. Tadi pula bapaknya.
“Ermmm… Mak Senah, saya dah lambat ni. Saya ada hal lepas ni.”
“Faqih, kalau kamu
kahwin dengan anak Mak Senah, si Nana tu, tujuh hari tujuh malam Mak Senah buat
kenduri,” luah Mak Senah. Tinggi benar pengharapan orang tua itu terhadap anak
muda bernama Muhammad Faqih ini.
Faqih melepaskan
keluhan kecil. Tipulah kalau dia tidak letih asyik dihujani soalan yang sama.
Entahlah… dia belum punya jawapan yang konkrit untuk soalan itu. “Siapalah saya
Mak Senah kalau nak dibandingkan dengan anak Mak Senah?” Hanya itulah jawapan
‘klise’ yang mampu diberikan setiap kali ditanyakan soalan sebegitu.
“Faqih, Mak Senah dah
lama berkenan kat kamu sebenarnya. Mak Senah selalu harap yang kamu ni nanti
jadi menantu Mak Senah.” Lagi sekali Mak Senah membuatkan si teruna
serba-salah.
“Mak Senah, saya belum
sedia nak kahwin. Ada jodoh, adalah.”
Mak Senah tidak lagi
menyambung cerita selepas itu. Selesai saja membuat bayaran, terus dia
mengangkat bakul yang berisi sarung ketupat yang ditempahnya lalu menuju ke
dalam rumah.
Faqih meramas-ramas
tengkuk. Tidak tahulah di mana silapnya…
“Abang Faqih…” Ada
suara menegur. Manja benar suara itu.
Lagi sekali Faqih tidak
tentu arah. Terpusing kepalanya memandang si empunya suara yang cukup manja dan
menggoda itu. “Nana? Errr…”
“Itulah, Abang Faqih.
Nana ajak kahwin tak mahu!” Gadis bertudung putih itu memuncungkan bibir.
Kepala motosikal Faqih diusap-usapnya tanpa rasa segan-silu.
Faqih hanya membisu.
Tidak tahulah kenapa tubuhnya seram sejuk setiap kali berjumpa dengan Nana,
anak Mak Senah yang baru selesai pengajian dari Universiti Sains Malaysia ini.
Majlis doa selamat malam ini diadakan pun kerana hendak meraikan kejayaan si
Nana inilah… yang baru bergelar graduan dalam bidang farmasi.
“Abang Faqih… Nana
sebenarnya dah lama suka kat abang. Dari Nana sekolah menengah lagi tau!
Tengok, lama tak Nana tunggu abang? Takkan abang sikit pun tak ada rasa nak menghargai
cinta Nana ni?” Lanjut Nana. Nadanya adakala kedengaran menggoda… adakalanya
seperti meminta simpati. Tetapi yang pasti, Nana memang tidak malu hendak
menguar-uarkan perasaannya kepada jejaka itu. Orang dah kemaruk… begitulah.
“Nana… saya kena pergi
dulu. Assalamualaikum.” Faqih tergesa-gesa meminta diri. Lekas dia menaiki
motosikalnya dan menghidupkan enjin. Dia tidak mahu berhadapan dengan Nana…
entahlah. Sebenarnya dia memang takut bersemuka dengan perempuan. Bukan dengan
Nana saja.
Mungkin sebab itukah
dia tidak berkahwin lagi? Hmmm... ada jodoh, adalah.
“Eiii… Arghhhhh!!!”
Nana membentak-bentak geram. Bengkak sungguh hatinya mengiringi motosikal yang
sudah lesap entah ke mana itu. Hanya sisa-sisa kepulan asap yang kini memenuhi
ruang pandangnya. Memang betullah… masuk angin keluar asap! Faqih langsung
tidak memberi respon pada kata-katanya. Dah buat gaya manja-manja pun, lelaki
itu macam tiada perasaan saja. Bernafsu songsangkah dia?
Nana mengomel-ngomel
seorang diri. Dia tidak peduli… dia tetap mahukan jejaka bernama Muhammad
Faqih!
Tanah di halaman
rumahnya dipijak-pijak, bersungguh-sungguh. Tidak ubah seperti kanak-kanak
riang yang tidak mendapat mainan.
“YALAH, sayang. Nanti saya datang ya?
Bila? Malam ni kan?” Lelaki yang berbaring menelentang di atas sofa panjang di
ruang tamu rumah teres dua tingkat itu menongkat kepalanya pula. Wajahnya
berseri-seri saja dengan senyuman yang tidak pernah luntur semenjak
kebelakangan ini.
Faqih sedang memegang
dua biji cawan berisi kopi panas ketika dia melangkah keluar dari pintu dapur.
Tidak jadi dia meneruskan langkah… melihat lelaki di atas sofa itu masih
melayan perasaan. Biarlah dia jadi pemerhati dulu.
“Okey, sayang. I love you, sweetheart. Bye bye.” Lelaki
yang berbaring di atas sofa itu mengucup skrin telefon bimbitnya. Lalu
menelentang semula dengan wajah yang senang hati.
“Bukan main
bersayang-sayang kau ya? Meluat gila aku dengar!” Tiada angin, tiada ribut,
Faqih meluahkan rasa menyampahnya kepada rakannya yang sedang berbaring di atas
sofa itu.
Lelaki itu terduduk
serta-merta. Terkebil-kebil dia menyedari Faqih merangkap teman serumahnya itu
sudah muncul di depan matanya. “Haha. Kau jeles ke?” Cawan kopi di tangan Faqih
disambar tanpa segan silu. Dia tahu memang Faqih bancuhkan untuknya.
“Tak ada maknanya aku
nak jeles. Aku menyampah lagi adalah!”
“Hmmm… suka hati
kaulah, Faqih. Yang penting, aku bahagia.”
Faqih merengus
perlahan. Susah mahu cakap dengan orang yang belum ‘mendapat petunjuk’
sebegini! Kopi panasnya dicicip dahulu sebelum menyambung kata. “Tak elok kau
buat orang macam ni, Taufiq. Kau tak rasa kesian sikit pun ke pada
perempuan-perempuan yang jadi mangsa kau ha?”
Lelaki bernama Taufiq
tersebut berubah wajah. Penuh kerutan ‘tidak senang’ terpamer dengan kata-kata
rakan serumahnya itu. “Aku bukannya buat apa kat dia orang pun. Siapa suruh
diorang rela hati jadi bahan mainan? Aku sapu ajelah. Hehe…”
“Memang badan kau tak
buat apa-apa. Tapi mulut kau yang buat apa-apa! Sebab mulut manis kau tulah
perempuan-perempuan tu sanggup jadi mangsa kau. Hmmm… kau dah besar kan? Aku
rasa kau dah boleh fikir mana yang baik, mana yang buruk.” Faqih hanya
menggeleng kepala selepas itu. Entah sudah kali ke berapalah nasihat itu
berputar di bibirnya. Namun… dia memang tidak tahu hendak berkata apa lagi
terhadap Taufiq yang kerjanya suka mengayat perempuan, mengikis duit perempuan
dan meninggalkan perempuan sesuka hatinya itu. Benarlah, hidayah itu milik
ALLAH. Moga-moga ALLAH membuka pintu hati Taufiq untuk tidak memain-mainkan
perempuan dengan wajah ala-ala korea dan mulut manisnya itu selepas ini!
Taufiq diam. Agak lama…
adakah kali ini nasihat Faqih menjadi untuk menimbulkan rasa sedikit keinsafan
dalam hati rakan serumahnya itu?
“Taufiq, sebagai
saudara seIslam, aku cuma menyampaikan. Aku minta maaf kalau kau terasa.” Faqih
pula yang serba-salah. Mungkin nasihatnya terlalu pedas sampai Taufiq terdiam
kerana sakit hati?
“Ehem… hum… hum.
Hahahaha…” Ketawa Taufiq berderai tiba-tiba. Entah apa yang menggeletek hatinya
untuk tiba-tiba ketawa daripada diam yang agak lama tadi.
Hampir-hampir air kopi
yang sedang dicicip oleh Faqih tersembur… terkejut mak datuk dia disergah
dengan hilai tawa Taufiq yang tak makan saman itu! Nampaknya harapan untuk
melihat Taufiq ‘mendapat petunjuk’ berkubur lagi.
“Faqih, kadang-kadang
aku kesian gila pada kau. Kau penat-penat habis air liur bagi ceramah kat aku.
Hmmm… macam nilah, Faqih. Apa kata aku pulak ajar kau macam mana nak jadi macam
aku? Mana tahu kau pun dapat ‘hidayah’ lepasni sebab dah faham situasi aku. So, mungkin lepas tu kau pun akan banyak
fikir sebelum kau habiskan air liur kau nak bagi ceramah free pada aku. Amacam?” Taufiq memeluk bahu Faqih, agak kasar.
Faqih memicit dahi.
Tidak tahulah kata-kata Taufiq itu adakah benar-benar serius atau sengaja mahu
menyindir. Sudah diagak… susah nak kata dengan orang yang belum ‘mendapat
petunjuk’ sebegini.
“Kalau nak hidup senang
memang kena macam ni, Faqih. Kau tolonglah faham!” Tegas Taufiq. Sekali membawa
maksud agar kelakuannya tidak dipersoalkan lagi. Dia tahu apa yang dilakukan.
Ini hidupnya.
Faqih hanya mengangkat
bahu selepas itu. Biarlah masa yang mengubah jejaka bernama Taufiq ini.
2 comments:
Best ^_^
imam mudaku romantik..so best...ustaz muhammad faqih terlalu sempurna buat saya yang hanya hawa yang memang tak layak langsung untuk berkawan malah untuk mengenali dirinya juga..harap suatu hari nanti saya jumpa dengan imam mudaku romantik saya dunia akhirat....aaaminnn :)
Post a Comment