Saturday, April 13, 2013

Imam Mudaku Romantik! 18


BAB 18
FAQIH menyelesaikan bacaannya dengan lafaz sadaqallahul ‘azim. Mushaf Al-Quran ditutupnya lalu diangkat dan dikucup penuh tertib. Alhamdulillah, ketenangan itu hadir juga membelai sekeping hatinya.
Setelah menyimpan semula mushaf Al-Quran di atas rak, Faqih kembali semula memijak permukaan sejadah. Dengan iringan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas, takbiratul ihram kedengaran tidak lama selepas itu.
Daun pintu yang dikuak sedikit kembali ditutup, perlahan agar tidak mengganggu khusyuk lelaki yang sedang beribadah itu.
“Abang tengah solat, pak.” Syuhada kembali ke ruang tamu rumah kampung itu. Lalu terus saja dia duduk di sebelah Pak Itam yang sedang menelaah buku agama.
Pak Itam menurunkan sedikit kaca mata tebal yang dipakainya. “Tengah solat apa tu? Istikharah?” Ada tawa kecil menyusul.
“Hmmm… agaknyalah. Kesian Syu tengok abang tu,” getus Syuhada.
“Kesian? Kenapa?” Pak Itam menginginkan penerangan yang jelas.
“Entahlah. Syu kesian dengan abang sebab… dia tu aneh. Tak macam orang lain. Susahlah nak cakap dia tu. Bapak sendiri tahu kan yang kelakuan abang tu kadang-kadang kita tak dapat nak baca apa tujuan dia.” Agak susah juga Syuhada hendak menerangkan kepada bapanya itu. Sangkanya, Pak Itam akan faham sendiri.
Pak Itam terangguk-angguk. “Abang kamu tu takdalah sampai tahap aneh. Cuma, dia tu suka buat kerja yang dia tak patut buat. Bapak faham, setiap kerja yang dia buat tu bukan sengaja-sengaja. Dia sebenarnya sedang mencari erti ‘sesuatu’.”
Syuhada terdiam. Betul juga kata bapanya. Abangnya memang tidak aneh. Abangnya normal, seperti orang lain juga. Kalau tidak normal, masakan boleh jadi ustaz, siap berceramah dalam televisyen lagi kadang-kadang! Cuma, tindakannya itu yang kadang-kadang mengundang tanda tanya orang…
“Biarlah dia nak buat apa, Syu. Dia dah besar. Dah boleh fikir.” Pak Itam mengulas begitu saja. Yalah, apa lagi yang hendak dikatakan?
Syuhada masih tidak berpuas hati. Dia berdiam, tetapi fikirannya ligat memutarkan sesuatu. “Pak… bapak kenal tak dengan pak cik tua buta yang Abang Faqih selalu bagi makan depan masjid tu?”
“Hah? Pak cik tua buta mana pulaklah ni, Syu?” Pak Itam nampaknya kepelikan  benar mendengar soalan anaknya.
Syuhada mengherotkan bibir. “Oh, bapak tak tahulah ya? Hmmm… abanglah ni, setiap petang dia bagi makan kat pak cik tua tu! Tak tahulah… nak kata pak cik tu pengemis, baju dia tak nampak macam pengemis pun. Lepastu, waktu petang-petang aje pak cik tu muncul kat depan masjid tu. Hmmm… ingatkan bapak tahu.” Wanita itu berpeluk tubuh pula. Otaknya terus ligat berkefikiran.
“Jap, jap. Masjid mana ni?”
“Lah… masjid mana pulak, pak? Masjid As-Salam lah! Masjid tempat abang jadi imam tu!” Syuhada menggeleng kepala. Bapak, bapak… penat-penat dia berbicara panjang tadi, rupanya Pak Itam masih ‘tertinggal’ jauh di belakang!
“Owh… abang kamu bagi makan? Hmmm… dia nak buat pahala agaknya. Biarlah dia.” Pak Itam seperti biasa… malas hendak mengulas panjang.
Syuhada merengus. Bapanya relaks saja, tapi entah kenapa dia beria-ia benar hendak memikirkan hal abangnya itu!
Setelah suasana sepi berlangsung agak lama, kedengaran bunyi kuakan daun pintu dari salah satu bilik tidur rumah kampung itu, menandakan ada seseorang yang sudah keluar.
“Bapak, Syu…” Faqih yang mungkin sudah selesai beribadah itu menegur kedua-dua mereka yang sedang membuat hal sendiri di ruang tamu.
Perhatian Pak Itam dan Syuhada lekas beralih kepada anak muda yang kini sudah duduk di salah satu sofa ruang tamu itu.
“Ha, Faqih… buat apa kat dalam bilik tadi?” Sengaja Pak Itam bertanya walaupun dia memang sudah tahu.
Faqih membulatkan mata. Tidak sangka pula Pak Itam akan bertanyakan soalan itu! “Errr… Faqih buat solat sunat sikit.”
Pak Itam terangguk-angguk lagi. Matanya masih tidak lari daripada pembacaannya. Nampaknya dia betul-betul menghayati apa yang sedang dibacanya.
“Syu, termenung apa tu? Tembus pandangan nampak!” Faqih menegur sinis adiknya yang dari tadi tidak bersuara itu. Walhal bukannya sedang melakukan apa-apa kerja pun. Mengelamun di sebelah Pak Itam dengan mata yang tidak berkelip.
Syuhada tercengang-cengang. Namun cepat saja dia tersenyum selepas itu. “Syu tengah bayangkan makan Durian Crepe. Hummm… sedapnya!” Tertutup-tutup mata wanita itu, menggambarkan betapa sedapnya Durian Crepe yang sedang bermain di mindanya.
Terangkat sebelah kening Faqih. Erkkk? Mengelamun tentang Durian Crepe?
“Abang, abang tahu tak buat Durian Crepe? Syu mengidamlah. Nampak macam sedap!” Syuhada sudah ‘pandai’ membuat permintaan pula!
“Hmmm… Durian Crepe ya?” Faqih menyapu-nyapu dahinya. Macam-macamlah adiknya ini!
“Alahhh… kalau ketupat boleh buat, takkanlah Durian Crepe abang tak reti kan? Durian Crepe lagi senang rasanya. Main balut-balut aje. Hehe…” Tersengih-sengih macam kerang busuk si Syuhada. Membodek si abanglah tu!
“Oh… hoho… senang ya? Main balut-balut aje? Ha, meh sini, abang balut Syu pulak! Hmmm… Syu, Syu. Abang memang tak tahulah. Tapi kalau Syu bagi resepi, insya-ALLAH abang boleh buat kut. Kenapa tak beli aje?” Meletus juga tawa Faqih melayan ragam adiknya itu.
“Alaa… memanglah boleh beli. Tapi buat sendiri lagi sedap kan? Lagi-lagi kalau abang yang buat. Abang dengan bapak kan ‘chef’ dalam rumah ni!” Syuhada terus merayu. Beria-ia dia mahukan Durian Crepe. Ah, air liurnya kecur tiba-tiba!
“Yalah, nanti abang Google resepi. Lepastu abang buatkan untuk Syu.” Faqih mengiakan juga permintaan si adik. Walau yang sebenarnya, dia juga teringin hendak makan Durian Crepe. Semuanya semenjak beberapa hari lepas, Taufiq membawa pulang enam keping Durian Crepe ke rumah mereka. Kata Taufiq, teman wanitanya yang belanja. Dan yang paling sadis… lelaki itu tidak mahu berkongsi langsung Durian Crepenya dengan si Faqih dan Hakimi. Telan liur sajalah kedua-dua jejaka tersebut akhirnya.
Faqih sempat mengelamun tentang kisah yang berlaku antaranya dengan Durian Crepe.
“Abang termenungkan siapa?” Sergah Syuhada. Perasan saja yang abangnya itu termenung!
Lekas Faqih menggeleng. Hai, penangan Durian Crepe…
“Tak ada apa-apalah, Syu. Errrmmm… abang sebenarnya nak bagitahu keputusan abang tentang hal Nana.” Terus Faqih menyuarakan hal yang ingin diperkatakannya semenjak tadi.
Pak Itam yang dari tadi diam membatu terus menutup buku yang dibacanya. Nah, berjaya juga perhatiannya dialihkan! “Ha, kamu dah ada keputusan, Faqih?”
Faqih diam seketika… lalu mengangguk. “Ya, pak. Faqih dah ada keputusan.”
“Errr… macam mana?” Syuhada sudah tidak sabar-sabar hendak mengetahui. Entah kenapa dia pula yang terlebih berdebar!
“Sebelum tu, kamu memang dah fikir masak-masak, Faqih?” Pak Itam masih menginginkan kepastian.
Nafas yang agak dalam dihela. Faqih tunduk seketika sebelum memandang wajah Pak Itam dan Syuhada bersilih ganti. “Insya-ALLAH, Faqih dah fikir masak-masak.”

SEPERTI biasa, petang itu Faqih dan Syuhada mengisi masa dengan beriadah di sebuah taman tasik yang terdapat di ibu kota. Dua pusingan mengelilingi tasik tersebut sudah cukup membuatkan mereka termengah-mengah.
“Hummm… okey, Syu dah penat. Jom duduk!” Syuhada yang sudah berpeluh-peluh tidak sanggup hendak membuat pusingan mengelilingi tasik itu lagi.
Faqih yang sedang berlari-lari setempat berhenti serta-merta. “Aik, baru dua pusingan dah penat ke?” Sinisnya.
Syuhada merengus. Peluh yang semakin merembes di dahi dilap-lapnya dengan tuala yang tersangkut di batang leher. “Dua pusingan tu dah cukup jauhlah, bang. Tasik ni bukannya kecik. Dahlah, bang. Jom duduk!” Keluhnya.
“Hmmm… yalah.”
Seketika kemudian, Faqih dan Syuhada mengambil tempat duduk di bangku kosong yang berdekatan. Sementara itu, sempat mereka membuang pandang ke arah tasik yang terbentang di depan mata. Sesekali pandangan mereka diganggu oleh lintasan manusia yang turut berjoging di taman tasik itu. Walau apapun, suasananya tetap nyaman…
“Mana dia, Syu?” Soal Faqih setelah agak lama menenangkan diri.
Syuhada tidak terus menjawab soalan itu. Sebaliknya dia tertinjau-tinjau seketika memandang sekeliling. “Lepas ni sampailah agaknya. Hmmm… abang memang dah buat keputusanlah ni?”
Faqih mengangguk saja.
“Hai… kesian dia. Mengharap bertahun-tahun, satu habuk pun tak dapat!” Syuhada menggeleng-geleng kepala. Nampak macam kesal.
“Humhum… kenapa? Syu nak ke dia jadi kakak Syu?” Faqih menangkap nada kesal pada getusan adiknya itu.
Syuhada mengangkat kening. “Kalau abang nakkan dia, Syu tak ada masalah. Dia okey apa. Cantik, pandai. Syu pernah rasa dia masak, sedap!”
Faqih menundukkan kepala. Jawapan adiknya itu tidak langsung mengundang keceriaan pada mimik mukanya. “Abang belum bersedia lagilah, Syu.”
“Laaa… kenapa tak bersedia pulak? Abang kan dah ada semuanya. Umur abang pun bukannya muda sangat.  Dah masuk dua puluh tujuh pun. Sesuai sangat kalau nak kahwin. Bapak pun asyik sebut benda yang sama aje!” Omel Syuhada, membidas alasan abangnya itu yang memang dipakai semenjak azali lagi setiap kali ditanyakan soal kahwin.
Tawa Faqih tiba-tiba meletus. “Amboi, pandai dah mengata abang ya? Eh, untuk lelaki macam abang, umur dua puluh tujuh tu kalau belum kahwin biasalah. Lainlah kalau Syu, memang dah jadi anak dara tua.”
Syuhada membulatkan mata. Ah, abangnya ini memang sengaja mencari peluang untuk memain-mainkannya! “Abang ni… Syu tengah cakap pasal abang. Abang sengaja lari topik kan? Eiii… geramlah dengan abang ni!” Wanita itu berpeluk tubuh sambil membuat bibir muncung itik.
“Eleh, nak merajuk pulak! Patutlah abang tengok muka adik abang ni makin hari makin banyak kedut, rupanya asyik nak marah aje. Hihi…”
Syuhada menjeling abangnya itu. Amboi, main kasar nampak!
“Dahlah, Syu. Abang minta maaf. Abang gurau aje. Syu memang cantik, nanti Syu menyesal tiada guna…” Mengekek-ngekek lelaki itu ketawa ketika menyanyi di penghujung ayatnya.
Syuhada melopong seketika mendengar lagu yang abangnya nyanyikan itu. Macam pernah dengar… Oh, Aku Anak Kampung dari Jimmy Palikat!
“Bukannya kutidak suka sama kamu, tapi aku takut hidup kau kan sengsara. Kerna aku cinta aku lepaskan kau sama orang lain.” Nyanyian Faqih makin menjadi-jadi pula. Hai, tunjuk bakat ke, bang?
“Haishh, kenapa dengan abang ni? Melarat pulak gilanya!” Syuhada naik pelik dengan ragam abangnya yang tiba-tiba saja berperangai sebegitu. Lengan Faqih ditamparnya agak kasar. Nasib baik ketika itu tiada orang yang lalu-lalang untuk melihat ‘kegilaan’ abangnya.
“Nyanyi sekali-sekala tak salahkan, Syu?” Faqih menggosok-gosok lengannya yang ditampar agak kuat oleh si adik. Namun dia tetap cool.
“Hei ustaz ni… dia pun sibuk nak menyanyi rupanya!”
“Lah, takkan ustaz tak boleh nyanyi kut? Ramai aje ustaz-ustaz menyanyi masa ceramah! Abanglah salah sorangnya tu. Hehe…” Akui Faqih diikuti dengan sengihan. Memang hakikatnya pun yang dia suka menyanyi. Dari sekolah rendah lagi, selain tilawah Al-Quran yang menjadi acara wajibnya untuk mewakili sekolah setiap tahun, dia juga aktif dalam menyertai kumpulan nasyid dan kumpulan qasidah. Pokoknya dia memang suka menyanyi!
“Hmmm… apa-apa ajelah, bang. Eh, tu Nana!” Syuhada terbangun terus dari duduknya sambil jari telunjuk menghala ke suatu arah.
Debaran mula terasa di hati Faqih. ‘Ya ALLAH, kuatkanlah aku!’
Perlahan, Faqih bangun dari duduknya selepas itu melihat kelibat wanita itu semakin menghampiri ke arah mereka.
“Assalamualaikum Syu, errr… Abang Faqih.” Suara wanita itu sayup saja menyapa mereka dengan salam.”
“Waalaikumussalam.” Serentak suara Syuhada dan Faqih bertingkah menyahut salam itu.
“Errrmmm… Kak Nana apa khabar?” Syuhada sengaja mencari ruang untuk menutup kecanggungan masing-masing. Nak harapkan abangnya? Memanglah tidak boleh harap!
“Alhamdulillah, akak sihat aje. Errr…” Nana masih tidak mampu membendung kecanggungannya. Semuanya gara-gara lelaki itu! Yang mana, telah membuatkan hatinya tawar semenjak beberapa hari ini…
Syuhada tidak membalas. Memberi peluang untuk abangnya dan wanita itu bersuara pula.
“Kenapa abang tak boleh terima Nana?” Jerkah Nana, terus saja tanpa sebarang pembayang. Sungguh, sakit hatinya ketika emaknya memberitahukan yang lelaki itu telah menolak risikannya masih berbekas dengan luka.
Oleh sebab itu, Nana mengatur pertemuan pada petang ini. Dia tidak peduli, dia mahukan juga penjelasan daripada lelaki itu. Bertahun-tahun dia menunggu lelaki itu, kenapa pada akhirnya dia perlu kecewa juga?
Faqih tergamam. Terasa berpasir air liurnya untuk ditelan mendengar soalan wanita itu. “Errr… saya, saya belum sedia.”
Nana mengeluh. “Lama Nana  tunggu abang. Sampai hati abang buat Nana macam ni!”
“Saya tak pernah paksa awak tunggu saya.” Kali ini, Faqih agak bertegas. Dia sudah letih sebenarnya berhadapan dengan wanita yang tidak pernah ‘memahami’ alasan yang selalu diutarakannya selama ini.
Syuhada hanya mampu menjadi pemerhati. Tidak mahu menyampuk di mana-mana bahagian. Biarlah mereka menyelesaikan masalah mereka sendiri…
“Nana, fahamlah saya. Saya tak mintak awak tunggu saya. Awak carilah orang lain yang lebih baik dari saya,” lanjut Faqih melihatkan Nana hanya diam membatu.
Nana masih tidak membalas. Cuma, bening matanya yang nampak berkaca-kaca.
Dari jauh, wanita itu terus memerhati…
Khalisah tersenyum sendiri. Hari ini dia ke sini lagi. Kenapa? Kerana sengaja…
Khalisah tahu di mana jejaka bernama Faqih itu akan berada pada setiap petang minggu. Oleh sebab itu, dia ke sini. Walaupun dia tahu ada wanita lain yang turut bersama-sama Faqih, tetapi dia tidak kisah. Lagipun, dia kan sudah bertunang? Sememangnya segala harapannya telah musnah…
Sudah dikatakan yang dia memang sengaja… bermakna dia memang sengaja hendak melihat lelaki itu pada petang-petang begini. Walau tanda tanya tentang dua orang wanita yang sedang berbual dengan jejaka itu masih menghantui…
‘Siapa mereka?’ Soalan itu terus berlegar-legar di mindanya.




Saturday, April 6, 2013

Imam Mudaku Romantik! 17


BAB 17
KALI ini Khalisah keseorangan. Tanpa ditemani sesiapa, langkahnya sederhana saja berjalan ke setiap satu rak yang bersusun dengan bermacam barangan di pasar raya itu. Sesekali bila matanya menangkap barangan yang ingin dibeli, lantas dicekutnya lalu dimasukkan ke dalam bakul yang dijinjit.
Setelah semua barangan yang diinginkan terletak di dalam bakul, Khalisah berjalan menuju ke kaunter untuk membuat bayaran.
“I tolong.” Ada tangan tiba-tiba menyambar beg plastik berisi barangan yang dibelinya.
Khalisah yang sedang menyeluk dompetnya untuk mengeluarkan wang mengangkat muka. Membulat matanya, terkejut dengan kehadiran lelaki yang tidak disangka akan muncul di hadapannya itu!
Khalisah merengus. Segera bayarannya dilangsaikan sebelum bergerak menjauhi kaunter.
“Sudahlah, Izham. Saya boleh bawak sendiri.” Khalisah cuba merampas barangannya dari tangan lelaki yang juga… tunangnya itu. Dia rimas!
Izham menggeleng. Dia lebih lekas melarikan beg plastik itu agar tidak dapat dicapai oleh Khalisah. “Kita lunch dulu? Ada sesuatu yang I nak cakap dengan you.”
Khalisah memejamkan matanya. Wajahnya yang biasa-biasa tadi kini penuh dengan kerutan… kerutan tidak senang. “Tolonglah, Izham. Jangan buat I macam ni. I sibuk, tak ada masa nak lunch dengan you. You pergilah sendiri.” Sungutnya lalu cuba lagi merampas beg plastik yang berisi barangannya. Ah, lelaki ini memang menyusahkan hidupnya!
“I tunang you. Takkan I tak boleh tolong tunang I? Hmmm… you buat kerja apa sampai tak ada masa? Office tu bukan you punya ke? Please don’t make such excuse. You ikut I, okey?” Izham tetap berkeras. Kini dia yakin yang wanita itu telah menjadi ‘miliknya’, maka dia tidak akan mengalah lagi pada wanita itu!
“Izham, tolong… I mintak tolong jangan buat I macam ni! You tak ada hak nak paksa-paksa I, I bukannya isteri you!” Khalisah mula meninggikan suara. Dia juga tidak akan mudah tewas dengan lelaki ini!
Walau hakikatnya… dia memang sudah ‘tewas’ dengan lelaki itu. Tewas kerana akhirnya lelaki itu berjaya ‘mendapatkannya’ sebagai seorang tunang! Dan semestinya akan membawa ke gerbang perkahwinan selepas ini. Jadi apa lagi? Khalisah memang sudah kalah!
“No. You kena jugak teman I lunch.” Izham yang tetap dengan kepala batunya itu terus berjalan, tidak mempedulikan Khalisah lagi.
Khalisah mengeluh panjang. Keletihan menghadapi ‘semua ini’ yang tidak pernah dipintanya terasa begitu melelahkan nafasnya!
Akhirnya, Khalisah terpaksa mengakui yang dia kalah lagi. Langkah lelaki itu diekorinya dengan hati yang separuh sehinggalah membawanya masuk ke dalam sebuah restoran yang agak eksklusif yang terdapat di dalam pasar raya itu.
“Have a seat, my dear.” Izham yang agak berkeras tadi serta-merta saja berubah menjadi agak gentleman sebaik memasuki restoran itu. Salah satu kerusi yang terdapat di meja paling hujung itu ditariknya perlahan, lantas mempelawa tunangnya itu dengan suara yang cukup gemersik.
Khalisah tidak mampu hendak berkata apa-apa. Sakit hatinya berhadapan dengan kerenah tunang yang memang tidak pernah mendapat tempat di hatinya itu begitu menusuk. Sungguh, terasa dirinya cukup hebat diuji!
Nak tak nak, Khalisah duduk juga di tempat yang telah disediakan oleh si tunang.
Izham mengambil tempat bertentangan dan menghadap tunangnya itu. Seketika kemudian, datang seorang pelayan lelaki mengambil pesanan mereka.
Khalisah terus membatu. Sepatah suara pun tidak dikeluarkannya. Akhirnya, Izham yang membuatkan pesanan untuknya.
“Lisa, kenapa senyap? Please say something,” pujuk Izham sebaik pelayan berbaju hitam tersebut berlalu pergi. Ya, bukan dia tidak perasan wajah kelat yang terpamer pada tunangnya itu.
“Kenapa you paksa I? You tak faham bahasa ke yang I tak mahu dengan you?” Khalisah melontarkan pertanyaannya. Rasa amarah yang terdapat pada bicaranya sememangnya boleh difahami oleh sesiapa pun.
“Sebab I sayangkan you. You pun tak faham ke yang I betul-betul cintakan you? Only you, my dear.” Izham terus bermadah. Mungkin mengharap tunangnya yang masih antara rela dengan tidak menerimanya itu akan cair.
Khalisah menggeleng lalu berpeluk tubuh. ‘Kau dah buat aku merana, ingat senang-senang aje nak pujuk aku?’ Hatinya berdesis penuh kesakitan.
“I betul-betul cintakan you, Lisa. Takkan tak ada ruang langsung dalam hati you untuk I? Tolonglah bagi I peluang. I akan buktikan yang I mampu buat you bahagia,” rayu Izham seperti anak kecil yang terdesak meminta susu. Sememangnya lelaki itu sudah tidak boleh berfikir rasional lagi. Apa jadi pun, dia hanya mahukan Khalisah!
“Izham, tolonglah… I pun nak mintak tolong you. Kalau you betul-betul sayangkan I, kalau you betul-betul cintakan I, I tak nak you buat semua ni pada I. You simpanlah semua madah you tu sampai kita kahwin nanti. Untuk pengetahuan you, I tak nak kita terlalu ‘mesra’ selagi kita tak kahwin,” tegas Khalisah. Menyatakan pendiriannya yang sebenar.
Izham pula yang menggeleng. Kini dia yang tidak faham dengan tunangnya itu. “Tapi kenapa? I kan tunang you? I rasa tak salah kalau I nak luahkan cinta I pada you. Memang tak lama lagi kita akan kahwin pun! So, what’s the problem?”
“Izham, macam mana you nak I faham you, macam tulah I nak you faham I. I cuma nak perkahwinan kita nanti berlangsung dalam barakah ALLAH Taala. I tak nak kita buat perkara-perkara yang tak sepatutnya selagi kita belum kahwin,” lanjut Khalisah. Lebih tegas, agar tunangnya itu memahami.
Namun… seperti sebaliknya pula. Penjelasan tunangnya itu hanya mengundang tawa Izham. “You janganlah kolot sangat, sayang. Commonlah orang bercinta, memanglah kena buat adat orang bercinta. Apa gunanya cinta kalau saling diam membatu? Lagipun, tak lama lagi memang kita akan kahwin kan? So, janganlah risau ya?” Izham mengakhiri kata-katanya sebelum mencapai tangan Khalisah yang berada di atas meja dan digenggam lembut.
Khalisah terpana. Tersentak! “Izham, you jangan ingat I ni perempuan murah yang senang-senang saja boleh disentuh lelaki, termasuk you!!!” Kasar Khalisah menarik kembali tangannya. Lekas dia bangun dari tempat duduknya. Dia tidak sanggup lagi… Izham sudah melampau!
Izham terpinga-pinga. Kini, amarahnya pula yang membara mengiringi langkah wanita itu yang serta-merta saja meninggalkannya lalu keluar dari restoran tersebut.

SETELAH puas menangis di dalam kereta selama dua puluh minit, barulah Khalisah keluar. Dengan langkah yang nampak lesu, dia berjalan masuk ke dalam rumah mewah itu. Wajahnya yang dicalit sedikit solekan nipis luntur semuanya dek kesan air mata yang tidak berhenti-henti mengalir semenjak peristiwa di restoran tadi.
‘Aku benci Izham! Benci!’ Hati wanita itu masih tidak puas membentak. Nama Izham kini bukan saja tidak mahu didengarinya, malah dia cukup benci mendengar nama lelaki itu! Lelaki yang sengaja mahu mengambil kesempatan atas dirinya. Arghhh!
“Hei, Lisa… kenapa ni?” Puan Sri Lydia yang sedang bersantai-santai menonton televisyen terkejut melihat anak perempuannya itu masuk dengan muka yang agak ‘serabai’.
Khalisah tersentak. Dek terlalu melayan perasaan, sampai tidak perasan yang mamanya ada di ruang menonton itu. “Uhummm… tak ada apa-apalah, ma. Mata masuk habuk.” Helahnya. Ibu jarinya menguis-nguis kelopak mata yang masih bersisa dengan cecair jernih.
“Mata masuk habuk? Lisa nak bohong mama pun agak-agaklah. Takkanlah mata masuk habuk sampai muka tu jadi macam hantu!” Bidas Puan Sri Lydia. Dia tahu anaknya itu berbohong. Masak benar dia dengan perangai anak daranya itu.
Khalisah berhenti menangis terus. Muka macam hantu? Dengan hati yang mula tidak sedap, Khalisah berlari menuju ke cermin berdekatan yang tergantung pada dinding. Dan…warghhh!!!
“Lisa, Lisa ada masalah, sayang? Kenapa teruk sangat anak mama ni?” Puan Sri Lydia datang menghampiri anaknya yang berdiri di depan cermin itu. Kepala Khalisah diusap-usapnya.
Khalisah tidak menjawab. Wajahnya disapu-sapu dengan telapak tangan. Ya, dia akui yang penampilannya tidak terurus. Celak Arab yang dikenakan pada bening matanya sudah luntur ke pipi… patutlah mamanya mengatakan yang mukanya macam hantu!
“Eh, janganlah sapu muka tu. Lagilah kotor nanti! Ni, cuba cerita pada mama apa yang dah jadi pada Lisa ni?” Puan Sri Lydia menampar telapak tangan Khalisah yang masih menggosok-gosok mukanya itu. Alahai Khalisah… macam budak kecik saja!
Khalisah memang tertekan menonggeng ketika ini. Segala apa yang dilakukannya semua di luar kawalan emosi. Esakannya kembali kedengaran. Sedih betul dia!
“Lisa, apa yang dah jadi? Cerita pada mama!” Puan Sri Lydia sudah menaikkan suara. Risau dengan ragam anaknya yang tidak diketahui puncanya itu. Bahu Khalisah digoncang-goncangnya.
“Izham, ma…”
“Izham? Kenapa dengan Izham?” Puan Sri Lydia membeliakkan biji mata. Dadanya mula berdebar-debar.
Khalisah menjatuhkan kepala ke bahu mamanya. Tidak sanggup hendak menanggung kesedihan itu seorang diri. Harap-harap, mamanya memahami.
“Lisa, kenapa dengan Izham? Bagitahu mama, Lisa! Kenapa?” Puan Sri Lydia terjerit-jerit pula. Menebal kerisauannya. Risau dengan pelbagai kemungkinan buruk!
“Izham… Izham sengaja sentuh Lisa. Lisa benci dia!” Khalisah terus beresakan.
Bercantum kening Puan Sri Lydia mendengar jawapan anaknya itu. “Sentuh Lisa? Maksudnya? Dia nak buat tak elok pada Lisa ke?”
Khalisah mengangkat kepalanya semula, lalu menggeleng laju.
“Habis?” Puan Sri Lydia kebingungan. Apa masalah sebenarnya ni?
“Dia… dia… dia sengaja pegang… tangan Lisa.” Teresak-esak Khalisah menuturkan ayatnya. Diikuti pula dengan tangisan selepas itu.
Puan Sri Lydia melongo. Jawapan anaknya itu membuatkan kepalanya bertambah bingung. “Dah tu? Dia ada raba-raba ke?”
“Tak! Dia tak raba.” Khalisah menggeleng laju lagi.
“Jadi? Kenapa sedih sangat?” Puan Sri Lydia masih tidak faham.
“Sebab dia pegang tangan Lisalah!”
Puan Sri Lydia menghela nafas. “Lisa, cakap betul-betul. Dia nak buat apa pada Lisa sebenarnya?” Nada suaranya cuba diperlahankan. Manalah tahu dia akan memahami apa yang cuba disampaikan oleh anaknya itu selepas ini. Sekarang ini dia hanya tidak faham di mana bahagian ‘cerita’ Khalisah yang membuatkan anaknya itu menangis bagai nak rak sebegini!
Khalisah cuba menenangkan dirinya walaupun bahunya masih terinjut-injut beresakan. Air matanya disapu-sapu lagi dengan tapak tangan walau sudah dihalang oleh mamanya tadi. “Lisa tak suka Izham pegang tangan Lisa!”
“Tak, sekarang ni mama tak faham. Apa yang Lisa sedihkan sangat bila Izham pegang tangan Lisa?”
“Sebab Lisa tak nak dia pegang tangan Lisalah, ma. Sebab tu Lisa sedih. Dia kurang ajar, ma! Dia tak hormat Lisa!” Khalisah masih serius dengan kata-katanya. Dia sungguh berharap yang Puan Sri Lydia akan mengerti.
Puan Sri Lydia bercekak pinggang. Keningnya kembali bercantum memandang anak daranya itu. “Maknanya Izham cuma pegang tangan Lisa? Dan sebab itu aje Lisa menangis macam budak-budak. Begitu?”
Khalisah mengangguk. Namun seketika kemudian dia menggeleng-geleng lagi. “Mama, mama tahu kan yang Lisa dengan Izham belum kahwin? Takkan mama tak tahu yang Lisa dengan dia mana boleh bersentuhan!”
Puan Sri Lydia menepuk dahi. Sesak dadanya. “Hmmmm… Lisa, pegang tangan tu biasalah. Memanglah Lisa dengan Izham belum kahwin dan akan kahwin tak lama lagi. Tapi kau orang dah bertunang. Mama tak nampak mana rasionalnya Lisa kena menangis macam budak-budak sebegini! Come on, Lisa!”
Khalisah melopong. Terkilan! “Mama, sebab Lisa dengan dia hanya tunanglah kami tak boleh bersentuhan! Hukum agama kata macam tu, ma. Takkan kita nak lawan?” Bersungguh-sungguh dia mempertahankan pendiriannya. Harapannya agar mamanya itu mengerti nampaknya sudah hancur!
Puan Sri Lydia tergelak kecil walaupun hal itu bukanlah lucu pun. Kedua-dua belah tangannya lantas memegang bahu anak daranya itu. Pandangan mata mereka bertemu.
“Lisa, dengar sini. Lisa dengan Izham dah bertunang. Bertunang maknanya tak lama lagi kau orang akan berkahwin. So, tak ada apa-apa yang nak dirisaukan atau yang nak disedihkan sebenarnya. Kau orang memang dah diikat dengan perhubungan. Tak ada salahnya kalau dia nak pegang tangan Lisa ke, atau Lisa nak pegang tangan dia ke… come on, Lisa! Adat orang bercinta memanglah macam tu. Tak ada apa yang pelik! Tolonglah, be positive, Lisa. Ini bukan zaman dulu, bercinta dalam diam lepastu mak bapak aturkan. Sampai hari kahwin baru jumpa! Ini zaman sekarang, Lisa. Zaman sosial. Benda tu dah jadi common. Sepatutnya benda kecik macam tu tak payah dibesar-besarkan. Lagipun, dia bukannya buat benda tak senonoh pada Lisa kan? Dia tak cabul atau raba Lisa kan???” Puan Sri Lydia mencamurkan segala pendapatnya.
Khalisah terpana. Sungguh… sungguh dia tidak boleh menerima kata-kata mamanya!
Cengkaman mamanya pada bahunya dilepaskan serta-merta. Lalu, Khalisah berlari menuju ke tingkat atas… membawa hati yang remuk-redam.







Friday, March 29, 2013

Imam Mudaku Romantik! 16


BAB 16
LELAKI itu terpinga-pinga memandang kawasan sekelilingnya. Begitu juga wanita muda yang baru keluar dari Mini Coopernya itu. Bukan mereka tidak biasa dengan tempat di mana mereka berada sekarang ini. Cuma, tertanya-tanya kenapa mereka dibawa ke sini?
“Tan sri, kita solat berjemaah asar dulu ya?” Faqih bersuara, menyedari majikannya dan wanita itu kebingungan di bawa ke kawasan masjid.
Tan Sri Kamarul berubah wajah. Nampak gelisah mendengar jawapan anak muda itu. “Hah? Solat berjemaah? Macam mana saya nak solat berjemaah, sedangkan solat sendiri-sendiri pun tak tahu!”
“Tak apa, tan sri. Buat permulaan ni, tan sri ikut aje setiap pergerakan imam dan makmum lain. Nanti saya cuba bantu yang selebihnya,” ucap Faqih, tenang.
Adriana yang masih meliar matanya memandang bangunan masjid yang berkubah keemasan itu mengeluh tiba-tiba. “Hummm… macam mana saya nak solat? Telekung pun tak ada!”
“Sebenarnya kalau solat tak guna telekung pun tak apa, Cik Adriana. Pakai baju biasa pun asalkan hanya nampak muka dan tapak tangan, dah boleh dibawak solat. Hmmm… tak apalah. Cik Adriana jangan risau. Kat ruang solat muslimah biasanya disediakan telekung.” Panjang-lebar Faqih memberi penerangan kepada wanita yang masih terpinga-pinga itu. Tidak sangka agaknya dibawa ke masjid…
Adriana merengus pula. Matanya dijelingkan tanda tidak berpuas hati. Memang, hatinya sekarang ini sedang meronta-ronta kekesalan. Ini semua gara-gara pak ngahnya! Tidak pasal-pasal tadi dia tersasul, memberitahu Faqih yang kedatangannya menemui lelaki itu adalah kerana hendak belajar solat. Aduh!
“Okey, jom kita ambil wuduk dulu.” Faqih sudah membuka langkah. Sebentar lagi azan akan berkumandang, oleh sebab itu dia perlu cepat-cepat mempersiapkan diri.
Tan Sri Kamarul dan Adriana saling berpandangan. Seketika kemudian, Tan Sri Kamarul mengekor saja langkah lelaki muda merangkap pemandunya itu menuju ke tempat wuduk.
Adriana terkapar-kapar lagi. Aih, macam mana ni? Dia seorang saja perempuan!
Lalu, wanita itu juga ikut serta membuntuti bapa saudaranya.
“Eh, Cik Adriana… ni tempat wuduk lelaki. Tempat wuduk perempuan kat dalam sana,” tegur Faqih melihatkan Adriana yang hanya mengekor gerak Tan Sri Kamarul itu sedang berdiri di belakangnya, dengan muka yang nampak benar tidak ketahuan!
“Owhh… Errr… Ustaz Faqih, nak tanya boleh?” Adriana termalu sendiri. Namun, cepat-cepat rasa malunya itu dibuang melihatkan bapa saudaranya sedang sibuk membuka stokinnya di tangga masjid. Tinggal dia dengan jejaka bernama Faqih itu saja kini!
“Tanya apa, Cik Adriana?” Soal Faqih sambil menyinsing lengan jubah putihnya hingga ke siku untuk mengambil wuduk. Matanya tidak langsung dihalakan ke arah wanita itu.
“Errr… bapak saudara saya tak tahu lagi kan yang ustaz ni ustaz? Errrmmm… macam mana kalau dia tahu lepas ni?” Adriana menjongket sebelah keningnya. Serta-merta dia teringat akan perbualannya dengan lelaki itu seminggu lepas di kawasan masjid ini juga. Lelaki yang bergelar ustaz itu sendiri yang ‘merayu’ kepadanya supaya tidak diberitahukan identitinya kepada Tan Sri Kamarul. Nah, sekarang kenapa dibawanya pula bapa saudaranya itu ke sini?
Faqih diam seketika. Kopiah putih di kepalanya ditanggalkan sebelum senyuman kecilnya tersungging di sudut bibir. “Saya sebenarnya bukan tak nak bagitahu tan sri. Cuma, saya malas nak hebah-hebahkan. Kalau tan sri tahu pun, tak ada salahnya. Kalau tak tahu pun, tak apa.”
Berkedut dahi Adriana mendengar jawapan itu. Ah, pening kepalanya hendak memahami ‘pendirian’ jejaka bernama Faqih ini!
Faqih mula membaca basmalah. Selepas berniat untuk berwuduk, pancuran air yang keluar dari muncung paip mula diratakan ke satu per satu anggota wuduknya. Dingin… dan juga, mendamaikan.
Sementara Adriana yang kini berdiri di sebelah lelaki itu hanya memerhati. Memerhati dengan pandangan yang entah membawa maksud apa. Senyumannya terukir tanpa disedari ketika asyik memerhati lelaki yang sebenarnya… telah sedikit sebanyak mengusik pintu hatinya itu!
Faqih menutup kepala paip. Lantas, kedua-dua telapak tangannya ditadah untuk membaca doa selepas berwuduk pula. Khusyuk gayanya.
Adriana terus memerhati. Namun, kali ini pemerhatiannya itu memang bukan main-main. Matanya tidak berkedip langsung memandang wajah lelaki itu yang kini lembab setelah dibasahi dengan air wuduk. Ah… sungguh, hatinya bergetar!
“Errr… Cik Adriana? Kenapa tak ambil wuduk lagi?” Faqih yang baru hendak bergerak, tidak jadi meneruskan langkah. Terkejut juga melihat wanita itu masih di sebelahnya. Dengan senyuman pulak tu!
Cuak seketika Faqih… jangan dia ‘dibogelkan’ lagi sudahlah!
Adriana menggeleng kepala. Suara garau lelaki yang beralun tenang itu terus mematahkan lamunannya. “Ha? Errr… saya… saya tak tahu macam mana ambil wuduk!”
“Cik tak tahu macam mana ambil wuduk? Hmmm… okeylah. Mula-mula…”
“Faqih, ajar saya ambik wuduk!” Suara Tan Sri Kamarul yang menghilang agak lama juga tadi baru kedengaran, memintas percakapan Faqih.
Adriana mendengus kasar. Haish, pak ngahnya ini boleh pula tiba-tiba muncul! Baru hendak ‘bermesra-mesra’ dengan si Ustaz Muhammad Faqih! Wanita itu berpeluk tubuh. Wajahnya tidak seceria tadi. Geram!
“Baiklah, tan sri. Errrmmm… Cik Adriana, kebetulan nak ambil wuduk kan? Bolehlah tengok sekali macam mana caranya,” getus Faqih. Setelah Tan Sri Kamarul bersedia di hadapan salah satu kepala paip, Faqih mula memberikan tunjuk ajar dengan lisannya.
Adriana juga kelam-kabut selepas itu mengambil tempat di depan kepala paip. Mana boleh jadi… dia juga mahu belajar secara langsung dengan ustaz yang sudah mencuri hatinya itu!
Faqih tidak mampu menghalang. Biarlah… lama-kelamaan nanti wanita itu akan faham sendiri.
Sementara, terdapat beberapa jemaah lain yang turut memerhatikan gelagat ketiga-tiga orang itu hanya menggeleng-geleng kepala.

PELUH keringat mula membasahi dahi. Pancaran matahari duha boleh tahan juga menyengat bahagian kulit mereka yang tidak beralas. Keluhan demi keluhan kepenatan kedengaran bersilih ganti daripada kedua-dua orang lelaki itu.
“Huh, penat jugak ya kemas rumah ni!” Keluh Faqih, tangannya yang rancak menyapu daun-daun kering yang berguguran di halaman rumah kampung itu berhenti seketika.
Pak Itam tertawa. Dia yang asyik membelek pokok bunga yang agak banyak di halaman rumahnya itu nampak masih relaks. Mungkin sudah terbiasa dengan kerja-kerja sebegitu. “Sekali-sekala tak salah kan, Faqih? Masa kecik-kecik dulu kamulah yang paling ‘rajin’ nak buat semua ni. Dah sapu halaman rumah bersih, pergi panjat pulak pokok rambutan tu… lepastu buang kulit kat tanah balik. Humhum.”
Faqih tersenyum mendengar cerita bapanya itu. Pandangannya dihalakan ke arah deretan pokok rambutan yang tertanam di belakang rumah kampung itu. Masih ‘berjasa’ menghasilkan buah sampai sekarang…
“Faqih, kalau dah penat rehatlah, nak,” getus Pak Itam melihat anaknya itu sudah menunjukkan ‘ciri-ciri’ orang keletihan. Wajahnya berkerut beserta dada yang turun naik menahan kepanasan.
Faqih menggeleng. “Tak apalah, pak. Tinggal sikit lagi ni. Lepas ni kita rehatlah sama-sama ya?” Lelaki itu berkeras mahu meneruskan kerjanya. Buat kerja jangan hangat-hangat tahi ayam! Lagipun, bukan selalu dia berpanasan begini di bawah matahari pagi. Matahari pagi pun baik untuk kesihatan!
“Hmmm… suka hati kamulah.” Pak Itam malas hendak membidas apa-apa lagi. Seketika kemudian, dia kembali sibuk mengulit pokok-pokok bunganya.
Beberapa minit berlalu… bahang matahari semakin menyengat.
“Pak, Abang Faqih, marilah minum dulu. Syu dah siapkan minuman!” Suara Syuhada yang menjerkah dari pintu dapur rumah mengalihkan keasyikan kedua-dua lelaki itu daripada kerja masing-masing. Serentak mereka berpaling.
“Yalah, Syu. Bapak datang!” Sahut Pak Itam sebelum berdiri setelah agak lama mencangkung mengadap pokok bunganya. Telapak tangannya berlaga-laga dikibaskan.
Faqih yang mendengar adiknya menjemput minum terus memberhentikan kerja menyapu lamannya. Lantas penyapu tersebut disandarkan ke dinding papan rumah lalu bergerak menuju ke pangkin.
Aroma cekodok jagung yang sudah terhidang di atas pinggan merebak ke ruang pangkin rumah papan itu. Betul-betul membuka selera kedua-dua lelaki yang kepenatan tersebut. Ah, tidak sabar-sabar rasanya hendak mengisi perut yang sudah berjoget minta diisi!
“Mmmm… ya ALLAH, sedapnya!” Faqih betul-betul menghayati aroma cekodok jagung tersebut. Terpejam-pejam matanya memerhatikan timbunan cekodok di atas pinggan itu. Cekodok jagung… sentiasa bertakhta di hatinya. Ecewah!
“Dah Syu yang buat, memanglah…” Syuhada yang sedang menuangkan kopi O ke dalam cawan sempat ‘berbangga’ dengan kebolehannya membuat cekodok jagung.
“Alahai Syu… sengaja nak bapak melingkar macam ular lepas ni. Dah kenyang, satu kerja apa pun tak jalan! Humhum… tapi bagus jugak. Bapak tengah lapar ni!” Omel Pak Itam sebelum menjadi orang pertama yang menyambar sebiji cekodok jagung tersebut. Setelah membaca basmalah, cekodok jagung tersebut selamat dikunyahnya dengan penuh penghayatan.
Faqih tidak mampu berkata apa. Kali ini dia memang kalah dengan nafsunya. Setelah membaca basmalah, terus saja cekodok jagung tersebut dikunyahnya. Habis satu, cekut satu lagi. Memang berselera sungguh!
Syuhada yang masih ‘kawal-kawal ayunya’ itu tetap bersabar, mengunyah dengan perlahan. Namun, terhibur juga hatinya melihat kedua-dua insan yang disayanginya itu berselera menikmati hasil air tangannya.
Udara yang datang berhembus cukup mendamaikan, sebagai penambah keasyikan kepada mereka yang sedang enak menikmati hidangan cekodok jagung di pangkin itu. Ya ALLAH, sungguh nikmat kurniaan-MU!
“Syu,” panggil Pak Itam setelah kesepian berlangsung agak lama.
“Ya, pak?”
Pak Itam mengambil cawan kopinya lalu dicicip perlahan sebelum menyambung kata. “Syu ada cakap apa-apa dengan Mak Senah hari tu?”
Syuhada berhenti mengunyah. Begitu juga Faqih sebaik mendengar nama Mak Senah yang disebut oleh bapanya. Tidak lain tidak bukan, bayangan wajah wanita yang bernama Nana timbul di kepalanya!
Syuhada mengecap bibir seketika. “Dia ada tanya pada Syu. Tapi Syu tak berani nak jawab apa-apa. Syu nak abang yang jawab sendiri.” Ada sedikit kegelisahan terpancar pada wajah gadis berusia dua puluh dua tahun itu.
Pak Itam terangguk-angguk. Kopinya dicicip semula.
Sementara Faqih masih terkebil-kebil memerhati, minta dijelaskan apa sebenarnya yang sedang diceritakan oleh bapak dan adiknya ini!
Pak Itam meletakkan cawan kopinya, lalu menghala pandangannya ke arah Faqih yang sudah terlalu dahagakan penjelasan. “Hmmm… Faqih, haritu Mak Senah dengan Pak Usop datang. Mereka merisik kamu untuk Nana. Bapak tak bagi kata putus apa-apa lagi. Cuma… kadang-kadang bapak kesian pada Nana. Dia beria-ia nakkan kamu, Faqih.” Akhirnya, kemusykilan Faqih dijawab juga oleh Pak Itam.
Faqih tidak membalas mendengar cerita bapanya itu. Wajahnya kendur, menunjukkan ada sesuatu yang tidak berkenan di hatinya sebaik mendengar hal itu. Pandangannya ditundukkan agak lama… mungkin berfikir.
“Bapak takkan paksa kamu, Faqih. Ini hidup kamu, kamu saja yang ada hak tentukan hidup kamu sendiri.” Pak Itam menepuk bahu anak lelakinya itu. Dia tahu, apa yang telah diberitakannya kepada anak muda itu cukup membuatkan lelaki itu tersepit di tengah-tengah. Memang… dari dulu lagi hal si gadis bernama Nana itu tidak pernah berkesudahan!
Faqih mengangkat pandangannya semula. Sebuah senyuman ikhlas kembali terukir di bibirnya. “Biarlah saya fikirkan dulu ya, pak.”
“Hmmm… baguslah, Faqih. Fikirlah semasak-masaknya. Hal nikah-kahwin ni bukannnya boleh dibuat macam main pondok-pondok. Ambiklah masa kamu. Jangan terburu-buru buat keputusan. Yang penting, solat istikharah. Insya-ALLAH, ada petunjuk dari ALLAH nanti,” nasihat Pak Itam. Sebagai orang berpengalaman, dia amat mengerti perasaan anaknya itu.
Syuhada hanya terus memerhati. Tidak tahu hendak mencelah di mana.
Faqih terangguk-angguk. “Insya-ALLAH,” balasnya ringkas sebelum menyambung kembali seleranya terhadap cekodok jagung yang hanya tinggal beberapa biji bersisa di atas pinggan.