BAB
16
LELAKI
itu
terpinga-pinga memandang kawasan sekelilingnya. Begitu juga wanita muda yang
baru keluar dari Mini Coopernya itu. Bukan mereka tidak biasa dengan tempat di
mana mereka berada sekarang ini. Cuma, tertanya-tanya kenapa mereka dibawa ke
sini?
“Tan sri, kita solat
berjemaah asar dulu ya?” Faqih bersuara, menyedari majikannya dan wanita itu
kebingungan di bawa ke kawasan masjid.
Tan Sri Kamarul berubah
wajah. Nampak gelisah mendengar jawapan anak muda itu. “Hah? Solat berjemaah?
Macam mana saya nak solat berjemaah, sedangkan solat sendiri-sendiri pun tak
tahu!”
“Tak apa, tan sri. Buat
permulaan ni, tan sri ikut aje setiap pergerakan imam dan makmum lain. Nanti
saya cuba bantu yang selebihnya,” ucap Faqih, tenang.
Adriana yang masih meliar
matanya memandang bangunan masjid yang berkubah keemasan itu mengeluh
tiba-tiba. “Hummm… macam mana saya nak solat? Telekung pun tak ada!”
“Sebenarnya kalau solat
tak guna telekung pun tak apa, Cik Adriana. Pakai baju biasa pun asalkan hanya
nampak muka dan tapak tangan, dah boleh dibawak solat. Hmmm… tak apalah. Cik
Adriana jangan risau. Kat ruang solat muslimah biasanya disediakan telekung.”
Panjang-lebar Faqih memberi penerangan kepada wanita yang masih terpinga-pinga
itu. Tidak sangka agaknya dibawa ke masjid…
Adriana merengus pula.
Matanya dijelingkan tanda tidak berpuas hati. Memang, hatinya sekarang ini
sedang meronta-ronta kekesalan. Ini semua gara-gara pak ngahnya! Tidak
pasal-pasal tadi dia tersasul, memberitahu Faqih yang kedatangannya menemui lelaki
itu adalah kerana hendak belajar solat. Aduh!
“Okey, jom kita ambil
wuduk dulu.” Faqih sudah membuka langkah. Sebentar lagi azan akan berkumandang,
oleh sebab itu dia perlu cepat-cepat mempersiapkan diri.
Tan Sri Kamarul dan
Adriana saling berpandangan. Seketika kemudian, Tan Sri Kamarul mengekor saja
langkah lelaki muda merangkap pemandunya itu menuju ke tempat wuduk.
Adriana terkapar-kapar
lagi. Aih, macam mana ni? Dia seorang saja perempuan!
Lalu, wanita itu juga
ikut serta membuntuti bapa saudaranya.
“Eh, Cik Adriana… ni
tempat wuduk lelaki. Tempat wuduk perempuan kat dalam sana,” tegur Faqih melihatkan
Adriana yang hanya mengekor gerak Tan Sri Kamarul itu sedang berdiri di
belakangnya, dengan muka yang nampak benar tidak ketahuan!
“Owhh… Errr… Ustaz
Faqih, nak tanya boleh?” Adriana termalu sendiri. Namun, cepat-cepat rasa
malunya itu dibuang melihatkan bapa saudaranya sedang sibuk membuka stokinnya
di tangga masjid. Tinggal dia dengan jejaka bernama Faqih itu saja kini!
“Tanya apa, Cik
Adriana?” Soal Faqih sambil menyinsing lengan jubah putihnya hingga ke siku
untuk mengambil wuduk. Matanya tidak langsung dihalakan ke arah wanita itu.
“Errr… bapak saudara
saya tak tahu lagi kan yang ustaz ni ustaz? Errrmmm… macam mana kalau dia tahu
lepas ni?” Adriana menjongket sebelah keningnya. Serta-merta dia teringat akan
perbualannya dengan lelaki itu seminggu lepas di kawasan masjid ini juga.
Lelaki yang bergelar ustaz itu sendiri yang ‘merayu’ kepadanya supaya tidak
diberitahukan identitinya kepada Tan Sri Kamarul. Nah, sekarang kenapa
dibawanya pula bapa saudaranya itu ke sini?
Faqih diam seketika.
Kopiah putih di kepalanya ditanggalkan sebelum senyuman kecilnya tersungging di
sudut bibir. “Saya sebenarnya bukan tak nak bagitahu tan sri. Cuma, saya malas
nak hebah-hebahkan. Kalau tan sri tahu pun, tak ada salahnya. Kalau tak tahu
pun, tak apa.”
Berkedut dahi Adriana
mendengar jawapan itu. Ah, pening kepalanya hendak memahami ‘pendirian’ jejaka
bernama Faqih ini!
Faqih mula membaca
basmalah. Selepas berniat untuk berwuduk, pancuran air yang keluar dari muncung
paip mula diratakan ke satu per satu anggota wuduknya. Dingin… dan juga,
mendamaikan.
Sementara Adriana yang
kini berdiri di sebelah lelaki itu hanya memerhati. Memerhati dengan pandangan
yang entah membawa maksud apa. Senyumannya terukir tanpa disedari ketika asyik
memerhati lelaki yang sebenarnya… telah sedikit sebanyak mengusik pintu hatinya
itu!
Faqih menutup kepala
paip. Lantas, kedua-dua telapak tangannya ditadah untuk membaca doa selepas
berwuduk pula. Khusyuk gayanya.
Adriana terus
memerhati. Namun, kali ini pemerhatiannya itu memang bukan main-main. Matanya
tidak berkedip langsung memandang wajah lelaki itu yang kini lembab setelah
dibasahi dengan air wuduk. Ah… sungguh, hatinya bergetar!
“Errr… Cik Adriana?
Kenapa tak ambil wuduk lagi?” Faqih yang baru hendak bergerak, tidak jadi
meneruskan langkah. Terkejut juga melihat wanita itu masih di sebelahnya.
Dengan senyuman pulak tu!
Cuak seketika Faqih…
jangan dia ‘dibogelkan’ lagi sudahlah!
Adriana menggeleng
kepala. Suara garau lelaki yang beralun tenang itu terus mematahkan lamunannya.
“Ha? Errr… saya… saya tak tahu macam mana ambil wuduk!”
“Cik tak tahu macam
mana ambil wuduk? Hmmm… okeylah. Mula-mula…”
“Faqih, ajar saya ambik
wuduk!” Suara Tan Sri Kamarul yang menghilang agak lama juga tadi baru
kedengaran, memintas percakapan Faqih.
Adriana mendengus
kasar. Haish, pak ngahnya ini boleh pula tiba-tiba muncul! Baru hendak
‘bermesra-mesra’ dengan si Ustaz Muhammad Faqih! Wanita itu berpeluk tubuh. Wajahnya
tidak seceria tadi. Geram!
“Baiklah, tan sri.
Errrmmm… Cik Adriana, kebetulan nak ambil wuduk kan? Bolehlah tengok sekali
macam mana caranya,” getus Faqih. Setelah Tan Sri Kamarul bersedia di hadapan
salah satu kepala paip, Faqih mula memberikan tunjuk ajar dengan lisannya.
Adriana juga
kelam-kabut selepas itu mengambil tempat di depan kepala paip. Mana boleh jadi…
dia juga mahu belajar secara langsung dengan ustaz yang sudah mencuri hatinya
itu!
Faqih tidak mampu
menghalang. Biarlah… lama-kelamaan nanti wanita itu akan faham sendiri.
Sementara, terdapat
beberapa jemaah lain yang turut memerhatikan gelagat ketiga-tiga orang itu
hanya menggeleng-geleng kepala.
PELUH keringat mula
membasahi dahi. Pancaran matahari duha boleh tahan juga menyengat bahagian
kulit mereka yang tidak beralas. Keluhan demi keluhan kepenatan kedengaran
bersilih ganti daripada kedua-dua orang lelaki itu.
“Huh, penat jugak ya
kemas rumah ni!” Keluh Faqih, tangannya yang rancak menyapu daun-daun kering
yang berguguran di halaman rumah kampung itu berhenti seketika.
Pak Itam tertawa. Dia
yang asyik membelek pokok bunga yang agak banyak di halaman rumahnya itu nampak
masih relaks. Mungkin sudah terbiasa dengan kerja-kerja sebegitu.
“Sekali-sekala tak salah kan, Faqih? Masa kecik-kecik dulu kamulah yang paling
‘rajin’ nak buat semua ni. Dah sapu halaman rumah bersih, pergi panjat pulak
pokok rambutan tu… lepastu buang kulit kat tanah balik. Humhum.”
Faqih tersenyum
mendengar cerita bapanya itu. Pandangannya dihalakan ke arah deretan pokok
rambutan yang tertanam di belakang rumah kampung itu. Masih ‘berjasa’
menghasilkan buah sampai sekarang…
“Faqih, kalau dah penat
rehatlah, nak,” getus Pak Itam melihat anaknya itu sudah menunjukkan
‘ciri-ciri’ orang keletihan. Wajahnya berkerut beserta dada yang turun naik
menahan kepanasan.
Faqih menggeleng. “Tak
apalah, pak. Tinggal sikit lagi ni. Lepas ni kita rehatlah sama-sama ya?”
Lelaki itu berkeras mahu meneruskan kerjanya. Buat kerja jangan hangat-hangat
tahi ayam! Lagipun, bukan selalu dia berpanasan begini di bawah matahari pagi.
Matahari pagi pun baik untuk kesihatan!
“Hmmm… suka hati
kamulah.” Pak Itam malas hendak membidas apa-apa lagi. Seketika kemudian, dia
kembali sibuk mengulit pokok-pokok bunganya.
Beberapa minit berlalu…
bahang matahari semakin menyengat.
“Pak, Abang Faqih,
marilah minum dulu. Syu dah siapkan minuman!” Suara Syuhada yang menjerkah dari
pintu dapur rumah mengalihkan keasyikan kedua-dua lelaki itu daripada kerja
masing-masing. Serentak mereka berpaling.
“Yalah, Syu. Bapak
datang!” Sahut Pak Itam sebelum berdiri setelah agak lama mencangkung mengadap
pokok bunganya. Telapak tangannya berlaga-laga dikibaskan.
Faqih yang mendengar
adiknya menjemput minum terus memberhentikan kerja menyapu lamannya. Lantas
penyapu tersebut disandarkan ke dinding papan rumah lalu bergerak menuju ke
pangkin.
Aroma cekodok jagung
yang sudah terhidang di atas pinggan merebak ke ruang pangkin rumah papan itu.
Betul-betul membuka selera kedua-dua lelaki yang kepenatan tersebut. Ah, tidak
sabar-sabar rasanya hendak mengisi perut yang sudah berjoget minta diisi!
“Mmmm… ya ALLAH,
sedapnya!” Faqih betul-betul menghayati aroma cekodok jagung tersebut.
Terpejam-pejam matanya memerhatikan timbunan cekodok di atas pinggan itu.
Cekodok jagung… sentiasa bertakhta di hatinya. Ecewah!
“Dah Syu yang buat,
memanglah…” Syuhada yang sedang menuangkan kopi O ke dalam cawan sempat
‘berbangga’ dengan kebolehannya membuat cekodok jagung.
“Alahai Syu… sengaja
nak bapak melingkar macam ular lepas ni. Dah kenyang, satu kerja apa pun tak
jalan! Humhum… tapi bagus jugak. Bapak tengah lapar ni!” Omel Pak Itam sebelum
menjadi orang pertama yang menyambar sebiji cekodok jagung tersebut. Setelah
membaca basmalah, cekodok jagung tersebut selamat dikunyahnya dengan penuh penghayatan.
Faqih tidak mampu
berkata apa. Kali ini dia memang kalah dengan nafsunya. Setelah membaca
basmalah, terus saja cekodok jagung tersebut dikunyahnya. Habis satu, cekut
satu lagi. Memang berselera sungguh!
Syuhada yang masih
‘kawal-kawal ayunya’ itu tetap bersabar, mengunyah dengan perlahan. Namun,
terhibur juga hatinya melihat kedua-dua insan yang disayanginya itu berselera
menikmati hasil air tangannya.
Udara yang datang
berhembus cukup mendamaikan, sebagai penambah keasyikan kepada mereka yang
sedang enak menikmati hidangan cekodok jagung di pangkin itu. Ya ALLAH, sungguh
nikmat kurniaan-MU!
“Syu,” panggil Pak Itam
setelah kesepian berlangsung agak lama.
“Ya, pak?”
Pak Itam mengambil
cawan kopinya lalu dicicip perlahan sebelum menyambung kata. “Syu ada cakap
apa-apa dengan Mak Senah hari tu?”
Syuhada berhenti
mengunyah. Begitu juga Faqih sebaik mendengar nama Mak Senah yang disebut oleh
bapanya. Tidak lain tidak bukan, bayangan wajah wanita yang bernama Nana timbul
di kepalanya!
Syuhada mengecap bibir
seketika. “Dia ada tanya pada Syu. Tapi Syu tak berani nak jawab apa-apa. Syu
nak abang yang jawab sendiri.” Ada sedikit kegelisahan terpancar pada wajah
gadis berusia dua puluh dua tahun itu.
Pak Itam
terangguk-angguk. Kopinya dicicip semula.
Sementara Faqih masih
terkebil-kebil memerhati, minta dijelaskan apa sebenarnya yang sedang
diceritakan oleh bapak dan adiknya ini!
Pak Itam meletakkan
cawan kopinya, lalu menghala pandangannya ke arah Faqih yang sudah terlalu
dahagakan penjelasan. “Hmmm… Faqih, haritu Mak Senah dengan Pak Usop datang.
Mereka merisik kamu untuk Nana. Bapak tak bagi kata putus apa-apa lagi. Cuma…
kadang-kadang bapak kesian pada Nana. Dia beria-ia nakkan kamu, Faqih.”
Akhirnya, kemusykilan Faqih dijawab juga oleh Pak Itam.
Faqih tidak membalas
mendengar cerita bapanya itu. Wajahnya kendur, menunjukkan ada sesuatu yang
tidak berkenan di hatinya sebaik mendengar hal itu. Pandangannya ditundukkan
agak lama… mungkin berfikir.
“Bapak takkan paksa
kamu, Faqih. Ini hidup kamu, kamu saja yang ada hak tentukan hidup kamu
sendiri.” Pak Itam menepuk bahu anak lelakinya itu. Dia tahu, apa yang telah
diberitakannya kepada anak muda itu cukup membuatkan lelaki itu tersepit di
tengah-tengah. Memang… dari dulu lagi hal si gadis bernama Nana itu tidak pernah
berkesudahan!
Faqih mengangkat
pandangannya semula. Sebuah senyuman ikhlas kembali terukir di bibirnya.
“Biarlah saya fikirkan dulu ya, pak.”
“Hmmm… baguslah, Faqih.
Fikirlah semasak-masaknya. Hal nikah-kahwin ni bukannnya boleh dibuat macam
main pondok-pondok. Ambiklah masa kamu. Jangan terburu-buru buat keputusan.
Yang penting, solat istikharah. Insya-ALLAH, ada petunjuk dari ALLAH nanti,”
nasihat Pak Itam. Sebagai orang berpengalaman, dia amat mengerti perasaan
anaknya itu.
Syuhada hanya terus memerhati.
Tidak tahu hendak mencelah di mana.
Faqih terangguk-angguk.
“Insya-ALLAH,” balasnya ringkas sebelum menyambung kembali seleranya terhadap
cekodok jagung yang hanya tinggal beberapa biji bersisa di atas pinggan.