Monday, December 24, 2012

Imam Mudaku Romantik 2


BAB 2
PAGI itu indah sungguh. Cahaya mentari menerobos menerangi seisi alam. Burung-burung berkicauan riang, mungkin sedang bertasbih memuji Sang PENCIPTA. Sangat malu kepada makhluk yang bernama manusia, yang dikurniakan akal untuk membezakan mana yang baik dan buruk, tidak mahu meluangkan masa walau sesaat pun untuk memuji DIA yang Maha Esa! Setidak-tidaknya pun, lakukanlah solat dhuha sebagai tanda syukur kepada kepada ALLAH SWT.
Muhammad Faqih meraup wajah. Amin ya Rabbal ‘Alamin… selesai solat dhuhanya untuk hari itu. Syukur kerana diberi peluang lagi untuk memulakan hari ini. Moga lebih baik daripada semalam.
Namun, ah… datang pula mengantuknya tiba-tiba! Merosakkan terus semangatnya untuk memulakan hari itu agar lebih baik daripada semalam. Tidak… dia perlu tidur! Sebentar pun jadilah…
Katil bujangnya di bilik yang agak sempit itu dihampiri. Perlahan-lahan tubuhnya direbahkan. Ahhh… lega terasa tulang belakangnya sebaik mencecah tilam yang tidaklah empuk mana itu.
Tidak sampai beberapa ketika, dunianya gelap. Sepertinya, Faqih betul-betul ‘menghayati’ tidurnya pada waktu dhuha itu.

TAUFIQ menyapu-nyapu dagunya yang licin tanpa sebarang bulu ataupun janggut itu. Semuanya hasil daripada pencukur Gillette yang dibelikan oleh salah seorang teman wanitanya. Kata teman wanitanya, kalau pakai Gillette, seseorang lelaki akan dapat yang terbaik. Yalah, kan trademark jenama itu ialah ‘The Best A Man Can Get!’
Sudah ke laut Taufiq belayar gamaknya. Boleh pula fikirannya menerawang ke tempat lain ketika sedang memerhatikan awek cun yang berdiri di hadapannya ini dari atas ke bawah!
“Woi, pandangan kau tembus nampak! Suka hati kau aje ya? Mana Faqih?” Wanita bertudung putih itu cuba berlagak garang. Timbul juga rasa tidak enaknya menyedari lelaki di hadapannya itu sudah meliarkan mata ke tubuhnya dari atas ke bawah. Dia masih ingat pesan maknya agar berhati-hati dengan insan bernama lelaki. Terutama mata mereka. Kata maknya, perempuan berselubung pun lelaki mampu ‘bogelkan’ dengan pandangan mereka!
‘Ohh tidak… tak mustahil aku dah ‘dibogelkan’!’ Wanita itu berdesis dalam hati. Gusar! Dia sedar pakaiannya agak ketat ketika ini… ahhh, kenapa lelaki ini pula yang memandangnya sebegini? Ini semua untuk Faqih!
“Ohhh… hoho. Cari Faqih ya? Hai… Faqih, Faqih, kau punyalah syok nasihat aku. Rupanya-rupanya belakang aku kau simpan banyak cun punya awek. Kau buat lawaklah Faqih!” Taufiq ketawa-ketawa pula. Hatinya memang geli… walau tiada apa yang melucukan pun. Cuma dia macam tidak percaya saja yang Faqih, rakan serumahnya yang punyalah ‘alim’ itu rupa-rupanya ‘buas’ juga. Itulah… dah namanya pun lelaki. Tipulah kalau kebal dengan perempuan!
“Eiii… apa kau mengarut ni? Mana Faqih? Nanti sejuk pulak makanan ni!” Bebel wanita itu. Semakin tidak faham dengan apa yang terjadi. Dia hanya mahu berjumpa dengan Faqih! Hanya Faqih!
Taufiq membuntangkan biji mata. Baru dia perasan ada mangkuk tingkat sedang dijinjit oleh gadis di hadapannya ini. “Bagi abang ajelah, ya? Dia tidur lagi. Lagipun dia bukannya ambil sarapan sangat. Tak makan dua tiga hari pun badan dia kuat. Jangan risaulah. Hehe…”
Wanita bertudung putih itu menyengetkan sebelah keningnya. “Hei, suka hati kau aje bahasakan diri abang! Sakit telinga aku tahu tak? Aku nak jumpa Faqih jugak. Aku tak peduli!” Geli-geleman dia tiba-tiba mendengar kata-kata Taufiq. Tolonglah! Miang punya lelaki!
Taufiq menggeleng-geleng kepala, disusuli tawa kecil. Seronok pula dia melayan ragam wanita yang entah kenapa beria-ia sangat hendak berjumpa  dengan si Faqih yang polos itu. Gila bayang agaknya!
Pintu pagar yang memang tidak tinggi mana itu dibukanya. Taufiq menadah tapak tangan. “Silakan masuk cik adik manis.”
Wanita itu merengus geram. Saja ditolak pintu pagar itu lebih kuat, hendak menunjukkan betapa menyampahnya dia dengan lelaki yang dianggapnya agak miang-miang itu. Lalu melulu saja dia masuk ke dalam rumah sambil membawa mangkuk tingkatnya untuk diberikan kepada Faqih, pujaan hatinya.
Dari belakang, Taufiq hanya memerhati dengan pandangan yang… agak menyampah juga! ‘Gedik punya perempuan! Tak malu ke apa masuk rumah lelaki? Hishhh… bukan calon bini aku ni! Awek aku layaklah…’ hati lelakinya berdesis begitu. Siap dengan mimik-mimik muka lagi.
“Woi! Mak datuk!!!” Bergegar seketika rumah itu tidak sampai beberapa saat selepas wanita bertudung putih itu masuk ke dalam rumah. Sepertinya, si gerangan yang menjerit di dalam rumah itu terperanjat yang amat-amat.
Taufiq yang belum lagi masuk ke dalam rumah kerana mengomel-omel seorang diri tadi terus membuka langkah macam lipas kudung. Apa yang berlaku?
“Mak… awek mana kau bawak masuk ni, Taufiq?” Lelaki yang hanya bertuala di pinggang itu bertanya gelojoh dengan biji mata yang terbuntang. Cik abang terkejut ya?
Taufiq ketawa lagi. Banyak betul perkara yang telah menggeletek hatinya pada pagi itu. “Kimi, aku kenalkan… makwe si Faqih!”
Lelaki yang hanya memakai tuala itu menurunkan tapak tangan yang menutupi dadanya gara-gara ‘malu’ tertembung dengan perempuan cun ketika keluar dari bilik air tadi. Malu? Apa yang nak dimalukan? Masa inilah hendak menunjukkan betapa lawanya dadanya yang bidang itu! “Makwe Faqih?”
Wanita bertudung putih itu turut menurunkan telapak tangannya perlahan-lahan daripada menutupi matanya. Bergetap-getap bibirnya… mungkin sama terkejut dengan insiden tadi. “Errr… Faqih mana?”
“Kau dengar, Hakimi? Dia cari Faqihlah!” Taufiq tidak puas-puas lagi ketawa. Tidak senak perutkah dia asyik ketawa?
Lelaki yang hanya bertuala itu terkebil-kebil seketika sebelum turut terjangkit dengan penyakit ketawa si Taufiq itu. “Wahh. Haha! Tak sangka aku kawan serumah kita yang alim-alim tu ada awek punya lawa macam ni. Cik adik nak cari Faqih ya?” Lelaki bertuala yang bernama Hakimi itu bercekak pinggang. Sambil matanya mengambil peluang meliar ke tubuh wanita itu dari atas ke bawah. Lelaki…
“Astaghfirullahalazim… Nana! Apa awak buat kat sini?” Lantunan istighfar yang agak kuat itu mengalihkan perhatian ketiga-tiga mereka. Serentak mereka berpaling ke arah tangga… seorang lelaki berbaju Melayu dengan berkain pelikat sedang berdiri di situ menghadap mereka… dengan pandangan yang penuh kegusaran dan kekejutan.
“Ohhh… Nana namanya. Hei, Faqih. Apa cerita ni? Kau ada makwe cun bukannya nak share! Pandai kau simpan tembelang eh? Haha…” Taufiq bersuara sinis.
Faqih menggeleng-geleng kepala. Dia tidak peduli apa yang diperkatakan oleh Taufiq mahu pun Hakimi. Lekas dia menuruni tangga dan menghampiri Nana yang nampaknya sudah meleretkan senyuman melihat kemunculannya.
“Nana, saya nak awak balik sekarang!” Agak kuat suara Faqih. Tidak boleh disimpan lagi rasa geramnya dengan perlakuan wanita bertudung putih itu. Baginya sudah agak melampau!
“Abang… abang tahu tak happynya Nana dapat tengok abang? Kenapa nak suruh Nana balik pulak? Ini, Nana ada bawakan makanan.” Sepertinya Nana tidak terkesan langsung dengan gertakan itu. Tiada rasa bersalah langsung terpancar di wajahnya.
Faqih menepuk dahi. “Astaghfirullahalazim, Nana! Awak tak malu ke masuk rumah lelaki? Awak tak takut ke apa-apa yang buruk terjadi kalau awak buat macam ni? Baliklah, Nana. Baliklah…”
“Abang Faqih, Nana percayakan abang. Nana tahu abang takkan buat apa-apa yang tak baik pada Nana. Abang, please…” Nana tidak mahu mengalah kali ini. Dia tidak mahu kegiatannya menghendap di mana tempat tinggal Faqih selama ini menjadi sia-sia. Ya, dia memang sudah gila bayang terhadap jejaka yang bernama Muhammad Faqih!
“Wow, Faqih! Apa yang kau dah ‘menderem’ awek kau ni? Dahsyatnya kau!” Sampuk Hakimi yang menjadi penonton setia bersama-sama Taufik dari tadi. Jejaka-jejaka tersebut sebenarnya masih tidak percaya yang si Faqih, teman serumah mereka itu sebenarnya ada awek! Maklumlah, selama ini si Faqih itulah yang sibuk menasihati mereka tentang betapa tidak eloknya berawek-awek bagai. Nah, sekarang apa sudah jadi?
Faqih masih tidak mengendahkan ‘mulut-mulut jahat’ rakan serumahnya itu. Biarlah… selepas ini dia akan jelaskan. Yang penting sekarang, dia perlu memujuk Nana supaya keluar dari rumah ini. Tidak… Nana tidak boleh berada di dalam rumah ini. Sangat-sangatlah bahaya!
“Nana, baliklah… saya kata balik. Sekarang.” Faqih cuba mengendurkan suaranya. Dia sedar yang dia tidak punya hak untuk terjerit-jerit kepada anak orang.
“Baik, tapi abang janji abang makan ya?” Nana memasang syarat.
Namun, itu sudah cukup baik. Faqih tersenyum. “Yalah. Cuma… lepas ni jangan datang lagi. Tak eloklah anak dara masuk rumah orang bujang. Tolong ya… jangan buat macam ni lagi.” Bersungguh-sungguh Faqih merayu. Bukannya apa… dia cuma risaukan keselamatan gadis itu. Di dalam rumah yang terdapat tiga orang lelaki bujang ini, apa-apa pun boleh terjadi. Terutamanya dengan si Taufiq dan Hakimi. Bukan nak kata… tetapi Faqih amat mengenali perangai rakan-rakan serumahnya itu.
“Kenapa pulak, bang? Nana bukannya buat apa-apa pun… Nana nak jumpa abang aje.” Nana mencebir. Itulah senjata ampuhnya untuk menggoda dan meminta simpati.
Faqih tidak keruan. Bagaimana hendak menerangkan lagi? Takkanlah wanita berkelulusan farmasi daripada Universiti Sains Malaysia ini tidak boleh berfikir sendiri akan akibat daripada perbuatannya ini? Atau… sengaja mencari penyakit?
“Nana yang manis… abang boleh jelaskan kenapa Nana tak boleh datang sini lagi kalau Nana memang betul-betul nak tahu sangat! Pertama, Nana ni anak dara… kalau masuk rumah orang bujang, apa pulak kata orang kan? Kedua, macam mana kalau ada orang report jabatan agama? Kan aniaya tu? Tak pasal-pasal kena tangkap khalwat, Nana kena kahwin dengan kami bertiga! Haha… dan yang terakhir, kami abang-abang ni tak boleh tengok ‘makanan’ yang sedap-sedap. Takutlah tak pasal-pasal nanti Nana yang manis ni kami ‘kendurikan’. Hehe… faham tak cik adik?” Hakimi menyampuk. Panjang lebar dia menerangkan sebab-musabab kenapa wanita itu tidak patut datang lagi ke rumah ini. Sebab yang budak sekolah pun boleh fikirkan… tapi entah kenapa wanita itu tidak mahu berfikir sendiri.
Hakimi dan Taufiq terus bergelak tawa. Dalam hati mereka sebenarnya sedang rancak mengutuk wanita itu. Hmmm… perempuan, mudah benar terjerat dengan perasaan!
Faqih yang mulanya bermuka serius, tiba-tiba rasa nak tergelak pula dengan kata-kata si Hakimi. Namun, dia perlu cover line. “Nana, saya kata balik sekarang.”
Nana mengherot-herotkan bibir. Tak guna punya jantan-jantan! Sudahlah menyibuk… nampaknya tiadalah peluangnya untuk berlama-lama dengan Faqih.
Beberapa ketika kemudian, Nana menghilangkan diri, keluar daripada rumah itu… setelah puas dipujuk. Untung nasibnya baik… masuk ke rumah orang bujang dan keluar tanpa ada sebarang cacat cela pada tubuhnya.
So, Faqih… will you explain to us?” Hakimi sudah menuntut ‘haknya’ untuk merungkaikan segala persoalan di minda yang membelit daripada tadi.  Sudah tidak sedar agaknya yang dirinya masih bertuala, belum memakai baju. Dia mahu penjelasan sekarang juga!
Taufiq terangguk-angguk. Dia juga mahukan penjelasan!
Faqih menarik nafas dalam. Langkahnya sederhana menuju ke kerusi meja makan lalu duduk di situ. Ceritanya pun bermula satu demi satu.

AZAN Asar berkumandang nyaring dari masjid berkubah putih itu, memanggil para muslimin dan muslimat agar sedar akan tanggungjawab mereka sebagai hamba ALLAH. Namun sayangnya, yang mahu menyahut panggilan itu sebenar-benarnya hanyalah boleh dibilang dengan jari.
Dua saf jemaah memenuhi ruang masjid untuk mendapat pahala dua puluh tujuh kali ganda pada petang itu. Alhamdulillah… agak ramai daripada kebiasaan.
Takbiratul Ihram diangkat. Suasana hening menambah kekhusyukan kepada setiap minda yang berada di situ. Insya-ALLAH, mereka adalah orang-orang yang berjaya. ALLAH SWT sendiri telah berfirman dalam Al-Quran bahawa sesungguhnya berjayalah orang mukmin, iaitu orang yang khusyuk dalam solat!
Lebih lima minit kemudian, kedengaran salam pertama dan disusuli yang kedua. Selepas berwirid beberapa ketika, tangan pula ditadah… memohon doa kepada DIA yang tidak pernah jemu mendengar keluhan-keluhan hamba-NYA.
Selesai. Alunan selawat pun bergema mengiringi sesi bersalam-salaman itu pula.
Faqih melangkah sederhana meninggalkan ruang solat setelah bertukar-tukar salam dengan jemaah yang lain. Senyuman kecil ternukil di sudut bibir, menggambarkan ketenangan yang memercik dalam hatinya kini.
Selepas mengambil sesuatu dari raga motosikalnya, Faqih berjalan ke sesuatu arah. Ya, dia tidak pulang dahulu. Ada ‘hal’ lain yang perlu dibereskannya seketika.
Faqih melangkah keluar dari kawasan masjid. Tidak jauh dari pagar besar masjid, di kaki lima, kelihatan seorang tua berT-Shirt putih lusuh, berkain pelikat yang terdapat kesan compang-camping, berkaki ayam serta bertongkat kayu sedang duduk melunjur. Kelihatannya dia diam di situ, mungkin menunggu seseorang.
Faqih tersenyum lagi. Lantas lelaki tua yang agak tidak terurus itu dihampiri.
“Anak, kamu dah sampai? Hari ni nasi lauk apa?” Lelaki tua yang matanya terpejam itu bagai mendapat isyarat saja akan kehadiran Faqih di situ. Tidak perlu Faqih mengeluarkan sebarang kata… mungkin bunyi derapan selipar itu saja sudah cukup membuatkan lelaki tua itu mengenali gerangan siapakah yang datang menghampirinya.
Faqih tidak membalas. Sebuah bungkusan polisterin dikeluarkan dari beg plastik yang dijinjitnya lalu dibuka cermat. Aroma nasi panas dan kuah bergandingan menjadi wap menuju ke udara.
“Bismillahirrahmanirrahim…” Bagai tahu-tahu saja, lelaki tua itu dengan sendirinya menyebut lafaz basmalah. Tidak lama kemudian, sudu plastik yang berisi nasi itu dimasukkan ke mulutnya… oleh tangan anak muda itu.
“Hmmm… nasi kandar! Sedap, nak. Terima kasih banyak-banyak.” Ada riak kegembiraan terpancar pada wajah tua yang uzur itu. Riak itu jelas walaupun hanya boleh dibaca melalui wajahnya, bukan sinar matanya. Kerana mata yang telah diambil nikmatnya oleh ALLAH untuk melihat indahnya dunia itu akan terus terpejam…
Faqih terus mendiamkan diri. Hanya tangannya yang rancak menggaul-gaul nasi dengan sudu plastik tersebut lalu sesekali disuapkan kepada lelaki tua yang nampaknya kelaparan itu. Entah bilalah kali terakhir lelaki tua ini makan? Mungkin petang semalam juga… ketika dia membawakan makanan. Tidak mustahil.
“Nak… pak cik teringin nak dengar suara kamu. Kamu tak pernah bercakap dengan pak cik. Nak tengok wajah kamu memang dah tak ada peluang. Sekurang-kurangnya bagilah pak cik peluang nak dengar suara kamu.” Lelaki itu membuat permintaan lain pula… permintaan yang selalu diulang-ulang. Namun sepertinya masih belum termakbul.
Faqih tergelak kecil. Entahlah… biarlah dia tidak dikenali.
“Walaupun pak cik tak kenal siapa kamu, tapi pak cik bersyukur sebab ALLAH hantarkan orang macam kamu untuk bantu pak cik. Walaupun pak cik tak nampak, tapi mata hati pak cik kuat katakan yang kamu ni orang yang jujur. Pak cik tak dapat tengok wajah kamu, tapi pak cik tahu… wajah kamu pun secantik keperibadian kamu. Semoga ALLAH meredhaimu, nak.” Tulus, ikhlas dan penuh kerelaan kata-kata itu diungkapkan. Lelaki tua yang berkeadaan uzur itu memang tidak main-main dengan perkataannya.
Faqih menggumam bibir. Hujung bajunya diangkat sedikit untuk menyeka kelopak mata yang terasa berair. Sungguh, dia tidak mampu hendak mengungkapkan dengan kata-kata tatkala menerima doa itu. Sekeping hatinya cukup tersentuh… lafaz semoga ALLAH redha itulah yang menjadi sebab utama kenapa air matanya tidak dapat ditahan.
“Ketika orang lain pandang jijik pada pak cik, masih ada kamu yang sudi suapkan makanan untuk pak cik. Pak cik tak mampu nak balas kebaikan kamu, nak. Cuma terima kasih yang pak cik mampu ucapkan.” Lelaki tua itu terus melimpahkan rasa hatinya yang paling dalam. Tidak lain, tidak bukan… dia hanya mahu lelaki yang tidak pernah jemu memberikannya makan ini mendengar.
Selesai suapan terakhir. Faqih memegang pula tangan lelaki tua itu lalu sebuah botol mineral diberikannya kepada tangan itu sendiri. Tanpa berlengah, dia terus melangkah pergi… meninggalkan lelaki tua itu. Insya-ALLAH, kalau berkesempatan, dia akan ke sini lagi esok.
“Inilah orang kita! Macam mana nak maju? Baru susah sikit dah nak mengemis! Tak ada usaha langsung nak majukan diri! Heiii… orang macam ni tak sepatutnya biarkan bebas. Buat rosak pemandangan aje!” Agak kasar suara itu memecahkan ruang udara.
Faqih lantas memusing tubuh ke belakang semula. Tidak jadi hendak masuk ke kawasan masjid untuk mendapatkan motosikalnya… hatinya tiba-tiba terguris berdarah, mendengar suara yang baginya amat menjengkelkan itu.
“Sampai bila kau nak mengemis ha? Kau tak malu ke tahu meminta aje? Hei, agama pun tak bagi mengemislah! Kau tahu tak kau ni dah cemarkan masjid ni? Pergi tempat lainlah!” Lelaki berkot, yang tampak elegan itu terus menghamburkan rasa jengkelnya yang berbaur penghinaan terhadap lelaki tua yang berbaju lusuh itu. Wajahnya penuh riak tidak senang… mungkin jijik melihat lelaki pengemis buta itu jika dibandingkan dengan penampilannya.
Sehelai not seringgit dicampak ke dalam bekas plastik lelaki tua yang hanya diam membatu itu. Lalu lelaki berkot elegan itu berjalan menuju ke pagar besar masjid.
Faqih yang pada mulanya hendak menuju kepada lelaki tua uzur yang hanya diam menikus itu berubah niat. Kini dia lebih berminat untuk menghampiri lelaki berkot hitam… yang mungkin juga orang kaya itu.
“Assalamualaikum. Errr…” Faqih memberanikan diri menghulurkan salam.
Lelaki berkot itu memberhentikan langkah. Matanya meliar memandang gerangan lelaki muda yang menegurnya itu, tanpa ada rasa hendak menjawab salam itu. “Hmmm… aku Tan Sri Kamarul.”
Senyuman Faqih tersungging ke sudut bibir. Sudah diagak… “Ohhh, tan sri! Kenapa jalan kaki? Kan bahaya orang berada macam tan sri ni terlalu terdedah kepada umum?”
Lelaki bernama Tan Sri Kamarul itu merengus kasar dengan anak mata yang cukup tajam tatkala diajukan soalan itu. Ada yang tidak kena nampaknya. “Kereta aku ada kat luar. Driver aku baru hilangkan diri lepas kebas duit aku. Heiii… tak guna punya manusia! Dunia akhirat aku tak ampunkan!”
“Astaghfirullahalazim… tan sri tak buat laporan polis?” Faqih sedikit tersentak.
Lagi sekali Tan Sri Kamarul membuat muka tidak senang. “Aku tak berani bawak kereta! Macam mana nak buat report? Balai polis lima kilometer lagi!” amuk lelaki berada itu. Jelas emosinya kini tidak stabil. Mungkin terlalu hampa dan kecewa akan perlakuan pemandunya yang mungkin menjadi orang kepercayaannya selama ini.
Faqih terangguk-angguk. “Habis, kenapa tan sri masuk masjid ni pulak?”
“Hei… kau ni banyak tanyalah! Aku nak mintak tolonglah… sebab aku tahu orang masjid macam kau ni kan baik-baik. Aku nak mintak tolong bawak aku pergi balai polis!” Tan Sri Kamarul terus marah-marah.
Faqih mengangkat sebelah kening lalu memeluk tubuh memandang lelaki berada itu. Orang masjid baik-baik? Hmmm… tiada komen. “Tan sri benarkan saya pandu kereta tan sri? Tapi kalau tak boleh, naik motor buruk saya pun tak apa. Saya tak kisah,” sengih Faqih. Sengaja hendak menyindir sebenarnya.
“Hmmm… ada lesen ke kau ni?” Tanya Tan Sri Kamarul. Kedengarannya lelaki berada itu tidak melepaskan peluang sama untuk menyindir.
Faqih tergelak… agak besar. “Jangan risaulah, tan sri. Lesen kereta ada, lesen motosikal pun saya ada. Semuanya sah dari sisi undang-undang negara dan belum mati lagi.”
Tan Sri Kamarul mengherot-herotkan bibir beberapa ketika, masih berfikir agaknya tentang kewajarannya menerima khidmat lelaki muda itu atau pun… masih ragu-ragu. ‘Budak ni nampak alim… takkanlah nak buat onar kut?’
“Okey, aku benarkan kau pandu kereta aku. Tapi ingat, kalau kau berani buat onar, dunia akhirat aku tak ampunkan! Dan tak pasal-pasal lepas ni, aku pandang orang masjid semua jahat-jahat. Semua hipokrit!” Bentak Tan Sri Kamarul, mengugut sebenarnya.
Terkelip-kelip mata Faqih seketika. Amboi! Macam itu sekali? “Hummm… tan sri boleh percayakan saya, insya-ALLAH. Saya takkan buat apa-apa pada harta tan sri. Saya tahu mana yang halal, mana yang haram. Kalau tak, sia-sialah saya buat ibadat selama ni.”
“Haa… bagus! Jom ikut aku!” Tan Sri Kamarul membuka langkah besar, meninggalkan kawasan masjid itu dengan wajah yang tetap kelat.

Imam Mudaku Romantik 1


BAB 1
“KAMU tak nak kahwin, Faqih?” Orang tua itu memecah kesunyian ketika tangannya sedang rancak menganyam ketupat sate.
Muhammad Faqih meneguk liur. Gulp… soalan cepu emas! “Hmmm… kahwin, pak? Belum lagi kut. Siapalah nak kat Faqih ni?” Pasrah saja bunyinya. Jari-jemarinya yang berhenti seketika tadi kini menari-nari semula menganyam daun kelapa.
Pak Itam tersengih sinis. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia sekeh kepala anak muda di hadapannya ini! “Kenapa cakap macam tu pulak? Meluat bapak dengar. Hmmm… Faqih, Faqih… perempuan rabun aje yang tak nak kat kamu!”
“Astaghfirullahalazim… kenapa pulak, pak?” Mengucap panjang si Faqih. Suka-suka hati saja bapak dia ni mengatakan anak dara orang rabun!
“Yalah. Ada ke patut orang hensem macam anak bapak ni tak ada perempuan nak? Sebab tu bapak kata diorang rabun!” Pak Itam begitu tegas menegakkan benang yang tidak basah. Memang hakikatnya pun anak bujangnya itu hensem!
“Pak… semua orang nak pasangan yang terbaik dalam hidup. Apa gunanya hensem kalau tak boleh bagi kebahagiaan pada pasangan? Lagipun, hensem tu bukan boleh bagi makan anak bini.” Faqih menarik nafas panjang. Nasihat yang mungkin sedikit berguna untuk membetulkan pemahaman bapaknya iaitu lelaki hensem mesti disukai oleh semua perempuan.
Pak Itam tidak membalas selepas itu. Entah dengar ke tidak, atau lelaki tua berusia awal lima puluh-an itu semakin khusyuk membuat kerja menganyam ketupatnya atau pun... sengaja buat-buat tak dengar.
Faqih menjeling sekilas bapaknya itu. Aih, diam tiba-tiba? Dia ada salah cakap, kah?
“Faqih, lepas ni tolong hantarkan sarung-sarung ketupat ni pada Mak Senah,” pinta Pak Itam.  Perlahan betul nada suaranya. Merajuk, kah?
Garu kepala seketika anak muda berusia dua puluh tujuh tahun itu. “Hantar sarung macam ni je, pak? Tak payah letak beras lepastu rebus sekali ke?”
“Tak payah. Mak Senah mintak kita buat sarung aje. Masuk beras semua tu dia buat sendiri,” jelas Pak Itam. Ekor daun yang telah siap dianyamnya ditarik untuk mengemaskan lagi struktur sarung ketupat sate itu. Lalu dicampak saja sarung ketupat itu ke dalam bekas plastik di sebelahnya.
Faqih hanya mengangguk selepas itu. Selesai satu sarung dianyam, lagi sehelai daun dicapainya. Sesekali bila sendi-sendi terasa letih, dia akan menggeliat kecil diselang-selikan dengan lafaz tasbih. Moga-moga ada kekuatan untuk dia meneruskan kerjanya ini.

MOTOSIKAL Honda C70 itu berhenti betul-betul di perkarangan rumah Mak Senah. Enjin serta-merta dimatikan. Tidak sempat memberi salam, kelibat Mak Senah sudah terjengul di muka pintu.
“Haa... semua dah siap, Faqih?” Mak Senah menyarung selipar lalu menuju ke arah Faqih yang baru hendak menanggalkan topi keledar.
“Alhamdulillah, semua dah siap. Seratus lima puluh biji kan, Mak Senah?”
“A’ah. Cukuplah kut nak jamu orang makan malam ni,” gumam Mak Senah. Terpancar riak keletihan di wajahnya. Mungkin penat membuat persiapan untuk majlis doa selamat malam ini.
“Insya-ALLAH, cukup Mak Senah.” Faqih memberi jaminan. Bakul yang berisi sarung ketupat di tempat pembonceng diturunkannya. Sebuah buku nota tiga lima dikeluarkan dari kocek seluarnya. Tiba masa untuk meminta haknya… apalagi kalau bukan bayaran.
Mak Senah memerhatikan anak muda itu beberapa ketika. Tidak berkelip matanya… Sah! Ada sesuatu yang berlegar-legar di mindanya.
“Disebabkan Mak Senah mintak sarung je, so setiap satu cuma lima puluh sen. Semua ada seratus lima puluh. Jadi… tujuh puluh lima ringgitlah ya, Mak Senah. Errr… Mak Senah?” Berkerut-kerut dahi Faqih sebaik terperasankan Mak Senah memandanganya dengan mata yang tidak berkedip. Mak aih… seram-sejuk dibuatnya! Kalau boleh dikiaskan, pandangan Mak Senah mungkin sudah menembus tubuhnya.
Faqih mengetap bibir. “Mak Senah?”
Mak Senah meleretkan senyuman pula. “Kamu tak nak jadi menantu Mak Senah, Faqih?”
Apa? Apa yang Mak Senah cakap? Dia tidak salah dengar, kan? Berkelip-kelip kelopak mata Faqih. Ini kali kedua dalam hari ini orang bertanyakannya soal kahwin. Tadi pula bapaknya. “Ermmm… Mak Senah, saya dah lambat ni. Saya ada hal lepas ni.”
“Faqih, kalau kamu kahwin dengan anak Mak Senah, si Nana tu, tujuh hari tujuh malam Mak Senah buat kenduri,” luah Mak Senah. Tinggi benar pengharapan orang tua itu terhadap anak muda bernama Muhammad Faqih ini.
Faqih melepaskan keluhan kecil. Tipulah kalau dia tidak letih asyik dihujani soalan yang sama. Entahlah… dia belum punya jawapan yang konkrit untuk soalan itu. “Siapalah saya Mak Senah kalau nak dibandingkan dengan anak Mak Senah?” Hanya itulah jawapan ‘klise’ yang mampu diberikan setiap kali ditanyakan soalan sebegitu.
“Faqih, Mak Senah dah lama berkenan kat kamu sebenarnya. Mak Senah selalu harap yang kamu ni nanti jadi menantu Mak Senah.” Lagi sekali Mak Senah membuatkan si teruna serba-salah.
“Mak Senah, saya belum sedia nak kahwin. Ada jodoh, adalah.”
Mak Senah tidak lagi menyambung cerita selepas itu. Selesai saja membuat bayaran, terus dia mengangkat bakul yang berisi sarung ketupat yang ditempahnya lalu menuju ke dalam rumah.
Faqih meramas-ramas tengkuk. Tidak tahulah di mana silapnya…
“Abang Faqih…” Ada suara menegur. Manja benar suara itu.
Lagi sekali Faqih tidak tentu arah. Terpusing kepalanya memandang si empunya suara yang cukup manja dan menggoda itu. “Nana? Errr…”
“Itulah, Abang Faqih. Nana ajak kahwin tak mahu!” Gadis bertudung putih itu memuncungkan bibir. Kepala motosikal Faqih diusap-usapnya tanpa rasa segan-silu.
Faqih hanya membisu. Tidak tahulah kenapa tubuhnya seram sejuk setiap kali berjumpa dengan Nana, anak Mak Senah yang baru selesai pengajian dari Universiti Sains Malaysia ini. Majlis doa selamat malam ini diadakan pun kerana hendak meraikan kejayaan si Nana inilah… yang baru bergelar graduan dalam bidang farmasi.
“Abang Faqih… Nana sebenarnya dah lama suka kat abang. Dari Nana sekolah menengah lagi tau! Tengok, lama tak Nana tunggu abang? Takkan abang sikit pun tak ada rasa nak menghargai cinta Nana ni?” Lanjut Nana. Nadanya adakala kedengaran menggoda… adakalanya seperti meminta simpati. Tetapi yang pasti, Nana memang tidak malu hendak menguar-uarkan perasaannya kepada jejaka itu. Orang dah kemaruk… begitulah.
“Nana… saya kena pergi dulu. Assalamualaikum.” Faqih tergesa-gesa meminta diri. Lekas dia menaiki motosikalnya dan menghidupkan enjin. Dia tidak mahu berhadapan dengan Nana… entahlah. Sebenarnya dia memang takut bersemuka dengan perempuan. Bukan dengan Nana saja.
Mungkin sebab itukah dia tidak berkahwin lagi? Hmmm... ada jodoh, adalah.
“Eiii… Arghhhhh!!!” Nana membentak-bentak geram. Bengkak sungguh hatinya mengiringi motosikal yang sudah lesap entah ke mana itu. Hanya sisa-sisa kepulan asap yang kini memenuhi ruang pandangnya. Memang betullah… masuk angin keluar asap! Faqih langsung tidak memberi respon pada kata-katanya. Dah buat gaya manja-manja pun, lelaki itu macam tiada perasaan saja. Bernafsu songsangkah dia?
Nana mengomel-ngomel seorang diri. Dia tidak peduli… dia tetap mahukan jejaka bernama Muhammad Faqih!
Tanah di halaman rumahnya dipijak-pijak, bersungguh-sungguh. Tidak ubah seperti kanak-kanak riang yang tidak mendapat mainan.

“YALAH, sayang. Nanti saya datang ya? Bila? Malam ni kan?” Lelaki yang berbaring menelentang di atas sofa panjang di ruang tamu rumah teres dua tingkat itu menongkat kepalanya pula. Wajahnya berseri-seri saja dengan senyuman yang tidak pernah luntur semenjak kebelakangan ini.
Faqih sedang memegang dua biji cawan berisi kopi panas ketika dia melangkah keluar dari pintu dapur. Tidak jadi dia meneruskan langkah… melihat lelaki di atas sofa itu masih melayan perasaan. Biarlah dia jadi pemerhati dulu.
“Okey, sayang. I love you, sweetheart. Bye bye.” Lelaki yang berbaring di atas sofa itu mengucup skrin telefon bimbitnya. Lalu menelentang semula dengan wajah yang senang hati.
“Bukan main bersayang-sayang kau ya? Meluat gila aku dengar!” Tiada angin, tiada ribut, Faqih meluahkan rasa menyampahnya kepada rakannya yang sedang berbaring di atas sofa itu.
Lelaki itu terduduk serta-merta. Terkebil-kebil dia menyedari Faqih merangkap teman serumahnya itu sudah muncul di depan matanya. “Haha. Kau jeles ke?” Cawan kopi di tangan Faqih disambar tanpa segan silu. Dia tahu memang Faqih bancuhkan untuknya.
“Tak ada maknanya aku nak jeles. Aku menyampah lagi adalah!”
“Hmmm… suka hati kaulah, Faqih. Yang penting, aku bahagia.”
Faqih merengus perlahan. Susah mahu cakap dengan orang yang belum ‘mendapat petunjuk’ sebegini! Kopi panasnya dicicip dahulu sebelum menyambung kata. “Tak elok kau buat orang macam ni, Taufiq. Kau tak rasa kesian sikit pun ke pada perempuan-perempuan yang jadi mangsa kau ha?”
Lelaki bernama Taufiq tersebut berubah wajah. Penuh kerutan ‘tidak senang’ terpamer dengan kata-kata rakan serumahnya itu. “Aku bukannya buat apa kat dia orang pun. Siapa suruh diorang rela hati jadi bahan mainan? Aku sapu ajelah. Hehe…”
“Memang badan kau tak buat apa-apa. Tapi mulut kau yang buat apa-apa! Sebab mulut manis kau tulah perempuan-perempuan tu sanggup jadi mangsa kau. Hmmm… kau dah besar kan? Aku rasa kau dah boleh fikir mana yang baik, mana yang buruk.” Faqih hanya menggeleng kepala selepas itu. Entah sudah kali ke berapalah nasihat itu berputar di bibirnya. Namun… dia memang tidak tahu hendak berkata apa lagi terhadap Taufiq yang kerjanya suka mengayat perempuan, mengikis duit perempuan dan meninggalkan perempuan sesuka hatinya itu. Benarlah, hidayah itu milik ALLAH. Moga-moga ALLAH membuka pintu hati Taufiq untuk tidak memain-mainkan perempuan dengan wajah ala-ala korea dan mulut manisnya itu selepas ini!
Taufiq diam. Agak lama… adakah kali ini nasihat Faqih menjadi untuk menimbulkan rasa sedikit keinsafan dalam hati rakan serumahnya itu?
“Taufiq, sebagai saudara seIslam, aku cuma menyampaikan. Aku minta maaf kalau kau terasa.” Faqih pula yang serba-salah. Mungkin nasihatnya terlalu pedas sampai Taufiq terdiam kerana sakit hati?
“Ehem… hum… hum. Hahahaha…” Ketawa Taufiq berderai tiba-tiba. Entah apa yang menggeletek hatinya untuk tiba-tiba ketawa daripada diam yang agak lama tadi.
Hampir-hampir air kopi yang sedang dicicip oleh Faqih tersembur… terkejut mak datuk dia disergah dengan hilai tawa Taufiq yang tak makan saman itu! Nampaknya harapan untuk melihat Taufiq ‘mendapat petunjuk’ berkubur lagi.
“Faqih, kadang-kadang aku kesian gila pada kau. Kau penat-penat habis air liur bagi ceramah kat aku. Hmmm… macam nilah, Faqih. Apa kata aku pulak ajar kau macam mana nak jadi macam aku? Mana tahu kau pun dapat ‘hidayah’ lepasni sebab dah faham situasi aku. So, mungkin lepas tu kau pun akan banyak fikir sebelum kau habiskan air liur kau nak bagi ceramah free pada aku. Amacam?” Taufiq memeluk bahu Faqih, agak kasar.
Faqih memicit dahi. Tidak tahulah kata-kata Taufiq itu adakah benar-benar serius atau sengaja mahu menyindir. Sudah diagak… susah nak kata dengan orang yang belum ‘mendapat petunjuk’ sebegini.
“Kalau nak hidup senang memang kena macam ni, Faqih. Kau tolonglah faham!” Tegas Taufiq. Sekali membawa maksud agar kelakuannya tidak dipersoalkan lagi. Dia tahu apa yang dilakukan. Ini hidupnya.
Faqih hanya mengangkat bahu selepas itu. Biarlah masa yang mengubah jejaka  bernama Taufiq ini.